UWOK

21 Julai 2021
9.35 malam

“Aku saka dia. Dia tak tau dia ada saka. Pandai tak aku nyorok?”

“Anak buah dia yang meninggal beberapa tahun lepas sapa punya kerja? Kau jugak ke?”

“Akulah!”

“Berapa ekor saka diaorang ada?”

“Aku sekor je.”

4 jam sebelumnya. Sekitar pukul 5.30 petang…

Dah beberapa kali saya cuba call Amat untuk minta tolong dia repair bumbung dapur rumah saya yang bocor. Amat adalah tukang rumah yang berasal dari Indonesia. Usianya lebih muda daripada saya. Dah beberapa tahun saya kenal dia. Apa-apa je nak repair kat rumah memang dialah yang saya panggil.

Biasanya Amat tak pernah tak jawab bila saya call. Kalau dia sibuk sekalipun dan tak dapat jawab bila saya call, dia akan return call saya secepat mungkin. Pelik jugaklah saya rasa bila call banyak kali pun dia tak jawab. Amat tinggal menyewa dengan keluarganya tak jauh dari rumah saya.

Sejurus selepas call tak berjawab tu saya pergi ke rumah Kak Ma, kakak ipar saya untuk beri barang yang dia minta saya belikan sebelum itu. Kak Ma tinggal selang hanya beberapa buah rumah dari rumah sewa Amat dan memang kenal dengan Amat dan keluarganya kerana dia juga selalu panggil Amat jika ada kerosakan yang nak dibaiki di rumahnya.

Sambil beri barang yang dipesan, saya tanya Kak Ma,

“Akak tau ke Amat pergi mana? Dah banyak kali saya call dia tak jawab.”

“Zul tak tau ke… dia nak balik kampung, anak dia sakit. Katanya dah tenat. Rasanya dia ada kat KLIA sekarang ni. Tak tau lak pukul berapa flight dia.”

“Ye ke? Anak dia sakit apa? Sejak bila?”

“Tak pasti sakit apa. Dah empat lima hari rasanya, tapi musim covid ni proses untuk dia nak balik tu ambik masa sikit, sebab tu baru hari ni flight dia.”

“Ooo… takpelah kalau macam tu.”

Sambil drive pulang ke rumah, saya hantar serangan dengan senjata favorit saya iaitu anak panah berapi, kepada apa sahaja makhluk yang kacau anak Amat pada masa itu. Saya tak tau anak Amat sakit apa, tapi saya dapat rasakan sakitnya mungkin sama dengan apa yang berlaku kepada anak saudaranya beberapa tahun lepas.

Biasanya untuk kerja-kerja pembaikan, Amat akan bawak adiknya Amin dan seorang lagi kawannya untuk membantu. Beberapa tahun lepas tubuh Amin agak berisi, tapi selepas agak lama saya tak panggil mereka untuk apa-apa kerja repair, saya agak terkejut bila tengok Amin. Badannya ketara susut hingga saya hampir tak kenal. Amin orangnya tak banyak cakap dan selalu tersenyum.

Bila saya tanya Amat, katanya beberapa tahun lepas anak perempuan Amin yang berumur awal 20-an jatuh sakit. Sakitnya nampak tak seperti sakit biasa. Doktor tak dapat mengenal pasti apa jenis dan punca penyakitnya. Badannya rasa menyucuk. Nafasnya sesak dan sukar nak bernafas. Anak Amin meninggal dunia selepas beberapa bulan sakit. Hasil pemeriksaan doktor mendapati ada organnya seperti terbakar.

Tertekan kerana kematian anaknya itulah yang menyebabkan Amin hilang selera makan dan beratnya semakin susut dengan ketara. Tak dapat saya bayangkan peritnya dugaan kematian anak yang dialami oleh Amin. Atas sebab itulah, saya cuba untuk bantu Amat setakat yang terdaya. Selebihnya terserah kepada-NYA. Jika ditakdirkan belum sampai masa ajalnya tiba, insyaAllah anak Amat akan selamat.

Malam itu, lepas maghrib saya dapat call dari Amat.

“Assalamualaikum bang. Minta maaf tadi tak dapat jawab abang call sebab ada perkara yang tengah saya uruskan. Saya masih kat airport lagi ni, tengah tunggu nak naik flight.” Suara Amat bergetar. Tak pernah saya dengar suara dia sedemikian. Jelas dia sedang menahan sebak dan bimbang tentang keadaan anaknya.

“Waalaikumussalam. Ye ke. Takpe Amat. Tadi sebenarnya saya call nak mintak tolong repair rumah sikit. Tapi petang tadi saya dah jumpa kakak saya, dia beritahu Amat nak balik kampung sebab anak sakit. Macamana keadaan anak sekarang?”

“Tak tau nak cakaplah bang, macam tak berapa bagus. Tak tau sakit apa. Dalam dadanya rasa macam menyucuk dan susah nak bernafas. Sekarang ni dia terbaring jelah.”

“Berapa umur anak? Lelaki ke perempuan?”

“Perempuan, umur 22 tahun. Ada anak kecik sorang.”

Allahuakbar. Muda lagi. Ada anak kecik pula tu. Rasa simpati saya pada Amat bertambah menebal.

“Sekarang ni ada sapa-sapa yang rawat dia ke?”

“Takde bang. Sebelum ni dah bawak ke hospital, tapi lepas beberapa hari, orang hospital suruh bawak balik. Mungkin doktor dah tak boleh buat apa-apalah rasanya bang.”

“Ooo macam tu. Kalau tak keberatan boleh saya buatkan air penawar untuk anak Amat? Sebagai ikhtiar.”

“Alhamdulillah. Boleh boleh bang. Terima kasih banyak bang.”

“Minta tolong Amat call keluarga kat kampung. Cuma mintak sediakan air je, dalam botol atau jug pun boleh. Tak payah bagi gambar. Kalau dah sedia beritahu saya ye.”

“Baik bang, kejap lagi dah sedia air saya bagitau abang.”

“Baik Amat. Harap Amat sabar ye. InsyaAllah kita cuba ikhtiar.”

“InsyaAllah bang. Terima kasih banyak bang.”

Berkali-kali Amat ucapkan terima kasih. Dia memang seorang yang sopan santun. Sama juga dengan Amin dan seorang kawannya yang kami panggil Haji, kerana dia pernah bekerja di Arab Saudi selama beberapa tahun.

Selang beberapa minit, Amat call saya untuk beritahu yang keluarganya di kampung telah sediakan air di dalam bekas. Saya ambil masa seketika untuk buatkan air penawar. Dah siap ‘puh-puh’ kan air tu saya call beritahu kepada Amat. Ucapan terima kasih tak lekang dari mulutnya.

Lepas solat Isyak…

Saya minta bantuan seorang sahabat untuk mengenal pasti makhluk yang buat anak Amat sakit. Saya sendiri cuma boleh agak, boleh juga serang, tapi tak nampak secara jelas makhluk-makhluk tersebut. Dalam kebanyakan kes, biasanya saya akan serang sampai makhluk yang mengganggu pesakit dah tak mampu mengganggu lagi, sama ada disebabkan dia lari kesakitan, atau dah tak bermaya, atau mungkin dah musnah. Apa yang berlaku pada makhluk tu saya tak berapa nak peduli, asalkan dia dah tak boleh mengganggu pesakit cukuplah.

Saya meminta bantuan sahabat saya kerana dengan kebolehan tertentu yang dimilikinya, saya tak perlu sakiti makhluk tersebut di samping memberi peluang kepada makhluk tersebut untuk bertaubat. Biasanya hanya kes-kes tertentu dan kecemasan sahaja yang saya akan mintak tolong sahabat saya ini.

Bila saya ceritakan kepada sahabat saya tentang sakit anak Amat, berdasarkan ‘pandangannya’, sahabat saya mengatakan kepada saya apa yang berlaku adalah seperti satu sumpahan. Katanya Amat ada saka tapi dia sendiri tak tau yang dia ada saka. Saya kurang faham apa maksudnya… tapi saya sedia maklum yang sekejap lagi segalanya akan terbongkar.

Selang beberapa detik… makhluk itu muncul dan saya bercakap dengannya… hanya dengan suara tanpa muncul secara visual. Atas sebab tertentu saya tak dapat jelaskan bagaimana dan apa medium komunikasi antara saya dan makhluk itu terjadi.

Pukul 9.35 malam.

Muncul je makhluk tu, terus dia berkata; “Aku saka dia. Dia tak tau dia ada saka. Pandai tak aku nyorok?”

“Anak buah dia yang meninggal beberapa tahun lepas sapa punya kerja? Kau jugak ke?” Saya abaikan kata-kata masuk bakul angkat sendiri dia tu.

“Akulah!”

“Berapa ekor saka diaorang ada?”

“Aku sekor je.”

“Kau ni apa?”

“Aku uwok.”

Uwok… macam comel lak nama tu. Nama manja dia kot 😊. Saya terbayang makhluk Ewok dalam movie Star Wars. Memang comel pun Ewok tu kan.

“Uwok tu apa?”

“Aku banyak bulu. Aku ada taring. Macam monyet.”

“Bukan kat sana orang panggil genderuwo ke?”

“Yelah. Kau nak tengok aku ke?”

“Nak tengok watpe… bukan hensem pon.”

“Hensemlah.”

Tak habis lagi dengan perasan dia tu.

“Perasan la kau. Kau ketua ke?”

“Ya. Aku kat mana ni ha. Ni bukan rumah aku.”

Dah beberapa ketika berbual dengan saya, baru dia perasan dia tak berada di rumah sendiri. Uwok ni memang tak tau pun dia dah ada kat mana sebab tiba-tiba kena tarik datang tadi.

“Kau sekarang dah ada kat Malaysia tau tak, bukan kat Indon lagi dah.”

“Kat Malaysia? Tipulah.”

“Bapak pompuan yang kau kacau tu kawan aku kat sini, dia dah naik flight balik sana.”

“Bapak dia tak tau dia ada saka.”

“Dah banyak keturunan ke kau kacau keluarga ni?”

“Dah banyak.”

“Kau masuk badan dia ke atau kau letak bisa je.”

“Letak bisalah, sebab tu dada dia sakit.”

“Keturunan aku dah aku letak kat hutan sebab aku boleh rasa ada orang nak serang aku.”

“Keturunan kau tu anak-anak kau ke?”

“Ya.”

“Bila orang tu nak serang kau?”

Saya saja buat tak tau. Biasanya makhluk yang kena serang memang tak tau pun serangan tu datang dari mana dan siapa yang menyerang mereka.

“Tak tau bila, tapi aku boleh rasa.”

“Tadi kena serang tak?”

“Kena.”

“Petang tadi kan?”

“Ya. Bulu aku dah terbakar kau tau tak. Tak tau sapa entah serang.”

“Kau ingat kau letak diaorang kat hutan tak kena serang ke? Kau silap la… kau tak boleh lari ke mana pun… memang tetap akan kena serangan tu.”

“Aku suruh diaorang lari jauh-jauh.”

“Takpelah, kau suruh jelah… aku cuma bagitau korang lari mana pun tetap akan kena.”

“Sebab tu aku suruh anak aku lari dulu.”

Kadang-kadang diaorang ni ada jugak perangai lurus bendulnya. Saya dah bagi clue punyalah jelas macam tu pun dia masih tak dapat nak agak yang serang diaorang tu adalah saya. 😊

“Kau nak buat anak dia m**i kan?”

“Ya.”

“Kau saka dari sebelah bapak dia ke?”

“Sebelum ni takde tuan.”

“Kau kata tadi dah banyak keturunan?”

“Tu tuan aku yang dululah. Keturunan dia ni baru dua.”

“Patutlah bapak dia tak tau.”

“Anak-anak tuan aku dulu tak nak kitaorang… kitaorang merayau… tu yang jumpa bapak kawan kau tu.”

“OK-OK faham.”

“Sebab ada yang m**i kan. Sebab tu anak tuan aku dulu tak nak aku.”

“Tau pun kau. Dah tu kau ganas sangat… buat sikit-sikit dah la.”

“Dia nak kaya kan. Mestilah m**i upahnya.”

“Sapa buat perjanjian dengan kau?”

“Tuan dululah.”

“Dah tu kenapa kau nak b***h anak kawan aku? Tu hal kau dengan tuan dulu la.”

“Aku ikut cara tuan aku dululah… kaki aku gatal-gatal ni.”

“Kenapa gatal? Kau tak selesakan sekarang?”

“Entah. Gatal sangat ni.”

“Ni mesti sebab serangan petang tadi ni. Anak kawan aku tu dah minum air penawar tak tadi?”

“Dah. Sebelum dia minum aku keluar dulu. Pandai tak aku?”

“Pandai.. pandai. Dah kurang bisa kau kat anak dia kan lepas minum air tu?”

“Ya.”

“Tadi pun aku ada tarik bisa tu. Kalau tak buang bisa tu apa jadi pada anak dia?”

“Matilah. Nanti aku cari mangsa lain pulak.”

“Kau serang organ dia kan?”

“Ya.”

“Anak sedara dia dulu semua organ macam terbakar kan?”

“Ya.”

“Sekarang ni kau nak buat apa? Aku dah tangkap kau ni.”

“Kau dah tangkap aku, aku tak boleh buat apa-apalah. Aku baru nak buat operasi kau dah kacau.”

Mengekek saya gelak bila dia cakap baru nak buat operasi. Operasi konon.

“Dah kau kacau anak kawan aku takkan aku nak dok diam. Kau dah insaf tak? Kau nak bertaubat?”

“Dahlah ni. Tu sebab aku tak jerit-jerit.”

“Ooo.. kalau tak insaf ko jerit-jeritlah ni ye. Eh… ko pandai la cakap Indon kan?”

“Pandailah, tapi bila kena tarik jumpa kau ni dah hilang, dah tak pandai. Aku ngantuklah. Nak tidolah. Seronok ni sejuk je.”

Bila dia dah mula cakap dia mengantuk dan nak tido, biasanya saya tak akan tanya lama-lama dah sebab waktu tengah bercakap, nanti sekejap-sekejap dia akan akan senyap sebab terlelap.

“Kau berentilah jadi setan. Kau masuk Islam boleh?”

“Bolehlah.”

“Keturunan kau berapa ramai?”

“Ramai tak terkira.”

“Bini kau sapa, pontianak ke?”

“Kau ni tau je kan.”

“Bukan banyak pun setan pompuan. Sekarang aku nak kau ajak bini dan semua keturunan kau mengucap masuk Islam sekali. Boleh?”

“Boleh.”

“Baru boleh bersama jadi keluarga semula. Kau ajak diaorang mengucap sekarang ye. Asyhadu allaa ilaa ha illallah. Wa asyhadu anna muhammadar rasulullah. Nama kau Ali… nama bini kau Fatimah.”

“Boleh.”

“OK. Sebelum kau pergi, aku nak kau tarik balik bisa kau yang kat anak kawan aku tu… sebanyak yang boleh. Aku akan dinding kau supaya tak sakit kena bisa tu. Dah sudah bagitau aku. Kau buat ramai-ramai cepatlah habis.”

Bila Uwok tarik bisa, walaupun bisa sendiri, dia masih boleh sakit jika terkena bisa tersebut. Sebab tu saya dindingkan untuk lindungi dia. Lepas 3 minit dia kembali.

“Dah penatlah.”

“Banyak lagi ke bisa kau yang tinggal?”

“Sedang-sedang.”

“Takpe. Nanti dia minum air kuranglah bisa tu. Aku pun akan tarik juga. Terima kasih kat kau dan semua sebab bantu tarik bisa tadi.”

“Sama-sama.”

“Kau ajak semua gi mekah ye. Ramai kat sana sekarang sebab tengah musim haji… mesti seronok.”

“Boleh.. boleh.”

“Selamat jalan. Salam.”

“Waalaikumussalam.”

Perbualan saya dan Uwok berakhir pada pukul 10:11 malam.

Esoknya saya cuba call Amat tapi tak dapat. Mungkin di kampung sana dia tak guna nombor phone yang sama seperti yang dia gunakan di sini. Mungkin juga di sana ada masalah line internet. Kalau nak call guna line phone biasa mungkin agak tinggi kosnya. Walaupun tak berhubung saya rasa semuanya dalam keadaan baik, kerana jika apa-apa yang buruk berlaku kepada anaknya pasti saya akan dapat tau dari adiknya Amin yang masih ada di sini. Beberapa hari kemudian saya dapat khabar dari beberapa orang yang tinggal berhampiran rumahnya yang anak Amat dah beransur baik.

16 September 2021
7.40 malam

Hampir dua bulan selepas itu Amat video call saya menggunakan wasap. Mulanya saya tak jawab… tengok nombornya semacam je, saya ingatkan scammer. Lepas tu Amat wasap guna voice note… laaa Amat ke… saya ingatkan scammer mana tadi. Dahlah gambar profile pun kecik aje, memang tak kenal lah.

Lepas je dapat voice note tu saya video call Amat. Nampak sihat dan ceria dia di sana. Katanya anaknya dah sihat walafiat, cuma ada sedikit lagi kesan di paru-parunya yang menyebabkan kadang-kadang dia batuk. Seperti kebiasaannya, berkali-kali dia ucapkan terima kasih kepada saya. Katanya dia takde berubat di mana-mana dah selepas saya buatkan air penawar untuk anaknya. Katanya juga akan ambil sedikit masa untuk dia kembali ke Malaysia memandangkan sekarang masih musim pandemik dan permitnya juga telah tamat tempoh.

Tentang Uwok, belum masanya untuk saya ceritakan kepada Amat. Tunggulah dia kembali ke sini… saya akan ceritakan segala-galanya. Yang penting anaknya telah sembuh. Telah tertulis ajalnya belum tiba. Semoga mereka sentiasa dalam perlindungan Yang Maha Esa.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Dzul Fiqar
Rating Pembaca
[Total: 81 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.