Tasik Terbiar

Assalamualaikum semua….kita throwback ke tahun 1996. Masih di hutan keningau, kali ni adalah kejadian yang sangat meninggalkan kesan pada saya sebab saya terlibat sekali dalam operasi menyelamat.
Masa tengah menaip ni, malam jumaat 26/11/20..menaip sambil bulu tengkuk naik semua. Umpama flash back.
Lets get started….

Seperti yang anda semua tahu, saya bekerja di sebuah kilang papan yang amat luas. Saya pun tak boleh agak berapa luas. Sebab untuk perumahan pekerja saja atau rumah kongsi untuk pekerja ada 2 lokasi. Semua berjauhan. Yang saya tinggal tu banyak lot. Yang lagi satu tu terpisah jauh dan tak sampai 10 lot rumah. Lokasi yang kedua ni memang betul betul berhampiran hutan yang sangat tebal. Tepatnya atas kawasan berbukit sikit. Bawahnya tu ada satu tasik semulajadi. Saya tak pernah cuba pun menghampiri tasik tersebut. Agak seram di kelilingi hutan tebal di kiri kanannya. Kalau joging pagi ahad off day kerja pun saya akan elak waima nak jalan-jalan hampir tasik tu. Dari jauh warna airnya hitam pekat. Tanda lumpur dasarnya. Yang peliknya keliling tasik tu bersih. Padahal tiada sesiapa yang datang bersihkan. Ia bagaikan tersisih tiada yang berani dekat. Masa tu seminggu sebelum raya korban. Semua berjalan seperti biasa hinggalah terjadi tragedi yang memakan korban.

Budak yang jadi korban tu berumur 10 tahun, budak lelaki. Dia bercuti ikut datuk dan neneknya ke tempat aku kerja dan tinggal tu. Aku mana perhati sangat kalau pun ada orang asing masuk melawat. Sibuk dengan dunia kerja saja. Aku agak workaholic orangnya. Hari ahad off memang membuta saja dari pagi sampai petang, kalau abang tak kejut naik tingkat atas ke bilikku memang takkan bangun.

Jadinya, budak tadi parentsnya di bandar KK, bekerja. Biasalah budak budak, jumpa cepat semua jadi kawan. Padahal baru jumpa 10minit dah jadi geng yang umur sebaya….yang lebih baya pun jadi kawan dia …

Macam biasa, ahad hari aku off. Entah kenapa hari tu mata tak nak tidur pula. Dah pukul 11 pagi pun tak nak pejam baring atas katil. Dulu dulu bukan macam sekarang, henpon pun yang jenama ATUR tu. Nak tengok youtube memang taklah. Terpaksa baca novel. Sampailah ke petang tengah baca novel tu, Karl datang ke bilikku. Terus masuk duduk katil. Yang Luli pun ikut masuk duduk lantai hadap aku. Aku pandang.
” eh ko tau ke? ” Karl bersuara dulu. ” manalah aku tau, ko belum cerita” aku baca novel semula. ” gini, tu kat bawah heboh. Budak budak yang pegi tasik terbiar tu, kurang sorang” Luli bercerita. Aku pandang dia lama. Tutup buku. Duduk hadap mereka berdua. Sunyi sekejap. ” kurang???” Garu kepalaku yang tak gatal. Mereka angguk. ” berapa ramai yang pegi sana? Berani pula…kita yang dewasa ni pun tak pernah ke sana” aku bersuara. ” hah tu la pasal!” Karl beralih turun duduk ke lantai. Aku ikut turun. ” mula mula yang pegi 13 orang termasuk budak dari bandar tu….sekali balik budak tu dah hilang. Diorang dah cari. Tapi tak jumpa sekeliling tasik tu” Karl sambung cerita.
” tu kat bawah 12 budak budak tu kena interview oleh parents dan datuk nenek budak budak tu” Luli pula bcerita. Aku mendengar minat. Hmmmm…satu lagi misteri.
Kami bertiga keluar. Pandang dari atas saja. Boleh nampak dan dengar suara mereka di tanya macam macam soalan. Yang peliknya, aku perhatikan mereka semua bagaikan berada di dunia asing. Hanya mampu pandang sekeliling tapi tidak respon. Entah sebab panik atau apa.

Akhirnya datuk budak yang hilang tu umumkan masa tu juga, minta bantuan untuk cari cucunya yang hilang. Aku bertiga ikut serta. Berbondong bondonglah hampir seratus orang ke tasik tersebut. Belum pun jejak kaki ke kawasan tasik bulu romaku dah tegak. Kepala rasa kembang. Sampai saja, kami berpecah cuba cari kawasan sekeliling tasik tersebut. Hutan tebal. Ada juga yang berenang dan menyelam ke dalam tasik. Aku, Karl dan Luli cari kawasan hutan. Agak sukar juga sebab dah hampir magrib. Pukul 5.30 petang, sekejap lagi akan gelap.

Akhirnya kami patah balik ke tasik. Bagai ada pesta di sekeliling tasik. Semua resah. Hasil carian sekeliling hutan tasik tiada hasil. Sekarang semua fokus pada tasik. Perasaanku kuat berkata. Budak ni dalam tasik. Masalahnya dah bertukar ganti orang selam ke dasar tak jumpa apa apa. ” rasanya kat mana ya? ” Luli bisik. Aku tunjuk tengah tasik. Keadaan mulai gelap. Jam 6 petang. Sampailah ke Isyak masih belum ada hasil. Nenek pada cucu yang hilang mula meraung minta kami cari lagi. Mengucap panjang aku. Sedih tengok macam tu. Tak lama kemudian parents budak tadi sampai. Mereka bergegas datang bila di beritahu apa yang berlaku. Semakin parah keadaan bila ibunya pula meraung. Aduh!!!

Akhirnya semua yang berada dalam tasik naik ke tebing. Sejuk dan penat. Suasana cerah dengan lampu suluh dan lampu gasolin. Polis pun mula datang dengan land rovernya. Arahkan 3 org polis menyelam pula. Hampir sejam tiada hasil juga. Air terlalu gelap, berlumpur kata polis yang menyelam. Silap langkah memang seolah olah kena sedut oleh lumpur. Lain lagi dahan dahan kering dan balak dalam tasik.

Entah macam mana, mungkin sebab habis ikhtiar, imam surau kami minta semua diam. Dia laungkan azan jam 9.30 malam. Semakin kembang rasa kepalaku. Tak semena mena bulu tengkuk berdiri. Luli dan Karl berbisik diorang pun rasa sama. Perlahan pak imam tu buka selipar, berjalan ke tebing tasik, perlahan turunkan kaki sebelah kanannya. Mulut kumat kamit. Kami perhati penuh minat. Tiba tiba tengah tasik berbuih. Pak imam bagaikan tidak peduli. Polis yang tadi duduk ikut bangun bila tengok tasik berbuih. Tidak lama kemudian naiklah secara perlahan lahan tubuh budak yang hilang!!!! Aku mengucap panjang. Pantas bapa budak tu terjun ambil mayat anaknya. Suasana tu tidak dapat ku gambarkan. Sebagai manusia melihat keadaan begitu sangat menyedihkan. Jatuhlah air mata lelaki kami. Aku ni degil orangnya, berpegang pada kata kata arwah ayah…lelaki jangan mudah keluarkan air mata. Tapi melihat keadaan itu tumpah jua. Selepas selesai semua, polis minta mayat budak tu di bawa untuk bedah siasat. Maka naiklah datuk nenek dan parents tu ke atas land rover polis bersama mayat yang telah kaku. Selesai semua kami pulang tinggalkan tasik yang telah ambil korban pertama.

Rupanya, seminggu sebelum kejadian, kawan yang tinggal di hostel lokasi kedua atas bukit berhampiran tasik tadi ada terbangun jam 3 pagi, ingat nak ke tandas, tapi terdengar suara ramai kanak kanak di tasik tadi. Dia kejutkan isterinya untuk dengar dan tengok sekali. Memang tak ada apa apa tapi suara kanak kanak memenuhi tasik tersebut. Suara yang sungguh meriah bagaikan ada kenduri. Rupanya nak sambut korban pertama…..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Fozan Hadi

3 thoughts on “Tasik Terbiar”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.