TEGUR

Aku dilahirkan dengan “sixth sense” kata orang. Aku bukanlah yang sejenis hardcore boleh melihat benda tersebut di mana-mana, tetapi jika benda tersebut ingin menunjukkan diri, aku lah yang mula dapat mengesannya. Pendek kata senang nampaklah. Terdapat berbagai sejarah di dalam salah-silah keluargaku (jika cerita ini diterbitkan, insya Allah akan aku kongsi kan suatu hari nanti).

Kemuncak gangguan ku berakhir ketika di tingkatan 1, lantas aku meminta nenekku menutup hijab ku (nenek ku seorang bidan kampung). Namun begitu, sejak kejadian itu aku masih dapat merasakan kehadiran Dia berada di mana-mana walaupun aku tidak dapat melihat dengan mata kasar. Banyak benda telah aku lalui, tapi kisah ini telah menjadi kisahku yang pertama yang ingin aku kongsikan di Fiksyen Shasha.

Aku pekerja retail di salah sebuah shopping mall. Waktu bekerja di mall bermula pukul 10 pagi sehinggalah 10 malam. Kejadian ini telah berlaku seminggu yang lalu. Menjadi kebiasaan bagiku, setiap kali pulang bekerja, tunangku akan membawaku sehingga di kedai makan berhampiran dahulu sebelum menghantarku pulang ke rumah. Suatu hari setelah habis bekerja pada pukul 10malam, seperti biasa tunangku membawaku makan di kedai mamak berhampiran tempat kerja ku.

Pejam celik pejam celik, sudah hampir menjengah pukul 11malam, aku lalu mengajak tunangku pulang kerana sudah penat bekerja seharian. Untuk pengetahuan semua, tunangku kebiasaanya akan membawaku ronda dahulu di sekitar kawasan rumah sambil kami berbual-bual kosong menceritakan aktiviti seharian yang kami lakukan. Malam itu, tunangku membawa aku melalui suatu kawasan perumahan rumah orang kaya-kaya (rumah 2-3 tingkat, mempunyai kolam renang dalam lot rumah masing-masing). Kawasan ini biasa kami lalui pada pukul 7-8malam iaitu ketika aku syif pagi. Jalannya tidaklah terlalu sunyi kerana berhampiran dengan kawasan lot kedai, dan terletak berhampiran dengan kawasan sekolah.

Malam itu, tunangku membawa aku melalui kawasan tersebut seperti biasa dengan motornya. Sesampai sahaja di suatu selekoh, bulu romaku terus meremang menandakan adanya kehadiran Dia. Aku cuma menundukkan pandangan, bagi mengelak untuk ternampak kelibatnya. Aku tau tunangku turut merasakan benda yang sama kerana motornya terus dipecut laju sedangkan kawasan perumahan tersebut dipenuhi dengan bonggol. Setelah jauh berlalu dari kawasan tersebut, aku lantas bertanya kepada tunangku, apakah dia ada melihat sesuatu di kawasan perumahan tersebut sehinggakan motornya dipecut sebegitu laju.

Kata orang tua-tua, jangan kita sesekali menegur benda tersebut. Benda ini ternyata jadi kepadaku malam itu. Tunangku memberitahu aku bahawa dia melihat ada seorang perempuan berambut panjang di beranda sekolah tersebut tersenyum melihat kami melalui kawasan tersebut. Umum mengetahui, sekolah sudah lama tidak dibuka sejak musim persekolahan bermula, dan mana mungkin cleaner sekolah bekerja sehingga sebegitu lewat. Aku cuma berdiam diri mendengarkan kata-kata tunangku itu.

Aku sangka kan gangguan itu berhenti di situ tetapi ternyata tidak. Kawasan rumah berhadapan dengan hutan, pada waktu pagi sentiasa dipenuhi dengan monyet di tepi jalan. Namun pada waktu malam, hutan tersebut kelihatan gelap dan sunyi sahaja. Malam itu, sewaktu melalui hutan tersebut, tiba-tiba aku terdengar suara jeritan haiwan yang sangat kuat. Jeritan tersebut seperti bunyi terlalu ramai haiwan menjerit kemarahan menghalau sesuatu. Aku terkejut sehingga badan ku lantas menyentap bahu tunangku. Dia pelik dan bertanyakan kenapa lantas aku bercerita tentang jeritan tersebut yang aku dengarkan. Yang peliknya, tunangku langsung tidak dengar akan jeritan tersebut. Bulu romaku kembali meremang. Aku tau Dia mengikutku balik dan aku tau tunangku sudah sedia tau akan benda tersebut (tunangku juga on/off sixth sense).

Sampai sahaja di rumah flat ku, tunangku seperti sudah faham akan keadaan ku mempelawa untuk menghantarku sehingga ke depan pintu rumah (rumahku ditingkat 4). Keadaan tangga rumah berhadapan dengan hutan yang kami lalui sebentar tadi. Sesampainya di hadapan pintu rumahku, tunangku sempat memesan supaya membaca surah-surah berkenaan dan masuk dengan salam beserta langkah kanan. Aku ketika itu terus memasuki rumah dengan pantas dan terus mandi membersihkan diri sejurus masuk ke dalam rumah. Sesudah mandi, aku melihat telefon mempunyai beberapa missed call dari tunangku.

Tunangku memarahi aku kerana gigih menunggu dia di tangga semata-mata untuk melambai dia pulang. Dia memarahi aku kerana keluar tidak bertudung (tunangku sejenis menjaga hal tersebut) dan kerana aku tidak terus masuk apabila disuruhnya. Aku speechless tidak tau mengatakan apa-apa. Rasa seperti ingin menangis apabila diberitahu sedemikian sedangkan aku terus bergegas mandi selepas pulang.

Aku menceritakan semua kepada tunangku dan dia cuma diam sahaja. Dia mengatakan yang aku tidak perlu bimbang kerana Dia telah mengikuti tunangku balik. Tunangku telah singgah sebentar di kedai burger berhadapan rumahnya untuk mengelakkan Dia mengikutnya sehingga pulang ke rumah (pesan orang tua-tua kalau ada sesuatu ikut balik perlu singgah di mana-mana dahulu).

Alhamdulillah malam itu setelah pulang, tiada gangguan lain yang diterima oleh kami berdua. Cuma sahaja aku tidak dapat tidur sehingga hampir pukul 3 pagi kerana masih seram memikirkan kejadian tersebut yang sudah lama tidak aku alami. Sekian 😉

-CIK ER

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

CIK ER

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.