Yunus

Assalamualaikum. Salah sejahtera kepada semua yang membaca kisah aku kali ni.

Selamat berPKP. Duduk di rumah saja lah kita. Mari aku ceritakan kisah yang terjadi kepada aku dan kawan aku masa kami singgah di satu jeram dalam perjalanan ke tempat peranginan sejuk tersohor di Pahang, dan sepanjang masa dalam kereta ke tempat peranginan tu.

Aku ada terbaca kisah seorang mat saleh yang berkata dia “magnet” kepada makhluk tak terlihat ni, dan aku rasa samalah aku. Ke mana saja dia pergi, kalau makhluk tu nak mengusik atau tunjukkan diri, tidak dapat tidak, kenalah hadap. Kalau tidak, tak berderetlah kisah aku di FS ni. Macam-macam aku dah nampak dan hadap. Apa yang diceritakan mat saleh tu seperti kena pada batang hidungku.

Kisah ini panjang sedikit. Aku bahagikan pada 2 bahagian, apa yang aku nampak dan apa yang Yunus kena hadapi. Kalau panjang meleret, malas pula orang membaca, buat penat je menulis. Kan?

Aku balik kampung melepaskan rindu kepada emakku kerana sebelum tu job memang banyak. Jadi bila ada masa sanggang, aku akan balik kampung menemani emakku. Kebetulan kawan baik aku, Yunus juga bercuti dan pulang ke rumah datuknya di Kedah. Datuk Yunus ini seorang guru silat dan mempunyai ilmu pertahanan diri yang ampuh. Bila aku hendak pulang ke KL, Yunus menelefon aku dan bagai orang mengantuk disorong bantal, dia menumpang aku balik ke KL sebelum pulang ke Sarawak. Yunus adalah seorang pegawai beruniform. Dia singgah ke kampung aku menaiki bas sebelum kami bertolak ke KL.

Yunus. Sahabat aku nan seorang ini semborono, berani dan keras kepala. Berhati mulia dan ringan tulang. Orangnya sedikit pendek dan gempal, tapi jangan dibuat main. Bila dia buat keputusan, alasan apa pun tak berguna. Rayulah macam mana pun, keras kepala dia yang menang. Aku ingin pulang ke KL kerana ingin menguruskan dokumen untuk job seterusnya. Baki cuti Yunus masih bersisa 5 hari. Kami memulakan perjalanan dari Pulau Pinang selepas subuh. Sebenarnya Yunus kena pergi ke rumah kawan datuknya di Ipoh. Dia kena beri sesuatu yang datuknya kirim kepada kawannya tu. Tapi Yunus dapat panggilan dari datuknya semasa kami sampai di Changkat Jering, kawannya tu tidak dapat berjumpa Yunus kerana ada urusan lain. Aku tidak bertanya barang apa yang dikirim. Bukan urusan aku.

Bila memandu, Yunus akan merokok, buka tingkap konon untuk fresh air dan melalak melolong lagu trash yang menjadi kebencian aku. Bingit dan aku tak tahu butir apa yang dinyanyikan. Selalu juga kami bergaduh fasal tingkap. Penat melalak, dia akan berceloteh. Pendek kata, seronok bila dengan dia ni. Makan minum dalam kereta jangan cakaplah, membantu dia khusyuk memandu. Kalau tak makan, dia tak ada mood nak memandu. Alasan dia yang aku tak boleh brain sampai sekarang

Perjalanan lancar, cuaca baik dan kereta tak banyak di lebuhraya, mungkin kerana hari bekerja. Menghampiri Tanjung Malim, Yunus buat kerja gila lagi. Kerana giliran dia yang memandu, katanya dia teringin nak bercuti di tempat dingin tersohor di Pahang. Cutinya masih banyak dan dia sudah buat tempahan masa giliran aku memandu. Gila betul mamat ni. Suka tak suka aku kena ikut. Tahu sangat bila dia dah buat keputusan semberono tu, dengan berat hati terpaksalah aku ikut. Lagipun lama juga aku tak ke sana. Seronok juga fefeeling England gitu.

Kerana kami awal dari Pulau Pinang, kami sampai awal juga ke Tanjung Malim, lebih kurang jam 11.30 pagi. Satu lagi kerja gila Yunus, angin semberono dah sampai. Boleh dia kata dia nak mandi jeram. Dia tahu di mana jeram tu dan katanya ramai yang tak tahu kerana tempatnya jauh dan tiada sebarang kemudahan. Mulanya aku membantah, tapi dia ugut untuk turunkan aku. Berjalanlah kaki ke KL kalau boleh katanya. Aku tak ingat jeram tu di mana, sama ada di Tanjung Malim atau atas sedikit. Cuba google pun tak jumpa.

Jalan masuk ke jeram tu juga hanya tanah merah dan sekelilingnya banyak pokok lalang tinggi-tinggi yang berbunga putih macam penyapu tu. Semak samun jangan cakaplah dan pokok-pokok besar banyak juga di kiri kanan. Tapi pokok lalang paling banyak berayun-ayun dengan bunga putihnya. Kami sampai dalam pukul 12.30 tengahari. Tiada seorang pun di situ, hanya kami berdua. Yunus sudah tak sabar nak berendam. Aku pula tidak berhasrat untuk mandi.

Kami letak kenderaan tidak jauh dari melanggar dan meranapkan pokok lalang yang banyak di situ. Aku yang masih terhegeh-hegeh dalam kereta, tahu-tahu Yunus sudah belari dan terjun ke jeram. Baju pun tidak disalin. Seronok sungguh dia mandi. Jeramnya cetek di tepi bukit. Airnya sejuk dan mengalir laju, memang sesuai untuk berkelah. Kawasan bukit di tepi jeram itu sudah dipugar, mungkin tuan tanah ingin mengambil atau menjual tanah, fikir aku dalam hati. Di atas sedikit, hanya hutan tebal sejauh mata memandang.

Entah kenapa, semasa memasuki kawasan itu, hatiku sudah mula berdebar. Rasa tak sedap hati. Aku percaya kepada naluri aku, mesti ada benda tak baik akan berlaku. Tapi kerana Yunus beria-ia dan sangat gembira, aku sembunyikan saja dari dia. Tengah sedap berguling-guling dalam jeram cetek tu, boleh pula si Yunus ni bangun dan meniti jeram sampai ke tebing di kaki bukit. Katanya tak puas mandi, cetek sangat. Dia nak mandi di tempat lebih dalam, kerana dia masih ingat ada kolam di atas. Dia menyuruh aku cepat mengikutnya. Terpaksalah aku ikut kerana sejujurnya perasaan tidak sedap hati itu membuatkan aku sedikit berasa takut keseorangan.

Kami mula mendaki dan sampai pada satu kawasan lapang. Di kawasan itu, habis semua pokok di tebang. Sisa2 pokok berlonggok di satu kawasan, jadi terang dan lapang. Di hujung kawasan sebelum sampai ke lembah diapit 2 bukit, ada sebuah knoll (anak bukit kecil) yang bulat. Di atasnya ada tunggul pokok yang sudah lama m**i dan sudah kehitaman warnanya. Bila dekat, tunggul berlubang itu menyerupai kerusi. Cantik sangat kerana anak bukit tu bulat seperti dibuat orang dan tunggul tu betul-betul di tengah. Macam takhta dalam cerita P Ramlee. Dari tempat kami naik, ada semacam lorong tikus yang bagi aku cantik dan licin, tanda selalu dilanda kaki. Lorong tikus tu berhenti tepat di depan tunggul m**i tu. Sesuatu yang pelik pada aku.

Yunus sudah tidak sabar untuk bergambar. Dengan selamba dia panjat anak bukit tu dan suruh aku mengambil gambar. Posing sakanlah dia. Duduk, berdiri, di depan dan dibelakang tunggul tu. Masa dia datang balik ke depan dan berdiri berposing dan kemudian menyangkung, sekonyong-konyong aku terlihat bayangan perempuan tua berbaju kuning, lengkap dengan selendang dan goyang di kepala memandang Yunus dengan pandangan yang marah. Walaupun sekejap dan walaupun kabur seperti asap, aku dapat melihat bajunya kebaya panjang warna kuning kunyit seperti warna di raja. Ketakutan aku terjawab waktu itu dan segera aku ajak Yunus berpatah balik. Masa tu, kalau badan aku ditoreh, apa pun tak keluar. Semangat macam dah terbang entah ke mana.

Yunus kata dia ingin ke lembah di depan konon untuk explore. Gila betul dia ni, nak explore apa? Bukan ada apa pun di depan, hanya hutan. Katanya, dia belum puas lagi mandi dan ingin ke kolam tu, tapi dia ingat-ingat lupa jalannya. Berat sungguh hati aku untuk melangkah. Tapi aku ikut juga, sebab rasa seram sudah menguasai diri. Aku berpura-pura seperti biasa walau lututku sudah terasa lembik. Lembah di depan kami itu seperti sempadan. Kami sampai pada kawasan berhutan. Di belakang kami gondol, tapi di depan, hutan tebal. Yunus melangkah ke lembah diapit 2 bukit tu dan aku mengikut dari belakang.

Aku tak jauh dari dia, maklumlah aku takut. Sekali lagi aku diduga. Di kiri aku lembah dan sekelip mata, aku nampak seperti ada tangga batu naik ke atas. Tangganya cantik dengan batuan merah. Lebarnya hanya muat untuk seorang. Batunya disusun indah melekat di lereng bukit. Tidak pernah aku lihat tangga seunik itu. Aku mengalih pandangan bila Yunus suruh aku cepat. Tapi, bila aku pandang balik, hanya batu-batu biasa dengan semak samun dan pokok. Tiada tangga batu cantik tu. Aku semakin takut, dan mula menyesal tidak berkeras dengan Yunus. Yunus hanya beberapa langkah dari aku, dan tiba-tiba dia berhenti. Tercegat dia berdiri. Tidak bergerak atau berkelip. Hati aku bagai tenggelam dengan ketakutan. Dia berdiri pegun dalam 10 saat begitulah, tidak bergerak-gerak. Kalau aku boleh terbang, dah lama aku terbang. Cara Yunus tercegat berdiri aku tahu dia sedang lihat apa yang aku tidak dapat lihat.

“OK lah, jom turun, aku nak sambung mandi pastu kita gerak” katanya tiba-tiba dan berpusing lalu melangkah. Gembira hati aku, macam dia tahu saja apa dalam hati aku ni. Melepasi anak bukit tu dalam beberapa langkah, dia buat kerja gila lagi. Boleh dia suruh aku ambil gambar berlatar belakangkan anak bukit dan lembah. Aku membantah tapi dia berkeras nak bergambar. Sempat aku snap dua tiga gambar. Bebal sungguh mamat ni, tak nampak ke isyarat yang aku bagi? Bila aku angkat telefon nak ambil gambar lagi, aku rasa macam nak pengsan bila sekali imbas, nampak lagi perempuan tua berbaju kuning di tunggul kayu tu. Sekali imbas, pandangan aku macam nampak dia merenung Yunus, bukan aku. Sekali imbas saja, kemudian lenyap. Dua kali nampak bayangan perempuan tua tu, membuatkan aku jadi terlalu takut. Aku tahu Yunus nampak aku terkejut, tapi dia masih boleh mengawal perasaannya. Maklumlah orang ada ilmu di dada.

Yunus melompat turun dari anak bukit dan mengambil handphone dari tanganku untuk melihat gambar yang aku snap tadi. Bila dia lihat gambar itu, dia senyum dan kata aku pandai mengambil gambar. Gerak hati aku berkata dia mungkin nampak sesuatu, tapi dia juga sembunyikan dari aku. Dia tenang sahaja dan sempat menyanyi-nyanyi semasa turun. Alangkah leganya bila dia cakap tidak jadi sambung mandi dan ingin meneruskan perjalanan ke pusat peranginan tu.

Selepas melepasi jeram, aku segera meluru ke kereta dengan hati yang lega. Hidungku tiba-tiba menangkap bau tahi lembu yang kuat. Kuat sungguh baunya, hampir mual aku dibuatnya. Aku tahu Yunus juga terbau benda yang sama, tapi dia tidak gelabah seperti aku. Tercari-cari aku, ada atau tidak lembu berdekatan. Semasa masuk tadi, aku tidak perasan ada atau tidak lembu. Tapi, aku rasa tidak. Logiknya, bau tahi lembu yang kuat ini hanya jika kita berada di dalam kandang lembu dengan jumlah lembu yang banyak. Aku secara tidak sedar memandang keliling. Yang aku nampak hanya pokok lalang bergoyang ditiup angin. Tiada kelihatan lembu walau sekerat pun.

Dengan segera aku tepat menuju ke tempat pemandu tapi ditegah Yunus. Dia kata dia yang akan memandu. Malas nak bertekak, aku segera ke tempat penumpang di sebelah. Paling sakit hati, Yunus seolah-olah melambatkan proses kami nak keluar dari tempat tu. Dia memandu dengan sangat perlahan, betul-betul menyakitkan hati. Aku minta dia laju sedikit tetapi tidak diendahkannya. Sepanjang perjalanan nak keluar, debaran hati aku menjadi lebih kuat. Tangan aku terketar-ketar, rasa takut yang susah nak aku jelaskan. Yunus tenang sahaja memandu, ambil own sweet time dia. Apa yang aku perasan sepanjang memandu keluar dari jeram tu, Yunus asyik pandang cermin pandang belakang. Aku nak pandang cermin sisi pun takut. Aku lebih banyak tunduk , tak berani nak menoleh pun.

Aku tidak berani memandang apa pun masa tu, hanya menutup mata. Hanya sekali sekala buka mata sedikit melihat sama ada kami sudah sampai ke jalan besar. Perangai Yunus yang sengaja pandu perlahan membuat aku sedikit marah. Apa lagi yang kau terhegeh-hegeh ni, kata hati aku. Sudahlah tiba-tiba seluruh kereta berbau tahi lembu. Tapi kerana dia yang memandu, terpaksalah aku diamkan saja. Akhirnya kami sampai ke jalan besar, dan barulah Yunus memandu seperti biasa. Bila agak jauh dari jeram dan jumpa banyak kawasan lapang, bau busuk mula hilang.

Aku rasa selepas beberapa kilometer dari jeram tu, kami masih membisu seolah larut dalam perasaan sendiri. Selepas itu barulah kami terjumpa dengan rumah-rumah dan kedai. Yes! Manusia dan peradaban, fikirku lega. Yunus masih membisu walaupun aku cuba memulakan perbualan. Takkan sentap pulak mamat ni, fikir aku. Perangai Yunus yang diam itu membuatkan aku tertanya-tanya apa yang dia nampak. Lagi satu yang aku perasan, Yunus tak buka tingkap atau hisap rokok sehinggalah kami sampai ke pekan Kuala Kubu Baru, walaupun bau tahi lembu menyengat hidung dan memualkan tekak. Bila sampai di situ, barulah dia merokok. Tapi itulah, sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Tapi aku tidak bertanya tentang hal di jeram. Boleh kena marah rasanya kalau aku tanya sekarang.

Kami singgah mengisi minyak dan bergilir solat di surau stesen minyak, selepas itu ke restoran untuk makan tengah hari. Yunus masih diam, seleranya tidak seperti selalu. Selalunya, dialah Alam Flora yang akan makan sampai licin. Aku pun tiada selera nak makan. Aku hilang tingkah dan serba salah, nak tegur Yunus takut dia mengamuk pulak. Takkan aku nak pujuk bagai. Selepas makan, dia singgah untuk beli rokok dan kudapan dan air. Rokok! “Penyelamat” aku sebab dengan rokok mungkin Yunus akan jadi Yunus yang aku kenal dari sekolah menengah. Di langit, awan hitam menandakan hari akan hujan. Hujan dan perjalanan di atas bukit, sesuatu yang aku takutkan.

“Hang betoi nak pi jugak ka? Nak hujan ni” kata aku. Yunus pandang ke langit dan cakap “Alang-alang dah sampai sini, naik teroih la”. Aku offer diri memandu tapi Yunus tetap berdegil nak memandu juga. Jalan berbukit kami redah dalam hujan. Lama juga di atas jalan, kami tak jumpa sebarang kenderaan yang naik. Yunus masih membisu, air kotak yang aku hulur pun tidak diambilnya. Tengok air mukanya saja, aku tahu dia sedang berkira-kira dalam kepalanya. Segala rancangan aku untuk menghilangkan rasa bosan masa itu aku buang jauh-jauh. Sampai saja di sempadan Selangor dan Pahang, hujan turun menggila. Aku yang salah tingkah dengan kelakuan Yunus yang nyata berbeza cuba berfikir secara rasional. Dalam hati juga berdoa supaya perjalanan kami ke destinasi itu selamat.

Kerana bosan, aku tertidur. Kesejukan dan kebosanan membuatkan senang saja aku terlelap. Aku terjaga apabila kepalaku terhentak pada cermin tingkap. Sah, Yunus cuba mengelak dari sesuatu. “B**i! Sengaja nak cari geruh aku ni. Nak cari pasai ngan aku ka?” katanya sendirian dengan matanya fokus ke depan. Tak sampai 5 saat, kami rasa macam seat belakang terhenjut. Macam ada orang duduk. Mustahil, kereta sedang bergerak. Aku nak buka mulut bertanya, tapi automatik aku senyap bila bau tahi lembu mula menusuk hidung. Busuk sungguh-sungguh sampai hampir aku nak termuntah. Rasa takut kembali menguasai diri aku.

Korang fikir Yunus buat apa? Dia hentikan kereta, hentak tangan di stereng, jegilkan mata danl pandang ke belakang. Perbuatan Yunus itu menyebabkan aku rasa aku seperti seekor binatang yang masuk ke perangkap dan hanya menunggu masa untuk m**i. Seminit juga kami berhenti dan Yunus terjegil memandang ke belakang. Aku dah menggeletar, menutup mata dan mula membaca apa-apa surah lazim walau tunggang langgang. Keadaan sunyi, hanya dengar titisan hujan yang menimpa bumbung dan cermin depan kereta. Aku tidak pernah rasa takut sebegini, walaupun kami berdua.

Aku dapat rasa Yunus masukkan gear dan kereta mula berjalan. Tak berani aku nak buka mata. Dalam beberapa lama, bau busuk tahi lembu itu makin lama makin hilang dan kereta meluncur laju menuju ke destinasi.

Bersambung.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku
Rating Pembaca
[Total: 35 Average: 4.7]

8 thoughts on “Yunus”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.