Tangki Lama Jeti Ktm

Sekali lagi aku ingin mengucapkan terima kasih kepada admin FS kerana sudi menyiarkan kisah keduaku (Jalan Bahau-Keratong).

Kedua-dua kisah sebelum ini berlaku semasa aku dalam perjalanan pergi dan pulang dari Pelabuhan Kuantan.

Kisah pada kali ini pula berlaku ketika aku selesai menjalankan tugas di Jeti Ktm. Bagi sesiapa yang tinggal di sekitar Lukut, Port Dickson pasti mengetahui di manakah jeti ini.

Untuk makluman semua, jeti ini hanya digunakan sekiranya terdapat kapal yang ingin mengisi minyak dan air bersih. Tidak semua kapal dibenarkan berlabuh di kawasan itu dan hanya kapal tertentu sahaja yang dibenarkan. Walaupun begitu, kapal yang ingin berlabuh perlu mendapat kebenaran daripada pegawai kastam yang bertugas. Aku pernah ditugaskan untuk memastikan penyaluran minyak daripada lori milik syarikatku ke kapal luar mencukupi. Syarikatku mempunyai 3 kapal iaitu A77, Dickson 8 dan MV Redang. Syarikatku juga mempunyai beberapa lori tangki yang digunakan bukan hanya untuk menyalurkan minyak ke kapal-kapal tetapi juga menyalurkan minyak ke syarikat-syarikat lain. Aku pernah beberapa kali mengikuti lori milik syarikatku ke tempat-tempat tersebut.

Tugasan aku ke sana adalah bagi memastikan minyak yang diterima oleh pihak yang berkenaan mencukupi. Aku dikehendaki untuk membuat laporan dan mengenalpasti punca sekiranya minyak yang diterima tidak mencukupi.

Selalunya apabila melibatkan penyaluran minyak ke kapal-kapal luar, jarang sekali mengambil masa yang begitu lama kerana kuantiti yang diperlukan tidak begitu banyak. Namun apabila melibatkan kapal milik syarikatku, ia mengambil masa yang agak lama. Sudah banyak kali aku ditugaskan untuk ke Jeti Ktm bagi melaksanakan tugasan tersebut. Pernah sekali aku ditugaskan untuk penyaluran minyak dari lori milik syarikatku ke kapal yang juga milik syarikatku sebanyak 300,000 liter. Tugasan ini mengambil masa sehari setengah untuk diselesaikan. Pada hari itu, aku bermalam di dalam kapal bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Berbalik pada tajuk ceritaku ini, terdapat 3 tangki lama yang telah lama tidak digunakan berhampiran dengan Jeti Ktm. Tangki tersebut dahulunya digunakan bagi memudahkan proses penyaluran minyak ke kapal-kapal melalui saluran paip yang disediakan tetapi memandangkan jeti tersebut tidak seperti dahulu, jadi penyaluran minyak pada masa sekarang disalurkan secara terus daripada lori ke kapal tanpa menggunakan saluran paip tersebut.

Apabila ditugaskan untuk ke jeti tersebut, aku tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaanku di kawasan jeti dan aku perlu berjalan kaki sejauh 100 meter untuk ke kapal. Kawasan jeti tersebut sungguh sunyi terutamanya apabila menjelang malam. Keadaan jeti tersebut juga terlalu gelap dan hanya diterangi oleh cahaya lampu kapal dan sekiranya aku hendak ke keretaku pada waktu malam, aku terpaksa menggunakan lampu suluh atau cahaya lampu daripada telefon bimbitku. Keadaan akan tambah menyeramkan apabila tugasan aku selesai selepas jam 10 malam.

Seperti yang semua sedia maklum, tugasanku adalah memastikan jumlah minyak yang diterima mencukupi. Walaupun kuantiti minyak boleh dikira mengikut jumlah kapasiti lori yang dihantar tetapi kadangkala jumlah minyak boleh menjadi kurang atau lebih. Jumlah minyak yang diterima mungkin boleh menjadi kurang sekiranya pergerakan ombak terlalu kuat walaupun mengikut kapasiti lori, jumlah tersebut mencukupi. Disebabkan itu juga, walaupun penyaluran minyak telah selesai jam 9 malam tetapi kadangkala aku selesai mengira jumlah minyak yang diterima jam 12 tengah malam atau jam 1 pagi dan itu semua bergantung kepada kedudukan kapal dan pergerakan ombak pada waktu itu.

Aku selalunya bergerak berseorangan apabila menuju ke keretaku setelah selesai kerja kerana semua krew kapal tidak boleh meninggalkan kawasan jeti kecuali jika terdapat hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Berbalik pada ceritaku, ada suatu hari aku selesai kerja tepat jam 10.30 malam dan pada ketika itu air sedang surut. Aku meminta bantuan daripada krew kapal untuk naik ke atas dan mereka memberiku tangga dan mengarahkan aku supaya memanjat tangga untuk naik ke kawasan jeti. Setelah naik ke atas, secara tidak sengaja aku telah terpandang ke arah tangki lama yang tidak digunakan dan dari kejauhan, aku nampak seperti ada sesuatu yang berada di atas salah satu tangki tersebut. Sebelum ini, ada seorang krew kapal pernah menasihati aku sekiranya selesai kerja di jeti itu pada waktu malam, aku dilarang sama sekali untuk memandang ke arah tangki tersebut.

Apabila teringat kembali larangan daripada krew itu, bulu romaku tiba-tiba meremang. Aku terpaksa juga menuju ke arah keretaku walaupun pada ketika itu kakiku terasa agak berat untuk melangkah. Semakin lama aku semakin dekat dengan tangki tersebut dan perasaanku ketika itu bercampur baur sama ada aku ingin melihat apa yang berada di atas tangki itu atau tidak. Apabila berada berhampiran dengan tangki tersebut, aku memberanikan diri mendongak ke atas.

Aku dapati terdapat pontianak yang sedang bertenggek di atas tangki itu. Pontianak itu memandang tepat ke arahku dan dengan segera aku berlari menuju ke keretaku. Setelah enjin berjaya dihidupkan, aku dengan segera memandu keretaku dan meninggalkan kawasan itu. Aku berasa bersyukur kerana tiada sebarang kejadian yang tak diingini berlaku semasa aku dalam perjalanan pulang ke rumahku setelah apa yang berlaku kepadaku di jeti itu. Kejadian ini aku ceritakan kepada krew kapal setelah seminggu hal ini berlaku. Rupa-rupanya ada salah seorang krew kapal yang pernah mengalami nasib yang sama sepertiku dan disebabkan itu dia melarangku untuk melihat ke arah tangki itu setelah selesai kerja di situ.

Selepas kejadian itu, tangki tersebut telah dirobohkan mungkin atas sebab ceritaku atau mungkin sebab tangki itu memang tidak diperlukan lagi di situ.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ayie

1 thought on “Tangki Lama Jeti Ktm”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.