SEIKAT RAMBUTAN

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIIM.

Assalamualaikum,

Silalah baca kisah ini yang telah saya siarkan di page saya, Munawir Sang Yunus.

Kalau di tempat kami, orang kampung yang ada halaman rumah, adalah sepohon dua rambutan yang ditanam. Orang Melayu dengan halaman rumah, menanam rambutan hanya untuk anak cucu makan. Tetapi bagi kaum cina yang bertuhankan duit, mereka memiliki ladang-ladang rambutan yang luas. Untuk orang yang jahil seperti aku, bila disebut tentang adanya ladang rambutan yang luas di sana dan di sini di daerah kami, barulah aku tahu. Jadi, bila musim rambutan, jika aku merayap di kawasan kampung, marak warna merah rambutan di halaman rumah mereka.

Aku mengaku, jika tiada Yunus dan Lot, aku lebih banyak terperap di rumah. Tiada keinginan untuk aku ambil tahu itu dan ini. Bila ramai yang datang melepak di pangkin berbumbung depan rumah, terkeluar cerita tentang satu air terjun di belakang ladang rambutan cina. Ramai yang tidak tahu tentang adanya air terjun itu, walaupun mereka lahir dan besar di kampung, kerana ianya bersempadan dengan tanah ladang milik cina dan bukit, tanah kerajaan. Kawan kami, Deli yang buka cerita tentang air terjun itu.

Katanya, untuk sampai ke air terjun itu, kena melalui ladang rambutan yang luas dan berpagar tinggi. Memang banyak anjing liar kerana kawasannya berhutan dan berada di perkampungan cina. Bila disebut tentang jalan masuknya, ramai yang terkejut kerana menyangka ia jalan ke sebuah restoran cina yang agak terperuk di dalam hutan. Deli dan beberapa kawannya pernah ke sana kerana mencari landak. Mendengarnya, ramai yang tidak mahu pergi kerana kata Deli, mereka teruk diganggu makhluk halus.

Deli juga bercerita, makhluk yang mengganggu mereka tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Deli orangnya berbadan kecil dan rendah sahaja, tetapi beraninya tidak bertempat. Di sekolah, dia selalu mendapat tempat tercorot kerana suka ponteng sekolah. Tapi beraninya, tiada siapa yang dapat menandingi kecuali Lot, Yunus dan Fisol.

Menurut kata Deli, penduduk cina dahulu tidak begitu sukakan orang luar, terutama orang Melayu yang mandi manda di situ. Tapi, setelah satu kejadian melibatkan anak-anak mereka yang teruk disampuk jembalang, air terjun itu sudah tidak dikunjungi mereka seperti dulu. Kata Deli, dari pagar ladang rambutan yang tinggi, masuk hutan lagi. Hutannya juga tebal, maklumlah sudah dekat dengan kaki bukit. Ramai yang tidak tahu, kalau perasan, ada satu tempat itu ada beberapa batang pokok rambutan liar tumbuh. Ada rambutan kuning dan beberapa pohon rambutan merah. Isinya sangat manis. Selalunya, orang hanya akan lalu dan tidak perasan pokok-pokok rambutan itu sedang galak berbuah.

Bagai dibedil dengan cerita Deli, Yunuslah yang paling tidak sabar. Hari minggu selalunya begitulah, kalau cuaca panas, kami akan mandi sungai. “Itik” akan berjumpa air, Yunus sangat tidak sabar untuk pergi selepas solat Zohor. Lot yang paling tua masa kami sedang berkumpul itu, hanya mendengar sambil memintal-mintal saputangannya. “Long, jomlah, long pun tak tau kan aiyaq teghejun tu kat mana kan?” kata Yunus mengumpan Lot. “Kami masak nasi goreng buat bekai, kita bawak aiyaq teh wangi” kata Yunus, mengucapkan salam kepada kami dan menarik tangan pakciknya yang hari itu seperti tiada tenaga.

Aku sudah tentu minta izin dari emakku. Memang aku selalu diketawakan kerana “dah tua pun nak kena minta izin”. Aku abaikan saja usikan nakal mereka. Sangkaku, yang hendak pergi itu hanya beberapa k***t sahaja. Atep (kisah Rajuk si Atep – dalam novel) juga ada bersama. Atep, budak terencat akal yang sangat disayangi Lot dan Yunus, merengek-rengek hendak mengikut. “Tep kena habaq kat mak ngan ayah Tep dulu, kalau depa bagi, baru buleh ikut abang Lot” kata Lot sebelum pulang tadi.

Selepas zohor, sudah berderet motorsikal menunggu di atas jalan. Emakku mula-mula tidak izinkan, tapi melihatkan yang hendak pergi itu ramai, emakku mengizinkan sahaja. “Mak hanya ada adik dan kakak” katanya ringkas. Aku mengerti, ibu mana yang mahu lihat anaknya ditimpa malang. Di atas jalan, di atas motorsikal, Tep sudah menggedik-gedik memeluk pinggang Lot di atas motor sambil melambai padaku. Ramai juga yang pergi, dalam lebih kurang dua puluh orang. Yunus dengan cermin mata hitamnya, berlagak “cool”, sudah tidak sabar nampaknya.

Kami mengikut jalan kampung dan melepasi hutan maman (kisah Maman). Bising enjin motorsikal seolah merobek ketenangan kampung. Mana tidaknya, masing-masing dengan sebuah motor. Hanya Lot sahaja yang membawa Atep, yang lain termasuk aku menunggang sendiri. Kedai mamak roti canai jadi sasaran kami, masing-masing membeli roti canai dan teh ais, termasuklah kami bertiga. Dua belas keping roti canai untuk kami berempat sahaja (termasuk Atep), yang lain mungkin seorang dua keping. Tersenyum mamak itu kerana tiba-tiba rezekinya melimpah petang itu.

Bila diberitahu yang kami akan ke air terjun itu, berubah muka mamak itu. “Hati-hati, sekarang itu hantu suka kacau orang pi situ” katanya ringkas. Lot dan Yunus mengangguk sahaja, mungkin kami tidak akan terserempak dengan makhluk tidak terlihat kerana adanya hero Malaya berdua itu. Selesai, kami pun melintas jalan besar kerana jalan ke air terjun itu tidak begitu jauh dari kedainya.

Jalan masuk ke kebun rambutan itu, kiri kanan hanya hutan dan semak belukar. Jalannya tidak berturap (sehingga sekarang), hanya dituang batu granite putih, tapi tidak terjaga. Kedamaian hutan itu juga terganggu dengan bunyi deruan motorsikal kami. Lebih kurang satu kilometer, nampaklah perkampungan cina dengan rumah setingkat, kebanyakannya dari kayu. Bila kami lalu dengan motorsikal yang banyak, wajah penduduk di situ masam dan ada yang terus menutup pintu, seolah kami ini penyangak yang ingin merompak. Anjing juga banyak berkeliaran, tetapi hanya mampu menyalak.

Kami lepasi perkampungan cina itu dan tidak jauh, ada kawasan lapang. Nampaklah restoran makanan laut cina yang dikhabarkan di dalam hutan itu. Restorannya besar dengan halaman yang luas untuk meletak kereta. Menurut kata Deli, jangan pandang enteng kerana pada waktu malam, restoran itu meriah dan terang benderang dan banyak kereta besar-besar di depan kedainya. Pekerja yang sibuk di dalam restoran juga memberi pandangan serupa kepada kami. Kami persetankan sahaja, kerana niat kami ialah untuk melihat sendiri air terjun yang masih “dara” pada kami penduduk setempat.

Meninggalkan restoran itu, kami melalui jalan sempit muat sebuah kereta dan ternampak papan tanda ladang rambutan yang disebut Deli. Kiri kanan masih hutan dan menjadi semakin tebal dengan pokok besar-besar yang rindang dan meneduhkan perjalanan kami. Dan dari jauh, nampaklah warna marak merah menyala. Buah-buah rambutan sedang dalam musimnya. Sungguh aku tidak pernah melihat pokok rambutan yang tersangat banyak dengan buahnya merah seperti ladang itu sedang dijilat api merah.

Kami disambut dengan anjing liar dan ada yang cuba mengejar dan menggigit. Main dengan budak kampung, ada yang berhenti dan mengambil batu. Dibalingnya batu dan terkena pada seekor anjing yang agak kecil, melolong-lolong ia lari masuk ke hutan. Banyak juga anjing liar di situ. Aku rasa, cina-cina yang tinggal di situ berulang alik dari rumah ke ladang rambutan yang berpagar tinggi itu dengan lori pikap atau kereta. Benar kata Deli, pengalamannya berbeza kerana siapapun tidak akan menjangka ada ladang rambutan yang luas di situ.

Untuk ke air terjun, kami melalui tepi pagar ladang, dan sekali lagi disambut dengan salakan anjing yang menjaga kebun. Mujurlah anjing-anjing itu di dalam pagar. Agak besar juga ladang rambutan itu, yang khabarnya isinya bagus dan dihantar ke kilang untuk ditinkan. Buah-buahnya juga nampak besar, bergugus-gugus. Terliur pula melihatnya, sedangkan di rumah, aku baru saja makan rambutan dan manggis.

Ladang rambutan itu kami tinggalkan. Ada beberapa lorong masuk ke hutan, dan kami ikut pesan Deli, ambil lorong ke kanan. Lorong itu tidak besar dan semak samunnya tinggi dengan anak-anak pokok hutan yang teramat banyak. Banjaran bukit terbentang di depan dan kami mula memasuki hutan yang agak tebal. Bunyi mergastua yang biasa di dengar di kawasan hutan mula terdengar, hanya diganggu oleh bunyi deruan motorsikal. Pokok-pokok hutan di situ semuanya besar-besar belaka. Semak samun yang terbiar, dilihat sedikit menyeramkan kerana diteduhkan oleh dahan-dahan pokok hutan yang rindang.

Jalan di depan bengkang bengkok dan kami terpaksa menunggang berbaris. Kami terjumpa dengan pagar yang mungkin menandakan tanah itu milik persendirian. Dua munit dari pagar itu, tiba-tiba Atep berkata “Moktan! Sedap!” dan menunding ke arah kanan. Kami hanya nampak hutan dengan satu anak pokok yang dilentur menjadi seperti jerat sembat. Di depan, nampaklah aliran air. Jarak anak pokok dilentur dengan air terjun itu tidak jauh. Mungkin dalam 200 meter. Sampai di kaki sungai kecil, kami nampak air terjun yang kecil, cantik dan kawasannya agak semak tanda tidak dikunjungi orang.

Air terjunnya terjunnya rendah, sangat jernih dan dingin airnya. Ramai yang sudah tidak sabar, tapi Lot berkata, elok dibersihkan sedikit tempatnya. Takut ada ular dan lipan, katanya. Kebanyakan yang datang tidak dengan tangan kosong. Ada yang bawa parang dan golok, ada yang bawa beg plastik, ada yang membawa pisau di dalam beg mereka. Aku yang jahil serba serbi ini hanya membawa baju salin dan tuala serta sabun dan syampu.

Kami membersihkan tempat itu dan langsung lupa pada Atep. Kami sangkakan Atep ada bersama dengan “kembarnya” Yunus, tapi Yunus nampaknya sedang mengatur batu di dalam kolam untuk mengempang air. Kami mencari Atep, dan tak lama kemudian, Atep muncul tersenyum-senyum. Mulutnya mengunyah sesuatu, sangka kami, mungkin Lotlah yang beri Atep kudapan. Kami tidak perasan, poket seluar Atep berbonjol. Di dalamnya, ada beberapa biji rambutan kuning dan merah yang besar-besar. Sungguh tiada siapa yang perasan, termasuk Lot dan Yunus.

Siap, kami pun mandi. Atep tidak pernah jauh dari Yunus. Lot yang mula-mula malu, hilang “kemaluannya” bila nampak kami bergembira di dalam air. Puas berkubang dalam kolam yang cetek itu, ada yang berkata, kalau makan roti canai sejuk-sejuk begini , pasti sedap. Seperti diseru, semua keluar dari kolam dan membuka bungkusan roti canai masing-masing. Bila masa makan, Atep lebih suka bersama Lot yang menjaganya seperti anaknya sendiri.

Selesai membaham roti canai dan dengan perut yang kenyang, kami meneruskan mandi. Bermacamlah ragam budak-budak lelaki mandi, tapi kami tidak bising, hanya terdengar ketawa kami sahaja. Budak-budak kampung mungkin segan dengan Lot. Yunus naik dan mencari nasi gorengnya dan teh-o cap Kuda Terbang kesukaannya. Kami tidak perasan, Atep tiada bersama kami. Sangka kami, Atep mengikut Yunus kerana mereka berdua kuat makan.

Setelah dalam lima minit, Atep muncul dengan seikat rambutan, sama banyak jumlahnya, kuning dan merah. Atep memberi budak-budak itu sebiji seorang, seperti disuruh, kecuali budak yang melempar batu pada anjing tadi. Dia hanya dapat melihat rambut disua kepada orang lain, tapi tidak kepadanya. Aku dan Yunus mendapat rambutan kuning, Lot dan Atep merah. “Atep dapat mana moktan ni? Sini mana ada pokok moktan” tanya Lot lembut. Hanya Lot dan Yunus yang faham apa yang Atep kata, aku juga tidak mengerti. “Kat mana, buleh tunjuk kata bang?” kata Lot. Semua kami terdiam, masing-masing memegang sebiji rambutan yang besar seorang sebiji.

Perasaan gembira bertukar hairan. Sumpah, kami tidak nampak adanya pokok-pokok rambutan di situ. Atep pergi sekejap sahaja, mula-mula dia mendapat rambutan sebiji-sebiji, sekarang setangkai. “Ada tokwan bagi..oooo.. kata Lot memandang Yunus. “Tokwan tu baik ka jahat?… tokwan tu baik? .. Alhamdulillah….tokwan tu bagi moktan ni kat Atep?” Kata Lot bersembang dengan Atep, yang lain seperti ayam kena tungau, melihat perbualan mereka terkelip-kelip.

“Yan, aku buleh ka makan moktan ni? Nampak sedap” tanyaku pada Yunus. Yunus membelek-belek rambutan yang besar di tangannya. “Awat pulak tak buleh. Tapi, elok kita siasat punca dari mana Atep dapat moktan ni” kata Yunus. “Long, kita nak cari ka mana moktan ni mai?” tanya Yunus pada Lot yang meletakkan tangannya di bahu Atep. “Molek juga syeikh, sat gi kena kena kita makan barang tak baik” kata lot. “Tep, tunjuk kat abang mana Tep dapat moktan ni” kata Lot dan mula bangun keluar dari kolam bersama Atep.

“Syeikh duduk ngan budak-budak ni, biaq long saja yang pi” kata Lot kepada Yunus dan Yunus mengangguk. “Ada benda tak kena ka, Yan?” tanyaku resah. “Dak aih, long cuma tak mau makan barang curi, walaupun dari tangan Atep” bisik Yunus padaku. Kami hanya dapat memerhati Lot dan Atep yang berjalan beriringan sambil bersembang. Mereka berjalan ke depan, dan kemudian membelok ke kiri, di tempat anak pokok melentur seperti jerat sembat dan lenyap di balik daun-daun semak yang meliar.

Semak itu agak tebal, tidak nampak baju putih Lot atau baju merah yang dipakai Atep. Tidak sampai tiga minit, mereka keluar dan di kedua tangan Atep, ada seikat rambutan merah dan kuning. Lot masih seperti tadi, bersembang dengan mesra dengan Atep sehingga mereka sampai pada kami yang kesejukan di dalam kolam. Atep tersengih-sengih menunjukkan rambutan di kedua tangannya pada kami. Dibawanya ke tempat kami meletak beg, dipetik sebiji dan diberi kepada budak yang membaling batu kepada anjing tadi.

“Alhamdulillah, ada makhluk yang bagi kat Atep. Takkanlah Atep nak mencuri” kata Lot. Lega hatiku mendengarnya, tahu-tahu Yunus sudah habis memakan rambutannya. “Jamah la Ku, masya Allah, sedap” kata Yunus sambil mengunyah dan mengangkat jempolnya. “Makanlah, insya Allah hang pa akan kenyang sampai malam” kata Lot kepada kami. Kami mengopek rambutan dan dengan doa makan, mula menjamah rambutan. Masya Allah, isinya lembut, sangat manis dan betul kata Lot, sebiji sahaja, perut sudah kenyang.

“Yan” aku baru saja hendak membuka mulut, Yunus seperti sudah tahu apa bentuk soalanku. “Jin yang baik, mungkin kita tulong bersihkan tempat ni dan tak buat kotoq. Dia tau niat kita nak mandi, bukan nak mencuri atau buat onaq (onar)” kata Yunus. “B kah (bunian)?” tanyaku yang celopar. “Ntah, tu kena tanya long” katanya. Aku segera melemparkan pandangan pada Lot yang sedang mandi manda dengan budak-budak yang lain. “Mampoih dia takkan habaq” kataku pada Yunus. Yunus hanya ketawa.

Kami meneruskan mandi, dan selepas sejam, kami pun hendak pulang. “Balik sakgi, nak sampai kat pagaq kosong tu, masing-masing bagi salam dan ucap terima kasih pasai bagi moktan, tau!” perintah Lot. Kami yang menunggang berbaris sampai di tempat yang dikatakan dan memberi salam, mengucapkan terima kasih dan minta diri untuk pulang. Atep balik dengan dua ikat rambutan yang bagi aku, sangat misteri, sangat sedap, dan aku sangat bersyukur melalui pengalaman ini dengan orang yang baik. Bila ditanya, Lot hanya berkata “Adalah, mana buleh habaq, kami dah berjanji”.

Selepas itu, ada antara kami yang cuba mencari di mana pokok-pokok rambutan itu, tetapi tidak pernah berjumpa.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 93 Average: 4.7]
Pak Engku

2 thoughts on “SEIKAT RAMBUTAN”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.