Salam sejahtera to all readers and admins.
Kali ni cerita berat dan kurang lawak. Akhirnya aku berjaya juga tune cerita bagi kurang lawak dan guna bahasa buku. Fuuh…stresss baq hampa!! Apa pun, terima kasih atas sokongan anda terhadap kisah-kisah aku sebelum ni. Dan terimalah sebuah lagi karya dari aku. Sila duduk rapat-rapat dan standby kacang sebab story ni panjang. Bismillah…..
BATU KURAU, PERAK.
Ayah kejutkan aku dari tidur setelah bas kami menghampiri terminal Batu Kurau.
“Edi…bangun kaih. Kita dah sampai..” Ayah menggoyang-goyang tubuh aku yang lena tak sedar diri di tepi tingkap bas yang terbuka. Bas dulu-dulu tak ada aircond. Kalau nak sejuk kena buka tingkap. Aku bukan setakat buka tingkap, siap ternganga lagi sampai meleleh air liur basi. Kering tekak aku dipukul angin dari luar. Setelah bas berhenti, kami turun menuju ke hentian teksi pula. Ayah tercari-cari sahabat lamanya di situ.
“Bang Haji…baru sampai ka?” Tiba-tiba kami disapa dari belakang oleh seorang lelaki yang hampir sebaya dengan ayah.
“Ya Mail…apa habaq?” Ayah berpaling mendapatkan kawannya itu sambil menghulurkan salam.
“Alhamdulillah…bang Haji macam mana? Jauh mai ni macam ada hal penting?”
“Ada la sikit…hal adik beradik. Tapi depa tak boleh mai amik aku kat sini. Tu nak mintak tolong Mail hantaq sat.” Jawab ayah sambil menepuk bahu Pak Mail, pemandu teksi yang akan bawa kami ke Kampung Udang, Batu Kurau, Perak.
“Boleh insyaAllah. Tapi dah lewat ni bang Haji. Rumah Harun tu jauh ke dalam. Kereta tak boleh masuk sampai depan rumah.”
“Takpa, Mail tinggal kami kat depan masjid. Nanti kami jalan kaki ja masuk ke dalam.” Kata ayah sambil membuntuti sahabat lamanya itu menuju ke kereta. Aku ikut di belakang ayah sambil mencongak-congak waktu.
Seingat aku, rumah Paksu Harun letaknya dalam kebun getah, nun di belakang kampung. Jarak dari masjid Kampung Udang nak ke rumah Paksu agak jauh. Kena lalu jalan kampung yang tak berturap, naik bukit kecil dan lintas sebatang sungai baru jumpa rumah dia. Sekarang dah jam 7 petang. Gaya ni jam 9 malam baru sampai di rumah Paksu.
“Orang rumah dengan anak-anak sihat ka bang Haji? Lama depa tak mai sini.” Ujar Pak Mail memulakan perbualan sebaik teksi Mercedes tu keluar ke jalan besar.
“Alhamdulillah…semua sihat. Aisyah kirim salam kat Mail dengan orang rumah.”
“Alaihia wa’alaikumussalam. Nanti bila-bila bang Haji mai singgah rumah kami pulak. Tak jauh dah dari kampung Harun tu.”
“InsyaAllah Mail….doa-doa bagi panjang umoq murah rezeki nanti kami singgah.” Jawab ayah dengan bibir terukir senyuman. Mata ayah meliar melihat keadaan dalam kereta. Kejap dia tengok stereng, kejap dia tengok bumbung, kejap dia tengok handbrake. Seronok gamaknya dapat naik Mercedes, walaupun Mercedes tu dah nampak macam retak menanti belah.
Kami sekeluarga berasal dari keluarga yang tidak mewah. Di kampung aku pada era awal 90an tu, kalau hang ada motor Honda lampu bulat pun kira berduit dah. Tapi ayah aku tak pernah ada motor atau kereta. Ke mana-mana pun dia hanya dengan basikal tua yang dibeli dari pedagang kapal Haji sejak lama dulu. Kalau nak bertandang ke tempat yang jauh, ayah akan naik bas atau teksi. Kadang-kadang dia bantai jalan kaki ja berpuluh kilo.
“Masa bang Haji telefon kelmarin saya agak dah ni mesti pasai Harun. Dia pun jarang mai pekan dah la ni.” Sambung Pak Mail cuba memancing ayah bercerita.
“Tu lah. Aku mai sini pun pasai dia tu adik, takkan kita nak buat taktau. Kena mai jugak tengok apa yang patut. Kot-kot la Tuhan bagi petunjuk” Jawab ayah. Aku yang di belakang masih tak tahu punca perbualan. Masa tu baru berumur 15 tahun. Mana la nak ambil tahu hal-hal keluarga sepupu sepapat ni.
“InsyaAllah bang Haji. Bila saya dengaq bang Haji nak mai ni berasa memang pasai hal ni dah. Elok jugak la bang Haji mai pun. Berita ni dah sampai ke kampung saya. Depa pakat tolong pi cari tapi tak jumpa.”
“InsyaAllah. Ada la tu kat mana-mana. Kita ikhtiar la nanti.” Ujar ayah lagi. Bunyi macam serius sangat hal ni. Aku yang di belakang masih terus memasang telinga untuk menangkap isu perbualan. Tetapi masih tak tahu punca.
Kami tiba di perkarangan Masjid Kampung Udang sebaik Jemaah dah selesai solat Maghrib. Lalu ayah mengajak Pak Mail solat Jemaah sekali.
Selesai solat, ayah hulurkan duit tambang pada Pak Mail.
“Eh…takpa bang Haji. Saya niat nak belanja dah ni. Seronok dapat jumpa bang Haji. Rumah saya pun bukan jauh dari sini. Kira nak balik terus ja ni.”
“Jangan macam tu. Mail cari makan bawak orang. Duit ni boleh jugak buat isi minyak. Memang hak Mail ni.” Kata ayah sambil menyeluk duit tambang tu ke dalam poket baju Pak Mail.
“Takpa bang Haji. Saya takmau. Saya dah niat nak belanja. Tolong doakan saya pun dah cukup” Lalu Pak Mail kembalikan wang tu ke tangan ayah.
“Ishhh Mail. Terima kasih banyak. Minta halal susah payah mai hantaq sini.”
“Saya halalkan bang Haji. Moga dipermudahkan urusan kat sini. Kalau ada apa-apa abang Haji telefon ja saya. Rumah Harun tu dah ada telefon.”
“Baik, insyaAllah. Lagi 3 hari kita jumpa sini.” Ujar ayah sambil memasukkan wang tambang tadi ke dalam tabung masjid.
Lepas bersalaman dengan Pak Mail di luar masjid, ayah pun keluarkan beg baju kami dari bonet kereta dan melangkah menyelusuri jalan Kampung Udang. Aku berjalan tepi ayah sambil menjinjing sebungkus buah mempelam yang dikirim emak waktu kami nak keluar rumah siang tadi.
Suasana Kampung Udang tenang dan damai. Rumah-rumah penduduk masih cerah dengan lampu kalimantang. Kami terus berjalan hingga memasuki jalan yang tidak berturap dan mendaki bukit kecil dikelilingi kebun getah. Ayah berhenti sekejap untuk keluarkan lampu suluh dari beg galas. Kat sini, rumah penduduk makin berjarak jauh antara satu sama lain. Telinga aku mula menangkap bunyi deruan air sungai di depan kami. Selang beberapa minit, kami tiba di kepala jambatan.
Sungai ni tak luas sangat, jaraknya antara 30 ke 40 kaki. Airnya cetek dan jernih menampakkan batu-batu berkilat di dasarnya. Kalau bertandang ke rumah Paksu Harun, ayah pasti ajak anak-anak mandi di sungai ni.
Setibanya di hujung jambatan, ayah berhenti. Aku yang ikut rapat secara tak sengaja terlanggar belakang ayah. Ayah bacakan sesuatu yang tak dapat telinga aku nak tangkap, kemudian dihentakkan kakinya ke tanah sebanyak 3 kali.
‘Dup dup dup’
Lalu ayah minta aku jalan di depan, dia pula yang ikut dari belakang sambil menghalakan lampu suluhnya ke jalan di depan aku.
“Nanti nampak ada pagaq kawat depan tu terus masuk kanan. Kita nak masuk kot pintu belakang.” Bisik ayah sambil menolak lembut bahu aku supaya terus berjalan. Aku pun menurut perintah dan terus berjalan dengan dibantu lampu suluh di tangan ayah.
Tidak jauh dari jambatan tu, aku nampak dah rumah Paksu Harun yang dikelilingi pokok buah dan dipagar dengan dawai kawat. Ada 3 buah rumah ja kat situ. Satu rumah Paksu dan satu lagi rumah anak Paksu yang sulung di seberang jalan bertentang dengan pagar rumah Paksu, yang ketiga rumah jiran yang agak ke belakang sikit.
“Masuk sini, ikut pintu kayu tu.” Kata ayah aku sambil menyuluh ke denai kecil bersebelahan pagar rumah Paksu. Aku pun melangkah sambil mata meliar ke bawah, takut-takut terpijak ular.
Tiba di pintu kayu yang menjadi pintu belakang kawasan rumah Paksu tu, ayah aku suruh berhenti. Sekali lagi bibirnya kumat kamit membacakan sesuatu. Kakinya dihentakkan lagi ke tanah, kali ni sebanyak 7 kali. Kemudian, ayah suruh aku masuk.
Pintu pagar kayu tu aku tolak perlahan-lahan…
‘kreeeeekkkkkkk….’
Bunyi ansel karatnya memecah keheningan malam. Dalam kawasan rumah Paksu ni ada banyak pokok buah. Rambutan, cempedak, manggis, durian dan apa lagi entah. Kalau teringin nak makan buah secara borong, ayah bawa anak-anak datang sini. Ramai-ramai naik bas dan teksi.
Kami pun melintas sepohon demi sepohon pokok buah dalam kawasan tu. Masa tu tengah musim rambutan. Penuh berterabur buah rambutan atas tanah. Yang di pokok lagilah sakan. Boleh main capai dengan tangan ja. Buah dia ranum elok berwarna merah terang. Aku nak petik sebiji sebab teringin tapi takut ayah marah.
Semasa menghampiri sebuah perigi di belakang rumah, mata aku terpandang satu tubuh manusia sedang terbongkok-bongkok mengambil air dari perigi. Dalam samar-samar lampu rumah yang menyimbah keluar, aku kenal orang tu. Maksu Bedah, isteri Paksu Harun.
“Assalamualaikum Maksu..” Sapa aku sebaik Maksu berpaling melihat kami. Dia cuma tersenyum dan meneruskan kerjanya menimba air dari perigi.
“Buat apa tu Maksu?” Tanya aku lagi.
“Nak basuh batang rebung ni ha. Lusa ada kenduri kat rumah jiran belakang tu. Pegi la naik. Paksu ada dalam.” Jawab Maksu sambil mencurah setimba air kedalam besen yang berisi batang rebung.
Ayah menepuk bahu aku dari belakang. “Jalan terus sampai depan rumah…”
Aku pun menapak hingga ke halaman rumah Paksu. Rumah ni masih tak berubah sejak kali terakhir aku datang sini 2 tahun lepas. 90% buatan kayu dan bertiang tinggi. Kat bawah rumah tu luas dan lapang, terang disimbahi cahaya lampu mentol kuning. Tempat Paksu sekeluarga berehat-rehat waktu cuaca panas.
Sekali lagi ayah berhenti depan tangga rumah, mulut kumat kamit dan hentakkan tumit ke tanah. Dah macam tentera jepun aku tengok ayah. Tapi aku dah biasa dengan kelakuan ayah. Gaya ni macam ayah sedang bersiap sedia menghadapi sesuatu yang paranormal. Maksudnya kedatangan ayah ke sini bukan ziarah biasa-biasa. Ni mesti ada pasal.
Lepas dua kali salam diberi, Paksu muncul di atas beranda.
“Wa’alaikumssalam…haa sampai dah. Mai naik bang.” Paksu hulurkan salam dan mengajak kami naik ke atas. Aku mengekori ayah dari belakang.
“Kita duduk kat beranda ni dulu bagi hilang peluh. Lama dah tak jalan jauh macam ni” Kata ayah lalu duduk di lantai beranda. Aku jenguk ke dalam rumah nak tengok jam.
Dah pukul 8.45 malam. Maksudnya kami berjalan selama 35 minit dari masjid ke rumah Paksu. Dengan suasana malam yang agak panas, bercerau jugalah peluh di badan.
“Sat nak amik ayaq. Duduk dulu na…” Kata Paksu sambil melangkah naik ke ruang tamu rumah dan terus menuju ke dapur. Tak lama kemudian Paksu keluar dengan sebekas air kosong dengan cawan plastik. Paksu aku pun dah tahu selera ayah. Ayah tak reti minum air lain selain air kosong. Sampai sekarang aku terikut-ikut perangai dia. Jarang nak minum air manis.
Paksu melabuhkan punggung dan meletakkan cawan plastik depan ayah. Dia hanya memakai kain sarung dan baju pagoda putih lusuh yang dah naik kuning.
“Mail hantaq ka tadi?” Tanya Paksu memulakan perbualan.
“Ya..nak harap sapa lagi? Kalau mai sini memang dia la drebar aku.” Kata ayah sambil menuangkan air kosong ke cawan. Aku pun tak bertangguh menuang air ke cawan aku dan minum 2 gelas sekaligus. Dahaga…panas.
“Kakak kirim salam. Tu ada pelam dia kirim kat hampa.” Kata ayah lagi sambil memandang bungkusan buah mempelam yang masih berada di tangan aku. Aku hulurkan bungkusan tu ke tangan Paksu.
“Alhamdulillah….terima kasih. Cicah garam jadi nih. Depa kat rumah sihat ka?”
“Alhamdulillah…macam biasa ja. Along dah ada kat UM, Angah kat UIA. Siti baru sudah SPM dok tunggu keputusan. Harap-harap ok lah tu. Yang lain semua ada dengan keluarga masing-masing. Tinggal Siti dengan Edi ni ja kat rumah. Ni la racun ni la penawaq.” Kata ayah menjawab pertanyaan Paksu sambil tersenyum menjuih bibir ke arah aku. Paksu ketawa kecil dan menepuk-nepuk peha aku.
“Mana yang lain?” Giliran ayah bertanya pada Paksu.
“Mana ada sapa dah. Tinggai aku dengan Nafi ja. Dia ada kat rumah jiran belakang tu. Ahad ni ada kenduri kat situ.” Ujar Paksu. Anak-anak Paksu tak seramai anak-anak ayah. Mereka ada 6 beradik ja berbanding aku yang ada 12 adik beradik. Ayah memang produktif. Tak payah berbini dua pun ada anak 12 orang. Tu lah rezeki namanya.
“Bedah tak balik jugak?” Tanya ayah lagi.
“Hmmmm….seminggu dah ni. Aku takut jumpa mayat ja bang. Polis dah cari, orang kampung keliling ni pun pakat turun, 3 orang ustaz dah aku panggil tapi tak ada hasil. Banyak dah duit aku habis kat ustaz dengan bomoh.”
“Awat tak habaq awai kat aku?”
“Mulanya aku berasa benda ni tak mustahak sangat. Takmau la kacau hang abang. Aku dok agak dalam sehari dua dah boleh jumpa atau dia balik sendiri. Tapi ni dah masuk hari ke 7. Anak-anak pun pakat dah balik pi kerja. Depa pun bukan boleh cuti lama-lama.” Ujar Paksu menghela nafas kegusaran.
“Ustaz dengan bomoh tu berubat minta upah ka?”
“Ustaz sorang tu tak minta tapi aku sedekah ja. Yang lain tu ada yang minta, aku cakap setakat yang termampu boleh la. Kita bukan orang senang. Yang minta ayam panggang pun ada. Aku bagi je la sebab dah habis ikhtiar.”
“Minta upah tu tak salah, tu sebagai bayaran usaha depa juga. Tapi kena la patut. Jangan sampai menekan orang macam kita ni. Ilmu tu dari Tuhan, bukan depa dapat sendiri.” Jawab ayah lantas meneguk air kosong yang sejak tadi dituang tapi belum disentuh.
“Polis kata apa?” Tanya ayah lagi.
“Depa pun taktau nak kata apa. Nak kata komunis, memang dah lama bersih hutan belakang tu. Nak kata binatang, tak jumpa jejak. Taik pun tak ada.” Sambung paksu sambil menggosok-gosok kepalanya yang dah beruban.
“La ni depa dok mencari lagi ka?”
“Ada tu polis hutan dok meronda lagi. Orang kampung pun dok masuk jugak tapi takda hasil. Penat dah depa pun.”
“Dia hilang tu pagi ka petang?” Ayah aku terus menerus menyoal Paksu.
“Sebelum maghrib. Yang aku ingat, dia kata nak pi telaga tu nak jirus pokok bunga. Sampai lepas maghrib tak masuk rumah. Aku pi cari kat luaq dah tak ada. Pi cari kat rumah anak dia pun tak ada. Malam tu jugak aku seru orang kampung mai cari pasai dah jam 11 tak balik lagi. Tunggu sampai subuh langsung tak nampak bayang. Tu yang aku pi balai report polis.” Jelas Paksu panjang lebar. Di wajahnya terbit dua perasaan, risau dan putus asa.
Pada ketika itu juga aku teringat satu hal. Tadi kat perigi aku nampak Maksu Bedah. Tapi isu yang dibualkan ayah dan Paksu sekarang ni, Maksu Bedah dah hilang sejak seminggu yang lalu. Jadi, tadi tu siapa?
Ayah memandang muka aku. Dia tau aku jadi pelik.
“Takpa lah. Kita ikhtiar dulu. InsyaAllah ada tu tapi kita tak nampak. Esok kita pi cari. Aku nak mandi ni.” Ayah memberi isyarat pada Paksu yang dia nak masuk ke dalam rumah.
“Jom. Malam ni tidoq bilik tengah. Tak ada sapa dah dok bilik tu sejak Hani menikah hari tu. Dia pi dok KL ikut laki dia.” Paksu bangkit dari duduk dan memandu kami ke dalam rumah.
Rumah Paksu ni sangat ringkas. Di ruang tamu ada set kerusi kusyen buatan buluh dan sebuah tv kecil. Ada 3 bilik dalam rumah ni. Paling depan bilik Paksu dan Maksu, bilik yang di tengah sekarang dah jadi bilik tetamu sebab kakak sepupu aku si Hani tu dah berkahwin, bilik belakang kepunyaan Nafi, sepupu yang paling rapat dengan aku sebab umur kami sebaya. Ruang dapur dan bilik mandi berada di bawah, tandas berada di luar belakang dapur. Kalau nak berak tengah malam, sila berak dalam gelap. Sama juga macam rumah aku kat kampung.
“Edi nak tidoq dengan Nafi boleh ja. Pi masuk bilik dia. Sat lagi dia balik la tu” Kata Paksu sambil menunjukkan bilik Nafi. Aku memang nak sangat lepak dengan sepupu aku tu. Dah 2 tahun tak jumpa. Esok pagi sah-sah dia ajak aku terjun sungai.
Ayah pun bagi green light untuk aku tidur dengan Nafi. Dia pun terus melangkah masuk ke bilik tengah, aku menerpa ke bilik nafi, buka lampu dan kipas, kemudian lompat atas katil. Akhirnya, dapat juga baring setelah sekerat hari bermusafir ke negeri Perak.
Aku hanya tersedar dari tidur bila terasa macam ada orang berbaring sebelah aku. Nafi. Entah jam berapa dia balik aku pun tak tahu. Memang aku dah lena tadi. Lalu aku bangun menuju ke tandas untuk buang air kecil. Badan berasa melekit tapi dah tengah malam ni malas pula nak mandi.
Dah hampir selesai urusan aku dalam tandas tu, tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi bising kat dapur. Macam ada orang tengah angkat periuk belanga. Mungkin Paksu tengah kemas dapur. Aku pun buka pintu tandas dan keluar melewati dapur untuk menuju ke bilik tidur. Sebaik melangkah keluar, aku nampak seorang perempuan tengah basuh tangan kat sinki. Perempuan sama yang aku nampak kat tepi perigi tadi. MAKSU BEDAH…
Terus kaki aku melekat depan pintu tandas. Tak berkedip mata aku memandang Maksu Bedah yang sedang membelakangi aku. Dia langsung tak toleh seolah-olah tak sedar yang aku ada belakang dia. Kepala aku jadi kembang bagai darah semua dah berkumpul di situ. Maksu Bedah masih tekun membasuh tangan tatkala aku berjalan perlahan-lahan menuju ke tangga. Terjengket-jengket kaki aku untuk elakkan ia berderap bunyi di lantai dapur.
Sebaik tiba di tangga yang menghubungkan dapur dengan ruang atas, aku dengar Maksu Bedah tutup paip air. Dalam hati dah menyumpah sakan. Jahanam aku macam ni. Kalau nak buat-buat pengsan pun tak guna dah sekarang ni. Basuh la lagi tangan tu…alahaaaaiii Maksu.
Secara spontan kepala aku berpusing tengok Maksu. Dia masih di depan sinki tetapi diam, tangan masih dengan gaya membasuh tetapi air tak keluar. Matanya sedang memandang kosong ke luar tingkap yang terbuka. Sebelum dia kalih tengok aku yang terjengket-jengket macam penyamun ni, cepat-cepat aku lari naik atas menuju ke bilik. Berkeriuk anak tangga tu berbunyi masa aku pijak dia. Dan aku tak berhajat langsung nak pusing tengok Maksu.
Aku terus masuk bilik dan capai selimut, aku serkup tubuh dari kepala hinggake hujung kaki.
Tiba-tiba…
“Edi….hang nampak mak aku ka?”
Wooihhhh….lagi sekali aku terkejut. Mau sakit jantung macam ni. Nafi berbisik di sebelah aku. Ingatkan dia tidur mati.
“Haaaa….dua kali dah aku nampak. Hang ni bila balik?” Tanya aku dengan kepala masih berselubung selimut. Muka aku ja yang tersembul keluar menghadap muka Nafi.
“Tadi jam 11. Nak bagitau hang ni. Sejak mak aku hilang, tiap hari dia balik rumah. Aku dah tiga empat kali silap tegur pasai dok berasa macam yang tu memang mak aku, tapi bukan dia.” Nafi berbisik di sebelah aku sambil menekup sikit mulutnya supaya perbualan kami tak terlalu kuat.
“Esok jom mandi sungai..” Katanya lagi. Aku yang baru nak berasa seram terus bertukar jadi ceria. Pantas betul dia tukar topik bila jumpa geng.
“Jadi. Lama tak berendam sungai. Dok terjun parit ja.” Balas aku tersenyum-senyum.
Lalu kami pun serkup muka masing-masing dan sambung tidur. Lupa kejap yang dalam rumah ni ada jelmaan setan menyerupai Maksu.
Pagi hari kedua di Kampug Udang, acara yang ditunggu-tunggu telah tiba. Aku dengan Nafi berjalan menuju ke sungai. Di sungai ada lagi kawan-kawan Nafi dah siap berkubang. Beginilah kehidupan di kampung. Kalau cuti sekolah ja memang berkubang la sampai ke petang. Ayah tak ikut ke sungai sebab ikut Paksu bersarapan di rumah abang Rahman, anak Paksu yang sulung. Mereka sedang menyusun atur langkah untuk masuk ke hutan mencari Maksu Bedah.
Setelah berkenalan dengan rakan-rakan Nafi, yang antaranya aku dah kenal…terus aku celapak terjun ke sungai. Allahu…..sejuk sampai ke tulang. Masa kami mandi tu hari masih awal pagi. Matahari baru naik segalah. Kedinginan air sungai buat aku kecut seluruh tubuh. Tetapi sangat menyegarkan. Gedebush gedebush gedebush….melompat aku dalam sungai yang jernih tu. Terkinja-kinja macam budak tadika. Maklumlah, kat kampung aku cuma ada parit.
Dah puas mandi-manda aku pun naik ke tebing. Nafi dengan dengan kawan-kawan dia masih berkubang sakan. Aku menuju ke tempat aku tinggalkan selipar tadi. Masa tengah lap kepala dengan tuala, mata aku terpandang sesusuk tubuh berdiri melihat kami dari celah rimbunan pohon buluh yang tumbuh kat seberang sungai. Mulanya aku buat tak peduli ja. Mungkin orang kampung tengah cari buluh. Tapi bila aku pandang lagi sekali, dengan jelas aku nampak…tu Maksu Bedah! Sekali lagi kepala aku yang kecut kesejukan jadi kembang sampai ke tengkuk.
Maksu Bedah memandang aku dengan wajah kosong. Matanya tepat menikam ke mata aku. Lantas aku panggil Nafi naik ke tebing.
“Woiii jom balik. Sejuk dah ni…”
“Laaaaa…..awai lagi ni. Sat lagi la balik.” Jawab Nafi dari dalam sungai.
“Aku balik dululah…lapaq.” Lalu aku sarungkan selipar dan melangkah tinggalkan mereka yang masih seronok tanpa mengetahui akan apa yang baru aku lihat. Bila aku pandang sekali lagi ke arah rumpun buluh, susuk tubuh Maksu Bedah dah hilang.
Jarak dari sungai ke rumah Paksu tidak jauh. Dalam 50 langkah dah sampai ke pintu kebun. Tetapi kiri kanannya dipagari pohon getah. Aku pun berjalan seorang diri sambil kepala otak memikirkan jelmaan Maksu Bedah. Sejak tiba di kampung ni semalam, 3 kali dah jelmaan Maksu Bedah tunjukkan dirinya pada aku. Maknanya dakwaan Nafi yang emak dia balik tiap hari tu betullah. Tapi Paksu tak sebut pun pasal ni semalam. Ayah pula entah nampak ke tidak? Atau aku dengan Nafi je yang nampak? Sedang bersoal jawab dengan diri sendiri, terdengar satu suara menegur aku dari dalam hutan getah.
“Kau datang sini buat apa?” Suara seorang perempuan. Aku perlahankan langkah sambil kepala melilau kiri kanan. Macam ada makcik kampung tu yang menegur aku dari belakang pokok getah.
“Kau datang buat apa? Pi balik. Aku tak suka. Ajak ayah kau balik!!” Suara tu berbunyi lagi, kali ni agak keras. Aku tak tahu dari mana suara tu datang. Yang nampak hanyalah barisan pokok getah dan kabus pagi yang bersinar disimbahi cahaya matahari yang keemasan. Di sini, aku tak tunggu lama. Terus aku buka langkah, lari tak cukup tanah menuju ke rumah Paksu.
Setibanya di beranda rumah, ayah dah tercegat depan pintu dengan Paksu, abang Rahman dan 5 lagi orang kampung yang aku tak kenal. Masing-masing mengenakan pakaian macam nak pergi menoreh. Mereka memandang aku yang tercungap-cungap di depan tangga.
“Nak ikut tak?” Tanya ayah pada aku.
“Kalau tak mau ikut duduk ja di rumah dengan Nafi. Nanti nak makan pi rumah abang Rahman.” Kata Paksu sambil menyelitkan golok kecil dipinggangnya yang kurus.
Aku berfikir sekejap. Kalau duduk rumah pun, Nafi kat sungai lagi. Entah jam berapa dia nak balik? Buatnya nanti Maksu datang lagi hulurkan kopi, ajak sembang-sembang pula, jenuh aku nak menjawab. Mau tercirit dalam seluar.
“Ikut lah…” Jawab aku pendek.
“Pi siap lekaih. Nak jalan dah ni.” Kata ayah. Aku pun berlari naik tangga dan menuju ke bilik untuk tukar pakaian. Dah siap, aku turun ke bawah berhimpun bersama kumpulan yang akan masuk ke hutan mencari Maksu Bedah. Kali ni, ayah aku mengepalai pencarian ini.
“Polis dah ada kat dalam. Depa masuk dulu. Kita ikut jejak depa ja nanti.” Ujar salah seorang penduduk kampung tu yang aku kenal dia sebagai Haji Sulaiman.
“Berapa orang depa kat dalam?” Tanya Paksu.
“Nampak macam satu truck tadi. Ramai juga.” Jawab Haji Sulaiman.
“Jom lah…kita angkat doa dulu.” Kata ayah lantas memulakan doa selamat dengan bacaan Al-Fatihah.
Di belakang kampung tu ada dua buah bukit. Aku tak pasti apa nama bukit tu. Kedudukan dia sebelah menyebelah. Kami tiba di puncak bukit kedua waktu matahari dah terpacak di atas kepala. Kedengaran suara azan zuhur berkumandang dari masjid Kampung Udang. Baju aku lencun dengan peluh. Rasa menyesal pula ikut ayah datang sini. Kalau duduk rumah dapat juga layan tv atau sambung tidur. Tetapi mengenangkan dah 3 kali Maksu Bedah muncul kat rumah tu, aku rela ja berpenat lelah ikut ayah panjat bukit. Ayah pula masih gagah dengan izin Allah. Walaupun usia dah menjangkau 65 tahun, ayah melangkah laju sambil menebas semak samun di kiri kanan denai.
“Kita rehat sini, solat zuhur dulu.” Ayah memberi arahan kepada ahli kumpulan.
Mereka bertujuh termasuk Paksu menghampar kain tarpan buat alas rehat dan solat. Haji Sulaiman dan yang lain pakat keluarkan bekalan makanan yang disediakan oleh isteri abang Rahman. Dia hulurkan aku sebungkus nasi. Aku capai nasi tu dan melantak macam jin kelaparan. Tersengeh-sengeh dia tengok aku makan.
Usai acara makan tengahari, kami berdiri solat berjemaah di puncak bukit. Cuaca yang tadi panas terik bertukar jadi mendung bagai memayungi kami yang sedang berbicara dengan Tuhan. Angin lembut memuput ke wajah aku, berasa macam nak lena masa sujud. Lepas zuhur, ayah ajak semua bangun untuk sambung solat hajat. Semua bangun kecuali aku…aku dah terbongkang tidur kat belakang saf, terlentang keletihan, kekenyangan.
Aku hanya sedar diri bila terdengar derapan tapak kaki menghampiri kumpulan kami. Sekumpulan polis hutan datang bergabung dengan kami untuk menuju pulang ke kaki bukit. Waktu tu aku nampak ayah berdiri mengadap kiblat sambil membilang-bilang jari di tangan kanan. Bibirnya kumat-kamit membaca sesuatu.
“Memang tak ada kat bukit ni. Jom la balik. Mudah-mudahan ada petunjuk lain.” Kata ayah sambil memberi arahan kepada ahli kumpulan yang lain. Kami pun bangun dan kemaskan diri. Polis hutan jalan dulu, kumpulan kami ikut di belakang.
Kami tiba di rumah Paksu ketika petang dah menghampiri Maghrib. Segala denai dan lorong yang ada di bukit tu kami dah redah tapi tak ada tanda-tanda kewujudan Maksu di situ. Ayah nampak sedikit kesal dengan usaha hari ni.
“Kita serah pada Allah. Kita dah usaha, jangan putus asa.” Kata ayah sebaik melabuhkan punggung di beranda rumah Paksu. Semua yang ikut tadi dah balik kecuali Haji Sulaiman.
“InsyaAllah…sama-sama kita doa yang baik-baik.” Sambung Haji Sulaiman demi nak menenangkan Paksu yang nampak sugul di tangga beranda.
“Harun. Bedah tu ada berjanji apa-apa dengan sapa-sapa ka?” Tanya Ayah pada Paksu setelah keadaan membungkam seketika.
“Tak tahu la aku bang. Janji macam mana?”
Ayah diam dan jarinya mengetuk-ngetuk lantai beranda.
“Sebelum dia hilang tu ada nampak dia buat benda pelik tak? Buat benda yang yang dia tak pernah buat sebelum ni” Ujar ayah aku memandang tepat ke wajah Paksu.
“Setahu aku tak ada. Macam biasa ja. Bangun pagi siap makan minum, ikut aku pi menoreh, balik menoreh pun duduk ja dalam rumah ni. Petang-petang dok belek pokok bunga dia.” Jawab Paksu.
“Tapi dia suka duduk lama-lama kat perigi bawah pokok rambutan tu. Dia dok tanam pokok bunga kat situ. Kadang-kadang dah nak tengah malam pun dia dok pi tengok pokok bunga.” Sambungnya lagi. Berkerut dahi Haji Sulaiman bila dengar cerita Paksu.
“Betul. Pernah sekali aku lalu tengah malam nampak dia dok cebok air perigi.” Ujar Haji Sulaiman mengiyakan kata-kata Paksu.
“Sejak bila dia dok pi perigi tu?” Tanya ayah lagi
“Lama dah, sejak setahun dua ni memang dia rajin dok pi situ. Aku dah lama nak kambus perigi tu sebab la ni pun dah ada paip ayaq. Tak gaduh dah nak guna perigi. Tapi dah dia dok menyiram pokok, aku biaq je laa.” Jelas Paksu. Ayah mengangguk-angguk dan mengusap mukanya yang nampak keletihan.
“Kita solat dulu. Dah nak masuk waktu ni.” Lalu ayah bangun dan memberi isyarat pada aku supaya segera pergi mandi.
“Saya balik dulu bang Haji. Nanti lepas isya’ saya mai balik.” Kata Haji Sulaiman sebelum turun dari tangga beranda dan menuju ke motosikalnya. Ayah menjawab salam dari Haji Sulaiman dan terus melangkah masuk ke rumah.
Jam 10 malam, aku dan Nafi sedang berborak-borak dalam bilik. Badan berasa lemau dan letih. Tapi Nafi masih rancak ajak berbual. Seketika kemudian, Paksu panggil kami keluar. Aduh. Baru ja bersiap sedia nak tidur. Kami berdua turun ke beranda dan ayah dengan Haji Sulaiman dah ada di bawah.
“Hampa dua mai tolong sama. Kita nak cari mak Nafi” Kata ayah. Lagi sekali aku menghela nafas panjang. Takkanlah tengah malam ni nak mencari pula ke bukit tu? Tak boleh ke tunggu esok? Ngomel aku dalam hati.
Ayah macam tahu apa yang tersirat di hati aku.
“Kita cari tak jauh, dalam kebun ni ja.” Ayah memandang wajah aku tanda dia faham yang aku dah letih.
Kami pun menuruti langkah ayah menuju ke kawasan perigi. Perigi tu terletak berdekatan dengan tandas kat belakang rumah, di bawah sepohon pokok rambutan yang berbuah lebat. Kali ni aku tak lepaskan peluang bila Nafi petik setangkai rambutan dan dihulurkan pada aku. Kat situ juga aku kupas dan telan lima enam biji.
Di keliling perigi tu ada bermacam-macam pokok bunga yang segar bugar. Nampak basah kelopak dan tanahnya bagai baru disiram. Bau wangi semerbak harum menerjah ke lubang hidung aku. Paling kuat adalah bau bunga kemboja yang tumbuh mekar betul-betul di tepi perigi.
Ayah pun mulakan pencarian dengan bacaan ta’awuz dan bismillah…terus bersambung dengan Al-Fatihah dan Al-Baqarah ayat 1 hingga 5. Lain dari tu aku tak ingat dah. Lama juga ayah membaca ayat suci sekitar perigi tu sambil membilang-bilang jari di tangan kanan. Kami yang lain hanya memerhatikan gerak geri ayah. Kemudian, ayah minta Haji Sulaiman melaungkan azan.
“Allahuakbar Allaaaaaaahuakbar….” Sedap betul laungan azan dari Haji Sulaiman. Macam bilal dari Tanah Haram dah.
Dah selesai azan, ayah sambung lagi membaca sesuatu dan memberi salam sebelum tunduk menampar tanah. Kemudian ayah bersuara…
“Hantaq balik. Tak baik buat macam ni. Laki dengan anak-anak dia dok tunggu.”
Keadaan sunyi dan hening, tiada tanda-tanda aneh berlaku. Sekali lagi ayah bersuara..
“Hantaq dia balik cepat. Aku minta cara elok ni. Aku makhluk, kau pun makhluk. Tuhan dah bagi tempat masing-masing. Hantar dia dan kau baliklah.” Kata ayah dengan matanya bertumpu pada permukaan perigi.
Lepas beberapa saat, aku dapat dengar air dalam perigi berkocak perlahan…dan makin lama semakin kuat. Bagai ada sesuatu yang nak timbul ke permukaan. Ayah masih membatukan diri di tempat dia berdiri dengan mulut terkumat-kamit membaca sesuatu. Air perigi terus berkocak lebih kuat dari tadi hingga terpercik air menyimbah ke tanah. Kemudian, perlahan-lahan menjadi tenang kembali disusuli asap putih yang tipis keluar ke udara. Macam wap panas dari air yang mendidih. Selang beberapa minit, keadaan menjadi tenang.
“Pi cari keliling kebun.” Ayah mengeluarkan arahan kepada kami yang masih terpinga-pinga melihat aksi yang jarang dapat dilihat tu. Paksu bergerak ke belakang kebun ditemani Haji Sulaiman, aku dengan Nafi berjalan menuju ke pintu masuk di bahagian hadapan. Ayah pula mencari seorang diri sekitar perigi.
Sedang aku dan Nafi menyuluh dalam gelap…terdengar suara Haji Sulaiman memekik dari jauh.
“Ada niiiii…….jumpa daaaahhh…!!” Terus aku dan Nafi bergegas ke belakang rumah. Kami menyuluh-nyuluh di bawah pokok langsat dan nampak kelibat ayah,Paksu dan Haji Sulaiman duduk bertinggung di perdu pokok. Aku terus menghampiri mereka dan nampak Maksu Bedah sedang tersandar longlai di perdu pokok langsat. Nampak macam dia sedang tidur dengan nyenyak dan keletihan.
“Angkat dia bawak pi atas” Ayah memberi arahan kepada kami, lalu Paksu dan Nafi memangku tubuh Maksu yang lemah tu dan dibawa ke dalam rumah.
Aku tolong hamparkan tilam nipis di ruang tamu untuk baringkan Maksu yang masih belum sedar dari tidur. Ayah minta segelas air dari Nafi. Setelah dibacakan sesuatu pada air tu, ayah suruh Paksu sapukan ke muka Maksu. Dan mata Maksu pun terbuka perlahan-lahan.
“Bedah….Bedah…..mengucap dulu aku nak dengar.” Bisik ayah ke telinga Maksu. Lalu Maksu Bedah melafazkan kalimah tauhid bersaksikan kami berempat.
“Alhamdulillah. Selamat dah dia. Bagi dia rehat dulu. Sat lagi hang bawa dia pi mandi.”
Kata ayah aku dan terus dia mengangkat doa kesyukuran. Mengalir air mata Paksu dan Nafi bila orang yang mereka sayang dah berada di depan mata.
Aku lihat jam di dinding, dah pukul 11.30 malam. Mata aku makin nak pejam. Aku tinggalkan mereka di ruang tamu dan masuk ke bilik untuk tidur…tidur dalam kesyukuran.
Jam 5.30 pagi, ayah kejutkan aku untuk solat subuh. Kami berjemaah di surau yang tidak jauh dari rumah Paksu. Dalam perjalanan pulang dari surau…ayah membuka cerita.
“Atas muka bumi ni bukan kita saja yang duduk, ada binatang, ada makhluk ghaib. Masing-masing ada tempat dia kat dunia ni. Kalau kita masuk tempat depa, kita kena hormat. Depa masuk tempat kita pun depa kena hormat. Baru tak jadi kacau bilau.” Kata ayah…aku mengangguk-angguk faham.
“Yang Edi nampak kat perigi malam tu dengan kat dapur…tu salah satu makhluk ghaib yang menceroboh masuk ke tempat kita.” Sambung ayah lagi. Baru aku tahu yang ayah pun nampak apa yang aku nampak.
Aku memulakan soalan yang sejak dua malam lepas aku simpan.
“Pasaipa dia merupa jadi Maksu?”
“Tu dia bagi tanda yang Maksu ada lagi. Bukan hilang, tapi depa pinjam sat nak buat kawan.”
“Yang tu jin ka bunian?” Tanya aku lagi yang masih tak faham dengan kewujudan makhluk ghaib ciptaan Tuhan tu.
“Bunian tu jin, jin tu bunian. Sama ja. Depa ada juga yang muslim dengan tak muslim. Yang amik Maksu ni muslim. Pasai tu tak susah nak cari. Dia nak berkawan sat ja. Tapi kalau kita tak ikhtiar cari dengan jalan yang betoi, sampai bila-bila tak jumpa.” Ohhh…lagi sekali aku terangguk-angguk walaupun pening sikit.
Seketika kemudian, kami tiba di halaman rumah Paksu. Kelihatan ramai dah orang kampung yang datang nak bertanya khabar. Berita yang Maksu telah ditemui pantas tersebar di seluruh Kampung Udang. Kami naik ke beranda rumah dan beramah mesra dengan penduduk kampung. Di dalam rumah ada beberapa orang anggota polis sedang menemu bual Paksu dan Haji Sulaiman. Maksu pula sedang berbaring di dalam bilik. Ayah aku ajak masuk jumpa Maksu.
Tersenyum-senyum Maksu menyambut kami lantas dia bangun dari perbaringan. Nampak dia dah sedikit segar dari semalam, cuma matanya agak cengkung ke dalam.
“Terima kasih banyak bang. Saya tak tau macam mana nak balas.” Kata Maksu pada ayah.
“Alhamdulillah. Ni semua kehendak Tuhan. Kena buat sujud syukur. Aku tolong doa ja. Yang bagi jumpa tu Tuhan”
“Selama kat sana makan apa?” Tanya ayah. Ini yang aku nak tahu sangat.
“Tak makan apa pun. Rasa kenyang selalu. Bukan lama, satu malam ja.” Jawab Maksu. Ayah aku tersengeh-sengeh mendengar jawapan Maksu.
“Buat apa kat sana?” Tanya ayah lagi.
“Tak buat apa. Jalan-jalan pusing kampung ja. Sama macam kita jugak. Tapi depa semua pakai baju putih dengan hijau. Yang lelaki berserban yang perempuan pakai tudung. Segak-segak depa.”
“Lain kali nak pi lagi ajak kami sekali. Teringin jugak nak tengok tempat depa” Ujar ayah berseloroh langsung menutup perbualan. Aku berkata dalam hati….ayah pi la sorang. Tak bawa aku pun takpa. Sana tak ada Honda lampu bulat. Tak ada geng nak ajak terjun parit.
Kami pun keluar dari bilik Maksu dan kembali ke depan. Orang kampung makin ramai berhimpun di depan rumah. Sedang ayah berbual dengan Paksu dan Haji Sulaiman, datang seorang pakcik tua menghampiri ayah.
“Bang Haji. Jemput ke rumah tengahari ni. Kenduri kahwin anak saya. Kita buat doa selamat sekali.” Ayah bersetuju dengan ajakan pakcik tua tu. Orang jemput kita wajib datang kalau tak ada halangan.
Waktu dah menginjak ke tengahari masa aku, ayah, Paksu dan Haji Sulaiman berjalan ke rumah kenduri. Maksu Bedah ditemani anak-anaknya yang lantas pulang ke kampung bila dapat tahu emak mereka dah selamat ditemui. Tiba di rumah kenduri, kami disambut bagai tetamu istimewa. Ramai yang datang bersalam dengan ayah. Aku tak peduli dah, terus aku dapatkan Nafi yang sedang basuh pinggan dan ajak dia makan kat balai rewang. Nasi minyak berlauk gulai rebung daging cincang tu betul-betul membuka nafsu aku untuk makan sampai tersandar kat tiang balai.
Lepas dah kenyang dengan nasi kenduri, ayah minta diri untuk pulang ke tempat kami, Kampung Bagan yang terletak di utara Seberang Perai, Pulau Pinang. Paksu Harun datang memeluk ayah dan mengucapkan terima kasih tak terhingga atas bantuan abangnya itu. Sempat juga dia datang memeluk aku.
“Belajar betul-betul dengan ayah. Nanti dah besar boleh tolong orang. Boleh tolong agama.”
Aku hanya diam mengangguk sambil memandang Nafi yang berdiri tepi aku. Salam perpisahan diberikan kepada setiap orang kampung yang ada di majlis penuh barakah tu. Sekali lagi rezeki datang bila ada pemuda kampung menawarkan diri untuk hantar kami ke masjid dengan motosikal. Fuuhhh…..lega banyak. Dari tadi lagi aku berkira-kira nak menapak begitu jauh di tengahari terik ni. Dan ayah langsung tidak menolak. Bertambah sayang aku kat ayah.
Setibanya di masjid, Pak Mail dah sedia menunggu dengan teksi Mercedesnya.
“Katanya dah jumpa bang Haji.” Ujar Pak Mail sambil menyambut beg galas dari tangan ayah.
“Alhamdulillah. Tuhan Maha Kaya.” Itu ja yang keluar dari mulut ayah. Teksi tu pun bergerak laju membawa kami menuju ke terminal di pekan Batu Kurau. Fikiran aku dah teringat kat emak yang sedang menanti di rumah. Biasanya kalau ayah balik dari kejauhan, mak akan masak sedap-sedap. Kalau tak ketam masak lemak pun, gulai tenggiri dan sambal belacan confirm dalam tangan. Emak, aku dah nak balik. Balik membawa sebuah pengalaman berharga dan ilmu yang berguna untuk dibuat bekalan hidup. Tunggu aku mak….
Sekian….
p/s: Nama watak dan nama tempat diubah demi manjaga kerahsiaan keluarga. Kepada yang ketinggalan membaca kisah-kisah aku sebelum ni boleh follow page seperti link di bawah. Aku dah compile semua story untuk memudahkan pencarian. Aku bukan mencari populariti,sekadar untuk menghiburkan pembaca dan sendiri. Terima kasih.
Fb Page : https://www.facebook.com/Edi-Arjuna-844886632513306/
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
X pernah kecewa ngn hang edy
Nafi tu x nangis ka selama mak dia hilang tu? Klau aku, aku teriak dah
Pungkok hang lah dia x nangis. Hang ni baca x abis sebok dok kata dia x nangis. Hang bca gi abis baru hang komen.
Bila dia nangis. Mandi sungai ada la aku baca
Perghhh… syukur dan beruntung hang ada pak camtu… best pengalaman n cerita hang… keep on the low profile mode… camtu baru orang respek… huhu… teruja aku tunggu next story hang…
Thumbs up 😊
en edi ni masih dok di bagan ka? mcm mana nak hubungi en edi nak tolong tgok umah kat kg tu sbb mcm pelik je cam ada alien yg dok sekali
Saya bukan perawat, tapi boleh la pi tengok apa yg patut kalau takat di bagan tu. wasap saya 0184629426
terbaik..sy lebih suka citer yg mcm ni..misteri seram 👍👍👍👍👍
Aku tak pernah kecewà dengan cerita hang edy
sat.. masa hg jumpa “maksu” hg mula2 tu dy kata dok basuh rebung sbb ada kenduri.. tp tu bkn maksu hg yg betoi.. lpas dh jumpa maksu hg, truih ada kenduri dgn lauk gulai rebung.. hmmm.. menarik ni..
Yola sebb pakcik tuo tu kato nk buat doa selamat
dak2.. kan masa mula2 jmpa benda yg menyerupai maksu tu kt perigi, bnda tu kata nk basuh rebung sbb ada kenduri..
mungkin dekat kenuri tu diorang dah prepare rebung atau pada zaman tu memang kebanyakkan kenuri orang buat gulai rebung ..
Alhamdulillah.. Wpun pnjg.. Tapi gaya bahasa cukup cantik..
Ada mesej.. Ada ilmu yg di Sampai kan..
Keep on penulisan baik mcm ni..
Cerita besr.Gaya penulisan standar MASTIKA DAN SBDJ..Napa x kirim kat MASTIKA.masa Majalah tu wujud.tn sgt berbakat dlm penulisan.Gaya penceritaan tn..buat aku seolah 2 berada dlm tu.lain kali crita pengalaman tn meraawat pla😊😊👌👌
Terima kasih untuk perkongsian….terima kasih kerana rajin mengarang dan menaip…memang puas hati baca karya bro….
terima kasih atas perkongsian.. teruskan menulis kerana ramai peminat yang tunggu cerita Edi….
Aku rasa mcm balik ke zaman dulu,mcm aku pn turut terlibat letih cr mak su hg,boleh rsa pokok2 bunga dia masih segar seperti baru lepas siram..pendek kata ak dok ada dlm cerita ni..penghayatan dia fuhh
Cerita best sgt tapi kekurangan sebab lawak abang edi tak seperti biasa. Signature abang edi penting tau utk sesuatu cerita. Please mengarang seperti biasa…
Betul… Setuju.. 👍🏻
😍😍😍😍👍👍👍👏👏👏💪💪💪
cerita2 you ni standard yg boleh baca 3 4 kali tanpa jemu. kalau ikut rating 1MDb boleh dapat skor 9.6/10 mcm upin dan ipin.
Aku nangis baca citer ni. Aku bagi 5 bintang!! Mmg terbaik!!
Kan….terfeeling plk
kalaula ini betul..mcm nak minta tlg ja saudara acap yg hilang skang ni kat gunung gua tempurung..dah 7 hari dah masuk hari ni, masih xjumpa..kasihannya 😓
Ishh apa la….jgn samakn dgn lain kisah.kita hanya usaha yg temukan hanya tuhan yg esa.
Syedsiddiq, Edi kalian berdua boleh bantu saudara Acap yang hilang 7 hari?
betol tu, kalau boleh sila la bantu
5 bintang.. Jalan cerita yang best 😍.
Ayah encik edy kawen 2 ka..
Along angah masih kt u, kak ti br abes spm.. Ada 8 org lg beradik en.edy dah kawen.. Mesti atas dr along dan angah?
Mak
saya seorang ja. Kami 10 beradik. Along tu nombor 6, angah 7, kak ti 8, saya 9. Saja saya twist nama2 tu supaya sedara mara tak dpt detect story2 saya kat sini. Jadi kalau nampak kekeliruan dlm susur galur tu abaikan je lah 😅
tolong cri acap..kesian mak dia..
Ye la.. tolong carikn acap.. sedih tgk berita psl dia
penulisan dan jalan cerita yang sngat menarik.mcam masuk.sekali dlm cerita penulis pada zaman tu.
Kisah edi mmg mengimbau zaman kecik2 saya dulu.. Seolah2 baca kisah Tamar Jalis yg ikut atoknya mengubat org.. Kisah tahun 80an 90an mmg buat saya rindu zaman tu.. Tq edi krn byk kongsi cita di FS.. Sedih sebab penulis2 lama FS dah x muncul kan diri.. Masih tunggu sambungan kisah Jalan Pulang tulisan Ahmad Alkhalen yg hilang ntah kemana selepas 2 kisahnya di FS..
citer edi ni semua best2 sbb seram + klako….mohon di upload lg 😀
baru faham. pusing – pusing watak sebenarnya. kadang konfius panggil along, angah tapi ada lagi kakak kat atas. pastu tetiba ada adik beradik 12 orang pulak.
klo boleh tlg carikan acap (asyraf) dan bawa pulang. kesian keluarga dia terutama isteri dan anak
Bukan edi ada adik ke?
Penulisan dan pengalaman yang terbaik brother Edi.. Alfatihah buat arwah ayah bro Edi..
Buat movie best ni.. Seram beb
alhamdulillah. .trbaik story nie. .puas aty mmbace. .ada part lawak trgelak mmbacenye time part seram meremang gak sgale bulu2 kt bdn nie. .huhuhu. .mohon sambung lg yek bro. .t.t.
laaaa.. tempat tu tukaq ka.. sya punya la gigih smbil bca smbil buka google maps sbb nk feeling kampung tu mcmna.. gigih buka cri area2 sungai