Wanita tua di pinggir jalan

Hai, aku Iris. Aku nak coretkan sebuah kisah seram yang dialami oleh keluarga angkat aku di Johor. Aku menjadi sebahagian daripada keluarga angkat aku ini ketika aku menyertai program keluarga angkat di Universiti dahulu. Hingga kini, hubungan kami masih akrab.

Cukuplah aku kenalkan ayah angkat aku sebagai Ayah Mat dan ibu angkatku sebagai Acik Wa. Mereka memiliki tiga orang anak. Kak Ria, Udin dan Azim. Aku sebaya dengan Udin. Jadi, Udin akan lebih banyak bercerita jika aku datang melawat mereka di Johor. Macam-macam cerita keluar, termasuk cerita seram yang terjadi bulan lepas.

Anak saudara Acik Wa di Melaka akan akad nikah pada hari jumaat petang, jadi mereka sekeluarga bertolak pada hari khamis malam. Disebabkan ada urusan, mereka bertolak agak lewat malam. Memang kalau gerak pada waktu malam ni lebih santai dan nyaman. Ayah Mat akan bergilir-gilir dengan Udin untuk jadi driver. Sambil memandu, mereka akan berborak sambil makan keropok udang.

“Eh, Udin kentut eh? Busuklah!” Kak Ria bersuara sambil menutup hidungnya.

“Ha, main tuduh pulak. Bila masa aku kentut? Kau yang makan keropok udang banyak sangat.” Udin yang sedang memandu terus menjawab dengan rasa tak puas hati.

“Dah kau yang selalu kentut.” Kak Ria masih belum mahu mengalah.

“Eh, sudahlah. Ayah tengah tidur tu. Hidung kamu tu yang tersumbat kot. Ibu tak bau apa-apa pun.” Acik Wa meleraikan pergaduhan.

Mereka semua diam seketika. Ayah Mat sudah dibuai mimpi, manakala yang lain leka bermain phone. Udin terus memandu sambil mendengar lagu dari corong radio. Sesekali dia ikut menyanyi lagu yang diputarkan DJ.

Sedang memandu, tiba-tiba mata Udin terpandang satu susuk tubuh yang berjalan perlahan di pinggir jalan. Dah pukul berapa pagi, siapa yang tengah jalan lagi ni? Hatinya menyoal. Dia memperlahankan kereta untuk melihat dengan jelas. Ada sebuah kereta yang memotongnya membunyikan hon sebelum bergerak laju. Udin abaikan saja.

“Orang tua, kesiannya.” kata Udin dengan nada perlahan.

Wanita tua lingkungan 70-an sedang berjalan sedikit bongkok sambil membawa uncang berwarna putih di bahunya. Rambutnya yang beruban disanggul. Sama seperti gaya nenek-nenek di kampung. Tiada yang menyeramkan.

“Bu, nak tolong tak?” Udin bertanya ibunya di sebelah.

“Eh, kamu nak ke mana ni?” Acik Wa pelik apabila Udin memberikan signal.

“Tak sampai hati la. Teringat opah.” kata Udin lalu memberhentikan kereta. Serentak dengan itu, yang lain pun terbangun dari tidur. Masing-masing bingung.

“Ada apa ni? Tayar pancit ke?” Ayah Mat terus bertanya.

“Tu ha si Udin turun nak tolong mak cik tu. Dah la kita tak kenal siapa, main turun je.” Acik Wa mula membebel sambil melihat di sebalik cermin kereta.

Ayah Mat tidak sedap hati. Dia ikut turun. Suasana jalan raya lengang dan sunyi. Hanya diterangi lampu jalan yang suram.

“Nenek nak tumpang tak? Saya hantar sampai rumah.” Udin mempelawa wanita tua berwajah kerepot itu. Wajah biasa seperti manusia, tiada yang aneh.

“Udin.” Ayah Mat memberi isyarat untuk Udin datang mendekatinya.

“Masuk kereta sekarang. Biar ayah yang bawa kereta.” kata Ayah Mat sebaik sahaja Udin menghampirinya.

“Ayah, Udin rasa nenek ni nyanyuk. Ingat tak opah pernah keluar rumah tak ingat jalan pulang?” Udin berbisik.

Ayah Mat menggeleng. Dia terus buka pintu belakang dan memaksa Udin masuk. Udin agak terkejut dengan sikap ayahnya. Selalunya ayahnya yang akan jadi orang pertama menghulurkan pertolongan jika terjumpa orang tua-tua atau budak-budak.

“Jangan cakap apa-apa. Tidur. Kalau tak nak, baca apa-apa surah.” tegas Ayah Mat lalu memandu pergi.

Tidak sampai seminit tiba-tiba kedengaran cermin kereta diketuk. Tapi tak nampak apa-apa. Ayah Mat meneruskan pemanduan walaupun yang lain dah tercengang. Gila tak takut. Kau berada dalam kereta tapi dalam masa yang sama kereta kau ada bunyi aneh.

“Bunyi apa tu?” Kak Ria memaut tangan Acik Wa. Bunyi tu makin lama makin kuat.

“Ayah, bunyi apa tu?” Azim bertanya.

“Diam, baca ayat kursi. Azim ingat kan?”

Azim yang berusia lapan tahun itu mengangguk. Tiba-tiba muncul bau busuk. Bau yang sama macam Kak Ria bau awal-awal mereka gerak tadi. Tapi kali ini semua dapat menghidu bau busuk itu. Seperti bau telur buruk. Hanyir dan meloyakan.

“Jauh lagi ke, bang?” Acik Wa mulai resah.

“Lain kali kita jangan terlebih berani, jangan terlebih murah hati tak kena tempat. Sekarang dia ingat kamu suka dia!” Ayah Mat bersuara sedikit tegas. Semestinya kata-kata itu untuk si Udin.

Sampai di selekoh jalan, bau itu hilang. Bunyi ketukan juga hilang. Kelihatan cahaya kereta dari arah bertentangan. Syukur ada kereta yang lalu waktu pagi macam ni. Ayah Mat meneruskan perjalanan sehingga sampai di rumah abang kepada Acik Wa.

Disebabkan sudah banyak kereta saudara-mara lain yang diparkir di halaman rumah Pak Ngah Ejal, mereka terpaksa meletakkan kereta di kawasan luar pagar. Halaman rumah Pak Ngah Ejal luas. Ada pokok-pokok pisang dan pokok salak di dalam kawasan rumahnya.

Udin berjalan paling belakang sebab kena angkut dua beg besar. Dalam keadaan kelam-kabut bawa barang, tiba-tiba ada angin kuat menyapa wajahnya. Udin cepat-cepat berjalan. Langkahnya dilajukan.

“Basuh kaki dulu.” arah Ayah Mat sambil menunjuk ke arah paip.

Ayah Mat membentangkan tilam di ruang tamu saja untuk Udin dan Azim tidur sebab bilik terhad. Kak Ria masuk tidur di bilik sepupu mereka manakala Ayah Mat dan Acik Wa tidur di tingkat atas.

Lampu dipadamkan. Udin dan Azim tak terus tidur. Masing-masing sibuk main phone sambil meluruskan pinggang. Walaupun hanya beberapa jam dalam kereta, tapi lenguhnya tetap terasa.

“Udin, aku nak minum air la.” tiba-tiba Azim bersuara perlahan.

“Pergilah. Lampu dapur bukan tutup pun. Kau tau kan dapur kat mana?” balas Udin sambil matanya fokus memandang phone.

“Kau temanlah aku…” Azim merengek. Suaranya seperti hendak menangis.

“Yelah, cepat bangun. Banyak songeh la kau ni.” Udin bingkas bangun. Dia mengeliat malas.

Sementara menunggu Azim minum air, Udin bersandar di dinding sambil matanya melayan short movie dari YouTube.

“Dah ke?” Udin bertanya tanpa melihat ke arah Azim. Matanya sudah mula mengantuk.

“Dah ke?” tiba-tiba satu suara mengajuk diiringi ketawa mengilai.

Udin cepat-cepat menoleh ke arah peti sejuk. Ya Allah, bukan Azim yang ada di situ tapi wanita tua tadi. Wanita tua yang dia jumpa di tepi jalan tadi bertenggek di atas kabinet dapur bersebelahan peti sejuk. Wajahnya sama seperti tadi tetapi agak menyeramkan kerana bola matanya semua berwarna hitam pekat. Wanita itu tersenyum.

“Izzudin…” wanita tua itu menyebut nama penuhnya.

Udin menggigil. Nak lari tapi kakinya macam kena paku. Nak jerit, suaranya hilang!

“Budak baik…” wanita itu bersuara lagi, kemudian ketawa mengilai. Ada cecair hitam keluar dari mulutnya. Busuk. Amat busuk walaupun mereka duduk berjarak.

Udin tidak ingat apa yang jadi selepas itu tapi dia sedar dah atas sofa. Keluarga dan sanak saudara semua duduk keliling sofa. Acik Wa dah bengkak mata sebab dia ingat Udin dah tak bernyawa.

“Azim sedar je tadi Udin bangun pergi dapur. Bila Azim tanya, dia tak jawab.” kata Azim ketika Pak Cik Ejal menyoalnya.

Apabila Udin buka cerita tentang wanita tua itu, barulah Ayah Mat buka cerita jugak. Dia kata masa Udin turun kereta nak tolong wanita tua tu, Ayah Mat nampak kepala wanita tu berdarah dari belakang. Ada ulat-ulat di kepalanya. Ayah Mat tahu dia bukan orang sebab tu dia suruh Udin masuk kereta.

Kes kereta kena ketuk dan bau busuk tu pun disebabkan wanita tua itu. Masa memandu, Ayah Mat nampak ada kain putih berkibar ikut kereta mereka dan lenyap macam tu saja. Mujurlah benda tu tak kelirukan pandangan mata dia. Selalunya kes kemalangan sebab orang akan nampak jalan, rupanya pokok atau gaung.

Sampai sini saja kisah seram keluarga Ayah Mat. Lepas hari kejadian, dah tak ada gangguan. Saja la tu benda tu nak usik Udin. Udin kan terlebih ramah. Pukul satu pagi pun turun kereta nak pelawa stranger. Ingat drama agaknya. Huhu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Iris
Rating Pembaca
[Total: 110 Average: 4.8]

2 thoughts on “Wanita tua di pinggir jalan”

  1. Dia boring tu. Ingat nak cari kawan tp x kena cara. Ada yg baik hati disakatnya pula. Dah le badan bau tungkik. Ni le jin yg x boleh dibuat kawan tu.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.