tetamu tak diundang

Asalamualaikum dan hai pembaca FS. Kali ini nak share cerita masa anak sulung saya berusia setahun lebih. Mungkin tak seram sangat tapi untuk yang penakut macam saya, memang seram la sangat😂..

1 malam tu, saya dan suami bertandang ke rumah rakan sekerja bagi memenuhi undangan ke majlis hari jadi cucunya. Kami pergi selepas maghrib. Disebabkan anak saya kecil lagi, saya minta untuk balik awal, dalam jam 8.30 malam macam tu.

Kawasan perumahan rakan saya tu agak gelap dan sunyi. Mungkin agak lalai, jadi malam tu suami tak perasan ada “benda” yang mengikut sampai ke rumah. Benda tu kebetulan ada dilaluan jalan yang kami gunakan. Macam orang tua selalu cakap, benda ghaib tu suka dengan budak kecil, sebab itu kot benda tu ikut balik.

Sudah jadi kebiasaan saya apabila balik dari berjalan, saya akan pastikan suami, anak dan saya sendiri mesti ganti pakaian, cuci kaki, tangan dan muka sebelum buat apa² aktiviti dalam rumah, terutama kalau balik waktu malam. Masa tu kami diam di kuarters kerajaan, rumah panjang 6 pintu. Rumah tu ada 3 bilik, tapi kami lebih suka tidur di ruang tamu.

Malam tu kami tidur seperti biasa. Tepat jam 12 tengah malam, anak saya tiba-tiba terbangun kemudian duduk sambil merengek. Sekejap dia duduk, sekejap dia menonggek, sekejap dia berdiri, walaupun mata dia masih pejam. Saya pujuk dia supaya tidur semula tapi dia taknak. Saya buatkan susu, fikir dia nak menyusu tapi dia menolak. Sambil pujuk tu saya baca² la doa sambil usap kepalanya. Lebih kurang nak masuk jam 2 pagi, barulah dia terlena. Masa tu suami saya kerja berat jadi selagi saya dapat handle anak sorang², saya akan cuba tak ganggu tidurnya.

Saya ceritakan kepada suami selesai solat subuh. Saya tanyalah dia ada rasa apa² tak malam tu, dia jawap takde apa. Kejadian malam tu berulang lagi. Malam kedua tu suami saya terjaga sebab nak kencing. Baru je dia nak baring semula, tepat jam 12 tengah malam jugak ye.. sekali lagi anak saya terbangun dan ulang balik apa yang dia buat pada malam sebelumnya. Bila suami tengok saya masih tidur, dialah pergi pujuk anak. Sama juga nak masuk jam 2 pagi baru anak tidur semula.

Kejadian tu berulang sampai 4 malam beturut-turut. Malam ke 4 tu, suami dah tak tahan sebab anak kami dah mula meraung. Masa tu saya nampak dia seperti diganggu sesuatu yang kita tak nampak. Dia pejam mata sambil gelengkan kepala, muka dia tutup dengan tangan dan seperti dia menolak sesuatu supaya menjauh darinya. Habis satu tilam dia pusing seperti dia dikejar sesuatu. Barulah suami saya dapat kesan kehadiran tetamu tak diundang.

Suami pun mengarahkan saya bawa anak masuk ke bilik dan tutup pintu. Apalagi, bagaikan dikejar kawanan tebuan, saya gendong anak dan tilam bersama bantal dan selimut masuk ke bilik. Boleh bayangkan tak, macam mana saya boleh angkut semua tu sekali gus hahaha. Betullah kata orang, bila dah takut sangat, lemah pun boleh jadi kuat.

Setelah masuk ke bilik, saya dodoikan semula anak saya. Sekejap saja dia dah terlena. Saya jenguk bawah pintu, ruang tamu nampak gelap sungguh. Masa saya berlari masuk bilik tu, saya sempat tengok suami saya pi tutup semua lampu, termasuk lampu beranda luar dan dia duduk bergelap ditengah-tengan ruang tamu, bertemankan cahaya bulan. Saya cuba gak intai walaupun tak nampak apa, telinga saya tekapkan dipintu, nak dengar kejadian diluar bilik. Saya dengar, selepas suami saya habis baca beberapa p****g ayat al-quran, dia menghentak lantai dengan tangan, kuat betul bunyinya, mungkin sebab suasana masa tu sangat sunyi, bunyi cengkerik dan angin pun langsung tiada.

“Kau keluar, tunjukkan diri depan aku, SEKARANG!”

Masa tu bulu roma saya berdiri tegak, rasa berat dan kembang seluruh badan. Saya dengar suami sedang beristighfar banyak kali sebab tetamu tu munculkan diri dalam keadaan yang sangat menyeramkan (yang ni suami yang cerita, bukan saya tengok pun). Mukanya buruk berlubang-lubang, hitam, pendek² gempal, rambut kembang, mata terkeluar, gigi tajam dan ada cecair seperti lumpur dicelah giginya.

Tetamu tu bukan sendirian berhad, tapi beramaian berhad hahaha.. maksud saya, mereka adalah sekeluarga. Ada suami, isteri dan 3 orang anak yang masih kecil. Maka berdialog mereka semua (yang ni suami yang ceritakan semula, malam tu saya cuba curi dengar tapi saya cuma dengar suara suami je, suara hantu tu saya tak dengar. Kata suami sebab saya tiada ‘anugerah’ jadi saya tak dapat dengar suara mereka huhu).

Suami: Kenapa datang rumah aku? Masuk rumah manusia tak beradab, kau kacau anak aku. Apa kau nak aku hancurkan seluruh keluarga kau?

TTD (tetamu tak diundang): Anak² aku suka bermain dengan anak kau, kami tak kacau pun, kami cuma ingin menumpang. Rumah ini ada banyak ruang kosong. Apa salahnya kita berkongsi.

Suami: Dunia kita tak sama dan kami dilarang bersekutu dengan golongan seperti kamu. Rumah ini rumah manusia. Tempat kamu adalah diluar sana. Baik kamu keluar sebelum aku apa² kan kamu semua.

TTD: Kau sangat kasar ya?!

Suami: Tak ingin aku berlembut dengan golongan seperti kamu. Bahkan kamu yang duluan mengganggu keluarga aku?!

Masa ni muka mereka semua dah hodoh bebenau sebab marah lah konon. Keadaan mula tegang sebab mereka cuba nak lawan suami saya. Suami pun mula baca² ayat pendinding sebelum berlawan. Saya yang tengah curi dengar tu dah tak sanggup nak dengar, saya pergi dapatkan anak saya dan saya peluk sambil baca ayat pendinding juga. Tiba² terdengar bunyi kaki berlari ke arah bilik tempat saya dan anak berada. Rupanya suami saya cuba halang mereka dari mendekati kami. Bergema bacaan ayat² suci dalam rumah. Untuk kesekian kalinya, suami saya menghentak lantai dengan laungan ALLAHUAKHBAR! Kemudian senyap semula.

Berdialog lagi mereka (suami yang ceritakan semula)

TTD: Tolong, jangan b***h kami, kasihan lah anak² kami. Kami janji akan pergi.

Suami: Jangan kau cuba² ganggu keluarga aku lagi. Dengan izin Allah, aku akan hancurkan seluruh keluarga kau. Sekarang, pergi!

Maka, pergilah mereka. Dalam ‘perlawanan’ tu, sang suami patah tangan, manakala sang isteri terseliuh kot, suami saya kata macam tu tengok dari cara jalannya hahaha.. anak² mereka pun bukan main garang lagi, cuba nak gigit suami saya dan serang dari semua arah. Suami saya kata nasib baik mereka semua tu hantu biasa² saja, hantu sesat, bukan yang dibela. Kalau hantu/jin yang dibela adalah sejenis yang degil dan sukar untuk d*****h. Kalau mereka pergi pun, suatu masa pasti akan datang lagi.

Suami saya bukanlah pakar sangat, tapi kalau untuk lindungi keluarga, dia boleh ajer. Lagipun dia sejenis yang tak takut hantu. Entahlah. Bukan apa, suami saya kata, mereka tu sengaja tunjuk muka hodoh tu untuk takutkan manusia. Pucuk pangkal pada hati kita lah. Tapi kalau saya yang penakut ni tak payah bawa bincang lah😅

TTD tu ikut kami masa balik dari rumah rakan saya. Anak² nya nak berkawan lah dengan anak saya. Manalah kita nak bagi kawan ngan hantu. Selepas kejadian tu, anak saya dah tidur lena, dah takde lagi yang ganggu. Saya pun suami ubatkan untuk pulihkan semangat. Memang lain macam betul ye kalau hilang semangat. Suka termenung, hilang fokus, sentiasa rasa takut. Kita tak perasan perubahan kita tapi orang yang rapat dengan kita pasti dapat kesan perubahan tu.

Satu lagi, TTD tu ada cakap rumah kami ada ruang kosong. Maksudnya, kalau rumah kita ada bilik kosong, jangan dibiar tanpa buat apa² dalam bilik tu. So selepas dari kejadian tu, suami dan saya akan mengaji atau solat di kesemua bilik secara bergilir. Kalau tak pun, kami akan pasang alunan surah dalam youtube untuk diperdengarkan dalam bilik yang kosong tu. Oh ya, saya dah tak berani tidur ruang tamu lagi dan tidur dibilik utama sahaja.

Emmm alang-alang ni nak cerita satu cerita ni lagi. Pendek je. Masa ni anak kedua dah lahir, si kakak dah berusia 2 tahun lebih. Malam tu kami tonton tv dalam keadaan bergelap, lampu bilik tidur no.1 sebagai penerang kegelapan ruang tamu ketika itu. Tengah fokus tonton tv tu, tiba² si kakak toleh kebelakang, lepas tu cakap macam ni, “Eh, nenek siapa tu?”, Sambil dia tunjuk belakang kami. Manalah ada sesiapa lagi selain kami 4 empat anak beranak je. Saya apa lagi, terus angkat kakak dan adiknya berlari masuk bilik. Langsung saya tak toleh tempat yang kakak tunjuk, tinggalkan suami sendirian diruang tamu hahaha. Tapi tak jadi apa² pun. Saya je over penakut siap kena tegur suami lagi, tak boleh penakut sangat, nanti makin hantu suka. Bah, makin kau sakap begitu, makin la ba saya takut, kan² ?😂

Ok lah, itu sahaja cerita saya kali ini. Harap terhibur dan kalau ada tersilap, maka sayalah yang tersilap itu haha

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 71 Average: 4.8]

3 thoughts on “tetamu tak diundang”

  1. salam puan, menarik pengalaman puan ni.. dan seram huhu.. alhamdulillah puan ada suami yg berani dan berilmu bab2 ni. Berkenaan rumah bnyk bilik kosong tu, betul..bilik2 yg kosong kene digunakan… semoga keluarga puan sentiasa dilindungi Allah 🙂 amin

    Reply
  2. Jalan cerita nya biasa saja, saya tertarik dengan Ayat paling last

    “Bah, makin kau sakap begitu, makin la ba saya takut, kan²”

    Rupa nya orang sabah bha nie.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.