Warung

Nama aku Fadil, nampak sama tapi bukan dia. Aku seorang lelaki yang tidak mempercayai kewujudan hantu. Bagi aku perangai manusia sekarang lebih teruk mengalahkan hantu.

Aku bukanlah ingin bercerita panjang lebar tentang hantu sekarang ini. Tetapi, nak bagi peringatan kepada kita semua bahawa didalam dunia ini bukan kita sahaja yang wujud..

Malam Sabtu, aku singgah di warung Lebai Hasim selepas pulang dari tempat kerja.

Teh dan kueh teow memang kegemaran aku. Lebih-lebih lagi yang warung Lebai Hasim ini. Tapi, malam itu aku berasa semacam sahaja sebab tiada pelanggan lain selain aku.

“Lebai, awat malam ni tak ada pelanggan ini?” soal aku pada Lebai yang duduk di kerusi. Televisyen warung dibiarkan terpasang tanpa sesiapa menonton.

“Entahlah Fadil, aku pun naik hairan ini. Kau tengoklah warung hujung tu bukan main ramai lagi.” Lebai Hasim merungut.

Berkerut dahi aku melihat warung baru yang Lebai katakan tu. Hairan pula aku dibuatnya. Setahu aku, masa aku ke tempat kerja siang tadi, tak ada pula warung dekat situ. Bila masa pula mereka bina warung tu? Cepat betul boleh siap. Terus ramai pelanggan pula tu.

Aku menghirup teh dan menjamah kueh teow buatan Lebai Hasim. Marvelous! Seperti selalu.

“Sedap betul la kueh teow ni Lebai. Bodoh lah pelanggan-pelanggan warung tu tak pekena makanan dekat sini.” aku memuji Lebai Hasim. Lebai Hasim tersenyum sahaja.

Sambil aku asyik menjamu selera, sesekali aku memandang juga ke arah gerai di hujung sana itu. Strukturnya sama macam gerai Lebai Hasyim ni. Atapnya nampak sama. Cat dindingnya juga sama. Itulah orang Melayu kita, nak bersaing tapi meniru. Bawa-bawa lah cari idea sendiri. Tak pasal-pasal warung Lebai Hasim tak ada pelanggan lain malam ini.

Sesekali aku terlihat juga Lebai Hasim yang tak terkalih matanya dari terus memandang aku. Terharu lah tu ada pelanggan setia macam aku ni, walaupun dah hampir dua minggu aku tak ke sini. Kahkahkah.

Hampir 20 minit aku menjamu selera, aku bangun daripada tempat duduk lalu aku meraba-raba ke dalam poket seluar untuk mengambil dompet.

Malangnya, “alamak Lebai, dompet saya tercicirlah.” kata aku bila aku dapat merasakan poket aku kosong tidak berisi.

Lebai Hasim memandang tepat ke arahku.

“Takpe la, aku bagi makan free je..tapi ada syarat.” katanya

Aku membalas pandangannya. Degupan jantung aku semakin laju.

“Syarat apa pulak ni Lebai?” soal aku sedikit tersengih.

Lebai Hasim terus menerus memandang aku tanpa berkedip. Dia bangun dari kerusi lalu berjalan perlahan ke arah aku. Dalam hati aku, dah kenapa dengan orang tua ni? Nak berdrama apa pula malam-malam macam ni?

Semakin dia mendekat ke arah aku, televisyen di belakang terpadam. Semakin dia melangkah lagi, lampu warung pulang terpadam. Apsal ni?! Gumam aku.

“Aku nak kau bagi aku d***h kau!” gertak Lebai Hasim dengan raut wajah yang entah macam mana bertukar menjadi kedut seribu dan menggelebeh. Pipinya berlubang menampakkan susunan gigi yang berdarah hitam.

Mulut aku seperti terkunci rapat. Badan aku menggigil. Biar betul apa yang aku sedang pandang ni? Ya, Allah! Sedarkan aku dari mimpi ngeri ni, ya Allah!

Aku cuba memalingkan mukaku melihat apa yang aku makan tadi.

Bagai nak terkeluar kedua bola mataku melihat ke dalam pinggan tadi bukannya ada kueh teow, tetapi penuh dengan ulat yang masih hidup meliuk-lentok. Di dalam gelas tadi pula ada saki baki d***h yang hanyir. Selebihnya sudah selamat aku hirup ke dalam mulut tanpa aku ketahui tadi.

Perut aku mula bergolak mual.

“Aku nak berniaga!” kata lembaga yang menyerupai lebai tadi.

Lembaga di hadapan aku berwajah hodoh, kukunya meliang-liuk panjangnya, debaran jantung aku semakin kuat saat ini barulah aku teringat pesan mak aku siang tadi,

“Fadil, kau jangan singgah warung dekat hujung simpang tiga tu malam nanti.”
“Kenapa mak?”
“Ada orang kampung pernah kena kacau dekat situ. Gerai Lebai Hasim patutnya ada satu je, ada orang nampak ada dua gerai.”
“Biar betul mak ni? Mengarut je. Itu lah orang Melayu, nampak gerai Lebai tu maju sikit, terus buat cerita kawasan gerai tu berhantu lah, apa lah.”
“Ikut kau lah nak percaya ke tak. Yang mak tahu, dulu kat situ memang ada warung sebelum Lebai Hasim bina warung dia. Entah macam mana satu hari tu, lori bawak tanah, pemandunya mabuk agaknya, rempuh warung tu sampai meninggal pemilik warung, si Deraman tu.” cerita mak.
“Habis mak nak kata Deraman tu dah jadi hantulah ye? Apa benda lah mak ni. Percaya sangat benda-benda macam tu. Fadil tak pecayalah hantu-hantu ni.” Aku menafikan kata-kata emak aku.

“Sekarang kau patut bayar apa yang kau dah makan dan minum tadi!” desak lembaga dihadapan aku, membuatkan fikiran aku tentang perbualan aku dengan mak pagi tadi, hilang.

Aku cuba menggerakkan badan aku untuk cabut lari, tapi kaki ini seperti telah terpasak ke bumi. Peluh mula membasahi tubuh aku. Kalau aku m**i dek sebab syaitan ni, aku redha. Tetapi, aku terasa kesal kerana menidakkan kata-kata mak.

“Sekarang bersedialah kau untuk m**i!” taringnya mula sampai dileher aku.
“Kejap! Kejap! Kejap! Aku ada benda nak tanya dekat kau ni, boleh tak?” soal aku padanya secara tiba-tiba dan terketar-ketar. Taringnya sudahpun melekat pada kerongkong aku.
“Apa dia?!” dia menyoal aku kembali, garang dan ngeri.
“Kau ni bukan vampaire kan?” soal aku takut-takut.
“Vampire abah kau! Aku ni hantu Malaysia lah bodoh!” jawabnya dengan marah.
“Ngok! Hantu Malaysia gigitlah tangan ke, kaki ke. Nak leher jugak apa hal?” aku melawan.
“Kau ini berlagak! Peduli apa sama aku.” katanya sambil mula memegang leher aku.
“Mak!! Tolong Fadil, mak!!!” jerit aku semahu-mahunya.
“Hahaha manusia, dah tua bangka mengadu dekat mak lagi?” kata lembaga itu.

Tiba-tiba

“Sudah-sudah lah tu Deraman! Kau berdendam pasal tak dapat mengurat aku dulu, anak aku pulak kau nak b***h?!” soal suara yang datang daripada belakang. Betul ke apa aku nampak ni? Mak?

“Mak, tolong Fadil!” aku menjerit semahu-mahunya.

“Ah, kau ingat aku selera sangat ke. Dah lah leher berkerak! Aku bukan nak pun, gertak je. Aku nak mintak tolong kau lapor polis, jenazah aku ada yg tertinggal.” Jelas hantu Deraman sambil menunjukkan ke arah semak samun di situ.

Pagi Ahad

Aku membaca Harian Metro Ahad

[Bukit Katil, Melaka – Pihak polis negeri menyiasat kembali lokasi kemalangan maut 12 tahun lepas kerana ada saksi mendakwa mayat mangsa Deraman bin Budin sebenarnya tidak sempurna. Hampir 2 jam pihak forensik melakukan siasatan akhirnya dakwaan itu ternyata benar. Pihak polis menemui serpihan tengkorak dan tulang jari yang sudah terkambus sekian lama di kawasan semak samun berhampiran.]

“Fadil, mak dah siapkan sarapan ni ha. Kau makan lah. Mak nak keluar zumba kejap dengan Wan Limah dan Makcik Rokiah Jongang.” katanya.

Aku ke dapur. Sebaik sahaja tudung saji dibuka,

Teh dan kueh teow terhidang dihadapanku. Perut aku kembali bergelodak mual.

TAMAT

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Auss

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

16 thoughts on “Warung”

  1. “Sudah-sudah lah tu Deraman! Kau berdendam pasal tak dapat mengurat aku dulu, anak aku pulak kau nak b***h?!”

    Tang ni aku baca ulang2 kali kot. Kelakar weh 😀

    Reply
  2. tang leher berkerak tu aku gelak guling dah…wakakakakaka…yg mak dia lak perasan Deraman kecewa tak dpt mengurat dia masa muda…huuu

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.