Terima Tanpa Sedar

Assalamualaikum. Aku Dhia. Terima kasih yang telah memberikan kata-kata semangat kepada cousin aku dalam story Hanya Sebentar. Kali ini aku teringat nak berkongsi kisah yang hampir sama dengan kes yang viral baru-baru ini tapi agak berbeza sikit dan ia berlaku kepada keluarga aku sendiri. Enjoy jerlah yer

2015
Waktu itu, aku baru berumur 15 tahun. Hari itu aku akan mabik ataupun akan pulang ke rumah selama tiga hari dua malam. Namun kejadian ini menyebabkan aku perlu mengambil cuti yang agak panjang.
“Nek Ngah sakit, kejap lagi ibu ambik kamu kita terus pergi ziarah dia yer”, aku hanya mengiyakan dan meletakkan ganggangan telefon awam di sekolahku. Tujuan aku menelefon yang sebernanya adalah untuk menanyakan keberadaan ibuku ketika itu setelah puas menunggu. Aku mengambil keputusan untuk solat zohor dahulu di surau sekolah. Memandangkan aku tidak akan terus balik ke rumah. Nek Ngah merupakan adik kepada arwah nenekku . setahu aku, dia sihat-sihat sahaja.

Namun siapa sahaja yang tahu ketentuan Allah. Selesai solat zohor, aku terus melipat telekung dan memasukkannya ke dalam beg kembali. Aku menjenguk ke luar tingkap surau. Ibuku sudah menungguku di pondok jaga. Aku segera mengambil begku dan melangkah laju ke arah ibuku. Setelah selesai sesi luah rindu, aku masuk ke dalam kereta dan bersalaman dengan ayahku pula. Kami terus bertolak ke rumah Nek Ngah. Ibu memang rapat dengan Nek Ngah sejak kecil. Lagi-lagi setelah arwah nenek sudah meninggal dunia. Ibu pernah memberitahuku yang nenek sempat melarang untuk terlampau rapat dengan adiknya itu tanpa sebarang alasan yang jelas. Tapi ibu yang jenis mengambil berat berasa kasihan kerana Nek Ngah tidak mempunyai ahli keluarga. Dia tidak berkahwin dan membujang sampai ke tua.

Sesampai sahaja aku dan keluarga di hadapan rumah Nek Ngah, sudah terlihat motor abangku yang terlebih dahulu sudah sampai di sana. Aku dengan baju batik sekolahku lebih memilih untuk hanya tunggu di dalam kereta. Namun setelah dipaksa oleh ibuku, aku menurut sahaja. Masuk sahaja ke dalam rumah jenis separuh batu, separuh kayu itu, aku sudah merasa tidak sedap badan. Tiba-tiba aku merasa loya tekak dan entah macam mana aku hendak gambarkan ketidak selesaanku ketika itu. Aku memandang ke arah abangku yang sedang duduk di ruang tamu. Dia turut kelihatan tidak selesa dan segera pergi ke arah kami. Aku dan abang hanya diam. Aku mengikuti belakang ibu yang sedang menuju ke arah bilik Nek Ngah. Ah, perasaan aku makin tidak sedap.

Aku meminta izin ibu untuk pergi keluar sebentar selepas melihat dan mendoakan Nek Ngah agar sembuh. Aku dan abang terus keluar dan hanya duduk di anjung rumah tersebut. Setelah itu, terlihat beberapa kereta masuk ke halaman rumah. Semuanya adalah sanak saudara kami yang datang untuk menziarahi Nek Ngah. Abang mengajakku untuk duduk di dalam kereta demi mengelakkan berjumpa dengan sanak saudara. Bukan tidak ingin merapatkan ukhwah, tapi hati kami masih tidak berasa sedap. Aku masuk ke dalam rumah dan meminta kunci kereta dari ayahku. “Kau ada rasa apa-apa tak?”, soal aku kepada abangku sejurus sahaja masuk ke dalam kereta. “Tak baiklah nak cakap sebernanya, tapi tulah, akupun rasa lain macam waktu langkah masuk ke rumah ni”, balas abangku. Aku dan abangku memang agak peka.

Tambahan pula kami memang suka belajar tentang ilmu-ilmu ghaib ni. Abangku ketika itu sudah mencecah usia 16 tahun dan dia sudah berjaya menghafal 30 juzuk ketika itu. “Lebih baik diam. Tak elok kita cakap apa-apa tentang dia”, abangku menasihatiku. Ketika itu sudah pukul tiga setengah petang. Ibu dan ayah sudah keluar dari rumah tersebut dan kami bertolak pulang. Keesokkannya, kami mendapat khabar Nek Ngah telah meninggal dunia selepas waktu subuh pagi itu. Kami segera menziarahi jenazah. Kami mengiringi jenazah sampai ke kubur memandangkan sudah tiada ahli keluarganya. Aku sekali lagi merasa loya dan kali ini aku terus pergi dan tidak mengikuti acara pengebumian di tanah perkuburan. Abang awal-awal lagi memang tidak turun dari kereta.

Akhirnya kami pulang. Malam itu, sanak saudara sepakat dengan ibu untuk melakukan tahlil di rumah arwah. Ketika bacaan Yasiin dimulakan, aku melihat seekor lipan berwarna hitam, agak besar melintas di hadapan ibu. Aku tersentak dan terus menepuk-nepuk paha ibu. Seketika aku ingin menunjukkan kepada ibu, lipan itu telah tiada. Malam itu kami bermalam di rumah arwah bersama beberapa orang sepupuku. Aku tidur dengan anak saudaraku merangkap cucu kepada Mak Longku. Dia tua setahun dariku. Kami tidur bersama beberapa orang lagi saudara perempuanku dan kesemuanya ada lima orang. Dua orang tidur di atas tilam bersaiz queen dan tiga orang tidur di bawah berlapikkan toto.

Aku tidur di bawah persama anak saudaraku, Fatty, dan adik Fatty, Fit. Di atas, adalah anak kepada Mak ngah, Ana dan Nur. Kami tidur agak lewat. Biasalah, perempuan. Tapi aku ni jenis yang kalau tengah bersembang pun aku boleh tertidur. Aku tertidur dan terbangun dengan sendirinya akibat bunyi katil besi kerana berlakunya pergerakkan. Sewaktu itu, lampu sudah di tutup. Memang sangat gelap. Aku meraba mencari phoneku. Tiba-tiba, aku tersentuh sesuatu. Seperti betis orang, pada awalnya aku ingatkan itu adalah kaki katil. Sejuk sahaja, tapi takkanlah kaki katil itu besar dan tekstur seperti kulit manusia. Aku meraba untuk mendapatkan kepastian.

Tiba-tiba, kaki tersebut menarik dan menghilang entah ke mana. Aku terus memegang badan Fatty, aku menggoncangkan tubuhnya. “Kenapa?”, soalnya dalam nada mamai. “Mana phone aku?”, aku menyoal dalam nada ketakutan. Diapun memberikan phoneku yang terletak di sebelahnya ketika itu. Aku terus membuka flashlight, alangkah terkejutnya aku apabila melihat, gula-gula di hujung kaki ku sedang menghantukkan kepalanya di pintu bilik. Aku terus menutup lampu flashlight dan terus membacakan ayat kursi secara perlahan dengan nada yang agak berbisik. Aku cuba mengawal perasaan supaya tidak terlampau takut.

Aku yang berada di posisi tengah ketika itu memegang tubuh Fatty dan Fit. Aku masih membacakannya dan secara perlahan, ada suara yang halus membisikkan dan mengikuti bacaanku di sebelah telingaku. Aku masih tidah berputus asa dan terus-terusan membacakannya sambil memejam mata rapat-rapat. Walaupun keadaan ketika itu sudah gelap, namun aku masih tidak kuat untuk membuka mata. Akhirnya suara itu hilang setelah beberapa kali aku ulangi ayat tersebut tanpa henti. Aku membuka mata dan memberanikan diri melihat jam di telefon rupa-rupanya sudah pukul enam pagi. Aku terus membangunkan Fatty untuk solat subuh.Fatty yang tak tahu apa-apa lagi ketika itu terus bangun dan mencari suis lampu. Lampu terbuka dan hatiku merasa lega

Selesai menunaikan solat subuh di dalam bilik secara berjemaah, kami pergi ke dapur untuk menolong apa yang patut. Setelah bersarapan, aku sekeluarga terlebih dahulu meminta izin untuk pulang kerana aku perlu kembali ke asrama pada petang itu. Aku terlebih dahulu masuk ke dalam kereta bersama abangku. Aku tahu, mesti ada yang tak kena juga dengan dia pada malam itu. Dia turut mengalami hal yang agak aneh namun tiada kelibat encik gula-gula. Hanya mendengar suara tangisan dan sekali sekala terasa seperti ada yang duduk di hujung katilnya. Kami sekeluarga pulang. Aku dan abang bersepakat untuk tidak menceritakan tentang hal tersebut kerana ibu memang masih bersedih. Sepanjang perjalanan kami hanya mendiamkan diri.

Kembalinya kami ke rumah sudah bertukar suausana secara tiba-tiba. Ibu menjadi agak dingin dan mengelak untuk menghantarku pulang ke asrama. Abang pula sudah di hantar oleh ayah ke pusat tahfiznya kembali. Ibu mengelak untuk bersalaman dengan abang dan menjauhkan diri dengan belama-lama di dalam bilik air dengan alasan sakit perut. Aku berasa agak seram apabila hanya aku dan ibu di rumah ketika itu. Aku sedang mengemas barang untuk pulang sementara ibu memerhatikanku dari jauh. Ketika aku ingin duduk di sebelah ibu, ibu bangun dan kembali pergi ke dalam bilik air.

Aku akan kembali ke asrama selepas asar. Selalunya ibu akan menyiapkan bekalan makanan kepadaku. Tapi kali ini ibu tidak masak apa-apa. Aku sudah merasa aneh. Ketika aku ingin berselawat, ibu terus lari sekali lagi ke dalam bilik air. Selalunya ibu akan bernyanyi dan berselawat bersamaku. Aku mula merasa semakin aneh. Adakah ini ibu? Menjelang azan asar, ibu seperti biasa, pergi ke bilik air. Tanpa sebarang kata. Setelah ibu keluar, aku masuk dan mandi serta mengambil wudhuk. Selesai solat asar,aku sengaja membaza surah Al-Baqarah ayat 1-5 dan aku berdoa agar semua dipermudahkan. Aku memasang pendinding diri dan berusaha menjaga wudhukku. Ayah ketika itu sudah pergi ke masjid. Aku melihat ibu yang masih duduk di ruang tamu segera mendekatinya.

“ibu”, perlahan aku bersuara. Ibu tidak memandang, terus termenung memandang televisyen. Aku terus mendekati ke telinga ibu dan memberikan salam, “Salamun ala sulaiman”, tiba-tiba ibu memandang ke arahku. Aku memandang tepat ke arah mata ibu, baru aku perasan, mata ibu terlihat kosong, seolah-olah dipukau. Ibu seperti ingin memegang tanganku namun dia tidak boleh menyentuh aku. Aku berlari mengunci semua pintu rumah, takut ibu lari. Aku menyorokkan pisau dengan segera dengan memanjat kerusi dan menyimpannya di atas kabinet. Walaupun ibu masih duduk, namun dia sentiasa memerhatikanku dalam keadaan seperti marah dan tidak puas hati.

Aku tidak boleh menghubungi ayah kerana ayah tidak membawa telefon. Aku segera membacakan surah Al-Baqarah kembali secara kuat dari ayat 1-5 disusuli dengan ayat qursi dan ibu memberikan reaksi seperti biasa, berlari ke dalam tandas, namun kali ini dia tidak berjaya kerana aku telah menyelak kunci pintu tandas yang hanya boleh diselak oleh orang yang agak tinggi. Untungnya ibu tidaklah tinggi mana dan aku lebih tinggi daripada ibu. Ibu seperti tidak tentu arah. Berjalan berulang alik dari ruang tamu ke dapur, tidak tahu ingin pergi ke mana kerana semua tempat telah terkunci, untung sahaja sewaktu itu semua pintu di rumah tersebut memiliki selak di pintu yang agak tinggi. Aku terus-terusan membacakan surah tersebut berulang-ulang. Ibu sentiasa memerhatikanku secara tidak puas hati.

Akhirnya ayah balik. Aku membuka kunci pintu utama dan ketika itu ibu ingin keluar tapi segera dihalang oleh ayah. Ayah memeluk ibu seketika dan aku menggantikan posisi ayah, ketika itu, ibu semakin meraung kesakitan apabila aku menyentuhnya. Aku teruskan lagi dengan membaca surah Al-Fatihah secara perlahan disusuli suran Al-Baqarah dan ayat qursi. Ibu semakin mengganas meronta-ronta, ibu terus ingin melepaskan diri. Untung sahaja ketika itu aku belajar silat teknik mengunci. Hatiku tak habis berkata “Maafkan adik ibu”, memang kasihan tapi ketika itu sudah bukan ibu lagi.

Seketika kemudian, ibu lemah. Aku melepaskan ibu secara perlahan. Ayah mengangkat ibu dan membaringkannya di atas sofa.”Ayah dah panggilkan usstaz dari Darul Syifa, sekejap lagi dia datang, kamu pergi ambilkan tudung untuk ibu. Aku segera menurut arahan. Sayu melihat tubuh ibu lemah. Aku memakaikan ibu telekung supaya lebih mudah sekiranya apa-apa berlaku. Ibu yang masih terpengsan di atas sofa ku tatap sayu. Seketika kemudian, ustaz Kamil pun datang. Dia membacakan ruqyah dan memberikan air bacaan Yasiin serta menasihatkan supaya ibu mandi air limau kasturi berserta bunga. Setelah itu, ustaz Kamil bersembang dengan ayah di luar rumah. Ayah masuk setelah ustaz Kamil pulang dan ayah terus membacakan beberapa potongan ayat Al-Quran di hadapan ibu dan meniupkan dari kepala sehingga hujung kaki. Ayah mencabutkan cincin pemberian Nek Ngah sewaktu ibu melawat dia tempoh hari.

Setelah ibu sedar, ayah menyuruh ibu bersyahadah dan memeberikan ibu air Yasiin tersebut. Ayah menyuruhku untuk menjaga ibu seketika. Ayah keluar entah ke mana bersama cincin yang diambilnya. Aku menceritakan kepada ibu dan ibu yang masih lemah hanya menangis sayu. “Tak sangka, betul apa yang Nenek kamu cakap. Nek Ngah membela”, kata ibu. Aku terkejut dan hanya menyuruh ibu untuk berehat. Ayah pulang bersama abang. Ketika itu sudah masuk waktu maghrib. Kami berjemaah bersama di rumah sementara ibu yang uzur duduk di belakangku sambil berzikir.

Selesai sahaja wirid dan doa, kami membacakan Yasiin untuk disedekahkan kepada Nek Ngah. Ayah menceritakan yang ustaz Kamil memberitahu yang ibu telah melakukan akad penerimaan saka ketika menerima cincin tersebut. Aku bertanya kepada ibu, bagaimana ibu boleh melakukan akad? Ibu kata Nek Ngah hanya mencabut cincin tersebut dari jarinya dan menyuakan kepada ibu sambil berkata,”Kamu terima tak cincin ini dan segala yang mak nak bagi kat kamu lepas ini?”, ibu yang merasa sedih ingin mengembirakan hati Nek Ngah berkata,”Zan terima mak”. Mungkin itulah akad yang telah dilakukan tanpa sedar. Ayah mengirimkan mesej kepada guru kelasku bahawa aku tidak dapat hadir ke sekolah sepanjang minggu ini. Ibu perlu peneman untuk menguatkan semangatnya lagi-lagi ketika dia sedang dalam keadaan yang uzur.

Keesokkannya, ayah membawa kami sekeluarga ke darul syifa di mana dia sudah membuat temu janji dengan ustaz Kamil. Ibu masih dalam keadaan yang lemah tidak berhenti berzikir menggunakan tasbih digital yang dipasangkan dijarinya. Sepanjang malam, ibu tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana tidak sedap badan. Ibu juga tidak mahu bersarapan. Katanya, tidak ada selera. Ibu duduk di belakang sambil diapit oleh aku dan abangku. Kasihan ibu, menjadi manasa sedangkan niatnya hendak membantu. Kami menunggu sebentar sementara ustaza Kamil ada pesakit yang lain. Rupa-rupanya ramai jugak yang ‘sakit’. Setelah beberapa waktu, kami akhirnya masuk ke dalam bilik rawatan. Aku dan abang memimpin tubuh ibu yang sudah terkulai layu. Ustaz Kamil menyuruh kami duduk di samping ibu.

Seketika, ibu menangis. Aku yang terpinga-pinga hanya menyaksikannya. “pegang ibu kamu”, kata ustaz Kamil. Kami memegang ibu dan ibu meronta-ronta kesakitan menyuruh untuk dilepaskan. Ini mungkin kerana aku dan abang memasang pendinding pada diri. “Kalau kau nak dilepaskan, kau kena duduk diam-diam”. “baiklah”, ibu berkata menggunakan bahasa yang begitu baku. Aku dan abang melepaskan ibu. Beberapa perbicaraan dilakukan. Jin tersebut memang benar saka keturunan dari moyang merangkap ibu kepada nenek aku. Nenek aku yang faham soal agama tidak mahu menerimanya dan ia diturunkan kepada Nek Ngah yang agak jahil dalam agama. Saka tersebut hanya ditugaskan untuk menjaga keselamatan, memberikan tenaga untuk bekerja dan mencantikkan atau membuatkan tuannya disukai orang. Namun kerana Nek Ngah memberikan Jin tersebut tuan yang baru iaitu ibuku, dia tidak merasa senang kerana ibu adalah seorang yang kuat agama.

Setelah itu, ustaz Kamil mengeluarkan Jin tersebut dan ibu menjadi separuh sedar. Selepas itu, ustaz Kamil melakukan akad untuk membatalkan ibuku daripada menjadi tuan kepada jin tersebut. Ibu diberikan air Yasiin untuk diminum berserta bunga dan limau kasturi yang telah didoakan untuk mandi. Kami pulang dan ibu masih dalam keadaan yang lemah. Keesokkannya, aku menyiapkan baldi dan air bunga tersebut. Aku ingat pesanan ustaz Kamil yang menyuruhku berselawat di dalam hati sepanjang membuat air bunga tersebut. Aku berpesan kepada ibu untuk berniat di dalam hati agar disembuhkan dari segala penyakit.

Selesai mandi, ibu terlihat segar dan kembali bertenaga. Malamnya seperti biasa, kami sekeluarga masih membacakan Yasiin buat arwah keesokkannya kami kembali ke Darul Syifa untuk memeriksa keadaan ibu. Aku ingatkan sudah terhenti di situ. “Aku tidak tahu ingin ke mana lagi. Aku sudah tiada tuan”, tiba-tiba ibu bersuara.”Kamu kembalilah ke tempat asalmu. Manusia dan jin tidak boleh berdampingan. Dia tak nak jaga kamu. Sekarang ni kalau kamu nak selamat dunia akhirat, kamu nak masuk Islam?” ustaz Kmail menawarkan kepada jin terbut. Jin itu akhirnya memeluk Islam dan keluar dari tubuh ibuku. Ibu diberi minum air Yasiin.

Selepas kejadian tersebut, tiada lagi gangguan terhadap ibu. Aku dan abang dihantar pulang ke asrama pada hari Jumaat. Banyak pula wartawan di sekolah yang menanyakan alasan tidak hadir ke sekolah selama seminggu. Aku hanya mengatakan bahawa ibu ku demam dan aku perlu menjaganya. Sejak itu, aku turut berhati-hati ingin menerima apa-apa barang dari sesiapa sahaja. Malah kalau ada hadiah yang bertulis “Semoga awak sudi menerimanya” aku buang kecuali yang berharga aku ruqyah dahulu barang tersebut.

Semoga menjadi ikhtibar buat semua. Jangan mudah percaya kepada apa-apa yang ada di hadapan mata kerana semua nikmat di dunia adalah tipu daya jin dan syaitan yang telah berdendam kepada anak cucu cicit Adam sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Dekatkanlah diri dan sentiasa meminta pertolongan Allah. Aku juga ingin menyatakan bahawa seluruh nama yang digunakan sepanjang penulisanku adalah nama samaran untuk menjaga privasi. SekianH

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Dhia

3 thoughts on “Terima Tanpa Sedar”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.