Hai FS. Saya memang peminat FS tegar dan banyak kisah-kisah seram yang saya dah baca dari page FS ni. Jadi, sebagai peminat sejati, saya nak kongsikan kisah seram saya pula untuk bacaan peminat – peminat FS yang lain.
Kisah ni berlaku semasa saya belajar di salah satu institut pendidikan awam di selatan tanah air. Saya belajar jurusan pertanian dan banyak la masa saya dihabiskan dekat ladang dan kandang.
Saya juga memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institut. Jadi, semua yang berlaku pada pelajar, saya perlu ambil tahu dan juga selesaikan.
Pada satu petang semasa jalani amali ladang, kami dikerahkan untuk pulang ke asrama dalam jam 6 petang. Saya pastikan semua pelajar bergerak ke asrama dan menjadi orang yang terakhir sekali di ladang. Saya memang pasti yang saya orang terakhir sebab saya dah pusing ladang dengan sahabat MPP saya yang lain juga.
Tetapi, semasa kami bersihkan diri di paip berhadapan asrama, saya lihat Nur (bukan nama sebenar) menggelisah sambil lari dan terpusing – pusing kebelakang seakan dikejar oleh seseorang. Dalam hati “eh, bukan ke semua pelajar dah masuk asrama. Mana pulak datangnya Nur ni?”
Saya cuba untuk kejar Nur tapi tak jumpa seakan-akan menghilang. Dalam bilik takde, dalam tandas pun takde. Pelik betul. Saya buat keputusan untuk bersihkan diri, dan bersiap untuk ke surau sebab dah nak dekat waktu maghrib, takut terlambat untuk berjemaah di surau. Selesai solat, saya singgah ke bilik Nur dan ternampak Nur sedang solat. Mungkin takde apa yang terjadi. Perasaan saya sahaja kot.
Tepat jam 8.30 malam, sedang saya seronok berborak dengan rakan sebilik saya, terdengar orang menjerit berlari di ruang koridor depan bilik saya. Saya jenguk keluar dan melihat ramai orang berlari kearah bilik Nur.
“Akak! Nur kena rasuk. Terjerit-jerit ni. Kami tak tahu nak buat apa ni?” Untuk pengetahuan saya yang paling tua di institut ni. Jadi, semua pelajar panggil saya kakak. Saya arahkan semua pelajar wanita ke surau dan duduk di surau sambil membuat bacaan yasin. Saya naik ke setiap bilik dan panggil semua untuk turun.
Tiba-tiba saya nampak ada satu kelibat hitam terbang masuk ke salah satu bilik dihujung koridor tangga. Saya pun apa lagi, berlarilah turun ketakutan tapi saya tak maklum pun pada yang lain takut semua panik pula. Saya pergi ke bilik Nur dan hanya MPP sahaja yang berada di bilik Nur. AJK kerohanian, Ali sedang sibuk membaca doa pada Nur dan masih juga tiada perubahan pada Nur. Kami dah maklum kan pada pegawai yang bekenaan tentang Nur ni. Tapi mengambil masa juga untuk mereka datang dengan ustaz.
Lebih 30 minit juga kami menunggu. Tiba – tiba Nur duduk dan senyap. Dalam hati “apa pulak yang nak jadi ni. Yang bukan – bukan je la budak ni” risau saya takut yang bukan – bukan je jadi pada kami. Saya berdiri ditepi katil bersama beberapa orang lagi rakan saya memerhati keadaan Nur. Tiba- tiba, Nur berlari keluar asrama menuju kearah ladang kami. Ramai juga pelajar lelaki yang cuba mengejar Nur. Tapi hairan, laju sungguh Nur lari dengan memakai telekungnya. Berkibar-kibar telekungnya. Seram kami melihat. Seorang rakan saya dapat menangkap Nur dan jatuh tersembam ketanah dihadapan pintu ladang kami. Nur tetap terjerit-jerit dengan suara yang garau. Suara Nur sebenarnya halus je sebab orangnya pun kecil sahaja. Pelik sungguh keadaan Nur ni.
Selepas tu, Nur menangis pula meraung-raung. Serupa macam orang hilang akal. Berubah-ubah sikapnya. Kadang-kadang senyap sambil merenung tajam kami semua.
Nur dibawa pergi menaiki van institut ke rumah pakar rawatan Islam sambil ditemani beberapa rakannya yang lain. Kami semua agak kepenatan dan semua pelajar turut dikerahkan untuk pulang ke bilik masing-masing. Ali datang berjumpa dengan saya dan memberitahu saya untuk cuba mencari kalau ada apa-apa barang yang pelik dalam simpanan Nur. Saya cuba menyelongkar barang Nur.
Semasa saya membuka beg baju Nur, saya terjumpa satu bungkusan berwarna kuning dan ada beberapa helai benang dan rambut dalam bungkusan tersebut. Rupanya agak janggal. Jadi, saya berikan pada Ali. Ali pegang bungkusan tersebut dan merasa panas seakan melecur pada tapak tangannya. Pelik juga, sebab takde pula rasa panas tu masa saya pegang. Bungkusan tersebut juga turut dibawa ke pusat rawatan Islam tersebut.
Keesokannya, kami dimaklumkan yang Nur telah pulih cuma perlu berehat. Bungkusan kuning tersebut adalah tangkal yang diberikan oleh keluarga Nur untuk dijadikan pendinding untuk Nur. Makhluk halus yang berada di ladang tersebut tak suka dengan apa yang Nur bawa. Jadi, benda tersebut marah dan kacau Nur.
Makhluk halus ni tak pernah kacau sesiapa pun sebelum ni. Cuma, dia tak suka dengan apa yang Nur bawa sebab makhluk tersebut rasa tergugat.
Perkara ni masih berlarutan beberapa hari dan keluarga Nur membuat keputusan untuk membawa Nur pulang dan berhenti belajar. Sebenarnya semasa kami orientasi dahulu, kami sudah dimaklumkan untuk tidak membawa apa-apa bentuk tangkal atau saka ke sini. Sebab takut perkara macam ni lah yang akan berlaku.
Kita sebagai seorang Muslim seharusnya tidak bergantung kepada sebarang benda ghaib ni. Hanya bergantung pada Allah dan memohon perlindungan-Nya. Begitulah cerita seram saya. Insya Allah saya akan ceritakan banyak lagi kisah seram yang berlaku di tempat belajar saya akan datang. Terima kasih semua
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit