‘TETAMU’ SIANG

Assalamualaikum wbt… Saya, Cähäyä Yäng Utämä. Kali ni Cähäyä nak ceritakan tentang kejadian pada tahun 2018 lepas. Masih segar diingatan. Untuk kisah yang lepas, Cähäyä minta maaf, ada beberapa kesalahan ejaan. Cähäyä betul-betul tak perasan ‘guru asramaku’ tu ditaip menjadi ‘guru asmaraku’. Tergelak besar Cähäyä tatkala terbaca komen kalian di FB dan link url, baca balik baru perasan lepas tu. Malu i tau.. Hahaha.. Apa pun terima kasih atas teguran.. Jom kita mulakan kisah yang baru..

**********************

Pagi Sabtu tu, aku duduk di rumah, melepak di katil dengan suami dan anak sulungku. Bahagian perut yang semakin besar buatkan aku tak mampu berdiri lama, baring pun tak boleh lama, kerana kandunganku mencecah usia 8 bulan. Aku berkira- kira untuk memasak nasi lauk sardin dan telur dadar tengahari itu. Sudah lama tidak makan lauk macam tu. Maklumlah alahan agak teruk sebelumnya. Lepas kandunganku mencecah 6 bulan, baru hilang muntah-muntah..

Jam 11 pagi, suamiku bawa anak sulungku menaiki motor, mereka ke kedai membeli bahan memasak yang aku pesan. Tinggal aku seorang diri. Lepas menghantar pemergian mereka dengan lambaianku di tingkap bilik, aku kembali duduk bersandar di katil. Aku teguk sedikit air kosong yang sentiasa aku bekalkan di dalam botol dan ku letakkan di sisi katil. Sunyi rumah sewaku ini. Maklumlah, jiran pun ada dua keluarga sahaja. Satu keluarga sewa di rumah yang berhadapan dengan rumahku, satu lagi di sebelah kanan rumahku. Waktu cuti begini biasanya mereka tiada di rumah.

Rumah sewa kami adalah rumah semi-D saiz banglo milik seorang Dato’. Rumah ini dibina beberapa buah untuk memeriahkan rumah inap (challet) yang sudah dibina sebelum ini, kerana tempat ini terpencil. Kedudukannya tersorok dari kawasan rumah orang lain di kampung itu. Ia terletak betul-betul di hadapan muara. Hendak ke sini, perlu redah hutan. Walaupun sudah ada jalan berturap di sini, orang luar tetap tidak tahu bahawa ada rumah di sebalik hutan tersebut. Malah abang posmen pun selalu telefon aku kerana tidak tahu hendak hantar barangku di mana. “Betul ke ada rumah kat situ? Saya tak pernah pun pergi hantar barang kat situ selama ni”, selalu soalan ini yang akan abang posmen tanya padaku sewaktu mereka telefon. Betapa terpencilnya kawasan ini.

Sedang ralit membaca novel, kedengaran pintu rumahku dibuka kuncinya dari luar dan televisyen terpasang. ‘Mereka dah pulang, ni tentu anak nak tengok tv tu’, bisik hati kecilku. Aku menunggu sahaja suamiku masuk ke bilik selepas dia bukakan televisyen untuk anakku. Memang begitulah waktu mengandung ini, malas bergerak banyak.

Pintu bilik terbuka, terjengul kepala suamiku dari celah pintu bilik itu. Aku lambai kepadanya, mengajaknya berehat di sebelahku, buku novel ku tutup dan ku letak di sisiku. Aku rendahkan baringanku dan suamiku pun berbaring di sebelahku sambil mengiring menghadap aku, ada ruang yang agak lebar antara kami, selalunya sengaja kami berbuat begitu untuk anak sulungku datang berbaring seketika nanti, manja orangnya.. Disebabkan mataku ini rabun teruk, aku tidak nampak jelas wajah suamiku, cuma nampak dia seakan senyum… Aku mula tertarik dengan senyumannya, sudah pasti ada cerita hendak disampaikan kepadaku, lalu ku cuba mengiring untuk melihat jelas wajahnya. Sementara aku mengambil masa untuk mengiring, aku menghadap ke syiling rumah terlebih dahulu, menjemput sekerat dua nafas masuk dahulu ke dalam rongga pernafasan.

” B, macam mana anak naik motor? Suka tak dia?”, soalku, mulakan bicara. Nafas yang masih berat menyusahkan aku untuk mengiring, tapi aku boleh melirik dengan mataku, melihat suamiku walaupun kabur pandangan. Suamiku hanya diam dan tersenyum melihatku, tiada jawapan darinya. Dalam hatiku, suamiku ini tengah merencanakan sesuatu, sebab itu dia membisu. “Barang dapur yang yayang (aku) pesan semua ada ke b?” soalku lagi, dan dia masih diam, hanya tangan bergerak diletakkan pada dahinya, matanya masih melihat aku. ‘Nak kene ni.. Main-main betul dia ni’ gumam hatiku… Aku tersenyum lalu ku cuba lagi bergerak ingin menghadap mukanya.

Rupanya masih berat badanku hendak bergerak. “B, boleh tak tolong yayang pusingkan tubuh ni.. Kenapa pula rasa berat ni, ke yayang dah kena masalah tulang belakang macam masa mengandung abang (anakku) dulu?” omelku.. Suamiku masih diam seakan merenungku. ‘Esh..Dia ni.. Ajak bergurau la tu tenung orang macam tu’ bisik hatiku.. Oleh kerana badan tidak mampu bergerak, ku gerakkan kepalaku sahaja untuk hadapkan muka ke arah suamiku. Namun kepalaku juga tidak mampu bergerak. Hatiku mula hairan… “B, kenapa kepala yayang pun tak boleh bergerak ni?” tanyaku mula perasan keadaan yang sedikit ganjil…

Masih diam membisu tanpa jawapan dari dia, saat itu benakku sudah pun berkerja. Televisyen di luar hanya kedengaran desiran, menunjukkan tiada siaran dibuka, yang lebih dan baru aku perasan, dia masuk tidak memberi salam, sedangkan suamiku tak pernah lupa beri salam bila pulang ke rumah..

‘Allah.. Ingatkan suami aku la dari tadi, datang dari mana pulak dia ni, perlu ke pakai baju macam suami aku.. Adoi la hai’ bisik aku dalam hati… Waktu itu aku sudah sedar yang di sebelah aku, yang sedang merenungku itu bukan suamiku. Berdebar? Aku tiada perasaan berdebar ketika itu, mungkin kerana sudah terbiasa berada dalam keadaan begini (kehadiran entiti dalam pelbagai cara). Lalu dengan lafaz bismillah, surah-surah pendek ku bacakan… Si dia pula hanya diam masih tidak berganjak. ‘Aik? Kenapa tak pergi ni? Susah aku kalau macam ni’ aku bermonolog lagi seorang diri.. Buntu menyapa akal.

Tiba-tiba kedengaran ramai orang di luar rumah… Aku melihat keluar dari tingkap bilik yang tertutup itu, sungguh pun cermin tingkap itu gelap dari luar, tapi dari dalam akan terlihat jelas pandangan luar rumah ketika waktu siang. Segerombolan ‘manusia’, kecil, besar, tua, muda datang mengelilingi rumahku. Ada seorang lelaki yang mengepalai mereka, memakai baju kemeja biru lusuh, bertopi buruh warna kuning. Beberapa wanita memakai baju kurung kedah berkain batik, dengan tekuluk di kepala, yang berbaju kurung pun ada . Anak-anak kecil berbaju kurung turut datang.. Manakala yang lelaki berbaju melayu, ada sebilangan anak lelaki yang kecil memakai t-shirt biasa. Ada juga lelaki dewasa yang tidak berbaju, hanya berseluar hitam paras betis.

Aku hairan, dari mana mereka datang? Mereka sepertinya datang dari belakang rumahku, tetapi rumah itu di belakangnya adalah pagar batu yang tinggi… Di sebelah pagar itu ada satu padang yang luas dan bersih, sekelilingnya pokok-pokok hutan yang besar. Sepanjangku tinggal di situ, memang tiada orang bermain di padang itu, malah lembu atau kambing pun terlalu jarang bermain di padang itu.. Kerapnya lembu dan kambing datang menjengah di halaman hadapan rumahku sahaja.

“Kat sini, kat sinilah sempadan tanah kita” cuping telingaku mendengar wanita yang sedang mendukung anaknya yang tidak berbaju itu memberitahu lelaki yang bertopi buruh kuning itu. Lelaki itu mengangguk-angguk. “Sepatutnya tidak boleh lepaslah ke tanah kita, tapi kenapa dia lepas” omel perempuan itu lagi. Aku hanya melihat melalui cermin tingkap, badanku masih kejang tidak dapat bergerak. Cuma mataku sahaja boleh melirik. Aku cuba fahami kata-kata wanita itu, seolah-olah menceritakan tanda sempadan tanah…

‘Eh? Ya lah.. Dia cakap tentang sempadan tanah dia ke ni? Tapi siapa yang pergi ke belakang tu? Aku tak pergi’ Bisik hatiku. Rupanya baru aku teringat, anak aku… Petang semalamnya bermain dan menjerit nyaring di belakang rumah itu, aku sendiri terkejut dengan jeritannya, tapi aku anggap dia hanya kesukaan kerana dapat keluar dari rumah. Sudahku larang supaya tidak bermain di belakang, tetapi biasalah budak-budak.. Sekejap sahaja dia di situ sebelum suamiku mendukungnya masuk ke dalam rumah. Barulah aku faham maksud mereka ke sini, dan lelaki yang masih di sebelahku mungkin datang untuk memberitahu kehadiran yang tidak ku duga ini. Sekali lagi aku di beri peringatan setelah peristiwa Gunung Tebu beberapa tahun lalu.

” Aku dah tahu kau bukan manusia, bukan suami aku, berani kau menyamar. Kau Islamkan? Sebab itu aku baca surah pun kau tak berganjak sedikit pun, kan? ” kataku kepadanya.. Dia yang di sebelahku masih diam, aku tahu sudah badanku terkunci tidak dapat bergerak-gerak kerana dia. ” Baiklah, aku faham apa tujuanmu, aku minta maaf mewakili anakku. Dia masih kecil, dia tidak tahu itu kawasan kamu semua. Baliklah, nanti akan ku terangkan kepada anakku supaya tidak bising lagi, aku tak berjanji untuk tidak ke belakang rumah, sebab kami bercucuk tanam di situ. Kamu semua jangan risau, kami hanya menyewa di sini, menumpang teduh di bumi Allah ini juga. Mana aku tahu kawasan belakang rumah ini masuk sempadan kampung kamu. Kami tak akan ganggu, kamu pun janganlah ganggu. Pergilah, kejap lagi suami dan anak-anak aku dah nak balik” kataku panjang lebar kepadanya.. Setelah itu, perlahan- lahan bayangan dan suara di luar rumah itu hilang, dan dia pun bangun perlahan-lahan, keluar melalui pintu bilikku… Sejenak itu, televisyen terdiam, sunyi menyelubungi kembali rumah itu dan aku kembali boleh bergerak.
Tanganku menggapai botol air, membetul dudukku, terasa lenguh sendi-sendi tubuh dan kering serta perit kerongkong ku, memang begitulah selalu keadaannya selepas aku lalui detik kehadiran entiti ini, tubuh jadi letih, lenguh dan tersangat dahaga.. Setelah itu baru terasa peluh di dahi dan badanku..

Aku termenung dan berfikir, mungkin lelaki yang menyerupai suami aku itu hanya bertindak sebagai pengantara aku dan penduduk kampung yang tidak nampak dek mata kasar itu. Tapi haruskah sampai menyerupai suamiku? Mungkin ‘dia’ tidak mahu aku terkejut barangkali… Apa pun, aku syukur kepada Allah atas pertemuan ini. Ia mengingatkan aku bahawa bukan hanya sesuatu yang aku nampak sahaja yang wujud. Sesungguhnya alam ghaib itu benar dan aku beriman ke atasnya.

Tak lama aku termenung, terdengar motor suamiku. Ops! Patutlah si dia datang tadi tak bunyi motor… Baru aku perasan… Kedengaran salam diberi, ‘ini baru suami aku’ getus hatiku.. Aku ceritakan padanya apa yang ku lalui sebentar tadi.

“Beraninya yayang… Dah yayang ok tak ni?” tanyanya padaku.

“Yayang ok, yayang rehat kejap, kejap lagi nak masak…” kataku

Aku tunaikan janjiku, menasihati anak sulungku supaya tidak berbuat bising jika ke belakang rumah. Terjawab jugalah persoalanku, kenapa padang yang luas dan bersih itu wujud di tengah hutan, kampung ‘mereka’ rupanya.

Sekian.

*******************

Sesungguhnya orang Islam itu beriman (percaya) pada perkara ghaib. Setakat ini sahaja cerita saya pada kali ini. Jumpa lagi di lain masa. Assalamualaikum wbt..☺️😉

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Cahaya Yang Utama

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 4.5]

2 thoughts on “‘TETAMU’ SIANG”

  1. Tapi peliklah, sbb puan ni boleh ‘berbincang’ lagi dengan jin.

    macam mana dengan orang lain yang anak dia masuk sempadan kampung jin, akan terus kena rasukkah?macam cerita2 dekat FS yang lain?

    Jin pilih orang juga ye sama ada nak rasuk, nak aniaya manusia, atau sekadar beri amaran dulu?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.