Yunus – Kebun Durian (bahagian 1)

Assalamualaikum..

Rindu dengan Yunus dan Pak Engku? Aku hadiahkan cerita ini yang aku fikir akan atau tidak akan diselitkan di dalam novel. Banyak dugaan juga nak tulis novel ni, salah satunya writer’s block. Sangkut ceritanya. Baiklah, ini dia ceritanya semasa kami masih remaja dan pertama kali aku melihat makhluk halus di depan mata. Cerita ini ada 2 bahagian….

Daerah tempat aku memang terkenal dengan duriannya. Kebanyakan pemilik dusun durian di kampung masih orang Melayu. Mereka akan memajak kebun durian mereka. Malas mungkin kerana mengutip durian bukan kerja yang menyeronokkan. Mungkin betul kerana tugas mengutip durian yang baru gugur ada risikonya yang tersendiri. Tanyalah siapa yang selalu mengutip durian di malam hari tatkala durian galak gugur, tentu mereka ada cerita seram sendiri.

Di kampung di mana ibu aku dilahirkan, ada satu keluarga yang terkenal dengan kekayaaan mereka. Rumah mereka besar dan cantik, dan di belakang rumah agam adalah tanah dusun mereka yang luas, menganjur sehingga ke atas bukit. Durian, langsat, manggis dan rambutan ditanam meluas di kebun itu. Hasilnya dijual di pasar basah dan dihantar ke pasaraya. Cucu mereka muda sedikit dari aku, satu sekolah dan terkenal dengan perangai sombongnya. Aku tak berapa sukakan budak tu, yang semua orang panggil Yed. Yed mula rapat dengan kami setelah tahu kelebihan Yunus.

Tiba musim durian dan manggis, satu hari Yed yang tidak pernah datang melepak dengan kami di pangkin kayu depan rumah, tiba-tiba muncul. Dia mengajak kami mengutip durian untuk 2 minggu dengan upah yang bagus dan kami diizinkan makan durian sebanyak mana yang kami suka. Mendengar cerita itu, ramailah yang ingin mengikut. Dia juga mahu mengupah kami untuk mengutip dan memanjat manggis. Untuk manggis, kerja hanya dilakukan selepas sekolah iaitu selepas Asar. Ramai yang mahu memanjat manggis kerana kerja akan dilakukan di siang hari. Ikut hati, aku tidak mahu terlibat. Yunus yang bersungguh mengajak. Perbualan didengar oleh emak aku. “Sedap juga kalau dapat manggih” kata emakku ringkas sambil tersenyum penuh makna.

Sampai hari yang dijanjikan, kami berbasikal ke rumah keluarga Yed. Yang lain beria-ia, aku hanya melepak atas titi depan rumah agam itu. Air dari parit besar sangat jernih kerana air turun dari bukit. Yunus melaung memanggil aku, memotong khayalanku bila lihat banyak ikan guppy di dalam parit. Melepasi rumah agam yang berpagar, kami hanya berjalan sedikit ke belakang, dan nampaklah pagar dawai berwarna hijau yang tinggi. Macam pagar penjara, getus aku dalam hati. Yed membuka pintu pagar dan di depan kami, pohon-pohon manggis berbaris-baris banyaknya. Berjalan ke atas sedikit, kami bertemu dengan pokok langsat dengan buah yang bergugus-gugus banyaknya. Di belakangnya barulah kami bertemu dengan kebun durian.

Yed beritahu kami, pokok durian ada lebih 40 pohon. Durian kampung yang sangat sedap dan mahal dengan isi yang tebal. Tak hairanlah seluruh kawasan dipagar bagai. Kami masih mengikut Yed, dan dari jauh nampaklah “pondok” durian. Bukan macam pondok dah, macam rumah, siap dengan beranda yang besar. Kami mengikut Yed masuk ke dalam pondok. Lengkap semua, siap dengan dapur dan tilam dan kelambu. Raga-raga rotan disusun rapi di tepi pondok. Di situ, kami membahagikan tugas. Kawan sejati kami, Pak Lah dan Madi ada bersama. Geng sewel yang susah nak berpisah. Ada lebih kurang 10 orang yang mengikut. Main dengan geng sewel, mereka hendak mengutip durian kerana akan dibuat di waktu malam. Yed kata, durian banyak gugur waktu dinihari.

Kami berempat akan berjaga dan mengutip durian malam itu. Aku memandang sekeliling. Kebunnya bersih dan terjaga, semak samun juga tidak banyak, memudahkan kerja mengutip durian. Aku tidak dapat melihat hujung pagar, bermakna kawasan kebun itu luas dan memanjang ke atas bukit. Berkotak-kotak lingkaran ubat nyamuk di satu sudut, dan air sentiasa mengalir dari tepi rumah. Kawasannya redup dan angin bukit bertiup menyamankan badan. Di dalam peti ais, ada air sejuk dan kami memang membawa kopi dan gula. Dapur gas juga lengkap. Rak untuk lampu suluh yang besar terletak di luar, dekat dengan tandas. Kawasan rumah terang benderang kerana lampu beranda dipasang.

Kerana tugas hanya akan dilakukan di malam hari dan esoknya kami kena bersekolah, kami pulang dahulu. Yang lain yang sudah memanjat manggis dan langsat sudah sibuk memulakan tugas. Yed memberikan kami buah yang sudah dipetik, memang banyak. Yed juga akan turut mengutip durian malam itu. Hal keizinan dari emak kerana kami akan bermalam di pondok bukan hal besar. Zaman dahulu, duduk di kampung, apalah sangat benda jahat yang boleh dibuat. Budak-budak pandai membawa diri dan mencari duit poket. Bila beritahu emakku, dia hanya menyuruh aku berhati-hati dan pandai menjaga adab. Lampu hijau dah dapat, malam itu kami akan mula mengutip durian.

Kerja mengutip durian tidak mengganggu persekolahan kerana kami buat bergilir masanya. Lagipun, kebun durian itu bersih, sangat kurang dengan semak. Dan bagusnya juga, buah yang gugur bergolek turun. Banyak masa kami tidur dan hanya akan keluar bila mendengar buah yang gugur. Cuma pokok-pokok yang jauh dari pondok, kena berjalan mendaki. Mengah juga. Seminggu mengutip durian, kami sangat muak makan buah. Buah yang gugur juga banyak. Malam-malam akan dengar bunyi binatang berjalan di atas bumbung dan keliling pondok. Mula-mula kami cuak, tapi apabila setiap kali disuluh hanya nampak musang atau kuas (sejenis tupai tanah). Lama-lama, kami sudah tidak endahkan bunyi-bunyi itu.

Minggu kedua, barulah kami diganggu. Satu malam, kami dengar air yang mengalir di tepi dapur seperti berkocak. Mungkin ada kuas atau musang yang dahaga. Kami tidak pura-pura tidak mengendahkannya dan menyambung apa yang kami buat. Aku pelik, kami bertiga seolah terperanjat, tapi Yed asyik merenung daun terupnya. Menjelang awal pagi, kami dengar seperti ada orang sedang mandi di situ. Deburan air seperti ada orang mandi dari telaga, sedangkan air hanya mengalir dan tidak ada lopak atau kolam. Galak bunyinya, seolah memberitahu kami, dia sedang mandi manda. Masa itu, Yunus sedang nyenyak tidur. Pak Lah, Madi dan Yan sedang main daun terup dan aku pula dengan buku Agatha Christie. Kemudian, kami dengar pintu dapur diketuk dengan kuat. Saling berpandangan kami berempat.

“Allahuakbar!’ jerit Pak Lah kerana terkejut kerana kali ini pintu digegar dengan kuat. Masing-masing memanjangkan leher melihat ke tingkap, kerana masa itu, semua tingkap dibuka. Terpisat-pisat Yunus bangun kerana riuh jadinya. “Ada bunyi orang ketuk pintu. Kuat sampai bergegaq” aku berbisik pada Yunus. Bingkas Yunus bangun, kemudian duduk bersila sambil memejamkan mata dan mula mengira zikir membuka mata makrifatnya. Tiba-tiba kami dengar dinding dirempuh sesuatu, seolah dirempuh oleh benda yang sangat besar. Riuh rendah kerana kami terperanjat. Masa ini, barulah nampak muka Yed cuak. Tadi dia seolah tidak atau pura-pura mengendahkan apa yang berlaku.

Di luar, kami mendengar bunyi suara orang melaung. Kuat bunyinya, hampir pekak telinga. Bergegar seluruh rumah. Masing-masing panik dan ketakutan. Yunus masih lagi bersila dan memejamkan mata, langsung tidak terganggu dengan bunyi-bunyi itu. Kemudian, kami dengar bunyi orang berjalan di atas bumbung dengan bunyi kakinya menyeret sesuatu. Bunyi itu hilang dan kemudian terdengar bunyi yang sama di beranda. Mujurlah malam itu pintu ditutup, kerana selalunya kami biarkan pintu terbuka. Dari beranda, kami boleh melihat kawasan kebun sejauh yang boleh dilihat mata. Kami semua lari dan duduk di belakang Yunus. Jelas muka takut di wajah Pak Lah dan Madi. Kalau tidak, merekalah yang akan teruja dengan hantu dan makhluk halus. Yed sudah seperti orang kena demam kepialu. Menggigil seluruh badannya.

“Dia nak mengusik. Dia ada di luaq, tunggu aku berdepan dengan dia” kata Yunus tenang. Kemudian, Yunus berpaling ke belakang dan ketawa. “Awat hangpa duduk belakang aku?” katanya seolah apa yang kami buat itu lucu. “Aih, hero dua orang pun takut?” kata Pak Lah mengusik Madi dan Pak Lah. Yed masa tu aku nampak sudah menggeletar ketakutan. Lama Yunus pandang Yed yang sedang menggigil sambil memandang lantai. Mesti ada sesuatu yang Yunus nampak. Memang aku mengaku, Yunus tidak punya rasa takut. Bila selesai mengutip buah, kalau dia tidak boleh tidur, dia akan keluar ke pancuran mengambil wuduk, sama ada untuk membaca Quran kecil atau membuat solat tahajud. Kalau akulah, nak keluar rumah kerana nak mengambil wuduk dalam gelap, memang tak lah.

“Parang panjang tadi letak kat mana?” tanya Yunus yang mula menyelongkar beg doraemonnya. Aku tahu apa yang hendak dicarinya. “Dia nak cabaq (cabar) aku, dia tak kacau hangpa. Dia nak jumpa aku pasai aku dah buat kawasan dia panaih terbakaq” kata Yunus acuh tak acuh sambil menyelongkar begnya. Madi menjawab parang itu ada di dalam raga buluh atas beranda. Selamba Yunus bangun membuka pintu dan sekejap kemudian, parang panjang itu sudah berada di tangannya. “Hampa berani kan? Duduk dalam pondok ni baca ayat Qursi banyak-banyak. Dia takkan kacau hangpa” kata Yunus tegas. Terngaga mulut Yed, matanya seolah merayu Yunus supaya jangan pergi. Sekarang, barulah dia tahu Yunus macam mana orangnya.

“Ku, hang ikut aku” kata Yunus lagi. Baru saja aku nak duduk konon nak baca ayatul Qursi. Nama aku juga dipetik. Malas rasanya hendak mengadap benda ni. Kalah juga aku bila Yunus hulurkan lampu suluh. Berat hati nak mengikut, tapi aku tetap bangun mengikut Yunus. Pak Lah menaikkan jempolnya seolah memerli aku. Jaga kau Pak Lah. Yunus berhenti di muka pintu, membaca beberapa surah dan salah satunya yang aku dapat tangkap ialah ayat ke 9 surah Yasiin. Aku juga membaca Fatihah, kemudian berzikir sebanyaknya. Dengan lafaz bismillah dan dimulai dengan langkah kiri, kami mula bergerak.

Dua lampu suluh empat segi itu membuatkan jalan di hadapan kami terang benderang, Bila hanya dua orang di luar, barulah terasa seramnya. Gelap gelita sekeliling dan apa yang aku perasan, aku dapat mendengar bunyi kaki yang menyeret sesuatu hanya dua tiga depa di belakang aku. Bunyi yang sama kami dengar tadi di atas bumbung dan beranda. Bila Yunus berdehem, bunyi itu hilang, diganti dengan bunyi seperti plastik direnyuk berlegar di atas kepala. Kemudian, barulah dengar bunyi yang biasa aku dengar, hilaian panjang seolah mengejek kami berdua. Bunyinya datang dari julai durian yang paling tinggi.

Tak lama berjalan, Yunus berhenti. Aku sangat cam tempat itu kerana ada 3 ketul batu yang kami buat menyandar raga berisi durian dari jatuh bergolek. Yunus mula membaca ayat-ayat Al Quran, dan mula duduk bersila. Aku duduk bersila di belakang Yunus, sudah tahu tugas aku, Tiga batang lilin dikeluarkan dari poketnya, dinyalakan dengan mudah. Kemudian, Yunus membaca sesuatu ke atas parang panjang, dan bila selesai, Yunus letakkan parang panjang itu di depan aku. “Aku hanya boleh harapkan hang saja Ku. Hang lebih berani dari malaun dua ekoq tu. Buat macam biasa na…” kata Yunus padaku. Sebaik saja Yunus habis bercakap, di depan kami, pokok durian digoncang dengan kuat dan aku dapat mendengar seolah buah durian gugur bertalu-talu. Aneh sekali, pokok durian sebesar itu bergoncang kuat. Lampu suluh aku letakkan sebelah kanan aku, dan Yunus letakkan lampu suluh di sebelah kirinya. Terang benderang di depan kami. Mata aku melilau mencari kalau-kalau ada buah yang gugur. Aku tidak nampak sebiji pun walaupun bunyi jatuhnya tidak jauh di hadapan kami.

Bunyi mengilai kedengaran dari atas dahan pokok yang digoncang tadi. Berderau d***h rasanya, bunyinya sangat menakutkan. Kemudian, datanglah angin yang kuat berpusar-pusar. Anehnya, lilin tiga batang itu tetap menyala seolah tidak terkesan dengan air kuat yang datang entah dari mana. Dan turunlah makhluk berambut panjang dari pokok durian yang tinggi itu. Hitam pekat warnanya dan seluruh badannya berbulu lebat. Tidak pernah aku melihat makhluk seperti itu. Matanya merah dengan siung yang panjang, menyerupai siung b**i hutan. Rambutnya panjang sampai ke kaki, mendengus memandang kami dengan marah. Kukunya hitam, panjang dan melengkok hingga menyentuh tanah. Inilah pertama kali dalam hidup dan dengan Yunus, aku menyaksikan makhluk Allah yang menyeramkan di depan mata.

Yunus bangun dan menguatkan kuda kudanya, membuka langkah silat. Kali ini, langkah silat Yunus nampak keras, seperti lawannya itu hebat. Makhluk itu melayang-layang di depan kami. Bulu tengkuk aku tegak berdiri kerana makhluk itu mengalihkan pandangannya kepadaku. Aku dapat rasa makhluk itu merenungku. Untuk tidak rasa seperti hendak dirasuk, aku memejamkan mata dan berzikir sebanyaknya. Dadaku berdebar, tanda aku juga takut, tetapi aku tahu, makhluk itu tidak berupaya mendekati kami kerana Yunus sudah pasungkan kakinya. Seraya, aku dengar hup hap hup hap tanda Yunus sedang bersilat sambil membaca ayat Quran dan mantera dalam bahasa Melayu. “Aku asal usul kau.. dari xxx kau datang ….” Selalunya itulah buah bicaranya.

Walaupun aku tidak melihat, tapi meremang juga bulu roma seluruh badan. Dapat aku rasakan tangkas langkah Yunus. Sekali sekala terdengar raungan di depan kami, tanda pukulan silat Yunus mengena sasaran. Kemudian, aku mendengar Yunus menghentakkan kakinya, dan seraya itu, terdengar seperti benda berat yang jatuh, diiringi dengan jeritan kesakitan dan laungan panjang yang menakutkan dan memekakkan telinga. Aku lantas membuka mata, dan di depan kami, terjelepuk satu makhluk hitam seolah menahan sakit. Terkial-kial cuba bangun tapi tidak berdaya, seolah badannya yang hitam berbulu itu dihimpit dengan batu besar.

Tangannya menggagau angin sambul mendesah dan mengeluh. Kukunya yang panjang dan bengkok melengkung itu sangat menakutkan. Makhluk itu mencakar-cakar tanah dengan matanya yang tidak lekang memandang kami. Yunus tenang sahaja, aku sudah berpeluh di belakang. Rasa takut membuatkan aku hampir terkencing. Makhluk itu tidak boleh bangun selagi Yunus tidak mengangkat kakinya. Jangan main dengan Yunus nan seorang, kecil saja orangnya, tapi ilmunya bias. Sekali-sekala makhluk itu membuka mulutnya menampakkan baris taring yang tajam berwarna hitam. Lidahnya juga panjang dan runcing. Nyata, dia sudah tewas di tangan Yunus.

“Aku baca Quran bukan nak cari pasai dengan hang. Aku baca Quran untuk tulong aku dalam kuboq. Semesta alam ni, semua milik Allah, makhluk tak milik apa pun. Yang hang kata aku dah kacau hak milik hang, aku kacau apa? Pasai apa hang nak cari pasai dengan aku!’ bentak Yunus keras. Aku tidak mendengar apa-apa kerana tidak berani memandang muka makhluk yang mengerikan. Seluruh mukanya hitam dengan mata merah yang sebesar penumbuk. Siung dan taringnya membuatkan aku kecut perut. Rambut dan bulu seluruh badannya hitam dan kasar umpama ijok. Terkial-kial makhluk itu cuba bangun untuk melarikan diri. Semakin kuat Yunus memijak tanah, tidak berganjak dari tempat dia berdiri dari tadi.

Yunus membaca lagi ayat-ayat Quran yang sangat ditakuti makhluk halus. Aku nampak makhluk itu seperti menahan kesakitan, dan kali ini, dia tidak berani menangkat muka. Cakaran pada tanah tadi nampak keras, kini semakin lemah, terjelepuk makhluk itu ditutupi rambutnya yang panjang berjela. Barulah Yunus kembali duduk bersila dan tiba-tiba keluar percikan api dari tempat makhluk itu terbaring. Mula-mula seperti percikan api mercun, lama-lama api menjadi marak dan menjulang tinggi. Anehnya, aku tidak merasa panas walau api di depan aku sangat besar dan marak. Jadi terang benderang kebun durian itu. Sekelip mata sahaja api itu menjulang, kemudian lenyap. Di depan kami, tiada lagi makhluk berambut panjang berbulu lebat itu. Sunyi sepi jadinya, hanya terdengar bunyi cengkerik dan unggas malam. Yunus masih lagi bersila tidak berhenti membaca keratan ayat-ayat Quran. Terdengar lolongan panjang yang semakin lama semakin sayup.

Yunus mengangkat tangan berdoa, aku mengikut dari belakang. Selesai doa, kami aminkan doa yang dipanjat kepada yang Maha Esa, kami bangun dan biarkan lilin tiga batang itu menyala. Tiga tapak berundur dimulakan dengan langkah kiri, kami pun berjalan menuju ke pondok. Aku tidak berani menoleh ke belakang walaupun keadaan sunyi sepi. Aku berjalan beriring dengan Yunus yang mula berkata dia lapar dan hendak minum kopi. Seperti tidak ada apa yang berlaku, Yunus mula bersenandung lagu Hindi yang disukainya.

Ketakutan aku yang belum reda, menjadi seribu kali lipat bila Yunus berkata “Kita tak habih lagi ni, Ku. Tadi masa aku dok pijak di ada sekoq lagi mai dari belakang. Sikit lagi dia nak cekah (gigit) kepala hang. Aku terpaksa lepaihkan bini dia. Aku tak mau hang apa-apa. Depa dua ekoq, laki bini. Hat tadi tu bini, tak kuat mana. Laki dia nanti aku risau sikit. Aku dah tau apa nak buat, nanti depa” kata Yunus sambil terus berjalan. Dugaan apa lagi selepas ini. Kami berjalan sampailah kami tiba di depan pintu. Yunus memberi salam dan salam dijawab serentak oleh mereka bertiga.

Bersambung…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

9 thoughts on “Yunus – Kebun Durian (bahagian 1)”

  1. Kisah yunus dinanti nanti kan…seperti biasa tak pernah mengecewakan….pleaseeeee bahagian 2…tak sabar ni..pleaseeeee 😅

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.