JELMAAN ORANG TUA MENYAKITI SARIM
“Boss, kami rasa Sarim tu dah terkena.” beritahu Fezron semasa kami minum petang di kantin hotel selepas selesai sesi briefing petang itu. Saiful menganggukkan kepalanya, setuju dengan apa yang dikatakan Fezron itu.
“Kena apa? kena macam hang kena dulu tu ke? tanyaku. Fezron pernah diusik oleh ‘makhluk’ semasa tengah membersih tandas wanita di tingkat 7 ketika dia bekerja shift malam bersama Alif dan Syarifah beberapa bulan lepas.
Dalam tandas wanita itu ada dua bilik air. Semasa dia sedang mencuci bilik air yang pertama, dia tercium bau yang amat busuk. Dia terus menyembur air freshner bagi menghilangkan bau busuk itu. Tiba tiba, dia terdengar suara orang batuk dari bilik air kedua. Suara itu amat keras dan kuat. Dia fikir mungkin itu adalah Alif yang terbatuk, namun ketika dia keluar dari bilik air pertama, dia melihat tiada siapa didalam bilik air kedua.
Fezron terus membuka pintu tandas dan melihat ke arah bar. Alif sedang mengemop lantai manakala Syarifah pula sedang mengemas you sofa dihadapan bar. Automatik bulu romanya naik, siapa pula yang batuk tadi di dalam tandas wanita itu?. Dia terus berlari menuju ke arah Alif dan Syarifah, dan bekerja bersama mereka tanpa berpecah melakukan tugasan berasingan pada malam itu.
“Sampai MC hang lepas tu…hahaha.” kami ketawa bila teringat kisah Fezron yang diganggu itu.
“Pasal Sarim, dia kena apa?” tanyaku sekali lagi kepada Fezron dan Saiful.
“Tangan dan badan dia lebam lebam. Tapi yang pelik tu hari ni lebam kat tangan kanan, esoknya hilang. Tapi, tangan kiri pula yang lebam.” jelas Saiful.
“Lebam tu pula bukan level merah merah Boss, sampai naik biru warnyanya.” kataFezron.
“Lagi pelik, jadi lepas time maghrib sahaja Boss.” sambung Saiful.
Oleh kerana Sarim cuti pada hari itu, tak dapatlah aku untuk melihat keadaannya. Aku menghantar mesej whatsapp kepadanya, bertanyakan kalau dia mempunyai apa apa masalah namun dia tidak membalasnya. Aku terus memeriksa jadual kerja pada minggu itu.
“Cantik, lusa kerja sekali.”
Lusanya aku, Sarim dan Farhan bekerja dalam shift yang sama, shift malam. Selesai sahaja briefing dengan rakan rakan shift petang, aku mengarahkan Sarim dan Farhan untuk mengemaskan loker staff dan kawasan spa terlebih dahulu sementara aku perlu menyiapkan laporan bagi shift malam.
Selesai mereka mengemas kawasan yang aku arahkan mereka mengajak aku untuk makan di kantin pekerja. Dalam kantin tiada pekerja lain hanya kami bertiga. Oleh kerana sudah makan di rumah aku hanya minum sahaja.
“Sarim, aku dengar tangan dan badan badan kau lebam.” aku mula bertanya kepada Sarim.
“Ha, tunjuklah kat Am.” sambung Farhan dengan mulut penuh.
“Iya Boss…Aku sudah tak larat ini, asal malam sahaja dia jadi. Kadang di tangan, kadang di kaki. Sekarang ni di betis ku ini.” Sarim menjawab dengan slang sabah yang pekat sambi menjulurkan kaki kirinya. Dia menarik bahagian kaki seluarnya, memang jelas betis kakinya lebam dan ada kesan seperti cakaran.
Dia memberitahu lagi bahawa sudah seminggu dia menahan kesakitan yang dialaminya ini. Dia pernah ke hospital pada siang hari, namun sakit dan kesan lebam itu sudah hilang. Tapi apabila masuk sahaja waktu maghrib, dia kembali mengalami sakit dan lebam lebam mula muncul di anggota badan.
“Kau ada kencing merata tak? Kau parking kereta kat tepi jalan bawah pokok besar depan hotel ni kan? Kau tak ada kencing kat situ?” aku mengulangi soalan aku tentang kencing, kerana Sarim jenis manusia yang selamba berbuat sesuatu. Risau kalau dia ada kencing di bawah pokok besar yang berpenunggu tu.
“Eh nda lah Boss. Takkan aku mahu kencing di situ. Bengkak nanti alatku ini.” sempat lagi Sarim melawak. Aku dan Farhan berdekah ketawa mendengar kata katanya itu.
Tadi aku terserempak dengan Abang Shamsul, pengawal keselamatan hotel semasa sampai di hotel. Dan dia boleh membantu untuk tengok apa yang mengganggu Sarim. Aku menelefonnya dan meminta dia untuk datang ke kantin. Setelah menunggu beberapa minit, Abang Shamsul pun sampai di kantin, kami menceritakan perihal Sarim kepadanya. Dia mendengar cerita kami dengan tekun.
“Betul kau tak ada kencing kat pokok besar tu?” tanya Abang Samsul serius memandang Sarim.
“Tak bang, sumpah tak ada.” jawab Sarim, jelas kelihatan pada wajahnya dia menahan sakit. Diurut urut betisnya yang lebam.
“Kalau kau ada buat benda benda merepek kat pokok besar tu senang jer. Tapi makan modal sikitlah.” kata Abang Shamsul.
“Nak buat macamana bang?” Farhan dan aku bertanya serentak, walaupun belum pasti lagi apa punca penyakit Sarim itu.
“Korang amik kertas putih, pakai minyak wangi malaikat subuh tu buat garisan keliling kertas tu dan buat bulatan di tengah tengah dia. Minyak malaikat subuh sahaja yang jadi tahu.”
“Lepas tu?” aku bertanya, ini kali pertama aku mendengar kaedah sebegini. Tapi ianya macam ada unsur unsur memuja, bunyinya seperti memberi makhluk itu makan pula.
“Ambil semangkuk beras letak kat tengah kertas putih tu. Bakar tiga batang colok pacakkan kat beras tu. Letak kat bawah pokok besar tu malam ni.” sambung Abang Shamsul.
“Lepas tu? Lebam kat badan Sarim boleh hilang ke bang?” tanya aku lagi.
“Lebam tu aku tak pasti hilang ke tidak, tapi pagi nanti lepas colok tu dah padam. Tengok kat kertas putih tu ada nombor atau tak ada nombor. Kalau ada, boleh terus pergi beli!” jawab Abang Shamsul sambil ketawa dengan kuat.
Kami semua turut ketawa, rupanya dia kenakan kami. Itu kononnya kaedah nak tarik nombor ekor. Abang Shamsul kemudiannya duduk mencangkung dihadapan Sarim. Dia memegang betis Sarim yang lebam itu. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Dia memandang tajam ke arah Sarim.
“Kalau macam ni punya hal, Am pun boleh kasi setel. Kau dah tengok betul betul ke Am si Sarim ni?” tanya Abang Shamsul sambil memandangku.
“Tak, sebab tadi saya dah nampak Abang, saya fikir nak minta tolong Abang lah lagi senang.” jawabku tersengih.
Menurut Abang Shamsul, Sarim terkena gangguan oleh salah satu makhluk yang mendiami kawasan di sekitar pokok itu. Ketika Sarim tidur di dalam kereta sementara menunggu masuk waktu belerja, dia secara tak sengaja menyumpah nyamuk nyamuk yang mengganggu tidurnya. Dia menampar nampar nyamuk sambil mulutnya memaki hamun serangga itu. Kata Abang Shamsul, secara tidak sengaja, seekor dari nyamuk itu adalah “anak” makhluk tersebut.
Sarim mengakui perkara tersebut, memang dia ada marahkan nyamuk sehingga mengeluarkan perkataan perkataan yang tak sepatutnya Ketika sedang tidur di dalam keretanya beberapa minggu lepas. Tengah bercerita, badan Sarim menggeletar kuat. Dia merintih kesakitan, aku melihat betis kakinya. Sama seperti ketika kejadian Amad, si bellman yang dirasuk penunggu pokok. Ada dua tulang tangan yang muncul dari lantai sedang memegang erat kaki Sarim, kesan lebam dan cakaran bertambah. Aku segera meminta Farhan membaca Ayat Kursi berulang kali dengan kuat, dan aku berpaling kepada Abang Shamsul.
“Bang, ada ni.”kata ku.
“Tak apa, kau sabar kejap Sarim.” arah Abang Shamsul kepada Sarim. Abang Shamsul membaca Ayat Kursi lalu dihembuskan ke kepala Sarim. Dia memandangku dan mengerlingkan matanya kearah dapur kantin, aku pun memandang kearah itu.
Kelihatan jelmaan seorang tua yang pernah aku nampak ketika peristiwa bellman diganggu penunggu pokok besar depan hotel dahulu. Orang tua itu memandang kami, wajahnya yang marah dengan matanya yang merah menyala. Dia menuding jarinya kepada Sarim.
Aku mula membaca surah Fatihah, Ayat Kursi dan mengulangi surah An Nas beberapa kali sambil memandang tepat ke arah jelmaan orang tua itu. Tindakanku itu menaikkan lagi kemarahannya.
“Wa La Ya’uduhu Hifdzhuhuma Wa Huwal ‘Aliyul-Azheem!”
Selepas sahaja Abang Shamsul menepuk betis Sarim sambil menyebut ayat terakhir dari Ayat Kursi itu, tiba-tiba jelmaan orang tua itu hilang bersama dengan dua tulang tangan yang memegang kaki Sarim tadi. Sarim tersandar di kerusi kantin, nafasnya tercungap-cungap, namun jelas wajahnya sedikit lega. Lebam di betisnya yang tadi kelihatan biru mula pudar perlahan-lahan.
“Alhamdulillah, makasih ya bang.” Sarim bersuara lemah. Abang Shamsul mengangguk sambil tersenyum.
Aku dan Farhan menarik nafas lega. Abang Shamsul menepuk bahuku perlahan dan berkata, “Am, aku rasa kau pun tahu yang makhluk-makhluk ni, walaupun tak nampak, dia faham apa kita kata.” Dia memandang kepada Sarim pula dan berkata, “Kau pula Sarim, lepas ni jaga mulut, tak kiralah masa marah atau tertekan. Kata-kata boleh undang bahaya.”
Aku mengangguk faham. “Betul bang, kita ni kadang kadang terlupa. Senang terlepas cakap.”
Sarim pula, walaupun masih dalam keadaan lemah, mencelah, “Ini semua pengajaran untuk aku, Boss. Mulut kena jaga. Aku pun dah lama lalai, tak rajin sembahyang. Mak selalu pesan tapi aku degil. Allah bagi teguran sekarang. InsyaAllah, aku tak ulang lagi.”
Aku tersenyum mendengar kata-kata Sarim. Walaupun kejadian itu menyebabkan dirinya terpaksa menanggung kesakitan,ia tetap membawa hikmah tersendiri. Sarim bukan sahaja sedar untuk menjaga lidah, tetapi juga lebih mendekatkan diri kepada Tuhan.
Kami semua bangkit dari meja, bersiap untuk menamatkan tugasan malam itu. Sebelum keluar dari kafe, aku menepuk bahu Sarim sambil berkata, “Yang penting, kita ingat pengajaran ni, Sarim. Jaga mulut, dan rajin-rajinlah sembahyang. Semoga kita semua dilindungi.”
Sarim tersenyum, “Amin, Boss. Terima kasih.”