RAHSIA DAPUR KAK SALMAH

“Minggu lepas, budak penghantar surat tu. Tiga hari lepas, Pak Samad tukang kebun. Semalam, si Leman guard kilang. Takkan kita nak duduk diam je, Man! Kampung kita ni dah macam padang sasar!” Bang Mi melepaskan geram sambil menghempas surat khabar di atas meja kayu Kedai Makan Kak Salmah. Matanya mencerun memandang ke arah Tok Ketua yang sedang tenang menghirup kopi O panas.

Tok Ketua meletakkan cawannya perlahan. Dia tahu, sebagai ketua di Kampung Bukit Larangan, setiap mata penduduk sedang menagih jawapan yang dia sendiri tidak pasti. “Aku faham, Mi. Tapi polis pun buntu. Tak ada saksi, tak ada bukti. Semua yang hilang tu macam ditelan bumi.”

“Sebab itu kita kena buat sesuatu! Jangan harap kat polis je. Kita kena jaga pagar kita sendiri!” celah Azman, pemuda yang paling lantang dalam mesyuarat tidak rasmi pagi itu.

Tok Ketua mengeluh pendek. “Yelah. Malam esok, semua ketua rumah datang ke balairaya. Kita tubuhkan pasukan rondaan. Azman, kau tolong maklumkan pada budak-budak muda. Siapa yang nak sukarela, bagi nama kat kau.”

Malam itu, suasana di balairaya cukup tegang. Tok Ketua memberikan taklimat tentang penemuan ngeri tiga mayat penduduk yang hilang sebelum ini. Mereka ditemui oleh pencari madu di ceruk gua di kaki bukit. Apa yang membuatkan seluruh kampung meremang ialah keadaan mayat-mayat tersebut masing-masing kehilangan bahagian tangan dari paras bahu. Potongannya sangat bersih, seolah-olah dilakukan dengan sebilah pisau yang tersangat tajam oleh tangan yang mahir.

“Mulai malam ini, kita akan buat sistem Rukun Tetangga. Kita bahagi kepada empat zon. Setiap zon akan ada dua orang yang meronda setiap dua jam,” arah Tok Ketua.

Minggu pertama, rondaan berjalan rancak. Azman dan rakannya, Bob, gigih mengawal kawasan pintu masuk kampung. Namun, biasalah sifat manusia apabila keadaan mula tenang dan tiada lagi kehilangan baru, semangat mula luntur. Pondok kawalan yang sepatutnya menjadi tempat berjaga, kini menjadi port menghisap rokok dan bermain dam lepak. Azman sendiri pun sudah mula liat untuk turun meronda.

Pada suatu malam Selasa yang berkabut, Azman sedang duduk sendirian di pondok kawalan zon utara. Bob tidak datang kerana alasan sakit perut. Sunyi sepi. Azman melirik jam tangannya pukul 1.15 pagi. Perutnya tiba-tiba berkeroncong hebat.

“Kalaulah Kak Salmah buka kedai sekarang, mesti sedap dapat makan Sup Gearbox dia. Dah dekat sebulan dia tutup kedai sebab katanya bekalan daging tak sampai,” gumam Azman sendirian. Memang Sup Gearbox Kak Salmah adalah lagenda di Kampung Bukit Larangan. Kuahnya pekat, lemaknya manis, dan dagingnya sentiasa segar.

Tiba-tiba, dari celah kegelapan lorong belakang kedai, muncul satu kelibat wanita bertudung labuh berjalan perlahan ke arahnya. Azman mengecilkan mata. “Eh, Kak Salmah? Panjang umur!”

“Assalamualaikum, Azman. Tak balik lagi?” tegur Kak Salmah dengan senyuman manis yang kelihatan sedikit pucat di bawah cahaya lampu jalan yang samar.

“Waalaikumussalam, kak. Tengah meronda ni. Akak dari mana? Baru balik dari pasar ke?”

“Pasar apa pukul macam ni, Man. Akak baru lepas settlekan urusan ‘stok’ kat belakang tu. Lagipun, akak sebatang kara, kerja malam-malam ni tenang sikit,” jawab Kak Salmah. Dia kemudian merenung wajah Azman. “Kenapa muka nampak letih sangat ni? Lapar ya?”

Azman tersengih kambing. “Tahu-tahu je akak ni. Perut tengah menyanyi lagu keroncong ni kak.”

Kak Salmah ketawa kecil. “Kebetulan akak baru lepas masak satu periuk besar sup untuk jualan esok. Kalau kau nak, jomlah ke dapur akak kat belakang tu. Kau makanlah sepuas hati. Anggaplah ni hadiah akak sebab kau jaga keselamatan kampung.”

Azman apa lagi, pucuk dicita ulam mendatang. Dia mengekor Kak Salmah masuk ke dalam sebuah lorong kecil yang terlindung oleh rimbunan pokok buluh. Rumah Kak Salmah terletak agak tersisih, sebuah rumah batu lama yang separuh dindingnya dilitupi lumut. Azman tidak pernah perasan rumah itu begitu sunyi.

“Masuklah Man. Tandas ada kat sebelah dapur kalau kau nak basuh muka dulu. Akak pergi ambilkan mangkuk jap,” kata Kak Salmah sambil berlalu ke arah dapur yang gelap.

Azman melangkah ke arah sinki di luar bilik air. Sebaik sahaja dia mendekati kawasan tersebut, satu bau hanyir yang tersangat kuat menusuk hidungnya. Bau itu bukan seperti bau daging lembu biasa. Ia lebih kepada bau besi berkarat bercampur sesuatu yang busuk.

“Kak, bau apa kuat sangat ni kak? Akak ada sembelih kambing ke?” tanya Azman sambil tangannya meraba-raba dinding mencari suis lampu.

Tiba-tiba… KRAK!

Pintu bilik air yang diperbuat daripada kayu itu terbuka sendiri. Cahaya samar dari ruang tamu menerobos masuk ke dalam bilik air tersebut. Mata Azman terbeliak. Di dalam besen besar yang diletakkan di tengah bilik air, terdapat beberapa ketul ‘daging’ yang masih berpakaian. Dia nampak jam tangan yang masih melekat pada pergelangan tangan yang sudah terputus itu jam tangan milik Leman, guard kilang yang hilang minggu lepas.

Azman kaku. Badannya menggigil hebat. Dia berpaling untuk lari, namun Kak Salmah sudah berdiri tegak di hadapannya. Di tangannya terdapat sebilah parang pemotong daging yang berkilat tajam.

“Azman… akak cari gearbox baru. Yang kau punya nampak kuat dan segar,” bisik Kak Salmah dengan nada yang sangat lembut, namun matanya merah menyala.

BAM! Belakang parang itu hinggap tepat di tengkuk Azman.

Keesokan tengah harinya, suasana di Kedai Makan Kak Salmah sangat meriah. Bau haruman sup yang dimasak dengan pelbagai rempah ratus memikat setiap hidung yang lalu-lalang. Bang Mi, Tok Ketua, dan Bob duduk semeja menikmati hidangan masing-masing.

“Fuh, Kak Salmah! Sup kali ni memang luar biasa. Daging dia lembut gila, macam cair dalam mulut!” puji Bang Mi sambil menghirup kuah dengan rakus.

Kak Salmah hanya tersenyum nipis dari balik kaunter sambil menghiris daging merah yang nampak pejal. “Daging segar dari ‘pembekal’ baru, Mi. Rezeki koranglah hari ni.”

“Eh, Bob. Mana Azman? Tadi aku pergi rumah dia, mak dia kata dia tak balik dari rondaan malam tadi,” tanya Tok Ketua.

Bob mengunyah seulas daging yang liat sedikit. “Entahlah Tok. Dia kata dia ada emergency nak kena ke bandar pagi-pagi buta tadi. Mesej kat saya pukul 3 pagi. Katanya mungkin lama dia kat sana.”

Tok Ketua mengangguk faham. Dia kembali menikmati supnya yang panas. Suasana kampung kembali tenang, seolah-olah tiada lagi ancaman yang perlu dirisaukan. Rahsia kehebatan Sup Gearbox Kak Salmah terkubur rapi di dalam periuk besarnya, dan hanya bumi Bukit Larangan yang tahu ke mana perginya ‘tangan-tangan’ yang pernah meronda di situ.

Kisah ini adalah fiksyen semata-mata yang telah diolah dari filem untuk menemani para pembaca. semoga terhibur…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.