Waktu Mengandung
Jam di dinding dapur menunjukkan pukul tiga lebih sikit pagi bila aku tersedar sebab perut rasa macam nak pecah. Tujuh bulan usia kandungan aku waktu tu, anak kedua, lepas Iman yang baru masuk tiga tahun. Nazri, suami aku, tidur lena di sebelah, langsung tak sedar aku dah bangun tiga empat kali malam tu sebab tak selesa nak baring. Rumah kami rumah kayu warisan arwah mak Nazri, terletak hujung kampung, jiran sebelah pun jauh sikit, kalau nak jerit pun kena kuat baru dengar.
Malam tu lain macam. Aku dengar bunyi macam ada orang kais kais kat dinding dapur, kuat sikit, macam kuku panjang menggaru papan. Aku ingat kucing jiran masuk cari makanan. Biasa jugak kucing datang waktu malam sebab aku selalu tinggal sisa makan malam kat dapur. Tapi bunyi tu tak berhenti, malah semakin laju, macam ada yang tergesa gesa nak masuk. Aku cuit bahu Nazri, “Bang, bang, dengar tak bunyi tu?” Dia bangun separuh sedar, “bunyi apa?” sambil mata pun tak bukak elok. Bila aku senyap sekejap nak dengar balik, bunyi tu dah hilang. “Takda apa apa lah tu, kau ni mengandung banyak sangat perasan,” kata Nazri sambil terus tidur balik. Aku diam je, tapi hati tak senang.
Esoknya aku citer kat Kak Wana, jiran rumah sebelah yang selalu datang bawak lauk kalau aku tak larat masak. Dia dengar sambil buat muka serius, “kau tengok betul betul dapur tu, ada calar calar dinding tak?” Aku pun bawak dia pusing tengok dapur. Betul, ada kesan calar tiga empat batang, halus tapi dalam, macam cakar sesuatu yang bukan kucing. Kucing mana buat calar sampai naik cat. Kak Wana terus tarik muka, “orang mengandung ni senang kena ganggu, darah kau lain sikit masa ni, semangat pun turun. Kau kena jaga jaga, jangan buka pintu belakang lepas maghrib, jangan sidai baju malam malam.”
Aku dengar je, tapi dalam hati aku tak berapa nak percaya sangat pasal benda macam tu. Aku ni orang bandar sikit, belajar sampai diploma, rasa cerita cerita macam tu cerita orang tua tua je nak takut takutkan menantu baru. Tapi malam lepas tu, bunyi tu datang lagi. Kali ni lebih kuat. Bukan calar dinding je, tapi macam ada benda diseret kat lantai dapur, perlahan, seret, seret, berhenti kejap, seret lagi. Aku duduk atas katil, tangan aku peluk perut, jantung berdegup laju sampai aku rasa anak dalam perut pun bergerak gerak tak senang. Nazri kali ni terjaga sendiri sebab bunyi tu memang dah kuat sangat untuk orang tidur lena.
“Kau dengar tak bang?” tanya aku, suara aku sendiri pun bergetar. Nazri angguk, muka dia pun dah berubah. Dia bangun ambil parang belakang pintu, jalan perlahan lahan ke dapur. Aku ikut belakang, takut nak tinggal sorang sorang dalam bilik. Bila kami sampai dapur, semua senyap. Tak ada apa apa. Pinggan mangkuk tersusun macam biasa, tingkap pun berkunci. Cuma satu benda yang buat kami dua dua terkejut, tudung saji kat atas meja yang tadi aku tutup rapat rapat sebelum tidur, dah terbalik atas lantai, jauh dari meja, macam ada yang tolak atau baling.
Malam malam selepas tu, bunyi datang silih berganti. Kadang macam orang berjalan, kadang macam suara batuk kecil dari sudut dapur, dan yang paling buat aku menggigil, satu malam aku terjaga sebab rasa macam ada jari halus mengurut belakang aku, sejuk, macam ais. Aku menjerit, Nazri lompat bangun tapi dah tak ada apa apa dah waktu tu. Perut aku pula mula terasa sakit sakit yang tak sama macam biasa, bukan sakit contraction, tapi macam ditarik dari dalam.
Kak Wana datang bawak air suam bacaan, suruh aku minum, suruh Nazri baca surah tertentu tiap malam sebelum tidur, cakap benda ni suka kacau perempuan mengandung sebab darah dan bau badan yang lain waktu tu memang jadi tarikan untuk makhluk yang memang gemar sesatkan manusia lemah. Nazri pun dah mula cari orang yang boleh tolong baca baca doa dalam rumah, tapi kampung kami jauh dari mana mana yang boleh datang cepat, dan setiap malam yang berlalu bunyi tu makin dekat, makin berani, sampai satu malam ia bukan lagi datang dari dapur, tapi dari luar pintu bilik kami sendiri, mengetuk, perlahan, tiga kali, berhenti, tiga kali lagi.
Aku tak sempat nak citer apa jadi lepas malam tu sebab esoknya aku dah masuk hospital, kandungan aku tiba tiba jadi tak stabil, doktor kata ada pendarahan yang tak dapat dijelaskan puncanya. Sampai hari ni aku masih ingat bunyi ketukan tiga tiga tu tiap kali aku cuba lelapkan mata malam malam, walaupun rumah tu dah lama kami tinggalkan.