Tudung Sutera Berwarna Putih

Ingat tak saya pernah bercerita tentang pengalaman saya sesat di Gua Kota Gelanggi? Dalam kisah itu saya ada bercerita tentang lelaki tua yang telah menyelamatkan saya daripada hilang ‘ditelan’ kabus putih. Lelaki tua itu juga ada memberi saya beberapa barang sebagai hadiah. Salah satunya adalah tudung sutera berwarna putih. Setelah beberapa kali gagal membuang pemberian tersebut, akhirnya saya ambil keputusan untuk menyimpannya sebagai kenangan sahaja.

Saya ada seorang ayah angkat yang saya panggil abah. Abah banyak membantu saya dalam bab ghaib kerana abah juga sudah terbiasa dengan alam tersebut ketika bertugas di Muar Johor sebagai polis hutan satu masa dahulu. Setelah tamat tingkatan lima sementara menunggu keputusan SPM diumumkan, saya banyak habiskan masa dengan abah kerana saya berasa selesa bercerita dengan abah yang banyak memberi kata nasihat dan semangat kepada saya.

Satu hari, ketika saya bercerita kosong dengan abah mengenai barang-barang yang saya dapat di Kota Gelanggi, seorang kenalan rapat abah meminta izin untuk menyimpan tudung tersebut. Menurutnya bekas tunang telah menggunakan dukun Siam untuk menyekat jodohnya kerana dia telah putuskan tali pertunangan setelah mendapati tunangannya itu curang.

Memandangkan saya juga agak rapat dengannya kerana dia selalu tawarkan diri sekiranya saya dan abah memerlukan bantuannya, saya berikan juga tudung itu kerana pada pandangan saya Abang Mat merupakan seorang yang lurus jadi tidak mungkin dia akan menggunakan tudung itu ke jalan yang salah.

Sebelum saya meletakkan tudung itu di tangannya, terlebih dahulu saya cerita kan asal usul tudung itu supaya dia tidak membawa ke tujuan yang salah seperti memuja, menyimpan sebagai azimat dan sebagainya. Andai kata dia melanggar salah satu syarat, saya akan ambil semula tudung tersebut tanpa ada perbincangan. Apabila dia bersetuju, barulah saya serahkan tudung itu untuk menjadi simpanannya.

Pada awalnya dia baik-baik sahaja. Pergi dan pulang kerja seperti biasa. Dia langsung tidak menunjukkan perubahan ke arah yang negatif sehinggalah satu petang abah menghubungi saya dan meminta saya datang ke rumahnya kerana ada perkara penting yang ingin dibincangkan.

“Abang Mat (bukan nama sebenar) dah banyak berubah sejak dia nikah ni…” Ujar abah sambil menggulung rokok kertas bersama tembakau yang berbau manis.

“Dah kawin? Bila?” Soal saya agak terkejut.

“Dah sebulan lebih. Abah pun dia tak jemput. Buat kat pejabat kadi jer pastu kenduri sedara mara jer kat kampung…” Abah menyedut rokok berbau manis itu dalam-dalam.

Jika sudah sebulan lebih Abang Mat bernikah, bermakna hampir dua bulan jugalah tudung tersebut berada di dalam simpanan Abang Mat.

“Alhamdulillah… Ada orang jaga bah. Tentulah banyak perubahannya..” Pujuk saya bila melihat abah seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

“Masalahnya kalau terjaga tak apa, ini dah macam tak terurus. Masuk pejabat baju tak bergosok, rambut panjang tidak diguntingnya, jambang dan janggut usah cakap lah, masuk kereta dia hapak macam bau tikus m**i.” Rungut abah.

“Haish… Baik dia bujang dulu, helokkk..” Sambung abah lagi.

“Abah tak tanya ke apa masalah dia? Penat kot layan isteri..” Soal saya sambil bergurau.

“Tanya dah, dia jawab okay jer. Bahagia jer dengan bini dia. Tapi abah hairan, orang berkahwin bawa lah bini tu keluar berjalan, beli barang dapur. Ini abah tengok sorang jer macam dulu…” Ada nada kesal di dalam percakapan abah.

“Sayang bini bah. Simpan buat tukun..” Bapa angkat saya menjeling ke arah saya bila menyedari saya masih tidak faham dengan apa yang cuba diterangkan.

Sebenarnya saya faham cuma buat-buat tidak faham sahaja untuk melihat sejauh mana abah berfikir.

“Nantilah kita pergi tinjau rumah dia. Tunggu dia balik kerja. Untung-untung dapat makan jejemput udang pengantin baru…” Hampir sahaja dahi saya di ‘starlight’ abah yang geram dengan perangai saya yang tidak pernah serius.

Masa yang dijanjikan telah tiba. Kebetulan hari itu saya tidak ada kelas mengaji Al-Quran dan abah juga ada masa terluang, kami sama-sama pergi ke rumah Abang Mat. Susana di kawasan laman rumahnya agak suram dan bersemak samun seperti sudah lama tidak ditebas. Sampah berlonggok di sana sini dan ada yang sudah berulat.

“Abang Mat tak da… Keluar jalan-jalan dengan bini dia kot…” Ujar saya perlahan bila mendapati kereta Abang Mat tiada.

“Kenapa jadi macam ni? Abah nak keluar tinjau, kau duduk sini jangan ke mana-mana..” Abah mengeluarkan kain panjang yang dijahit dengan lima warna lalu melilitkannya di kepala seperti serban selepas dua kali meletakkan kain itu di kedua matanya (ada bacaan khas untuk membuka hijab).

Perlahan abah melangkah keluar menuju ke arah rumah Abang Mat. Tiba-tiba abah berhenti di depan pintu rumah dan menoleh ke arah saya yang masih berada di dalam kereta. Abah melambai ke arah saya supaya saya datang kepadanya.

“Kenapa?” Soal saya separuh berbisik.

Abah meletakkan jari telunjuknya di bibir saya supaya saya tidak terus bertanya. Abah menarik tangan saya menuju ke belakang rumah pula.

“Dengar!’’ Abah meminta saya mengamati suasana.

“Ada orang ke?” Soal saya apabila mendengar ada bunyi seperti pinggan mangkuk berlaga.

“Isteri dia agaknya…” Jawab abah perlahan.

Kami berasa hairan kerana rumah yang seperti sudah lama ditinggalkan itu berpenghuni sedangkan tingkap dan pintu semuanya ditutup.

“Tak lemas ke duduk dalam tu? Dah lah busuk!!” Gerutu hati saya…

Abah cuba meninjau ke dalam rumah tersebut melalui lubang-lubang yang terdapat di dinding. Memandangkan rumah tersebut merupakan rumah kampung jadi sangat mudah abah dapat mengintai ke dalamnya.

“Ada apa bah? Bunyi apa tu?” Soal saya bila mendapati abah tiba-tiba berundur setapak daripada dinding rumah tersebut.

“Balik dulu…” Abah berjalan laju meninggalkan saya yang jauh ke belakang.

“Kenapa?” Soal saya sebaik sahaja dapat berjalan seiringan dengan abah.

“Naik kereta dulu nanti baru kita cerita…” Jawab abah lalu menghidupkan enjin kereta dan terus bergerak meninggalkan rumah Abang Mat.

Nescafe panas dihirup dengan perlahan. Kemudian abah sambung menggulung rokok kertas bersama tembakau di dalam nya.

“Abah nampak hantu. Duduk elok jer bertenggek atas sinki rumah.” Kata abah memecah kesunyian.

“Hantu? Kenapa tak cakap saya pun nak tengok jugak…” Getus saya sambil memandang tepat ke muka abah.

“Haish tak payah. Bukan lawo pun…” Balas abah yang turut memandang saya.

“Isteri dia selama ni benda tu ke? Dia buat apa atas sinki tu? Cuci pinggan ke?” Soal saya bertubi-tubi walaupun saya tahu soalan saya itu berbunyi pelik.

“Cuci apa benda nya. Menjilat sisa lah. Kita kena tolong Mat. Kesian dia. Abah rasa ada bersangkut paut dengan selendang yang kau bagi tu sebab binatang tu pakai benda tu di kepala dia.” Jawab abah perlahan bimbang tuan kedai dan beberapa orang pelanggan yang sedari tadi memandang ke arah kami mendengar apa yang sedang kami bualkan. Itu akan menimbulkan fitnah kerana bukan semua faham dengan alam ghaib.

“Oh bah… tuuu kain tu… Tanggal dulu. Dah macam nak pergi perang..” Rupanya abah masih belum tanggalkan kain 5 warna itu maka disebabkan itulah tuan kedai dan beberapa orang pelanggan memandang kami dengan pandangan pelik.

Lama kami berbincang dan akhirnya saya putuskan untuk meminta Abang Mat pulangkan tudung itu kepada saya kembali. Malangnya setelah beberapa kali saya bertemu dengannya, dia langsung tidak mahu mengembalikan semula tudung itu kepada saya. Pelbagai alasan yang diberikan supaya saya menyerahkan tudung itu kepadanya sebagai hak mutlak.

Masa berlalu, menurut abah keadaan Abang Mat semakin teruk. Badannya mula susut dan tidak terurus. Jika abah duduk disebelah Abang Mat, bau badan Abang Mat sangat meloyakan. Apatah lagi bau nafasnya yang merokok tetapi tidak gosok gigi, lagi bertambah rasa mual abah.

“Kita kena buat cara kasar. Dia dah semakin teruk. Orang pejabat dia kata banyak kali dia ponteng kerja dan dah kena gantung kerja. Ni dia kata isteri dia tunggu hari nak beranak…” Ujar abah dihujung talian.

Saya terdiam seketika memikirkan cara untuk mendapatkan kembali tudung tersebut.

“Esok cuti, dia mesti ada kat rumah. Kita pergi rumah dia ambil selendang tu…” Abah memberi kata putus sebelum meletakkan ganggang telefon.

Malam itu saya tidak dapat tidur. Minda dan emosi saya terganggu. Masih adakah sisa-sisa keberanian yang tinggal selepas peristiwa buruk yang lalu?

“Ya Allah tolong aku…” Bisik hatiku.

“Pemberian itu sudah menjadi milik kamu, aku tidak berhak lagi ke atas segalanya itu. Amanah sudah aku sampaikan kepada kamu dan hanya kamu yang berhak memutuskan kepada siapa kamu ingin serahkan. Tapi ingat!! Salah jalan pembawaan amalannya, setiap detik penganiayaan berlaku, kamu yang akan tanggung dosa. Apatah lagi jika dosa itu mensyirikkan Allah SWT…”

Dum… Bunyi kuat seperti kelapa jatuh di atas atap zink telah mengejutkan saya daripada tidur.

Saya melihat di sekeliling. Orang tua berjubah hijau sudah hilang daripada pandangan mata saya.

“Mimpi rupanya…” Bisik saya perlahan lalu kembali menarik selimut.

***

Hari yang dijanjikan sudah tiba. Jantung saya berdegup laju seolah-olah baru selesai pertandingan lumba lari.

Seperti yang diharapkan, kereta Abang Mat terletak cantik di penjuru pagar rumah. Bermakna Abang Mat ada dirumah.

“Assalamualaikum…” Abah memberi salam.

Masuk kali ketiga, pintu rumah dibuka. Abang Mat muncul di hadapan pintu dengan memakai kain pelikat lusuh yang entah berapa lama tidak dicuci. Bau hapak, hancing semua ada.

“Masuklah. Lama tak datang…” Abang Mat cuba berbasa basi sedangkan saya tahu dia tidak suka dengan kehadiran kami.

“Tak apa, di luar sahaja..” Jawab Abah kurang tenang kerana mata abah kelihatan meliar ke dalam rumah.

“Orang rumah kau mana Mat?” Soal abah agak melulu.

“Ada… Badriah oooo Badriah… Kawan abang datang. Buatkan air yer sayang…” Jawab Abang Mat serentak meminta isterinya membuatkan air.

“Macam ni Mat. Aku datang ni nak minta kau pulangkan selendang tu kepada adik. Kau pun dah selamat… Jadi pendapat aku, pulangkan lah selendang tu supaya dimanfaatkan untuk orang lain pula…” Abah mulakan bicara.

“Pulangkan apa nyer? Benda dah hilang nak buat macam mana!” Ada nada marah dalam ayat Abang Mat.

“Kan dah bagi, mana boleh minta balik..” Rungut Abang Mat.

Tiba-tiba sekilas pandang saya ternampak kelibat manusia merangkak laju memanjat dinding. Rambutnya yang panjang menunjukkan dia adalah perempuan. Abang Mat yang perasan saya melihat ke dalam rumahnya, dengan segera dia menarik daun pintu untuk menutupnya.

“Bah ada bah ada…” Ujar saya bila yakin dengan ala yang saya lihat tadi bukanlah manusia.

“Mat… Cakap sekarang kau buat apa dengan selendang tu…” Marah abah sambil merangkul leher Abang Mat persis seorang anggota polis mencengkam penjenayah.

Abang Mat meronta ingin lepaskan diri. Memandangkan abah sudah boleh baca pergerakan Abang Mat yang ingin bolos, sepantas kilat abah mengikat tangan Abang Mat dengan selendang 5 warna.

“Lepas… Lepas… Tolong ada pencuri, pencuri… Dinda tolong abang…” Jerit Abang Mat sekuat hati.

Beberapa orang jiran keluar meninjau dan ada yang berlari ke arah kami.

“Kenapa bang?” Soal salah seorang jirannya yang turut mengenali abah.

“Dia buat kerja tak betul..” Jawab abah pendek.

“Dinda tolong abang…” Jerit nya berkali kali.

Tiba-tiba pintu yang ditutup tadi terkuak luas. Abah dan beberapa orang jiran yang datang untuk melihat keadaan mula menggosok tengkuk masing-masing. Malah ada yang lari menjauhkan diri.

Berdiri perempuan tua yang hodoh, kulit berkeriput sana sini malah ada yang isinya hampir luruh berdiri di muka pintu memandang saya. Mukanya cengkung tanpa isi, hanya tinggal kulit membaluti tulang sahaja. Perutnya yang membulat seperti sarat mengandung itu juga jelas kelihatan.

Tangan di hulurkan persis seorang anak minta di pimpin. Dia memandang Abang Mat yang diikat itu dengan pandangan sayu.

“Dia tidak mengganggu kehidupan kamu. Kenapa datang sini mengganggu kehidupan dia?” Soal perempuan tua itu kepada saya.

Saya mula menelan air liur kerana tidak tahu apakah jawapan yang sesuai untuk saya berikan. Dahulu semuanya diuruskan oleh Hisyam sahaja.

“Lepaskan dia dan nyah kamu daripada sini…” Sambung nya lagi apabila melihat mulut saya sedikit terkumat-kamit untuk menjawab soalannya tetapi tidak ada butir ayat yang keluar.

“Dik… Hoi dik…” Sergah abah bila melihat saya melopong sambil memandang pintu rumah.

“Lepaskan aku… Lepaskan aku… Dinda lari sayang… Diorang orang jahat nak ganggu kita…” Jerit Abang Mat yang sudah diikat pada batang pokok mangga.

“Masuk cari selendang tu..” Jerit abah lantang.

Buntang mata saya bila diarah untuk berbuat demikian kerana saya bukanlah seorang yang berani.

“Kalau lah Hisyam ada…” Entah kenapa ketika itu fikiran saya berharap sangat Hisyam ada kerana Hisyam memiliki satu keberanian yang sangat luar biasa. Keberanian yang saya yakin tidak ramai manusia yang ada.

“Tercengang apa lagi. Cepat lah…” Segah abah bila melihat saya masih tidak bergerak.

“Acik teman…” Seorang pakcik menawarkan diri untuk temankan saya masuk ke dalam rumah Abang Mat yang berbau busuk itu.

Sekali lagi saya menelan air liur apabila mendengar tawaran berani m**i itu. Kalau lah pakcik tu nampak apa yang saya nampak saya yakin pakcik itu juga pasti akan berani membuka mulut untuk temankan saya masuk.

“Cepat dik dah nak petang ni…” Pujuk abah lagi sementara tangannya masih memegang Abang Mat yang meronta-ronta minta dilepaskan.

Dengan berat hati saya melangkah naik ke rumah Abang Mat bersama pakcik tadi. Makhluk yang berdiri di muka pintu memandang saya dengan mata yang merah menyala. Makhluk yang tidak berpakaian itu mundar mandir di dalam rumah mungkin dia bimbang saya berjaya bertemu dengan tudung yang dicari.

Setibanya saya di ambang pintu dapur, tiba-tiba pintu rumah tertutup dengan sendirinya. Saya sudah mengigil ketakutan kerana keadaan rumah yang gelap tanpa lubang cahaya. Pakcik yang bersama saya tadi mula melaungkan azan sambil meraba-raba dalam gelap mencari pintu keluar. Apabila diamati betul-betul, rupa-rupanya segala lubang cahaya yang ada telah ditampal dengan surat khabar. Tingkap cermin nako juga ditutup dengan kertas berwarna hitam sebagai penghalang cahaya masuk ke dalam rumah tersebut.

Kedengaran jelas abah dan beberapa orang jiran Abang Mat mengetuk dinding rumah daripada luar sambil memanggil nama saya. Ada yang Azana, ada yang membaca AL Fatihah dan ayat-ayat pendinding yang lain.

“Padan muka kau. Ganggu rumah tangga orang lagi… Hahahahaha..” Kedengaran juga suara Abang Mat ketawa seperti orang gila.

Makhluk itu bergayutan pada alang-alang rumah sambil mengilai dengan kuat. Suaranya yang nyaring benar-benar buat kepala saya sakit berdenyut-denyut. Saya terus turun ke dapur.

Allah… Sebaik sahaja saya memijak lantai dapur, perut saya tiba-tiba terasa loya. Bau busuk bangkai, hamis d***h, hapak dan masam bercampur baur dalam pernafasan saya.

“Jumpa tak?” Jerit abah daripada luar.

“Busuk bah..” Balas saya daripada dalam.

Perasaan geli geleman menular dalam diri saya apabila terpijak sesuatu yang berlendir dan basah. Saya tetap melangkah, menuju ke arah satu bilik yang terletak di penjuru dapur. Melalui biasan cahaya lubang-lubang atap yang bocor kelihatan makhluk yang tidak berbaju itu kehulu kehilir di depan pintu bilik tersebut.

“Tak berkunci…” Pakcik membuka pintu bilik dan bau busuk semakin menusuk ke hidung membuatkan saya muntah sebanyak beberapa kali.

Pakcik cuba membuka suis lampu malangnya tidak menyala. Bertemankan pemetik api pakcik, saya nampak keadaan bilik yang berselerakan dengan kain baju. Ada katil yang ditutupi dengan kelambu.

“Jangaaaan…” Jerit makhluk tersebut ketika saya cuba menyelak kelambu untuk melihat apa yang ada di dalamnya.

Dum… Tiba-tiba pintu dapur terbuka dengan kuat. Rupanya abah dan jiran-jiran tadi sedaya upaya mengumpil pintu daripada luar. Sebaik sahaja cahaya luar masuk jelas kelihatan patung berbentuk seperti tubuh badan perempuan yang diperbuat daripada kayu terlentang di atas katil yang dipenuhi dengan tuala wanita malah ada yang masih berdarah manakala di bahagian kepalanya dibaluti dengan tudung putih yang saya cari.

“Astaghfirullahalazim…” Kedengaran suara masing-masing beristighfar dan mengucap panjang.

Tidak lekang juga suara makhluk tadi menjerit kerana marah. Pintu dan tingkap yang di tutup dengan kertas hitam dibuka. Dapur yang dipenuhi dengan sampah, sisa-sisa makanan bertaburan di atas meja dan lantai malah ada yang tidak berusik. Daging serta ayam busuk yang masih dalam plastik bungkusan terletak elok di dalam sinki. Buah-buahan dan sayur-sayuran layu juga ada disitu. Situasi itu benar-benar buat saya berasa loya.

Saya tidak mampu bertahan lama disitu. Suara makhluk itu meraung kerana marah biliknya di cabul benar-benar membuatkan kepala saya pening. Saya segera merentap tudung putih itu lalu berlari keluar melalui pintu dapur. Tidak sanggup lagi saya berada lama-lama disitu.

Pakcik yang bersama saya tadi hilang entah ke mana, mungkin sudah pulang kerumah kerana tidak tahan dengan keadaan disitu.

Selesai sahaja mengambil tudung tersebut, abah membaca mentera yang abah belajar ketika bertugas di Muar dahulu. Mentera untuk membuka hijab seseorang. Kain 5 warna itu abah lilit di kepala Abang Mat supaya dia melihat sendiri rupa makhluk yang dipanggil adinda itu.

Saya segera melemparkan tudung putih itu kedalam unggun api yang sengaja dinyalakan oleh abah untuk menghalau langau dan lalat yang berterbangan keluar daripada rumah Abang Mat.

“Jangan… Tidak… $&3:$;$8$:$($+$;$73(#:$-$$#:-##;$$+$” Segala makin hamun, sumpah seranah dan kata-kata kesat keluar daripada mulut Abang Mat bila melihat tudung tersebut hangus dijilat api manakala jin tersebut hilang dibawa angin.

Bau wangian sutera dibakar menjelajah diruang udara serentak menghilangkan bau busuk yang keluar daripada rumah Abang Mat.

Ikatan tangan dibuka. Abang Mat merentap kain 5 warna dikepala dengan kuat lalu mencampakkan kepada abah. Abang Mat berlari ke dalam rumah langsung menutup pintu rumahnya dengan kuat. Jelas kedengaran suara Abang Mat meratap menangisi ‘kehilangan’ isterinya yang tercinta.

“Harap lepas ni dia sedar lah…” Ujar abah kepada beberapa orang jiran sebelum mereka bersurai.

“Bah, pakcik yang ikut saya masuk rumah tadi terus balik tak nampak muka langsung selepas pintu dapur kena pecah… Ingatkan berani sangat” Ujar saya lalu ketawa geli hati.

“Pakcik mana? Kau masuk sorang diri jer dalam rumah tadi. Mana ada orang lain..” Celah abah mematikan ketawa kecil saya.

Saya langsung terdiam sepi sehingga tiba di rumah.

Malam itu saya masih tidak mampu melelapkan mata. Masih teringat akan peristiwa petang tadi. Sebiji nasi pun belum masuk ke perut. Rasa mual masih ada dek kerana bau tersebut sudah sebati di rongga hidung saya. Lagi fikirkan siapa orang tua yang temankan saya masuk dalam rumah tu. Jika benar bukan manusia memang kurang asam betul dia sebab biarkan saya sendirian pijak lantai dapur berkaki ayam sedangkan dia… Haish…

Tiba-tiba telefon rumah saya berbunyi.

“Jam 3 pagi call nak apa?” Soal saya bila mendapati dihujung talian itu adalah Abang Mat.

“Pulangkan selendang tu. Tolong lah jangan buat macam ni. Isteri abang tengah mengandung tu. Macam mana kalau dia dah bersalin nanti. Siapa nak jaga dia..?” Rupanya Abang Mat masih tidak sedar lagi yang makhluk di sangkakan isterinya itu adalah jin yang datang setelah dipuja.

“Astaghfirullahalazim… Tudung tu saya dah bakar depan mata abang kan? Isteri abang tu bukan manusia. Dia jin lah… Depan mata abang dia lenyap kan diri selepas saya bakar tudung tu. Manusia biasa mana boleh hilang macam tu jer. Abang sendiri nampak rupa sebenar dia kan. Buruk, hodoh, tua dah ganyut nak mampus…”

“Hoi betina… Jangan hina bini aku!!” Sebelum sempat saya habiskan kata-kata terus dia hempas telefon.

Itulah kata-kata terakhir dia selepas daripada peristiwa itu. Dia langsung tidak hubungi saya lagi. Abah juga sudah pencen dan balik ke Muar Johor. Menurut abah, dia langsung putuskan hubungan dengan abah. Sesekali terserempak di bandar, dia kelihatan sugul dan tidak bermaya, di lehernya pula ada terlilit kain tudung putih yang entah daripada mana dia perolehi.

Ada abah cuba menyapa, dia langsung tidak menghiraukan abah seolah-olah tidak pernah kenal abah. Menurut abah dia sudah diberhentikan kerja dan sekarang hidup hanya berharap ihsan daripada keluarga. Jiran-jiran yang tahu cerita sebenar hanya mendiamkan diri sahaja bimbang jika jin itu mengganggu ketenangan keluarga mereka sekiranya aib tersebut tersebar. Bagi saya dan abah biarlah terus bergitu kerana aib seseorang kita kena jaga dengan baik…

Sahabat yang saya kasihi… Menuntut ilmu sangat digalakkan dalam Islam malah ianya adalah perkara diwajibkan dalam agama. Tetapi kita kena tahu baik dan buruk sesuatu ilmu yang dituntut itu agar kehidupan kita dan penyambung warisan keluarga yang akan datang akan aman dan makmur.

Karya : Mayang Sari (MS)

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 50 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.