Akak Di Belakang Pintu- Part 3 & 4 (Kesinambungan Awek Mata Bundar)

Salam admin FS yang dikasihi dan warga FS sekalian. Terima kasih sokong abe. Lambat sikit update sebab FB abe kena block selama tiga hari, lepas tu laptop abe pulak masuk hospital. Slow-slow abe taip guna henpon.

Jemput baca Part 3 dan 4. Enjoy.

Kaku aku kat depan pintu bilik air tu. Jantung aku berdegup punyalah laju. Semput nafas aku dibuatnya, tak larat nak catch-up. Rasa macam nak putus nyawa. Mata aku pulak tak boleh dikalihkan. Asyik pandang ke dalam bilik ketiga tu je.

Pintu bilik ketiga tu setentang dengan pintu bilik air. Keluar bilik air memang nampak isi dalam bilik ketiga yang kami jadikan stor tu sebab pintunya sentiasa terbuka. Benda tu pulak tercongok kat dalam bilik ketiga tu. Banyak kali aku cuba paling ke lain, tak nak tengok benda tu lagi. Orang kata kalau nampak benda mistik, jangan tenung mata dia. Tapi aku dah buat silap. Keluar-keluar bilik air tadi, aku terus pandang mata dia. Sekarang ni, sampai naik juling bijik mata aku ni aku tarik, tak terkalih jugak mata aku dari dia.

‘Ibu…. ibu… buuuu…’ Aku cuba panggil ibu tapi suara aku bergema dalam hati je. Tak keluar ikut mulut yang terkumat-kamit macam mulut ikan emas. Cuba angkat kaki, tapak kaki pulak keras kematu. Melekat kat lantai. Masa tu aku sedar, tubuh badan aku dah kena kunci.

Tungku-lumus aku cuba gerakkan kaki. Berat Ya Rabbi. Body aku rasa macam batu yang dah kena sumpah dengan sang kelembai. Roh nak lari tapi tak boleh sebab terperangkap dalam body. Mulalah hati aku baca ayat-ayat suci. Dahlah waswas sebab baca kat depan bilik air, bacaan pulak berterabur. Dan aku tahu bacaan aku takde kekuatan sebab benda tu ketawakan aku.

Hawau! Dahlah masuk ke rumah aku tak berjemput, ada hati nak gelakkan orang.

Sekali lagi aku baca ayat Kursi. Aku baca pelan-pelan. Biar betul sebutan aku. Benda tu gelak lagi. Nokharae betul! Pastu dia hilang. Sedetik, dia muncul balik. Dah makin dekat dengan pintu. Allahu… dia nak datang dekat aku.

‘Ibu…’ Aku panggil ibu sekali lagi tapi memang sah ibu tak dengar. Dahlah dia tengah menonton khutbah Jumaat masa tu. Gerenti tak sedar apa jadi kat aku. ‘Allahu… ya Allah, tolong aku.’

Tum!

Pintu bilik ketiga terkatup sendiri. Terdengar suara jeritan dari dalam bilik ketiga, disusuli bunyi menderam macam bunyi kucing bergaduh. Lepas tu aku dengar bunyi benda bergelut dan sesuatu terhempas kat lantai, kat dinding, kat pintu. Bunyi mencakar pun ada.

“Bunyi apa tu, Cin?”

Aku paling kepala. Ternampak ibu melangkah ke arah aku, cepat-cepat aku berlari mendapatkan ibu. Tak tahu nak cakap macam mana betapa lega hati aku ni bila sedar aku dah boleh bergerak.

“Jom keluar, bu.” Aku tarik tangan ibu. Tapi ibu, biasalah. Degil Ya Rabbi. Dia rentap tangan dia dari pegangan aku.

“Bunyi apa kat dalam bilik stor tu?” Ibu mengatur langkah ke bilik ketiga.

“Bu, jangan, bu. Ada benda kat dalam bilik tu.” Aku paut bahu ibu. Ibu terus jalan. Aku pulak tak sampai hati nak lepaskan bahu ibu. Akibatnya, aku ikut tertarik ke bilik ketiga tu.

Ibu berdiri kat depan pintu bilik yang terkatup tu. Bunyi pergaduhan masih kuat kedengaran. Ada dua suara kat dalam bilik tu. Suara yang menyeramkan. Meremang bulu roma dan bulu tengkuk aku. Tapi ibu rileks je. Tak takut langsung dia.

Ibu ketuk-ketuk daun pintu tu. Ya Rabbi, beraninya ibu. Naik berderau d***h aku. Ibu pulas-pulas tombol bulat tapi pintu tak boleh dibuka. Dia tarik-tarik tombol tu. Berdentum-dentum bunyi daun pintu tapi pintunya masih terkunci. Bunyi bising makin bising pulak aku dengar, macam berlawan dengan bunyi pintu yang ibu tarik.

“Azan!” perintah ibu kat aku.

Sebagai anak yang soleh dan taat pada ibunya, aku terus azan. Ibu tarik aku supaya aku azan betul-betul kat depan pintu. Makin meremang bulu roma aku. Mujur ibu berdiri kat sebelah.

“Azan lagi,” kata ibu lepas aku selesai azan pertama. “Azan jangan berhenti.”

Aku azan seperti yang ibu suruh. Sambil tu, ibu pulas tombol pintu. Dekat dua puluh kali kut aku azan, azan zohor berkumandang dari tv. Baru bunyi pergaduhan tu diam.

Klik!

Ibu pulas tombol. Pintu bilik stor terbuka. Aku jauhkan diri tapi rasa malu pulak bila tengok ibu rileks je masuk ke dalam bilik tu.

“Ya Rabbi…” Ibu mengeluh.

Aku pun mengeluh bila tengok barang-barang yang kami simpan kat dalam bilik tu, habis bersepah dan pecah.

“Aku dah agak dah,” kata ibu lagi. Tak tahulah apa benda yang dia dah agak tu. “Aku tunggu je. Nak tengok khadam mana dia nak hantar.” Ibu mula bercakap dalam teka-teki. “Hmmm… pelik.”

Aduh, ibu. Apa cakap sorang-sorang ni, bu? Menyeksakan betul. Puas aku perah otak meneka apa benda yang ibu bebelkan tu, tak terjangkau jugak dek akal aku.

“Mana garam bukit yang kamu beli semalam?” Ibu pandang muka aku. Tengok aku blur agaknya, dia tampar muka aku. “Garam bukit yang kamu beli kat ustaz penipu tu mana?”

“Errr… entah.” Tak ingatlah. Aku rasa aku keluar kereta semalam tak pegang apa-apa.

“Mana ayah kamu letak.” Ibu ke dapur. Serata dapur tu dia cari garam bukit tiga bekas yang ayah beli kat ustaz palsu tu semalam. Akhirnya, jumpa jugak. Atas peti ais ayah letak.

Ibu ambil ketiga-tiga bekas tu bawa ke singki. Habis garam bukit tu dituangnya ke dalam singki. Mulutnya membebel memaki ustaz palsu yang dia tuduh hantar khadam mengacau aku. Air paip dipasang supaya garam tu masuk ke longkang. Bekas garam bukit dibungkusnya di dalam plastik. Pastu ibu buang ke dalam tong sampah.

“Pergi mandi dulu. Lepas tu solat. Ibu nak kita baca yasin sama-sama.”

Ibu menonong ke depan. Aku mengekor sebab nak ambil tuala kat dalam bilik. Masa lalu depan pintu bilik ketiga, aku ternampak sesuatu berdesup menyorok kat balik pintu. Berderau d***h aku. Cepat-cepat aku merapati ibu. Sampai masa jalan tu, kaki aku tersepak tumit ibu. Kepala ibu paling ke belakang. Dia punya kerut kat celah kening tu, dalam betul. Terpacak dua garisan naik ke dahi.

“Lumba siapa dulu sampai ke depan, bu.” Aku sengih. Nak cover line. Takut ibu tanya soalan macam, “kenapa muka kamu pucat?”

Macam mana aku nak jawab? Mesti ibu nampak kepucatan aku sebab aku sendiri dapat rasa d***h kering dari muka aku ni. Nanti terpaksa pulak aku cerita pasal kelibat yang berdesup menyorok kat belakang pintu tu tadi. Aku tak nak ibu takut je tapi macam kelakar pulak alasan tu. Ibu? Takut?

“Takpelah. Ibu bagi chance kamu menang.” Ibu suruh aku p****g dia. Siap tarik aku lagi suruh jalan kat depan dia.

“Ibu mandi dulu. Cin mandi lama,” kata aku.

Ibu tak bantah. Dia memang tahu aku kalau dapat mandi, memang berabad aku duduk kat dalam bilik air tu. Bukan aku nyanyi pun. Ibu kata, aku sabun sehelai-sehelai bulu roma aku. Tu pasal lama.

Semasa ibu mandi, aku pergi ke bilik stor nak periksa belakang pintu. Nak pastikan kelibat yang aku nampak tu hanya imaginasi aku je. Tak larat dah rasanya aku nak pagar rumah ni tiap-tiap hari atau berada dalam keadaan berjaga setiap masa. Kerja hakiki aku dahlah memenatkan. Balik kerja, aku tak nak fikir apa-apa kecuali berehat menonton tv dengan BFF aku, si Petak.

Berdiri je kat depan pintu bilik stor tu, bulu roma aku dah meremang. Memang sahlah ada benda kat dalam bilik tu. Kalau tak, aku takkan rasa seram. Pelan-pelan aku tarik daun pintu yang terbuka supaya tak berbunyi. Aku tak nak bagi ibu yang ada kat dalam bilik air dengar apa aku tengah buat.

Habis menggeletar satu badan masa aku jenguk kat balik pintu. Phew! Lega aku rasa bila tengok takde apa-apa kat sana. Imaginasi aku je tadi.

Sementara tunggu ibu siap mandi, aku kemas barang-barang yang bersepah kat dalam stor. Tak nak aku Petak tengok apa jadi kat dalam bilik stor tu. Kesian dia. Disebabkan aku, dia terpaksa hadap shaytonnirrojim ni. Aku cakap betul-betul, aku menyesal ushar Tikah. Memang aku sengaja cari penyakit malam tu. Sebelum ni hidup aku dengan Petak aman je. Tak pernah kena kacau. Badan pun tak sakit. Disebabkan perangai nokharae aku yang pantang tengok perempuan cantik, aku dan Petak dapat bahana.

Menyesal! Petak balik kerja nanti aku nak minta maaf.

Bulu roma aku tegak balik bila nampak kesan cakaran kat barang-barang aku. Aku cek barang-barang Petak pulak. Berderau d***h aku bila tengok barang-barang dia masih tersusun elok, tak berusik langsung. Kat barang-barang aku je benda tu cakar dan sepahkan. Memang benda tu tuju kat aku sorang. Aku susun balik barang-barang aku. Yang ada kesan cakar, aku letak kat bahagian bawah.

“Guna lagi ke barang tu?”

Kuss semangat! Ibu ni… macam nak luruh jantung aku dibuatnya.

“Tak guna dah,” jawab aku. Guna apanya kalau dah simpan kat dalam stor. Bukan apa, aku sayang nak buang. Aku beli dulu dengan duit kut. Kerja susah-susah cari duit, beli barang, lepas dah rosak, senang-senang je buang. Macam tak bersyukur je aku rasa. Sebab tu selagi boleh simpan, aku simpan barang-barang ni. Bila dah betul-betul terpaksa, baru aku buang. Petak pun sama. Dia pun berfikiran macam aku jugak. Takut Allah murka sebab tak bersyukur.

“Kalau dah tak guna, buang je. Menyemak je simpan.” Ibu belek barang yang aku cuba sorok kat bawah barang-barang lain. “Yang ada cakar-cakar ni jadi tadi ke?”

Aku mengangguk.

“Buang semua. Dia buat tanda ni. Macam harimau kencing kat pokok, buat tanda kawasan dia. Buang.” Ibu sepahkan semula barang-barang aku. “Pergi ambik plastik sampah.”

Aku yang menurut perintah, terus pergi ke dapur. Plastik hitam yang tebal tu aku bawa kat ibu.

“Pergi mandi. Biar ibu kemas barang kamu. Yang sana tu siapa punya? Petak ke?”

“A ah.”

Ibu angguk sambil suruh aku mandi. Aku berdiri kejap kat situ. Ucap good-bye kat barang-barang aku. Lepas tu aku masuk bilik air.

Usai mandi, aku tengok ibu masih duduk kat dalam bilik stor tu. Dia duduk membelakangkan aku. Hairan, aku masuk ke dalam bilik stor tu. Tak sudah lagi ke? Banyak sangat ke barang aku sampai empat plastik sampah pun tak cukup?

“Ibu, tinggal je. Nanti Cin buat.” Aku cuit bahu ibu. Dia buat tak endah je. “Ibu kata nak baca yasin sama-sama tadi.”

“Yalah. Jom.” Ibu berdiri.

Aku pusing. Nak keluar dari situ.

“Allahu!” Terperanjat aku tengok ibu berdiri kat depan pintu. Aku pusing kepala ke belakang. Ibu yang aku tegur tadi dah ghaib.

“Kamu cakap dengan siapa?” tanya ibu.

“Ada benda, bu.” Aku tarik ibu ke depan.

“Pergi solat. Ibu dah solat.”

“Ibu nak buat apa?”

“Nak ambil air.” Ibu terus ke dapur. Aku pula masuk ke dalam bilik. Solat.

Selesai solat, selesai baca yasin bersama-sama, ibu suruh aku pagar rumah guna air yasin tu. Mujur aku dah biasa buat dengan Petak. Jadi aku pagar rumah tu macam yang biasa Petak buat. Lepas tu aku azan kat empat penjuru rumah. Ayah balik masa aku tengah azan kat dalam bilik stor.

“Kenapa ni?” soal ayah. Terpinga-pinga dia pandang aku.

“Pagar rumah dengan air garam bukit. Khadam ustaz palsu tu kacau Mohsin.” Ibu tolong jawabkan sebab aku tengah azan. Tapi dia tersalah cakap. Air yasin jadi air garam bukit. Marah sangat kat ustaz palsu tu kut, sampai tersasul.

“Tak baiklah menuduh. Kan Cin elok lepas mandi air garam semalam. Cerah balik muka dia,” tingkah ayah. Berubah dah suara ayah. Yalah, kawan dia yang syorkan ustaz palsu tu semalam.

“Memanglah. Mula-mula dia bagi baik. Nak bagi kita percaya kenalah buat macam tu. Lepas tu dia hantar khadam dia kacau kita. Kita pun pergi balik kat dia, minta ubat lagi. Kita bayar lagi kat dia RM50. Macam tu lah dia buat duit.” Ibu sambung bebel. Cakap ayah sikit pun dia tak peduli. “Kaki ambik kesempatan. Nampak je orang sakit, bukan dia nak tolong. Dia hantar lagi khadam dia kat kita. Sebab tu dia tak ruqyah. Kalau ruqyah, habis khadam dia lari. Macam mana dia nak buat duit kalau takde orang sakit. Tak elok betul perangai. Moga dia cepat insaf.”

“Siap masak dah?” Ayah punya stail. Dia tak setuju dengan pendapat ibu, jadi dia ubah topik sebelum dia dan ibu bergaduh.

“Dah. Nak makan kat mana? Kat sini ke kat depan?” tanya ibu. Suara dia tak marah-marah lagi macam tadi.

“Kat depanlah. Cin, dah makan?” tegur ayah.

“Belum.”

Kami bertiga makan kat depan tv. Ibu masih tak puas hati. Dia suruh aku cerita kat ayah apa jadi dari A sampai Z. Aku pun ceritalah.

“Dah tak demam kan?” Ayah pandang aku. Dia pun tak nak mengalah.

“Esok kita bawa dia ke Darussyifa’.” Ibu guna kuasa veto dia.

Ayah pandang tv. Dia dah kalah. Aku habiskan makan, lepas tu aku tolong ibu kat dapur. Dia masih membebel. Masih tak puas hati.

Petak balik kerja macam biasa. Nampak je dia, terus aku peluk dia. Rindu ooo… empat hari tak jumpa kawan baik aku ni. Petak sengih-sengih je. Malu aku peluk dia depan ibu dan ayah.

“Sihat dah kau, Sin?” tanya Petak.

“Alhamdulillah.”

“Ustaz tu serasilah dengan kau,” kata Petak lagi.

“Takde maknanya.” Ibu mendengus. “Esok ibu nak bawa Mohsin ke Darussyifa’. Petak ikut sekali.”

“Okey.” Petak pandang aku. Terpinga-pinga. Tapi aku tak sampai hati nak bagi tahu pasal kejadian tengah hari tadi. Aku boleh handle, jadi biar aku settle sendiri.

Malam tu, aku suruh ibu tidur kat dalam bilik aku. Biar aku tidur kat luar dengan ayah tapi ibu tak bagi. Adalah tu dia nak bincang dengan ayah.

Aku masuk bilik dan tutup lampu. Baring kat atas tilam sambil pandang siling. Berfikir sampai bila hidup aku akan jadi huru-hara macam ni. Masa aku tengah khusyuk berfikir, aku ternampak selonggok bayang hitam kat dinding tepi pintu. Kalau buka pintu, dinding tu jadi tersorok. Bayang hitam tu berbentuk manusia. Aku angkat kepala. Tengok betul-betul. Takde pulak. Tapi bila aku pandang siling, aku nampak balik bayang hitam tu. Aku mula rasa tak sedap hati. Tapi aku tak nak kecoh. Sian ibu dan ayah. Sian Petak. Jadi aku handle sendiri. Aku baca ayat Kursi. Tapi bayang tu tetap ada. Imaginasi aku kut.

Aku ambil handphone. Aku balas whatsapp Dahlia. Dia tunggu aku rupanya. Syok aku. Hilang rasa seram dapat sembang dengan awek manja tu.

“Terunarebutan anak emak rupanya!” Kemain lagi Dahlia mengusik aku.

Masa aku nak balas tu, dari ekor mata aku nampak bayang hitam tadi dah berdiri kat tepi katil. Lepas tu aku nampak satu titik putih. Kecil je titik tu tapi nampak bersinar. Terasa macam titik putih tu mata. Aku tengok betul-betul kat titik putih tu, dua-dua hilang. Bayang hitam dan titik putih tu. Ghaib.

“Helo! Ada orang tak ni?” Dahlia Whatsapp aku. Lama sangat kut aku diam.

“Ada ni.” Aku bagi tahu dia aku nak ke Darussyifa’ pukul sembilan pagi esok. Ibu kata pagi. Aku assume pukul sembilanlah.

“Kita jumpa kat sana.”

Tersenyum aku baca Whatsapp balasan Dahlia. Sayang jugak dia kat aku. Hari tu kemain lagi tak nak jumpa.

Kami berwhatsapp sampai pukul 1 pagi. Dahlia minta diri. Penat sangat katanya. Kalau tak mesti panjang lagi sembang kami.

Masa aku mengiring, bayang hitam menyerupai kepala terjengul kat tepi katil aku. Betul-betul depan muka aku. Terus aku bangun. Nyalakan lampu. Malam tu aku tidur tak tutup lampu. Tapi aku tak berani tidur.

‘Cepatlah siang,’ doaku dalam hati.

Tapi sepanjang aku berdoa tu, aku dapat rasa benda tu ada kat sebelah aku. Berdiri kat tepi katil, tengah perhatikan aku. Sesak nafas aku dibuatnya. Apa bendanya pun aku tak tahu. Yang pasti bukan Tikah sebab Tikah ni jenis menunjuk-nunjuk. Dia suka tayang diri. Bila dia tak suka dengan approach aku je baru dia ngada-ngada menyorok dari pandangan mata kasar aku. Mentang-mentang boleh ghaibkan diri. Tapi benda yang tengah kacau aku sekarang ni, cara torture dia lain macam. Dia tak buat apa-apa pun tapi dia bagi aku rasa kehadiran dia.

Bila aku nampak titik putih yang aku rasa mata dia tu, aku pandang ke situ. Tapi macam tadilah, aku tak nampak apa. Titik putih tu pun automatik ghaib. Melilau bebola mata aku bergerak cari dia, tetap tak nampak. Dapat rasa dia ada dekat aku je. Dapat rasa dia bergerak. Bila aku toleh, dia matikan diri. Ya! Aku dapat rasa dia batukan diri dia.

Dup dap dup dap jantung aku berdegup. Habis satu badan aku melengas dengan peluh dingin. Pejam mata pun tak jalan. Sebab bila aku pejam mata, lagilah seram sebab aku boleh nampak bentuk dia. Berambut panjang yang lebat. Muka dia aku tak nampak. Sebab yang aku nampak masa aku tutup mata tu kelibat dia yang hitam selonggok. Berdiri je sambil perhatikan aku yang tengah ketakutan. Ke itu mainan jiwa aku? Wallahualam.

Mulut aku terkumat-kamit baca ayat Kursi. Habis, aku baca lagi. Selagi benda tu aku dapat rasa, selagi tu aku baca. Tak kiralah berapa round. Tapi dah nak masuk yang kesebelas kali aku baca ayat Kursi tu, dia tak berganjak pun dari sebelah aku. Dia gerak je. Macam orang yang berdiri lama-lama, mesti kena gerak sikit nak hilangkan lenguh.

Kenapa dia tak lari? Bacaan aku salah ke apa? Ibu pernah cakap, bila kita baca ayat suci dengan betul, benda tu akan lari sebab dia rasa panas membahang. Tapi kalau sebutan kita salah, memang tak jadi apa kat dia. Jadi bahan dia lagi ada.

Habis tu selama ni aku baca salah ke? Solat aku sah ke tak ni?

Dia gerak lagi. Ada bunyi pulak kali ni. Tik! Terus meremang bulu roma aku. Mulut aku mula baca ayat Kursi dengan kuat. Tapi taklah kuat mana suara aku sebab aku tak nak kacau ibu dan ayah yang tengah tidur kat luar. Aku baca cukup untuk telinga aku dan telinga benda tu je. Biar aku tak dapat dengar lagi bunyi tik dia tu. Habis baca, aku hembus kat mana aku rasa dia berdiri. Tapi tak jalan jugak. Malah, aku dapat rasa dia tengah gelakkan aku. Paranoid aku dibuatnya tengah malam tu.

Gangguan dia tu, walaupun dia tak buat apa-apa tapi tak boleh tidur aku dibuatnya. Susahlah kalau macam ni hari-hari. Macam mana aku nak kerja kalau badan aku dan otak aku tak dapat rehat yang secukupnya? Dahlah kerja aku tu kerja bahaya. Salah sikit, boleh runtuh struktur bangunan yang aku bina.

‘Ya Allah, tolonglah aku,’ doa aku dalam hati.

Tapi Allah masih nak uji aku. Nak bagi aku kuat. Sampai subuh aku tak dapat tidur. Bila azan subuh kedengaran, aku nampak kelibat hitam bergerak tinggalkan katil aku. Nampak dari ekor mata je. Bila pandang betul-betul memang tak nampak apa. Aku ikut je dia dari ekor mata. Pelan je dia bergerak. Sampai ke pintu, dia hilang.

Badan aku terus jadi lemah. Terus penat. Aku ingat nak tidur kejap tapi tiba-tiba aku terdengar suara lantang ibu kat luar.

“Astaghfirullah… apa benda yang basah ni?”

Mata dah kuyu tapi aku tajamkan telinga. Aku dengar suara ibu dan ayah mengomel tapi tak jelas butir-butirnya. Ah, biarlah. Tidur dulu. Kejap lagilah aku tanya ibu. Tapi baru je terlelap, pintu bilik aku dibuka.

“Bangun. Solat subuh,” perintah ibu.

Aku bangun juga walaupun malas. Solat tu wajib. Sendi-sendi aku ketat. Badan pun rasa tak larat. Sakit. Kami solat berjemaah. Petak pun ada sama. Kena kejut dengan ibulah tu. Sian Petak. Suka-suki je ibu buat Petak tu macam anak sendiri.

Lepas subuh, ayah dan Petak bersembang. Ibu kat dapur, kelentang-kelentung siapkan nasi goreng. Bau harum semerbak. Buat aku lapar je. Tapi disebabkan mengantuk sangat, aku tertidur kat atas kerusi rotan.

“Mohsin…”

Aku buka mata. Nampak muka ibu yang kabur.

“Sarapan dah siap,” kata ibu.

Aku bangun, terus masuk bilik, tutup pintu dan tidur.

“Lailahaillallah budak ni!”

Aku dengar ibu cakap itu je. Yang lain aku tak dengar. Ibu pun tak kacau aku. Dia biarkan je aku tidur. Dapatlah dua jam kut.

“Mohsin, bangun. Kita pergi Darussyifa’.”

“Malaslah.” Aku pusing mengadap dinding. Tak puas tidur lagi dah ibu kejut.

“Pergi lambat nanti ramai orang.” Ibu tarik bahu aku. Baik aku bangun sebab bila ibu dah buat plan, aku tengah nazak pun dia takkan batalkan plan dia tu.

Kita orang pergi ke Darussyifa’ naik kereta Petak. Dia drive. Bagus otak Petak. Mesti ibu segan nak suruh dia melencong ke mana-mana kalau naik kereta dia. Hari Sabtu, bu. Orang nak berehat bukan nak jalan-jalan.

Aku dan ibu duduk kat belakang. Ayah kat depan. Kami singgah kedai dulu. Ibu nak beli garam dan lada hitam katanya.

“Balik karanglah beli, bu…” Kejap-kejap inilah pun nak beli barang dapur. Aku dahlah tak larat ni.
Ibu buat tak endah je kat aku. Dia cuit ayah suruh ikut dia.

“Kau makin teruk aku tengok, Sin,” kata Petak. “Tikah kacau lagi ke?”

“Bukan dia. Ada benda lain.” Kuat aku mengeluh. Aku cerita kat Petak apa jadi semalam. Terlupa yang aku dah berjanji nak handle sendiri masalah aku tu, tak nak susahkan dia lagi. “Malam tadi aku tak boleh tidur dibuatnya!”

“Dah dua tiga malam aku dengar tapak kaki orang berjalan kat depan bilik aku. Lepas tu aku dengar orang main pintu bilik stor.” Petak pulak cerita pengalaman dia. “Aku buat tak tahu je sebab aku ingatkan ibu kau. Tapi bila fikir balik, takkan ibu kut. Buat apa dia merayau pukul 3 pagi pergi ke bilik stor tu?”

“Bukan ibu. Benda tu,” jawab aku. “Tak, aku nak mintak maaf. Sebab aku, kau pun kena kacau. Nantilah… dah sihat nanti aku cari rumah lain.” PPR banyak dibina sekarang ni. Dah sihat nanti aku nak apply sebijik. Asalkan tak menyusahkan Petak lagi.

“Eh, apa ni, Sin. Aku tak kisah pun. Buat apa kita berkawan kalau aku tak boleh tolong masa kau susah. Masalah ni pun bukan kau yang cari,” kata Petak. Kan aku dah cakap, dia memang baik.
“Kalau aku tak gatal mengurat Tikah malam tu, tak timbul masalah ni.”

“Dia memang dah target kau, Sin. Bukan salah kau.”

“Terima kasih, bro.” Terharu aku dengar sokongan dia. “Ada satu benda lagi aku nak mintak maaf kat kau.”

Petak diam je. Dia pandang aku ikut rear-view mirror. Tunggu aku sambung cakap.

“Ibu aku, Tak. Aku mintak maaf sebab ibu buat suka hati dia je kat kau.”

Petak ketawa. “Sendulah kau ni, Sin. Emak-emak memang macam tu. Ibu kau sayang aku. Sebab tu dia buat aku macam anak sendiri. Aku tak kisah pun. Suka lagi ada.”

“Kau memang pelik!” gumam aku. “Kau okey tak kalau aku panggil ustaz Darussyifa’ datang rumah pagarkan rumah kita.”

“Elok gak idea kau tu. Aku pun heran, banyak kali dah kita buat tapi tak menjadi.”

“Kita tak power, Tak. Iman tak kuat lagi.” Sebutan pun tak betul. Maksudnya jadi lain. Mana pagar tak berlubang!

“Mungkin.” Petak keluar kereta bila ternampak ayah dan ibu keluar dari kedai. Dia buka boot kereta dulu, lepas tu dia pergi kat ibu dan ayah. Ambil beg-beg plastik dari tangan ayah. Patutlah ayah dan ibu selesa dengan dia. Sayang dia. Dia pandai layan ayah dan ibu aku macam dia layan mak bapak dia sendiri.

“Kawan ibu suruh bawa garam kasar dan biji lada hitam tu siap-siap. Bagi ustaz kat Darussyifa’ tu ruqyah,” kata ibu bila dia masuk balik ke dalam kereta, padahal aku tak tanya apa-apa pun.

“Cin ingat nak panggil ustaz pagar rumah kami tu,” kata aku.

“Eloklah. Makin melampau pulak dia mengacau. Kalau ibu jatuh tadi, boleh patah pinggang aku ni,” omel ibu.

“Patah pinggang pasal apa pulak, bu?” Amende la ibu ni. Cakap suka melalut.

“Pagi tadi, ibu bangun nak ke bilik air. Nak mandi. Dah subuh. Pijak je lantai, nyaris tergelincir.” Ibu bercerita.

“Lantai mana, bu? Bilik air ke?” Risau dah aku. Dah berapa hari aku tak cuci lantai bilik air tu.

“Tak. Kat depan tv tu lah. Lantai basah dari depan sampai ke dapur. Licin berlendir. Dua kali mop baru hilang,” jawab ibu.

“Ustaz Faizal kata, ada benda pecahlah tu kena tembak dengan air garam bukit yang awak guna buat pagar rumah semalam,” sampuk ayah. Dia baca SMS kat handphone dia. Tengah SMS dengan ustaz tu kut. Ustaz Faizal tu, ustaz palsu tu lah. Tapi bukan nama sebenar dialah yang aku guna.

“Bila masa saya pagar rumah budak-budak ni guna air garam bukit dia?” balas ibu. Kejam ooo nada suara dia. Ibu marahkan ustaz palsu tu sebenarnya. Tapi disebabkan ayah yang bawa aku jumpa ustaz palsu tu, ayahlah yang kena api lahar ibu.

“Semalam tu awak cakap awak pagar rumah guna air garam bukit,” balas ayah.

“Mana ada! Saya guna air yasin yang saya baca dengan Mohsin!” kata ibu. Dia tak sedar dia tersalah cakap semalam.

“Saya salah dengarlah tu.” Ayah mengalah. Dia simpan balik handphone dia dalam poket. Tak jadi berkomunikasi dengan ustaz penunggang agama tu.

“Garam bukit dia tu tak guna. Entah-entah garam tu yang tarik jin datang ke rumah budak berdua ni. Sebab tu saya buang semuanya!”

Terdiam ayah dengar cakap ibu. Sian gak kat ayah. Mesti dia malu. Tapi aku sokong ibu. Satu sen pun aku tak percaya kat ustaz palsu tu. Aku pun rasa garam bukit yang dia jual tu sebenarnya penyeru. Alamat rumah aku memang dia dah ada. Tapi kalau ada penyeru tu, kan senang jin khadam dia cari rumah aku.

Kami tak bersembang langsung lepas tu. Dalam perjalanan, hati aku berdebar-debar. Aku gelisah tanpa punca. Rasa macam nak suruh Petak patah balik ke rumah. Ibu pegang tangan aku. Agaknya dia perasan aku macam cacing kepanasan. Aku genggam tangan ibu. Terasa tangan dia panas.

“Bila kena ni, Cin?” tanya ibu lepas dia pulas lengan aku.

Terkebil-kebil mata aku tengok kesan lebam kat bahagian bawah lengan aku.

“Kena apa?” Ayah toleh ke belakang.

“Kena gigit dengan jin,” jawab ibu.

“Love bite ni, bu.” Aku cuba berlawak. Stress aku tengok kesan gigitan yang ada lima lubang tu. Kecil je lebamnya. Dia gigit kat pelipat siku. Malam tadilah ni aku kena. Sebelum tu aku tak nampak pun lebam tu.

Pap! Kepala aku kena sekeh dengan ibu.

“Kamu kalau aku dapat tahu kamu buat kerja tak senonoh tu sebelum menikah, aku k***t burung kamu tu sampai rata!” Ibu bagi amaran. Pantang tok nenek dia anak-anak conteng arang ke muka dia.

“Gurau jelah, bu.”

“Benda lain kamu nak bergurau takpe. Benda ni jangan!” Ibu bagi amaran.

“Yalah.”

Kami sampai ke Darussyifa’. Orang dah ramai masa tu. Ke tukang teman je yang ramai. Macam akulah, bawa bodyguard sampai tiga orang. Empat. Termasuk Dahlia. Dia dah sampai dulu.

“Dah lama ke sampai?” tanya aku.

“Pukul 9 tadi.” Dahlia senyum. Aku tersayat sebab malam tadi aku cakap, aku nak ke Darussyifa’ pukul 9.00 pagi. Tapi aku sampai dekat pukul 11.00. Hampir dua jam dia tunggu aku.

“Sian awak. Sorry lambat.”

“Takpe. Awak okey ke? Muka pucat sangat ni.” Dahlia angkat tangan dia. Macam nak sentuh dahi aku je tapi tak jadi. Dia teringat kat mana kita orang berada kut.

“Insya-Allah lepas berubat nanti saya okey.”

Aku pergi mendaftar. Dahlia tolong isi borang. Sayangnya dia kat aku. Lepas tu dia suruh aku duduk. Dia uruskan semuanya. Nak tunjuk kat ibu yang dia boleh jaga aku kut. Cia cia cia…

Ibu pulak, masa aku pandang dia, dia senyum semacam je. Senyum orang nak dapat menantu kut. Aku pun balas balik senyum semacam ibu tu. Syukur dalam hati dia suka kat Dahlia.

“Mak cik lama lagi ke duduk sini?” tanya Dahlia.

“Sampai lusa ada lagi,” jawab ibu. “Kenapa?”

“Kalau macam tu, saya nak jemput mak cik dan pak cik ke rumah malam ni.” Dahlia tersipu-sipu.

“Ada apa?” Ibu buat muka tak malu dia bertanya. Orang dah jemput tu pergi ajelah.

“Saya buat makan-makan sikit,” jawab Dahlia. Pipi dia dah makin merah.

“Dia pandai masak, bu.” Aku mencelah. Bukan puji kosong.

“Bolehlah jugak. Budak berdua ni nak bawa ke jugak?” Ibu buat lawak bodoh.

“Kenalah, bu! Sapa nak hantar ibu ke sana nanti?” Bengang je aku. Ibu ni macam tak faham pulak Dahlia tu jemput aku sebenarnya.

“Ibrahim Mohsin bin…”

Nama aku kena laung. Dengan dada berdebar aku masuk ke dalam bangunan tu.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 1.7]

46 thoughts on “Akak Di Belakang Pintu- Part 3 & 4 (Kesinambungan Awek Mata Bundar)”

  1. aku kalau baca cite si mohsin nie mesti kene tunggu,.. kau tahu tak, aku bukak Fiksyen Shasha nie semata-mata nak baca cerite kau aje tahu…

    bertapa mulianya hati aku.. cia cia cia

    Reply
  2. Assalamualaikum, kawan-kawan yang Mila hormati.

    Ramai jugak yang tanya pasal Abe Krambit. Mai la Mila cerita sikit.

    Tahun lepas Abe Krambit tulis Awek Mata Bundar, kisah dia digoda jin bernama Atikah dan disihir oleh ustaz palsu. Peristiwa tu terjadi 5 tahun lepas. Dia okey dah masa tu.

    Tapi tiba-tiba dia diam. Bila dihubungi, mak dia cakap Abe Krambit terkena santau angin sampai muntah d***h. Family dia bawa dia balik ke Kelantan untuk berubat tapi keadaannya makin teruk. Satu badan kena pasung. Tak boleh gerak, tak boleh makan.

    Hence, kami step in. Kami tolong cetak dan tolong jualkan buku dia untuk ringankan bebanan dia. At least dapat tampung belanja beli lampin pakai buang, ubat dan susu dia.

    Sekarang ni kami nak cari 150 orang pembeli lagi untuk habiskan stok buku-buku dia.

    Yang sudi beli untuk diri sendiri atau beli untuk orang lain (bayarkan harga buku dan kami carikan penerimanya), harganya seperti di bawah.

    Harga buku:

    Awek Mata Bundar
    RM 33 sm / RM 36 ss
    Termasuk pos.

    atau

    Kombo Awek Mata Bundar dan Seriau
    RM 50 sm / RM 57 ss
    FREE POSTAGE

    PM kami / ketik butang MESSAGE until beli.

    Atau whatsapp 0177473169 (Admin Hana – untuk urusan beli buku sahaja).

    Tolong SHARE pos kami ni. Sama-sama kita tolong Abe Krambit.

    Credit:fb Abe Krambit Global

    Reply
  3. Sapa2 nak taw ending dia
    Boleh la beli buku awek mata bundar ni
    Sambil membeli sambil mmbantu abe yg tgh sakit skrg
    Sedih jugak ending dia
    Tak sangka 🙁

    Reply
  4. ape kabar abe skrg ni? sy baru baca cerita mokhsin arini. tapau semua. igt nk smbg tp tertgk komen kata abe sakit. harap abe dikurniakan syifa buat abe.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.