Malam itu selepas aku diselamatkan jiran dan pulih dari kejadian aneh di rumah pusaka, aku tekad untuk tidak lagi menjejakkan kaki ke sana. Tetapi beberapa minggu kemudian, satu perkara pelik berlaku. Aku menerima sebuah bungkusan tanpa nama pengirim. Di dalamnya ada seutas jam poket lama berukir bunga tanjung, mirip milik datuk semasa hayatnya. Jam itu tidak berdetik, tetapi jarumnya sekali lagi terhenti tepat pada 3:07 pagi.
Bersama jam itu, ada sekeping kertas usang bertulis:
“Masa yang belum tertulis akan mencari penamatnya. Jika tidak kau tutup pintunya, ia akan terus terbuka… dan menelan sesiapa yang menunggu giliran.”
Rasa ingin tahu aku kembali menggila, walau hati aku kata jangan. Mimpi-mimpi aku sejak insiden itu makin jelas. Rumah lama muncul dalam mimpi, tapi dalam bentuknya yang dahulu hidup, segar, penuh suara tawa, dan… penuh bisikan. Dalam mimpi itu, aku berjalan ke dalam rumah dan jam dinding berdetik ke belakang, dan setiap kali jarum menyentuh angka tiga, bayangan datuk muncul dengan wajah yang lebih suram dari sebelumnya.
Akhirnya, aku kalah. Aku kembali ke rumah lama itu, seorang diri, tepat malam Jumaat, waktu yang sama semuanya bermula.
Langkah kaki aku ke dalam rumah bagaikan menyentuh dimensi yang lain. Rumah itu seolah-olah bukan lagi rumah. Udara di dalamnya berat. Jam dinding kini berdetik hidup, tik tok tik tok, tetapi perlahan, seolah-olah menghitung sesuatu… sesuatu yang hampir tamat.
Aku duduk di ruang tamu. Aku letakkan jam poket itu di atas meja. Tiba-tiba jam dinding dan jam poket berdetik serentak, dan serentak itu juga lampu rumah padam, dan gelap mutlak menyelimuti segalanya.
Dalam gelap itu, aku dengar suara ramai orang berbicara bisikan yang saling bertindih. Suara arwah nenek, suara datuk, suara aku sendiri… tapi lebih tua. Seolah-olah masa-masa yang berlalu sedang menghimpit dan merayu. Suara-suara itu berkata:
“Masa belum berakhir. Jika kau tak hentikan, waktu akan memakan semua yang kau kenal.”
Lampu menyala sekejap, dan aku melihat seluruh ruang tamu kini dipenuhi jam jam dinding, jam tangan, jam meja semuanya berdetik ke belakang. Di tengah-tengah ruang itu, berdiri bayangan datuk. Tapi kali ini wajahnya bukan penuh kasih… wajahnya kosong, seperti topeng yang retak.
“Kau datang semula… Maka waktu kini milikmu.” katanya.
Dia hulurkan jam poket yang aku bawa. Tapi bila aku pandang, jam itu berdetik ke belakang laju dan di dalam kaca jam aku lihat bayangan aku sendiri tua, uzur, mata kosong, duduk di rumah ini seorang diri, selama-lamanya.
Aku mula faham. Masa yang belum tertulis bukan sekadar ruang masa yang terhenti. Ia adalah penjara bagi roh yang terperangkap, yang datang ke tempat ini dan gagal keluar. Ia adalah tempat antara hidup dan mati. Mereka yang pernah masuk dan tinggal terlalu lama… tidak pernah keluar semula.
Aku menjerit, cuba lari ke pintu depan, tapi pintu kini hilang. Rumah ini berubah menjadi lorong-lorong masa, cermin-cermin di dinding menunjukkan versi diri aku yang berbeza. Aku melihat satu versi aku mati di katil tua, satu lagi menjerit gila dalam rumah kosong, dan satu lagi duduk di kerusi goyang menanti tanpa jiwa.
Akhirnya aku bertembung dengan diri aku sendiri lebih tua, lebih muram. Dia berkata dengan suara retak:
“Kau tak boleh lari. Masa sudah mula menulis takdirmu di sini.”
Dengan sisa kekuatan, aku pecahkan jam poket itu ke lantai. Serpihannya meledak cahaya terang dan semuanya terdiam. Gelap. Sunyi.
Bila aku buka mata, aku terbaring di depan rumah, disinari matahari pagi. Tapi rumah itu sudah musnah. Terbakar. Jiran-jiran kelilingkan aku, mengatakan rumah pusaka itu terbakar sepanjang malam. Tiada siapa tahu kenapa.
Kini, aku tinggal di bandar. Jam poket itu sudah tiada. Tapi setiap malam Jumaat, tepat pukul 3:07 pagi, aku akan terjaga. Di atas meja aku akan terjumpa serpihan kaca, dan bunyi detik jam dinding berdetik terbalik.
Dan kadang-kadang, dari hujung mata aku, aku nampak datuk berdiri di cermin, senyum seperti menunggu.
TAMAT.