Jalan Marak Parak id Ginawo ( Jalan Marak Parak di hati)

Selamat sejahtera kepada semua pembaca Fiksyen Shasha. Sedikit tribute untuk Fiksyen Shasha; saya mula menjadi pembaca tegar FF sejak tahun 2016 lagi, masa itu hanya membaca FF melalui Instagram yang di-post dengan screenshot thread Twitter. Saya tiada account Twitter, jadi itu satu-satunya platform untuk saya membaca FF (FB pun tiada ya). Setelah beberapa waktu hanya membaca thread, saya tergerak hati untuk mencari laman web FF dan akhirnya mula membaca di laman web sebab lebih mudah untuk mencari post-post yang lama.
Sudah lama saya teringin menghantar cerita seram di FF, kali ini akan saya lepaskan keinginan yang terbuku di hati.

Kejadian seram ini berlaku ke atas teman baik saya yang saya akan namakan Nia dalam cerita ini. Penulisan ini saya olah sedikit untuk menyedapkan pembacaan tetapi intipati kejadian adalah kejadian sebenar yang berlaku pada hujung tahun 2021.

Semasa cuti hujung minggu ditambah lagi dengan cuti tahunan yang mana sudah lama dirancangnya, Nia bercadang untuk balik ke kampung di Kota Marudu melalui jalan Keningau – Tambunan – Ranau – Marak Parak. Semasa melalui satu bukit dalam perjalanan, dia perasan ada sebuah rumah papan fesyen lama di atas bukit yang dia tidak perasan wujud selama dia melalui jalan tersebut.

Rumah itu merupakan satu-satunya rumah yang ada di kawasan tersebut, tiada perkampungan atau perumahan lain di sekitarnya. Tapi, Nia tidak layan fikirannya itu dan hanya menganggap mungkin dia yang tidak memerhati persekitaran di kawasan itu selama ini, ya lah, mana lagi mau tengok-tengok sekeliling sebab fokus memandu saja. Dipendekkan cerita, setelah tiba di kampung, Nia terus sibuk dengan aktiviti bersama keluarga sehinggalah tiba masa balik semula ke Keningau.

Pada hari itu, cuaca agak mendung menunjukkan tidak lama lagi hujan akan turun. Walaupun sudah hampir jam 3 petang, Nia terpaksa juga menghantar sepupunya kembali ke Kudat dari Kota Marudu yang mengambil masa lebih sejam. Bermakna perjalanan ulang alik akan mengambil masa dua jam lebih. Lepas menghantar sepupunya, Nia harus kembali ke Keningau pada hari itu juga kerana esoknya dia bekerja. Untuk ke Keningau ada dua pilihan jalan yang Nia boleh lalui iaitu dari Kudat menuju Kota Belud dan seterusnya akan melalui Kota Kinabalu, atau Nia boleh kembali semula ke Kota Marudu dan melalui Jalan Marak Parak – Ranau – Tambunan- Keningau, yang mana perjalanan akan memakan masa lebih kurang 4 jam hingga 5 jam mengikut keadaan cuaca.

Tetapi Nia lebih suka ikut Jalan Marak Parak sebab tidak sesak dan lancar saja. Lagipun, Nia sebenarnya takut untuk memandu di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu kerana trauma dengan kemalangan dan garisan-garisan jalan yang mengelirukan disebabkan terdapat kerja-kerja penambahbaikan jalan raya dan flyover.

Pada jam 4.30 petang, Nia sudah berada di Jalan Marak Parak, pada masa itu hujan sudah turun dengan langit yang gelap. Sedang Nia memandu, tiba-tiba dia perasan di belakang ada sebuah kereta yang sangat hampir dengan belakang keretanya. Pada mulanya, Nia tidak endahkan kereta tersebut, tetapi lama-kelamaan Nia mula menyedari bahawa kereta itu adalah sebuah kereta kancil berlampu empat segi dan berwarna kelabu gelap. Nia pun berasa pelik kenapa sang kancil tidak memotong sahaja sedangkan highway tu ada dua lorong. Terfikir juga Nia, adakah hantu siang-siang begini. Nia mula rasa tidak sedap hati, pemanduannya juga semakin dilakukan dengan berhati-hati, yalah manalah tau tiba-tiba si sang kancil bergerak diluar jangkaan.

Didorong dengan perasaan takut, Nia menekan minyak untuk bergerak laju meninggalkan si sang kancil. Tanpa diduga, sang kancil tiba-tiba muncul bergerak bersebelahan dengan kereta Nia. Yang peliknya, sang kancil tersebut merupakan kereta lama dengan tanda signifikannya berlampu empat segi, dan badan kereta yang kurang kemas dari segi persembahan. Bukannya hendak stereotaip mentang-mentang kancil lama tidak laju lah kan. Tapi Nia bawa kereta Myvi baru dengan kelajuan melebihi 100km/j sebab takut dikejar oleh sang kancil. Logiknya, sang kancil tidak mungkin dapat mengejar Nia. Nia berasa takut manalah tau kan ada orang berniat jahat untuk merompak sebab jalan yang dilalui pada masa itu memang tiada perkampungan atau perumahan kerana jalan itu adalah kawasan sempadan antara daerah Kota Maruu dan Ranau, yang kelihatan hanya bukit berhutan di kiri dan kanan. Tidak kira betapa laju Nia bawa kereta, sang kancil tetap dapat menyamakan kelajuan kenderaan dengan Nia.

Dalam keadaan yang takut dan kelam kabut, Nia memalingkan kepala untuk melihat siapakah gerangan yang memandu sang kancil tersebut, sekali pandang rupanya tiada pemandu. Nia masih tidak percaya apa yang dilihatnya sebab mungkin dia salah Nampak. Dia memalingkan lagi kepala untuk kedua kalinya, sah memang tiada pemandu. Apalagi, bertambah-tambahlah ketakutan Nia sehingga mengalir peluh dalam suasana yang dingin dalam kenderaan beserta kedinginan cuaca yang hujan. Nia kemudian memasang lagu rohani dan berdoa untuk diberi ketenangan dan kekuatan hati dan juga supaya situasi itu tamat serta merta.

Untuk ketiga kalinya, Nia menoleh semula untuk melihat sang kancil tersebut, ternyata kenderaan itu sudah tidak kelihatan. Dengan kesamaran cermin hadapan kenderaan dan naluri yang menyuruhnya berhenti, Nia cepat-cepat menekan break; rupanya Nia sudah hampir jatuh ke dalam gaung. Sungguh ironi kerana Nia memandu laju untuk melarikan diri dari sang kancil, tetapi tindakannya itu hampir memakan diri. Nia memerhati keadaan sekeliling untuk mencari kelibat sang kancil tetapi tidak kelihatan. Nia berasa sangat pelik kerana tidak mungkin mana-mana kenderaan boleh masuk simpang kiri atau kanan sebab jalan tersebut adalah highway yang mana di tengah jalan terdapat tembok yang memisahkan jalan manakala di sebelah kiri pula terdapat penghadang jalan.

Tidak ada perkampungan atau perumahan yang ada di sana. Tetapi, Nia perasan kawasan tersebut merupakan bukit yang dia lalui yang mana terletaknya sebuah rumah papan fesyen lama yang dia perasan semasa balik ke kampung tempoh hari. Tetapi, pada hari kejadian itu, dia tidak melihat rumah itu di sana. Kejadian pada hari itu dan kewujudan rumah papan itu masih menjadi tanda tanya kepada Nia yang baginya adalah sesuatu yang susah untuk dijelaskan.

Mungkin juga semua itu permainan jiwa atau permainan minda ditambah lagi dengan cuaca yang kurang baik pada hari itu. Dan yang pasti, Nia mengambil masa untuk memulihkan perasaan takutnya untuk kembali melalui jalan Marak parak semula. Sebab Nia masih tidak berani melalui jalan lain.

Untuk pengetahuan pembaca, jalan Marak Parak memang sangat terkenal dengan keseraman dan tidak kurang juga kejadian yang meragut nyawa. Hati-hati walau di mana sahaja anda berada.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 48 Average: 4.4]
Ivy Cynthia

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.