Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada FS jika sekali lagi terpilih kisah saya ni untuk dikongsi bersama pembaca.
Sebelum ni saya sudah kongsikan kisah ibu saya dan sepupu-sepupunya yang nakal disakat penghuni dusun. Kali ini, saya ingin kongsikan pengalaman Pokde ibu saya (saya panggil dia Atokde, pangkat atuk saudara dengan saya tapi dalam penceritaan ini saya akan bahasakan dia sebagai Pokde), sepertimana yang diceritakan oleh ibu saya kepada kami.
Pokde ni seorang yang obses dengan haiwan yang comel-comel macam kucing, arnab, dengan burung. Selain itu, dia ni pun agak obses juga dengan pokok bunga terutama yang jarang-jarang orang jumpa, senang kata bunga hutan la. Di waktu kelapangan dia, memang selalu la dia masuk hutan belukar mencari anggerik hutan, orkid, atau pokok-pokok herba untuk dia biakkan. Ada juga yang dia berjaya biakkan, dia tanam kat hospital tempat dia kerja. Dia cakap mudah-mudahan jadi terapi untuk orang sakit.
Salah satu kawasan yang Pokde suka jelajah, hutan di kaki gunung yang berhampiran dengan tempat tinggalnya sebab kawasan tu memang banyak pokok anggerik dan orkid. Kadang-kadang kalau bernasib baik, jumpa herba-herba macam pokok tongkat ali serta kacip fatimah. Kaki gunung ni ada dua bahagian, belainan negeri, siapa tahu, boleh agak kot gunung apa.
Peristiwa ni Pokde alami ketika kali terakhir dia menjelajah hutan tu. Masa tu, ibu dah setahun lebih tinggal dengan Pokde. Ibu kata, dia memang tak boleh lupa yang Pokde hilang selama dekat dua bulan lepas keluar untuk mencari anggerik dengan orkid. Tok Yem dan ayah kepada ibu pun datang bertandang untuk membantu.
Oh ya, Pokde dengan ayah ibu ni bukan adik beradik, tetapi sepupu. Ayah ibu merupakan anak tunggal. Tapi, disebabkan mereka dari keluarga yang kecil, hubungan itu sangat erat seperti adik beradik. Saya bahasakan atuk saya tu sebagai Ayah Ucu, memang itu panggilan kami kepadanya. Tak tahu kenapa, saya ikut je apa abang-abang, kakak-kakak saya panggil. Semua sepupu saya yang lain pun turut panggil atuk kami tu Ayah Ucu.
Ibu tak kongsikan secara terperinci usaha Ayah Ucu dan Tok Yem dalam mencari Pokde sebab Tok Yem tak bagi dia ikut bersama. Yang ibu pasti, masa tu Ayah Ucu ada minta tolong ibu sediakan andang kelapa, minyak tanah, minyak kelapa, bunga tujuh warna dengan air mawar. Ayah Ucu dan Tok Yem pergi ke hutan yang Pokde masuk bersama dengan beberapa orang kampung. Ibu nak cerita lebih apa yang berlaku masa misi mencari Pokde tak dapat sebab dia kena tinggal kat rumah bersama Acik dan Mokde. Orang perempuan tak boleh ikut, cakap Tok Yem.
Mereka bertolak dari rumah Pokde selepas solat Isya’ dan kembali sebelum menjelangnya Subuh. Mereka hanya singgah sebentar di rumah sebelum semuanya bertolak ke surau untuk solat Subuh berjemaah kecuali si Long dan Itam. Ibu hanya tidur-tidur ayam sahaja malam itu kerana berdebar untuk mengetahui apa yang berlaku. Tak sempat Long dan Itam berehat, ibu menerpa untuk mengetahui cerita.
“Aku tak tahu banyak. Ayah Ucu tinggalkan aku kat tepi jalan dengan si Itam ni. Itam la ni, penakut sangat. Memula beriya nak ikut, sampai sana kecut perut pulak”, Long membuka cerita.
“Aaahh ko ni. Aku kan dah bagitau tadi, ada orang bisik-bisik belakang aku, tarik-tarik baju aku. Dah le wangi semacam je. Cuba ko kena, mau ko yang pertama cabut lari rumah, ” Itam mempertahan dirinya.
“Eleh, kalau penakut tu cakap je la penakut. Ni Icah, memang kitorang tak masuk, tapi seram juga menunggu kat luar tu. Semua orang tua masuk dalam hutan, tinggal aku, si Itam dengan dak Kasim anak Wak Siman tu je kat luar.
Tapi, sepanjang masa menunggu tu, memacam kitorang dengar. Bunyi harimau la, bunyi orang bergaduh la. Nasib baik tak ikut masuk dalam tu. Yang paling aku tak tahan, perempuan puaka dok melambai-lambai aku dari dalam hutan tu. Ko ada nampak jugak kan Itam”
Itam mengiyakan cerita Long. Oh ya, masa mereka pulang, Pokde tiada bersama mereka. Ibu bertanya pada Long, dia pun tak tahu sebab bila diajak pulang, dia pun ikutlah kumpulan pencari tu pulang tanpa banyak soal. Sebenarnya, kalau ikutkan hati, awal lagi dia hendak cabut balik, tapi mengenangkan ayahnya yang masih hilang serta kegarangan Tok Yem, dia cekalkan hati menunggu dengan Itam dan Kasim di tepi jalan tu.
Mokde masih lagi berduka, susut badannya kerana risaukan Pokde. Tok Yem marah juga pada awalnya kerana lambat dikhabarkan padanya yang Pokde hilang. Dia dapat tahu setelah adik Mokde, Tapa datang meminta bantuannya. Sebenarnya, ibu beritahu, Mokde dah cuba ikhtiar mencari sebelum itu dengan bantuan orang kampung, juga polis dan askar, namun tak berhasil. Tiada jejak Pokde dapat dikesan.
Sebaik cerah tanah, tiba-tiba ibu terdengar riuh di laman. Ibu ikut berlari ke depan dan kelihatan Pokde berjalan pulang seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia diiringi oleh Ayah Ucu. Tiada kelihatan riak letih pun di wajah Pokde, cuma tubuhnya agak kurus berbanding susuk sebenarnya yang agak berisi.
“Biar dia berehat dulu. Jangan ditanya apa-apa sampai dia sendiri yang nak cerita” pesan Ayah Ucu. Pokde hanya berdiam diri dan terus pergi membersihkan diri dan berehat di ruang tengah. Ibu dan yang lain-lain hanya berdiam dan meneruskan kerja sendiri.
Ayah Ucu dan Tok Yem pulang ke rumah setelah singgah selama 3 hari di rumah Pokde. Ibu kata, sepanjang 3 hari tu, tak ada apa pun aktiviti mereka yang menarik perhatian ibu. Ibu cuma perasan setiap hari sebelum Subuh, Ayah Ucu akan bersama Pokde keluar dari rumah dan hanya kembali setelah matahari tegak di kepala.
Tok Yem, dalam keadaan kesihatannya yang kurang baik, tidak turut serta. Dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama ibu, mengajar ibu dan sepupu-sepupunya sedikit sebanyak ilmu agama menggunakan kitab-kitab lama koleksinya.
Selepas seminggu Ayah Ucu dan Tok Yem pulang, Pokde membuka mulut tentang kes dia hilang. Menurut ibu, Pokde mendakwa dia tak rasa dia hilang selama dekat 2 bulan pun. Dia cuma bertandang ke kaki gunung tu dalam sehari je sebelum dijemput pulang oleh Ayah Ucu.
Pokde mendakwa, dia tertarik dengan pokok anggerik hutan yang tumbuh subur di batang-batang pokok hutan di sana. Bunga anggerik tu wangi dan warnanya sangat menarik hati, ungu, biru, dan merah. Dia leka mengambil pokok tersebut untuk dijadikan koleksinya. Dalam seronok meneroka mencari pokok lain, dia berjalan hingga bertemu dengan tangga batu. Entah kenapa, dia boleh gatal kaki mendaki tangga tersebut.
Tangga tersebut sempit, ngam-ngam seorang untuk mendaki dan terdapat susur tangan untuk berpaut sepanjangnya. Sepanjang tangga itu, terdapat pelbagai pokok bunga yang wangi seperti cempaka, melur, kenanga, mawar, kemangi, dan beberapa jenis yang ibu saya dah lupa.
Pokde beritahu ibu, dia tak terasa penat sepanjang mendaki walaupun dia memang perasan yang dia semakin menghampiri puncak gunung. Sesampai di atas, ada seorang wanita tua duduk bersila di pelantar batu. Pokde mula berasa tidak sedap hati dan ingin berpatah balik, namun wanita tua itu menegur dia.
“Aku selalu nampak kamu ambil bunga dan tanaman aku. Aku gembira ada yang hargai bunga dan tanaman aku ni, itu yang aku jemput kamu ke sini. Ingin rasa hati aku nak bersahabat dengan kamu. Apa kamu sudi nak terima aku sebagai sahabat?” Pinta wanita tua itu.
Pokde terkesima dengan kata-kata wanita tua itu. Dia cuba membaca ayat suci dan ayat pelindung, tapi entah kenapa semuanya hilang dari ingatan dia. “Tak, aku tak mahu bersahabat dengan ko. Ko bukan manusia dan kita dari dunia berbeza. Tak pantas untuk kita bersahabat” Pokde memberanikan diri untuk menolak walaupun lututnya sudah terasa begitu lembik.
“Baiklah, memandangkan kamu tak sudi, aku hormati kamu. Pulanglah kamu ke tempat asal kamu. Cuma, pandai kamu cari jalan ke mari, pandailah kamu cari jalan nak pulang. Lagipun ada yang akan datang menjemput kamu nanti. Aku tak suka dia. Cepatlah kamu pergi dari sini supaya dia tak sampai ke tempat aku.” Wanita tua itu terus menghilang lepas berkata-kata.
Pokde seperti tersentak dari tidur, dia berpaling untuk pulang dan dapati tangga batu itu sudah tiada. Padahal dia cuma melangkah beberapa tapak je dari tangga batu tu tadi. Pokde melaungkan azan dan bertawakal kepada-Nya. Dia melangkah mengikut gerak hatinya sebelum tergelincir jatuh selepas melangkah untuk beberapa tapak.
Hatinya sudah berserah ketika itu jika ditakdirkan dia menemui maut akibat terjatuh dari puncak gunung pada hari itu, namun, dia hanya tergelincir sedikit sahaja. Pokde terduduk dan menggosok matanya beberapa kali. Dia dapati dia sudah kembali ke pokok terakhir yang dia kutip anggerik hutan tadi. Dia cuba menenangkan hatinya yang berdebar dan ketika itulah Ayah Ucu muncul. Pokde pada masa itu agak hairan mengapa Ayah Ucu boleh muncul.
Pokde mengikut Ayah Ucu pulang, namun semua pokok anggerik, herba dan barangannya ditinggalkan atas nasihat Ayah Ucu. Setiba di rumah, Pokde bertambah pelik bila ramai orang yang menanti dia namun mulutnya bagai dijahit untuk menyuarakan.
Dalam tempoh dia baru pulang, Pokde beritahu ibu, hatinya macam menyimpan perasaan rindu untuk kembali ke puncak gunung tu. Namun dia tak tahu rindu kepada siapa atau apa. Tapi, selepas bersenam dengan Ayah Ucu setiap pagi selama 3 hari tu, perasaan rindu itu beransur hilang.
Sejak dari itu, Pokde sudah tidak ke kawasan itu lagi, namun masih jarang sekali dia menolak jika ada yang mengajaknya masuk ke hutan mencari pokok bunga dan herba, asalkan bukan di kaki gunung tu.
Setakat ini dulu kisah Pokde ibu saya yang dapat saya kongsikan. Maaf jika ada terkurang dalam penceritaan. Jika ada peluang, rezeki, serta kesempatan, saya cuba kongsikan lagi pengalaman ibu saya dan sepupu-sepupunya semasa tinggal di rumah Pokdenya.
Sekian,
Makcik Otomen
first
Nuang ke?
camne agaknye ye kalau pokde terima wanita tua tu sebagai sahabat?
Jawab nya smpi ke anak cucu la akan terus bersahabat.
Nasib pokde bijak
yup betul tu…nasib pok de bijak
Mugkin dia xkn balik ke dunia dia dan akn terus tinggal bersama wanita tua tersebut..sbb tu kebanyakan crita org hilang xjmpa2..
oh gitu…nasib pok de tolak pelawaan wanita tua tu…kalau tak hilang sampai ke sudah
Huh memang steady pokde
Sampai hati kau tolak pelawaanku… Huhuhuuuuuu..
Nenek jgn lah sedih…zul arifin still single n solo..hiihii
Alaaa.. Nenek xminat zul aripin la cu… Uhuk uhuk uhuk…
Mantap cerita Makcik Otomen 😍
best!
Alhamdullillah, Pok de awak ni waras orgnya….
Rupa rupanya ‘bnda’ tu punya
best…nasib baik pokde masih waras tak terima..
Nasib baik makcik tu sopan lagi, bagi pokde balik. Buatnya tak puas hati kena reject, dia pegi kidnap si pokde tu, naya la tak dapat balik jumpa family.
Nasib baik pokde taknk kwn dgn nenek tu.. Klau tak mmg tak balik lah..
Nasib yg ajak kawan tu nenek. Kalau anak dara kena pikir juga tu
makcik otomen kalau bcerita tak pernah mengecewakan