Kisah ini diceritakan sendiri oleh arwah datuk aku, berlaku sekitar awal tahun 80an, tentang abang angkatnya yang kami semua panggil Wan Napiah. Sejak aku kecil lagi, Wan Napiah dan keluarganya memang sudah menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Aku membesar dengan mendengar kisah-kisah tentang dirinya, dan setiap kali namanya disebut, pasti ada rasa hormat dalam kalangan keluarga kami.
Di Pulau Pinang ketika itu, terdapat seorang lelaki kaya bernama Haji Abdullah (bukan nama sebenar). Beliau memiliki sebidang tanah yang agak luas di kawasan pinggir pulau. Tanah itu strategik dan sangat sesuai untuk dibangunkan menjadi deretan rumah kedai dan gudang. Namun ada satu masalah besar yang menyebabkan tanah itu terbiar bertahun-tahun.
Tanah itu dikatakan “berpenunggu”.
Pada mulanya Haji Abdullah tidak percaya. Baginya itu semua cuma cerita orang tempatan yang suka menokok tambah. Namun selepas beberapa kontraktor datang untuk memulakan kerja, perkara-perkara aneh mula berlaku.
Hari pertama kerja pembersihan dimulakan, dua buah jentolak masuk ke kawasan tanah tersebut seawal pagi. Cuaca cerah, pekerja pun ramai. Tetapi sebaik sahaja mata jentolak pertama cuba menolak semak berhampiran sebatang pokok besar di tengah tanah itu… enjin jentolak tiba-tiba mati.
Pemandu cuba menghidupkan semula enjin.
Tak hidup.
Mekanik dipanggil.
Bateri elok. Minyak penuh. Semua sistem tidak bermasalah.
Belum sempat mereka faham apa yang berlaku, jentolak kedua pula mati sendiri. Kali ini lebih menyeramkan apabila kedua-dua enjin berbunyi semula serentak tanpa dihidupkan sesiapa.
Bunyi enjin hidup sendiri beberapa saat sebelum mati semula.
Para pekerja mula berpandangan sesama sendiri.
Seorang pekerja tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah pokok besar itu.
“Ada orang atas pokok!”
Semua mendongak.
Namun tiada sesiapa.
Tetapi beberapa orang mengaku nampak lembaga hitam berdiri di celah dahan. Badannya hitam pekat
Hari berikutnya lebih teruk.
Ada pekerja terdengar suara orang menangis di tengah panas terik. Ada pula yang terdengar suara bercakap dari arah semak walaupun kawasan itu kosong. Pernah sekali, seorang penyelia mendapati beberapa peralatan kerja tergantung di atas pokok besar sedangkan mustahil manusia mampu mengangkatnya setinggi itu.
Paling menyeramkan, seorang operator jentolak mendakwa terlihat seorang lelaki hitam berdiri betul-betul di hadapan cermin jentolaknya.
Mukanya langsung tidak nampak.
Hitam pekat.
Operator itu terus pengsan di tempat duduknya.
Selepas kejadian itu, ramai pekerja enggan masuk ke kawasan tanah tersebut lagi.
Haji Abdullah mula risau. Beliau memanggil seorang ustaz untuk melihat keadaan tanah itu. Setelah beberapa jam berada di situ, ustaz tersebut hanya menggeleng kepala.
“Memang ada penghuni di sini.… saya tak mampu halau.”
Tidak lama kemudian datang pula beberapa orang bomoh dan pengamal perubatan tradisional. Ada yang membawa kemenyan, limau nipis dan air jampi. Ada yang bersilat seorang diri sambil melaungkan sesuatu. Ada juga yang menabur beras kunyit di sekeliling tanah.
Namun semuanya gagal.
Malah ada seorang bomoh lari lintang-pukang keluar dari kawasan itu sambil menjerit ketakutan sebelum sempat memulakan apa-apa.
Akhirnya melalui seorang kenalan, Haji Abdullah diberitahu tentang seorang lelaki dari Kedah bernama Wan Napiah.
Tanpa berlengah, Haji Abdullah terus menghubunginya.
Wan Napiah bersetuju membantu.
Beliau datang dari Kedah menaiki bas. Dari terminal bas, beliau berjalan menuju ke jeti feri untuk menyeberang ke Pulau Pinang. Haji Abdullah sendiri menunggu di sana dengan Mercedes miliknya.
Sebaik turun dari feri, Wan Napiah hanya tersenyum tenang.
Mereka bersalaman.
“Terima kasih sudi datang, Tuan Haji,” kata Haji Abdullah penuh hormat.
“Insya-Allah kita cuba tengok dulu,” jawab Wan Napiah ringkas.
Mereka terus bergerak menuju ke tanah tersebut.
Dalam perjalanan, Haji Abdullah mula bertanya beberapa soalan yang agak pelik.
“Tengah hari nanti nak makan apa?”
Wan Napiah tersenyum kecil.
“Apa-apa pun boleh.”
“Malam nanti nak tidur di mana?” Haji Abdullah bertanya lagi.
“Tidur di masjid pun boleh.” Wan Napiah masih tersenyum.
“Kalau tidur di rumah saya?” sambung Haji Abdullah
“Boleh saja, tak ada masalah.” Jawab Wan Napiah.
Haji Abdullah diam seketika sebelum bertanya lagi.
“Esok pagi nak sarapan apa?”
“Apa-apa pun boleh.” Wan Napiah mula terasa pelik dengan pertanyaan itu, tetapi beliau hanya mendiamkan diri.
Tidak lama kemudian mereka sampai.
Sebaik turun dari kereta, suasana di tanah itu terasa lain macam. Walaupun hari masih siang, kawasan itu suram dan sunyi. Angin langsung tidak bertiup.
Wan Napiah berjalan perlahan menuju ke arah pokok besar di tengah kawasan tersebut.
Haji Abdullah memerhati dari jauh.
Tidak seperti ustaz dan bomoh lain, Wan Napiah tidak membaca kuat-kuat, tidak membakar kemenyan dan tidak membuat sebarang ritual pelik.
Beliau hanya berdiri memandang pokok itu.
Lama. Terlalu lama.
Tiba-tiba suasana menjadi dingin.
Daun-daun pokok mula bergoyang walaupun tiada angin.
Kemudian kedengaran bunyi seperti orang berjalan mengelilingi mereka di celah semak.
Haji Abdullah mula rasa tidak sedap hati.
Beliau bersumpah ketika itu beliau ternampak satu lembaga hitam berdiri di hadapan Wan Napiah sebelum hilang begitu sahaja.
Beberapa minit kemudian, Wan Napiah berpaling.
“Jom naik kereta.”
Haji Abdullah terpinga-pinga tetapi menurut sahaja.
“Ke mana kita nak pergi?” tanya Haji Abdullah
“Bukit Bendera.” Jawab Wan Napiah
Sepanjang perjalanan, suasana dalam kereta sunyi. Namun Haji Abdullah beberapa kali terasa seperti kereta mereka menjadi berat. Suspensi belakang kereta seolah-olah ditekan sesuatu.
Sesekali terdengar bunyi seperti orang bernafas di tempat duduk belakang.
Tetapi bila ditoleh…
Kosong.
Setibanya di kaki Bukit Bendera, Wan Napiah keluar dari kereta dan berjalan beberapa langkah ke arah bukit. Beliau berdiri di situ.
Tidak lama kemudian beliau kembali masuk ke dalam kereta.
“Boleh panggil kontraktor sambung kerja.”
Haji Abdullah segera menghubungi penyelia tapak.
Tidak berapa lama kemudian, penyelia itu menghubungi Haji Abdullah:
“Tuan! Aneh betul… tadi pokok besar tu tiba-tiba senang sangat nak tumbang. Tak ada apa-apa gangguan langsung”
Malam itu Wan Napiah bermalam di rumah Haji Abdullah.
Selepas makan malam, Haji Abdullah akhirnya bertanya bagaimana beliau menghalau makhluk tersebut.
Wan Napiah tersenyum kecil.
“Makhluk tu menyerupai lelaki… seluruh badan hitam. Tuan tanah lama bela dia untuk jaga kawasan tu.”
“Habis macam mana Tuan Haji pujuk dia?”
“Saya kata dia makhluk hebat. Tak layak duduk di tanah kotor macam tu. Tempat dia sepatutnya di atas bukit tinggi.”
Haji Abdullah terdiam sebelum ketawa kecil.
“Maknanya… dia ikut naik Mercedes saya tadi?”
Wan Napiah turut ketawa.
“Ha’ah… dia duduk diam saja belakang kita.”
Wajah Haji Abdullah terus berubah pucat.
Wan Napiah hanya tersenyum sambil menyambung makan.
Sebelum tidur, Wan Napiah akhirnya bertanya tentang soalan pelik yang diajukan Haji Abdullah semasa dalam perjalanan tadi.
Haji Abdullah tersenyum malu.
“Semua ustaz dan bomoh sebelum ni… masing-masing minta benda sama. Nak hotel mahal, nak nasi kandar sedap, nak roti canai special. Saya tunaikan semuanya… tapi tak berjaya juga.”
Beliau memandang Wan Napiah dengan penuh hormat.
“Tapi Tuan Haji lain… sangat rendah diri.”
Itulah Wan Napiah… atau nama sebenarnya Haji Hanafiah. Orangnya sederhana, tidak banyak bercakap dan tidak menunjuk-nunjuk kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepadanya.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit