Universiti Pencari Hantu

Tahun 2003 kumpulan pencari entiti Seekers tengah top di Ntv7. Sebut saja mencari hantu mesti dikaitkan dengan Seekers sehingga mewujudkan kumpulan-kumpulan paranormal lainnya hasil dari karismatik kumpulan seekers ini walaupun mereka tak pernah dapat capture video ataupun gambar hantu sebiji melainkan bola-bola habuk dipanggil orb.

Aku juga tak terkecuali dengan aktiviti merapu ini kononnya mahu jadi terkenal dan menjana pendapatan berkat hasil memburu hantu. Malangnya hantu tak berminat denganku dan tak sudi singgah walaupun sedetik cuma. Pernah bersama para sahabatku berjumlah 10 orang memburu hantu di kawasan Highland Tower malangnya hantu tak jumpa tapi terserempak dengan para zombie sedang mencucuk diri dan sedut-sedut di kawasan tinggal itu. Yang membosankan masing-masing bercerita pengalaman dicuit bahu, di tarik kaki, bulu hidung dan sebagainya sewaktu aktiviti sedang berjalan. Tapi aku jangankan melihat, merasa apa pon tidak melainkan rasa risau kalau zombie mencucuk aku tanpa sedar.

Sewaktu belajar di sebuah universiti tempatan di Melaka secara tak sengaja aku terlibat dengan kumpulan pencari hantu ni juga. Semuanya bermula dari ajakan sahabat sebilikku Wandy, dia bersama 5 orang ahli kumpulannya pelajar cost Fotography dari block asrama yang lain sedang giat memburu hantu bernama Awang yang cukup terkenal disini diceritakan secara turun temurun oleh senior kami.

Menurut cerita urban legend Awang ni mempunyai pasangannya bernama Dayang yang tinggal di sebuah tasik di universiti ini manakala Awang menghuni di sebuah Dewan Makan (dining hall) usang tak jauh dari blok asramaku. Tidak dapat dipastikan samada mereka ini adik beradik ataupun bekas pasangan suami isteri kerana mereka tinggal berasingan. Pernah terjadi kejadian rasukan secara mega disini nama yang terpacul dari mulut mangsa adalah Awang, Dayang ni tak berapa femes pasal dia tinggal di tasik jauh dari penempatan manusia.

Setelah diperkenalkan dengan ahli kumpulan dan menetapkan waktu untuk memulakan aktiviti pemburuan aku menuju kebilik untuk berehat menenangkan diri. Kumpulan ini diketuai oleh Dodol kerana dia mempunyai sebuah kamera video yang boleh merakam dalam gelap (infrared), memang kaya budak ni anak datuk usahawan baja asli pulak. Waktu ditetapkan pada pukul 1 pagi setelah habis shift pertama pak guard meronda. Malam minggu di kampus aku lebih selesa menghabiskan masa disini kerana aku bukan jenis manusia yang suka berpeleseran tanpa tujuan dibandar apatah lagi menari cucuk-cucuk langit dikelab malam.

“ Daniel Hudson, bangun jom dah pukul 1 pagi, budak-budak dah tunggu tu” Wandy mengejutkan aku dari tidur. Selepas mengeliat kekiri dan kanan serta menguap seluasnya aku mencapai sweater dan memakai kasut sukan – outfit ni sesuai untuk melarikan diri andaikata dikejar oleh pak guard, naikkan hud sweater dan mengenakan kasut sukan akan memantaskan lagi larian. Setelah dikira cukup ahli seramai 7 orang kami bergerak ke destinasi, dewan makan tinggal nun di hujung blok asrama. Dodol selaku ketua kumpulan yang bertugas merakam video mengetuai perjalanan. Setiap pepenjuru dewan dilalui sambil merakam. Tiada rasa seram yang dirasakan kecuali rasa risau dan menyesakkan dengan tikus sebesar kucing berlari dan melanggar kakiku, nyaris aku melompat membuat balik kuang selain habuk dan debu yang menyumbat lubang hidung.

Kebosanan mula melanda kami beralih tempat pula di luar dewan disini pemandangan lebih menyeramkan dengan dilatari hutan dan sepohon beringin rendang dibelakang dewan. Sekadar merakam sambil berjalan-jalan bagi aku adalah perbuatan bodoh dan sia-sia sepatutnya diletakkan seorang subjek sebagai umpan dan ditinggalkan kamera video untuk merakam tetapi tiada seorang pon berani untuk menawarkan diri – termasuk aku, bukan hantu yang aku risaukan tapi ular dan serangan binatang berbisa kerana kawasan yang terlalu semak. Menyedari suasana yang agak hambar, Dodol bergerak semula ke dalam dewan makan kali ini dia akan menyeru nama Awang pula, “Awang…mari kemari wahai dikau bukan niat kami untuk bermusuh tapi sekadar melihat kewujudan mu..hadir!!”. Lebih sejam kami disitu merakam sambil berjalan-jalan Dodol mengajak pulang untuk meneliti semula footage video untuk mencari penampakan.

Seperti yang sudah diduga masing- masing dengan cerita ditepuk bahu, diseru nama dan sebagainya sewaktu aktiviti sedang berjalan tadi. Aku memang dah bosan dengan cerita gembel begini langsung aku tak kena apa-apa tadi mana maunya aku nak percaya, jadi aku sekadar melayan cerita kosong begini sambil menunggu Dodol meneliti video di biliknya bersama. “Hah tu korang nampak kaki terjulur dari pokok beringin tu?” Dodol menyorongkan kamera videonya depan kami.

Puas aku meneliti dikecil dan dibesarkan mata langsung aku tak nampak apa-apa siap lekatkan muka di skrin kamera videonya, yang hairannya beria dua orang budak mendakwa juga nampak kaki terjulur dari video yang ditontonnya. Ini betul- betul bullsit! Aku mahu penampakan bukan cerita reka-reka begini. Rasa tak puashati aku lontarkan pada kumpulan nubis ini setelah Dodol ajak repeat buat kali terakhir sekali lagi ditempat yang sama. Aku nak cari hantu bukan merasa perasaan seram semata- mata, kalini aku tak kira kalau sesiapa ada cara atau mentera panggil hantu tolonglah buat kalau Awang tak mau muncul panggillah mana-mana hantu yang sudi.

“Betol ko nak try ke Daniel Hudson? Kalau nak panggil penanggal aku tau caranya, orang jawa macam aku ni biasa je ngan benda-benda gini kadang-kadang bila boring aku panggil pastu aku bagi je pukulan silat jawa penjuru” Terjo (salah seorang ahli kumpulan) yang tiba-tiba bersuara memberikan cadangan dengan nada sedikit riak. Tersentak aku ada juga yang berilmu dalam ramai-ramai yang lengai itu. Mestilah mahu, dalam sesuatu perkara mestilah ada kaedah barulah menjadi bukan main terjah begitu saja. “Kalau nak first sekali kita kena cari katak” kata Terjo. Katak? Lain macam kaedah dia ni. Tapi bukannya susah nak mencari katak disini, mudah sangat kelihatan dalam tandas dibawah blok ni tinggal nak pilih saja jenis katak minyak, katak kembung atau kodok, aku memilih katak kembung.

Katak dah dapat Terjo mengarahkan kami mencari tempurung kelapa pula. Yang ini agak susah masakan wujud kilang memproses kelapa dalam universiti ini apatah lagi kedai menjual santan, kecuali mendapatkannya dari kedai runcit diluar kampus ini tetapi mustahil dapat keluar kampus pada waktu begini. Kerana niat yang memang mahu melihat penanggal aku bercadang mahu menggunakan mangkuk sebagai pengganti tempurung memandangkan sukarnya mendapatkan tempurung.

Cadangan ku mulanya ditolak oleh Terjo tetapi dia terpaksa akur juga dengan kesungguhan ku. Segera aku berlari kebilik dan menyambar mangkuk porselin milik Akob (rakan sebilik) memandangkan dia pulang ke rumahnya di Bangi pada malam itu. “Barang dah dapat sekarang ni ko kena cekup katak ni dengan mangkuk dan ketuk ikot beat yang aku ajar ni, upper beat, bass, bass, upper beat…nanti penanggal ni akan datang turun nak makan katak ni, ketuk sampai katak ni berbunyi” terang Terjo.

Aku mula mengetuk ‘tang tung tung tang’ dengan berulang kali sampai menarik perhatian beberapa orang junior untuk mengintai dari tingkap dorm (pelajar part 1 semesta 1) yang menginap di dorm ground – level bawah. Sekali aku jeling semua senyap terus menghilangkan diri, tau takut jangan cuba nak mencampuri urusan brader senior (time ni aku dah part 4 /sem 2). Ketukan berterusan makin laju, makin laju semakin layan seperti mengetuk drum dengan double paddle akhirnya aku kepenatan. Tanpa disuruh ahli kumpulanku bergilir-gilir mengetuk mangkuk dengan tone yang diajar oleh Terjo.

Akhirnya selepas sejam masing-masing kepenatan kamera video pun sampai kehabisan bateri tetapi penanggalnya langsung tak kelihatan. “Aku dah cakap kena pakai tempurung baru jadi ni pakai mangkuk mana boleh, mangkuk!!” Terjo bersuara dengan nada marah dan sedikit kesal terasa melakukan perbuatan bodoh yang sia-sia. Aku hanya mampu tersengih sambil memandangnya risau juga kalau dia marah dan membelasah aku dengan silat jawanya dah la berketul badan wak ni.

Aktiviti dihentikan selepas semua ahli mula terasa letih dan ingin pulang. Aku pungut kembali mangkuk yang dijadikan drum tadi , si katak masih lagi duduk ditempatnya tak berganjak mungkin pening atau kelemasan selepas dipaksa mendengar irama paluan mangkuk. Selangkah aku mula mendaki anak tangga untuk naik kebilik, ‘priyett’ katak tiba-tiba berbunyi. Terkejut, aku segera menoleh mana tahu rezeki dapat melihat secara live penanggal makan katak tetapi katak itu tetap tak terjejas dan masih berada ditempatnya tak berganjak. Bosan… aku segera kebilik dan tidur.

“Betul bang kami nampak elok dia terlekat kat ampaian tu struggle nak lepaskan tali perut dia yang tersangkut kat situ”

Perjalanan aku sewaktu pulang dari kafeteria digamit oleh sekumpulan pelajar part 1 yang tinggal di dorm bawah blok ku. “Bang boleh tak nak mintak tolong hantarkan dua orang kawan saya ke klinik? Diorang demam teruk ni” pinta seorang budak. Memang teruk aku tengok demam sampai menggigil dan meracau, ini suspek denggi ni. Segera aku usung dua orang budak dengan bantuan rakan mereka ke Hospital Alor Gajah memandangkan hari Ahad klinik kampus tutup (hanya on call tetapi kerana kes ini kelihatan serius aku membawa terus ke hospital). Dua pesakit ku letakkan di bahagian penumpang dan diekori oleh seorang lagi sahabat mereka digelar sebagai Meon duduk di sebelah ku. “Dorm korang tu memang pusat pembiakan nyamuk aedes tengok la sebelah tu longkang tersumbat lain kali nak tidur pasang la kelambu ke, ubat nyamuk ke” aku memberi nasihat. “ “Sebenarnya bukan gitu bang..” kata Meon.

Malam itu bertempat di dorm bawah sekumpulan pelajar part 1 sedang berkerumun melayan movie American Pie di depan komputer meja bersama-sama, bergelak ketawa dan bernafas kencang ketika melayan movie. “Itu apa benda pulak budak atas ni berkumpul depan tu?” kata Fendi kehairanan. Malas nak peduli dia sambung melayan movie.’ Tang tung tung tang’ bunyi mangkuk diketuk mengejutkan mereka semua. Kelihatan abang senior Daniel Hudson sedang asyik mengetuk mangkuk, mereka semua berpindah tempat untuk melihat dengan lebih jelas didepan tingkap nako.

“Ni ritual bodoh apa pulak dia tengah buat ni” bisik salah seorang dari mereka. Seakan mendengar bisikannya Daniel Hudson menjeling tajam kearah mereka. Terkejut mereka melihat rupa dia seakan harimau segera berlalu pergi semula kearah meja komputer kembali meneruskan aktiviti melayan movie. Selesai menonton movie ada yang sudah tidur dan ada yang masih meneruskan aktiviti malam dengan bermain pakau. ‘ ih..ih..ih..ihhhh…’ suara merintih kesakitan kedengaran dari ampaian baju diluar bersebelahan dengan tingkap dorm mereka. ‘Fendi..tu kepala sapa pulak lekat kat ampaian tu?’ tanya Zack. Serentak mereka memandang keluar tingkap kelihatan satu kepala berambut panjang kusut masai dengan tak dapat dipastikan samada tali perut atau rambut dreadlock terlilit pada dawai ampaian baju kelihatan gigih makhluk itu cuba melepaskan diri. Tanpa membuang masa ada yang berlari sambil melolong keluar dorm dan ada yang terus rebah dengan mulut berbuih dan kejang kejang tubuh.

“Ooo patutla sampai demam teruk , demam terkejut ni takpa biasalah tu benda-benda gini memang ada disekeliling kita dah rezeki korang dapat tengok” kata ku sambil tersengih pada Meon. Puas aku meyakinkan dia bukan ritual memanggil hantu yang aku buat semalam cuma menyiapkan tugasan subjek seni halus bersama rakan sekelas. Meon mungkin tahu aku menipu tapi lantaklah nanti bila dia dah lama disini lagi banyak aktiviti bodoh dan tak bermanfaat yang dia akan buat sebagai pelajar diploma. Aduh aku yang berhajat orang lain pula yang dapat, itu adalah aktiviti terakhir aku mencari entiti/hantu dalam hidup ini sudahlah nak jumpa Awang tak dapat penanggal pon orang lain yang jumpa nasib baik ada Dayang.

Dayang ni aku dapat jumpa secara tak sengaja di tasik kampus ini. Sungguh cantik orangnya manis dipandang jauh lebih cantik jika dibandingkan dengan semua siswi di kampus ini. Suatu petang ketika melakukan aktiviti haram memancing ikan (catch and release) bersama dua orang sahabatku di tasik suasana menjadi sunyi dengan para penghuni kampus yang berpeleseran di tasik ini mula pulang ke kolej masing-masing memandangkan hari semakin senja menghala ke maghrib. Timbul cadangan dari Tombol, sahabatku bertanding berlumba berenang merentasi tasik keseberang untuk pulang ke kolej.

Ini masalah bagiku kerana aku seorang yang baru belajar berenang, itupun cuma tahu kuak anjing sementelah mereka adalah budak kampung yang sudah biasa berkubang di sungai ,paya mahupun lombong. Memandangkan mereka berdua dah mula terjun mahu tak mahu aku terpaksa ikut juga kalau nak berjalan kearah jambatan saja sudah memakan masa. Nun jauh tertinggal dibelakang aku yang sedang menguak anjing ni dibandingkan dengan mereka yang laju berenang membelah tasik, separuh perjalanan aku sudah merasa penat cuba berhenti mengambil nafas aku tenggelam.

Segera aku berpatah balik dengan berhempas pulas, dalam juga tasik ni. Akhirnya tiba semula ditebing tempat baru kami bermula tadi. Dengan termengah mengah aku nampak jelas seorang gadis bertudung putih sedang duduk disebuah gazebo ditepi tasik tak jauh dari tempat ku berdiri. Sungguh cantik dia siap senyum manja memandangku. Hairan juga berani pulak dia lepak ditasik seorang diri senja-senja begini. Aku yang ketinggalan dibelakang segera berlari kearah jambatan nak menyeberang tasik untuk pulang. Kecantikan gadis tasik itu benar-benar mengangaukan aku sampai terbawa-bawa kedalam mimpi.

Sedang duduk seorang diri terbayang wajahnya, sedang tidur pula termimpikannya, mimpi sedang dating ditasik bersama, bermain lumba kayak ditasik bersama.. pernah juga aku pergi ke tasik seorang diri pada waktu senja untuk berjumpa dengannya semula tapi dia tiada. Lama kelamaan aku perasan juga dia bukanlah ’siswi biasa’ disini memandangkan tidak pernah aku jumpanya dihari-hari biasa. Hatiku kuat mengatakan dialah Dayang yang diceritakan tu. Terima kasih kerana pernah hadir walaupun sebentar dalam hidup ini tak sempat nak mintak nombor phone masa tu

Kadangkala aku hairan juga, bila kita minta sesuatu tak dapat bila tak minta kita dapat, jadi baik duduk rilek saja. Mengenai budak junior dorm bawah yang demam tu memang diorang demam betul sampai suhu lebih 40 darjah, terkejut sangat agaknya. Lama aku pendam cerita ni akhirnya diorang tahu jugak ini kerja aku, jadilah modal pengalaman dan kenangan hidup dikampus bila sudah melangkah kealam berkeluarga.

Selepas menghantar mereka ke hospital aku kembali semula ke ampaian baju berdekatan dengan lokasi aku mengetuk mangkuk pada malam itu bersama Meor, ada kesan hitam seperti darah kering pada dawai ampaian tu. Parah jugak penanggal tu kena akibat navigasi terbang yang tak betul. Dan ini menjadi bukti kepada kumpulan paranormal aku bahawa memang tidak sia-sia aktiviti pada malam itu berjaya juga menjemput penanggal turun makan katak. Terutamanya kepada Terjo, memang boleh je pakai mangkuk gantikan tempurung asalkan ketuk keluar bunyi.

sekian.. Sampai disini saja penceritaanku..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

8 thoughts on “Universiti Pencari Hantu”

  1. Ni dekat uitm lendu ni. Yg aku dengar la dr senior aku, dayang tu adik kpd awang. Tmpt jagaan dia kat area klinik kesihatan yg berdekatan dgn tasik tu. Kata nya dayang tu jaga student yg berjalan kt situ dr gangguan pocong yg selalu muncul area klinik tu. Aku x pernah jumpa tp byk kali jugak dgr org cerita ternampak pocong kt situ bila malam.

    Reply
  2. Cuma nak tanya.. Mangkuk tu ko pulang blik pd kawan ko atau ko buang/ganti baru? Kwn ko tau tak mangkuk dia da jd kandang katak? Hahaha sian beb kwn ko kalau dia xtau, then guna wat mkn megi.. 🤣 🤣

    Reply

Leave a Comment