Yunus – Kebun Durian (bahagian 2)

(Sebelum aku siarkan cerita ini, aku ada hubungi Yunus yang membantu aku mengingati kejadian. Dia sudah memberi izin jika novel dikeluarkan. Cuma dia pinta aku tidak beritahu dia di mana secara khusus. Susah nak susun ayat cerita ni weii)

Masuk sahaja Yunus ke dalam, dia terus ke peti sejuk. Yunus minum dengan banyak dan kemudian Yunus keluar. Jangan ditanya, nanti kena marah. Pak Lah dan Madi sibuk bertanya aku yang sedang menjerang air. Yed pula sudah menjadi seperti orang bodoh, berdiri kaku memandang kakinya. “Nantilah aku cerita, la ni masa tak sesuai” kata aku memotong hasrat dan keinginan Pak Lah dan Madi. Dalam hati, tertanya ke manakah Yunus pergi seorang diri dalam gelap buta. “Aku tak berani nak kutip durian lepaih ni. Aku tak mau pi” kata Madi yang nampak takut, manakala Pak Lah hanya mengangguk setuju….

Sunyi sepi dalam rumah, seorang pun tak berani nak bersuara. Muncul Yunus Dari arah beranda memegang parang panjang yang sengaja dia tinggalkan tadi. Pintu beranda tidak ditutupnya, dibiarkan terbuka. “Aku tau dah apa nak buat. Jaga depa sat lagi” kata Yunus, pergi semula ke beranda dan memandang keluar. Kemudian, Yunus masuk menghampiri Yed dan menepuk belakangnya beberapa kali. “Hang tak cerita habih kat kami” kata Yunus memandang tepat muka Yed yang kelu memandang Yunus. “Baik hang bagitau, kalau tak, kita takkan dapat cari jalan balik walau hang dah lalu kebun ni beribu kali”. Lagilah takut kami bertiga. Apalah nasib, kerja yang dibuat halal, tapi ada penghalang sebesar ini.

“Aku takut nak cerita. Sat lagi depa mai cari aku” kata Yed yang nyata takut dan duduk bertinggung memeluk kakinya. “Bagi aku pisau” kata Yunus. Terperanjat kami, Yunus nak buat apa dengan pisau tu? Nak ugut Yed kah? Seperti dapat membaca kehairanan di muka kami, Yunus ketawa. “Awat, hampa ingat aku nak tikam Yed ka?” kata Yunus sambil buat muka comel. Dia naik dan mengambil beg doraemonnya. Diselongkar dan Yunus keluarkan beberapa biji limau purut dan pisau lipat dibalut dengan kain berkilat berwarna kuning dan sehelai kain pelikat. Betullah macam beg doraemon, semua ada dalam beg tu. Pernah aku mengusik Yunus, keluarkanlah peti ais dari begnya. Dapatlah aku tenungan tajam dari Yunus, tanda lawak aku tak kelakar.

Yunus juga keluarkan buku kecil yang selalu dibawanya. Diselak-selak halaman buku kecil itu. “Jumpa dah!” katanya kuat sehingga terlompat Yed yang bertinggung. Yunus naik ke atas dan duduk bersila mengadap kiblat. Pondok itu dibina mengadap kiblat dan Yunus duduk berhadapan dengan pintu beranda. Parang panjang dan limau purut diletakkan di hadapannya. Yunus mengangkat tangan berdoa dan menyapu ke seluruh badannya termasuk ke tapak kakinya. Kemudian, Yunus mengambil pisau, membaca bismillah disertai doa dan hendak memotong limau purut itu. Belum lagi pisau bertemu dengan limau, kami dengar angin ribut di luar. Bergoyang pokok durian di luar. Bergegar atap zink seperti mahu tercabut seluruh bumbung. Nampak juga bakul-bakul buluh berterbangan dari tingkap. Yunus pernah kata pada aku, angin adalah kenderaan makhluk halus, dengan izin Allah.

Tiba-tiba Yed menjerit dan lari mendapatkan kami dan menyorok di belakang. “Tu… tu….’ katanya menundingkan jarinya keluar. “Dia mai dahhh…..aku takut weeiii.. katanya sambil menggenggam kuat baju Madi. Kami bertiga memandang ke arah apa yang ditunjukkan Yed. “Allahu akbar!!!” serentak kami berteriak. Dalam samar lampu kalimantang, kami nampak satu sosok, hanya separuh badan mengintai-ngintai dari belakang pokok durian paling dekat dengan pondok. Setakat dada sahaja badannya. Walaupun hanya separuh badan kelihatan, ketinggian makhluk itu sama tinggi dengan bumbung pondok. Terawang-awang di baik pokok durian yang bergoyang-goyang. Matanya besar tersembul dengan siung seperti b**i hutan, merenung tepat kea rah kami. Lintang pukang kami lari dan duduk di belakang Yunus yang masih tenang berdoa. Dinihari itu, kami berpeluh.

Yunus masih tenang sambil mengalunkan bacaan ayat Quran. Kemudian, aku lihat, Yunus memotong dua 7 biji limau nipis. Diaturnya limau nipis itu di hadapannya dan sambung berdoa. Limau yang ketiga, kelima dan terakhir Yunus ambil dan perah ke atas parang panjang itu. Serentak itu, dengarlah jeritan yang ngauman kuat seperti harimau nun di hujung kebun durian, diiringi dengan jeritan suara perempuan, seperti dalam kesakitan. Angin di luar semakin menggila. Aku takut bumbung akan jatuh menimpa kami, itu sahaja. Pak Lah, Madi dan Yed di tengah2 mengesot duduk betul-betul di belakang Yunus yang sangat tenang. Tinggal aku di belakang seorang diri membaca ayat Qursi berulang kali.

Madi, Pak Lah dan Yed menekup muka, tidak berani memang keluar. Entah dari mana datang keberanian aku, aku memandang makhluk itu yang tepat merenung ke arah kami. Sekelip mata, sosok itu hilang dan naiklah kabus sehingga putih kawasan kebun durian itu. Pokok durian yang paling dekat pun tidak kelihatan, hanya kabus putih yang makin lama, makin menebal. Di luar, aku dapat mendengar bunyi seperti binatang mengunyah tulang, bunyi seperti orang berwirid, bunyi kuda berlari di atas bumbung dan bunyi hilaian ketawa dari setiap sudut. Di luar, angin ribut dan kabus semakin menebal, sampai langsung tidak nampak langit. Agaknya, inilah maksud Yunus bila dia kata kami takan jumpa jalan balik. Apa pun tak nampak, hanya sekeliling pondok yang diterangi cahaya lampu kalimantang,

Yunus tidak endahkan semua itu. Dengan tenang, dia berpaling, tersenyum dan melambai aku supaya datang duduk di tepinya. “Ku, minta tulong na, tulong tutup tingkap dan kunci semua. Aku kena keluaq ni, kena hadap juga pasai depa dok cari geruh. Lepaih aku keluaq, kunci pintu beranda. Jangan buka kalau hangpa tak yakin yang suruh buka pintu tu aku” kata Yunus sambil menggenggam tangan aku. Aku tahu nak cakap apa, semua perkataan tersekat di tekak. Sebelum Yunus keluar, dia memandang pada Pak Lah, Madi dan Yed yang sudah seperti kucing basah disiram. Mereka duduk berkumpul dengan muka tersembam di lutut, tidak bergerak dan tidak bercakap. Yed terutamanya, aku nampak takutnya tu tak terbendung. Aku nampak Yunus menarik nafas panjang. Aku tahu, bila dia begini, tentangannya sukar. Tiada pembantu, begitulah.

Aku tak sampai hati. Sungguh, Berat ujian Yunus. Budak sekolah yang kena hadap benda halus ni, macam tak masuk akal. “Yan, aku nak ikut” kataku. Aku sendiri pun tak tahu syaitan apa yang merasuk aku. Madi dan Pak Lah yang tadi muka di celah lutut, terlopong, seolah tak percaya. Aku bagi senyum kelat pada mereka. “Hero kita perlu bantuan. Hang pa mau ka ikut Yan? Biaq aku di sini” kataku pada mereka. Dengan cepat mereka menggeleng. Yunus yang tadi mukanya serius, tersenyum. Dah serupa Yunus dah perangai aku tadi. Yunus cakap terang, tidak pernah berselindung. “Jangan takut kalau dengaq bunyi pelik-pelik. Depa tak buleh masuk. Depa takkan buleh masuk” kata Yunus yang tepat memandang Yed yang mukanya masih tersembam di lututnya. Pelik sungguh pandangan Yunus setiap kali memandang Yed.

Yunus mengeluarkan sebatang buluh kuning dari dalam beg doraemonnya. Sejengkal panjangnya sebesar jari manis. Buluh itu Yunus suruh aku pegang. Yunus menyimpul dan mengikat ketat kain pelikat, satu hujung diikat pada plit tali pinggang aku dan hujung satu lagi di plit tali pinggangnya. Macam India kawin begitulah. Yunus mencapai parang panjang melangkah. Baru saja hendak keluar, dari atas, kami dengar bunyi sayap mengepak seolah ada burung besar sedang terbang. Bunyi sayapnya seolah hanya sejengkal dari kepala. Yunus terus melaungkan azan. Bunyi kepakan sayap itu semakin lama semakin hilang, dan kabus di depan kami seolah terbelah dengan kalimah azan. Nampaklah seperti lorong menuju ke atas bukit. Kecut hatiku. Yunus tenang saja. “Jom, Ku” katanya. Dengan ucapan bismillah dan dimulai dengan langkah kanan, kami keluar ke beranda dan dengar pintu beranda ditutup dan dikunci.

Aku tidak tahu pukul berapa waktu itu. Mungkin pukul 3 atau 4 pagi. Dingin pagi ditambah keadaan di dalam hutan, sejuknya menusuk tulang. Yunus di depan dan aku hanya beberapa inci darinya, takut ikatan kain itu terlepas. Di kiri kanan, bunyi hilaian tidak berhenti. Terdengar juga suara di telinga yang membisikkan nama aku. Aku basahkan lidah dengan berzikir tanpa henti. Yunus tiba-tiba berhenti berjalan. “Mahu pergi ke mana, Tengku? Hihihihi…” suara itu berbisik di telinga. Suara seperti suara perempuan tua. “Tidak takut kah..hihihihi”. Meremang bulu tengkuk aku. Aku kuatkan genggaman pada kain pelikat dan berhati-hati mengikut langkah Yunus yang kembali melangkah ke depan. Yunus tidak berhenti membaca surah Al Baqarah dan mengulangi ayat ke 20 tujuh kali sambil melibas parang panjang berulang kali. Berkawan dengan Yunus, aku sudah boleh tahu surah apa dan ayat apa. Habis saja bacaan ayat itu, di depan kami, meluncur satu cahaya diikuti dengan bunyi seperti letupan yang kuat di depan.

Seperti tembakan meriam lagaknya, nun di hujung, aku lihat satu benda terbakar meliuk-liuk seperti kepanasan. Aku berzikir tanpa henti, menyerahkan diri kepada ehsan Allah yang Esa. Semakin dekat, aku dapat dengar seperti raungan orang kesakitan. Semakin dekat, bau busuk menghimpit rongga hidung. Busuk yang susah hendak dijelaskan. Hampir termuntah aku. Bau terbakar diselangi dengan bau busuk sangat meloyakan. Yunus berhenti berjalan. Tak henti henti Yunus membaca ayat dari surah Al Baqarah. Tangkas Yunus menyuluh dan, di depan kami, ada satu sosok hitam yang hampir lumat, sangat mengerikan. Aku tidak tahu yang mana satu badan, yang mana satu kepala. Sosok itu seolah dicincang, mengeluarkan suara seperti kahak tersekat di tekak.

Terdengar satu laungan yang kuat di depan, di hujung pagar. Gelap gelita di situ. Yunus menyuluh. Nampaklah satu sosok hitam yang besar, berbulu lebat, terkangkang bertinggung di atas besi pancang yang menyokong pagar. Kami berdua menyuluh. Rupanya makhluk itu sangat mirip seperti topeng Bali. Mata merah tersembul dengan siung seperti b**i hutan melengkung ke atas. Taringnya pula panjang hampir ke dagu, terjelir-jelir dengan lidah yang panjang. Rambutnya panjang, saiznya dua kali ganda dari makhluk yang pertama. Aku perasan, makhluk itu seolah bercawat walaupun badannya dititup dengan bulu hitam pekat yang panjang. Hampir aku jatuh terduduk kerana inilah pertama kali aku melihat makhluk halus yang jelas, tidak kabur seperti selalunya.

Makhluk itu menderam dan memandang tepat ke arah kami. Duduk pegun. Sekali aku tersuluh, kakinya seperti monyet dengan kuku yang panjang, dan ekor yang runcing. Keadaan jadi sepi. Kabus yang tebal tadi menghilang entah ke mana. Barulah aku nampak langit dengan bintang bertaburan. Tiba-tiba, makhluk itu melompat ke atas pokok durian sambil melaung dengan suara garau yang menakutkan. Aku sudah hampir pengsan, jantungku bergoncang terasa seperti hendak pecah dada. Yunus menyuluh dari pokok ke pokok, tapi makhluk itu tidak kelihatan. Yang terdengar hanya suara deramannya yang penuh kemarahan.

Yunus beralih memandang aku, melepaskan ikatan kain pelikat. Disimpulnya hujung pelikat itu. Yunus menyuruh aku duduk bersila, dan kain itu disarung ke kepala aku. Diambilnya buluh kuning sejengkal, dilorek bulatan sekeliling aku dan bulatan yang lebih besar mengelilingi kami berdua. Kemudian dicacakkan buluh kuning tadi berdepan dengan makhluk yang sudah hancur terbakar. “Ku, hang zikir 99 kali, habis zikir baca Fatihah. Ulang ayat ke 4 tujuh kali, laung kuat-kuat. Habis Fatihah, ulang balik zikir dan buat macam aku cakap tadi. Jangan bergenti”. Aku yang di dalam kelubung kain pelikat itu hanya mengangguk faham dan memulakan zikir. Gelap gelita kerana Yunus mengambil lampu suluh aku lalu dipadamkannya. Terasa takut, seolah aku sedang berada di dalam liang lahad. Terasa kecilnya diri aku waktu itu, dan Allah lah Tuhan maha Besar.

Aku dapat dengar Yunus sudah memulakan langkah silatnya mengelilingi aku. Aku pula mengira zikir dalam curahan peluh dan jantung yang berdegup laju. Siapa yang tidak takut? Anak mataku kurasakan sudah sebesar piring, gelapnya mempermainkan mata dan akal. Sekali lagi, aku dengar bunyi angin kuat berputar-putar, tapi seolah angin itu tidak menyentuh kami. Dari langkah Yunus di sekeliling, aku tahu dia sedang bersilat melawan makhluk besar itu. Aku teruskan berzikir dan membaca surah Fatihah dan laung kuat-kuat ayat ke empat dan meneruskan pembacaan Fatihah hingga selesai. Aku ulang berzikir, dan aku dengar angin yang mengganas tadi menjadi semakin lemah. Yunus masih lagi bersilat dan membaca surah-surah tertentu yang ditakuti syaitan. Sekali lagi, dalam gelap berkelubung, aku nampak satu cahaya terang meluncur ke atas, dan dengarlah letupan yang sangat kuat. Seraya itu, laungan kesakitan terdengar dan kemudian aku dengar bunyi benda jatuh terhempas ke tanah. Yunus tidak lagi bersilat, tapi tidak henti dia mengalunkan ayat Al Quran.

“Aku tau tuan hang sapa. Pasai apa hang kacau kami!” bentak Yunus. Nyata, Yunus sudah berkomunikasi secara batin dengan makhluk itu. “Aku tak peduli! Aku tak kacau tuan hang atau hangpa laki bini!! Hang cari geruh aku, la ni hang dapat!” bentak Yunus lagi. “Sudah!!, aku tak percaya kata-kata syaitan macam hang. Kesian pun dak!” bentak Yunus lagi. Aku hanya dapat membayangkan di dalam gelap pekat itu. Lampu suluh satu pun tidak dipasang. “Ketegaq!!!” Yunus menghentakkan kakinya ke tanah 3 kali. “Aku mau hang bawak anak cucu hang pi tempat lain. Kalau aku tahu hang ada sini lagi, aku buru hang sampai lubang cacing. Aku kata sekali ja, aku takkan ulang!!”. Terdengarlah raungan keras yang panjang, kemudian keadaan menjadi sunyi sepi.

Kemudian aku dapat dengar Yunus menghampiri aku, duduk di depan dan mula membaca doa dan mantera menakutkan dan memaksa jin lari. Aku tahu kerana mantera itu dalam bahasa Melayu lama. Macam gurindam pun ada, macam pantun pun ada. Yunus membaca doa dan disudahi dengan surah Al Fatihah. Kemudian Yunus menghidupkan kedua-dua lampu suluh dan mengangkat pelikat yang menyelubungi aku. “Ku?” Yunus memandang aku dan memegang bahu aku. “Terima kasih, kalau hang tak dak tadi, rasanya sampai la aku kena hadap menatang (binatang) tu. Terima kasih kerana faham, aku perlu bantuan. Dah selesai, Alhamdulillah, jom kita balik. Di tangan Yunus sudah ada parang panjang dan buluh kuning sejengkal itu.
Aku bangun, mengesat bontot dan memandang sekeliling. Automatik aku menyuluh ke tempat makhluk yang busuk tadi terjelepuk. Yang tinggal hanya arang hitam yang berbau seakan setanggi di tokong, bercampur dengan bau busuk yang sangat meloyakan. Di sebelahnya, kesan hitam terbakar lebih besar, dan jelas bekas cakaran di tanah. Yunus melangkah, aku mengikut. Keadaan sangat sejuk, dan tiada nyamuk walau seekor, tidak seperti selalu. Tidak lama jalan menurun bukit, kami sampai di depan pondok. Yunus tidak terus naik, sebaliknya ke pancuran mencuci tangan dan kaki dan menyuruh aku melakukan yang sama.

Dari cermin tingkap, aku nampak mereka bertiga terhendap-hendap dan kemudian hilang. Yunus berdiri di tangga beranda dan melaungkan azan. Selesai, Yunus memberi salam, dan pintu dibuka dengan sangat berhati-hati oleh Madi. Main dengan Yunus, dia naik dan menyergah mereka, sengaja nak mengusik. Kelam kabut dalam rumah dengan pekikan dan jeritan. Aku tak boleh nak mengawal ketawa, terduduk aku di tangga beranda memegang perut. Kelakar kerana muka mereka bertiga sangat cuak, nampak sangat kelakar. Aku perasan, parang panjang yang dibawa Yunus letakkan melintang di depan pintu selepas kami masuk ke dalam pondok.

Tidak banyak cakap, Yunus terus ke dapur menjerang air. Madi, Pak Lah dan Yed terperosok di sudut bilik, muka cuak dan pucat. “Oi, ni aku la. Tu Ku. Setan boleh azan ka? Setan pandai lapaq nak minum kopi ka?” kata Yunus, tangannya sibuk mengeluarkan kopi kampung dan gula dari dalam plastik. “Lepaih ni kita kutet degheyan (kutip durian) mau dak?” kata Yunus mengusik sambil membuat “senyuman syaitan”. Senyuman itu selalu Yunus gunakan kalau dia mengusik. Menggeleng mereka bertiga, masih lagi melekat di sudut bilik. Kelakar pun ada, mereka seolah kembar tiga yang melekat.

Yunus naik mendapatkan beg doraemonnya. Buluh kuning itu dibalut bersama pisau lipat di dalam kain kuning berkilat. Buku kecilnya juga dimasukkan dan Yunus mengeluarkan Quran kecil dan diletakkan di atas para. Sisa limau purut d******g juga sudah dibuang. Yunuslah yang membancuh kopi satu jag besar dan hidangkan kepada kami semua. Perlahan-lahan, mereka bertiga nampak tenang dan duduk dekat dengan Yunus. Kopi sudah dituang, aroma kopi kampung yang sedap menerawang di dalam perut pondok. “Ni Yed, aku bukan nak susahkan hang. Tapi aku rasa kami semua berhak dengaq dari mulut hang sendiri” kata Yunus. Kami juga tidak sabar untuk mengetahui cerita sebenarnya. Ini cerita Yed yang dia ceritakan sambil menangis tersengguk-senguk.

Tiga bulan lepas neneknya telah meninggal dunia. Segera aku teringat kisah yang menjadi bualan penduduk setempat itu. Kematian neneknya bukannya mudah dan neneknya tidak sempat hendak “menyerahkan” belaannya kepada cucunya, lantaran sakit sehingga membuatkannya seperti sedikit gila. Yed adalah cucu lelaki pertama dan neneknya sudah berjanji kepada belaannya, Yed akan menjadi tuan baru mereka. Sudah tentu Yed menolak kerana tidak mahu terlibat. Sejak itu, dia kerap didatangi dua makhluk itu merayu rayu meminta d***h, supaya lekas Yed menjadi tuan baru mereka.

Dua makhluk itu akan mengikut Yed ke mana sahaja. Paling Yed takuti ialah ketika dia di dalam tandas atau jika dia bersendirian di dalam bilik. Makhluk itu akan bertenggek di atas palang katil atau bertinggung di atas almari memerhatikan setiap langkah Yed. Kalau ke masjid untuk solat fardhu atau solat Jumaat, makhluk itu akan berlegar-legar di depan masjid. Ketika itu, neneknya sudah nazak dan tidak lama kemudian, menghembuskan nafas terakhir. Di tepi rumah agam itu, ada sebuah rumah kecil. Itulah rumah asal neneknya, tidak diruntuhkan malah dijaga dengan elok. Yed selalu nampak “neneknya” di pintu rumah itu, melambai Yed dengan wajah yang sedih. Padahal, neneknya terlantar sakit tidak boleh bergerak.

Nenek Yed ialah seorang wanita cantik yang putih melepak. Setiap kata neneknya, semua orang akan patuh tanpa syarat. Di rumah agam itu, neneknya tinggai di bilik khas, siapa pun dilarang masuk dan kalau neneknya keluar, pintu itu akan dikunci dengan mangga yang besar. Pernah Yed cuba mengintai, tapi neneknya menutup tingkap dengan langsir hitam yang tebal. Selepas tiga hari kematian neneknya, pintu itu dipecahkan kerana tidak tahan bau busuk dan setiap hari terdengar suara menangis dari dalam bilik itu. Aku tidak akan ceritakan apa yang mereka jumpa kerana menjaga aib.

Pernah terjadi pertelingkahan antara ayah Yed dengan ibunya (nenek Yed). Selepas pertelingkahan itu, bapa Yed patah tangan dan kaki kerana jatuh dari tangga. Kemudian, malang menimpa apabila kereta bapanya terhumban ke dalam gaung. Lama juga orang mencari ke mana bapanya pergi. Akhirnya bangkai kereta dan mayat ayah Yed dijumpai didalam gaung, sudah hampir tinggal rangka. Sejak itu, hidup Yed tidak tenteram. Ibunya banyak bersabar walaupun dihalau dicaci dan dimaki cerca setiap hari oleh neneknya (yang pastinya telah dirasuk binatang peliharaannya). Dialah yang uruskan makan pakai dan kencing berak nenek Yed walau dimaki setiap hari. Saudara mara Yed, tiada seorang yang mahu dan berani.

Seminggu selepas kematian neneknya, Yed bermimpi neneknya datang berjumpanya, memaksa dia menerima makhluk dua ekor itu sebagai pesuruh. Jika tidak, hidup Yed tidak akan tenteram. Puas Yed berubat ke merata bomoh dan pawang, tapi hasilnya tetap sama. Harta pusaka telah siap diwasiatkan dan Yed mendapat rumah dan kebun buah itu. Mulanya Yed tidak mahu, tetapi ke mana saja dia pergi, bayangan arwah neneknya bersama makhluk 2 ekor itu akan mengikutnya ke mana sahaja. Yed sudah biasa dengan kebun buah itu dari kecil, dan dia mengaku sangat sayang dengan harta yang telah diturunkan kepadanya.

Musim buah itu ialah musim buah kedua selepas kematian neneknya. Tiada seorang pun yang ingin membantu Yed dalam urusannya di kebun itu. Dia pernah mendengar tentang kebolehan Yed dan katanya, dia sudah putus harap. Tidak sangka Yunus bersetuju. Menurut kata mereka yang dahulu membantu Yed, mereka selalu akan terserempak dengan jelmaan nenek Yed memerhatikan mereka mengutip buah dengan muka masam, tapi tidak pernah mengganggu. Lama-lama, tiada seorang pun yang mahu membantu Yed walaupun dijanjikan dengan upah yang mahal. Itulah sebabnya Yed datang mencari Yunus, sebagai ikhtiar terakhir.

“Hang kena pi berubat, Yed. Nanti aku tanya tok ayah aku. Aku kesian tengok hang. Dalam keadaan ni, hang tak salah. Hang jadi mangsa keadaan. Aku cuma dapat halau depa, tapi aku rasa main dengan setan, depa akan mai balik. Depa dendam sampai kiamat, sampai anak cucu. Dalam masa terdekat ni aku rasa depa tak ganggu hang. Aku dah cukup cederakan depa. Yang betina tu lagi jahat dari yang jantan. Cedera parah tapi depa tak m**i. Eloklah berubat”. Yed mengangguk lemah. Datuk Yunus bukan sembarangan orang. Walaupun selalu menolak untuk hal sebegini kerana dia bukan pawang tapi hanya guru silat, permintaan Yunus aku rasa tidak akan ditolak oleh datuknya.

Kami menunggu fajar menyinsing. Solat subuh berjemaah di pondok dengan Yunus menjadi imam adalah antara pengalaman indah yang tak akan aku lupakan sepanjang hayat. Semasa berdoa, Yed menangis terisak-isak. Kami tetap mencari dan mengumpul durian yang gugur semalam, dan melintasi dua tompok hitam tidak jauh dari pagar hujung.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

4 thoughts on “Yunus – Kebun Durian (bahagian 2)”

  1. Kisah yang sangat menarik dan hebat dengan penceritaan yang sangat teliti…Syabas !! Sangat banyak iktibar daripada kisah-kisah yang diceritakan selain ilmu pengetahuan agama Islam yang sangat bermanfaat. Teruskanlah berkarya kerana ia mengandungi manfaat untuk semua..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.