Sahabat Laut
Assalammualaikum, ini sekuel dari kisah leluhur mama. Kalau korang belum baca kisah tu, nanti baca lah. Aku tengah praktikal, bulan-bulan akhir ni job tak banyak, so aku ada masa nk berkongsi lagi cerita. Kali ni tak nak intro panjang-panjang.
Kalau korang nak tahu, sense mama akan terbuka dan peka setiap kali dia melahirkan. Aku adalah anak sulung dan adik-adik aku ramai. Kalau dikira semua dah berbelas orang tapi yang kekal hidup cuma kami 8beradik. Ada keguguran dan ada yang hilang dalam kandungan. Nanti aku ceritakan. Kali ni aku nak kongsi kisah macamana mama kenal sahabat lautnya. Kisah ini mama ceritakan pada aku dan berlaku ketika aku masih di dalam kandungan di suatu kawasan resort tepi pantai. Waktu tu keluarga mama sedang bercuti dan papa tak dapat ikut sebab bertugas di negara seberang.
Mereka sampai di resort tu waktu tengahari rambang. Sampai-sampai terus makan hidangan yang memang dah termasuk dalam pakej. Selesai menjamu selera mereka check in bilik masing-masing. Memandangkan papa tidak turut sama, jadi mama sebilik dengan kakak (aku panggil mak lang) & adiknya (aku panggil mak usu). Petang itu semua pun bersuka ria mandi pantai walaupun hujan renyai dan semakin senja, hujan pun semakin lebat dan barulah mereka masuk bilik masing-masing. Keluarga mama ni orang berada dan mama membesar dibandar tidak seperti papa yang lahirnya di kampung dan keluarga mama tidak begitu mengamalkan pantang larang orang dulu-dulu. Semua main langgar sahaja asal tidak memudaratkan.
Resort itu bangunan hotel yang besar dan beranda biliknya memang ocean view lah. Malam tu semua turun makan malam didewan makan tapi mama tak turut serta sebab dah rasa tak sedap badan. Mungkin kena hujan petang tadi tambah pulak mama sedang mengandung. Ketika mama sedang menonton tv, mak usu yang waktu tu masih kecil lebih kurang 8tahun, naik bilik dan ajak turun ke bawah. Ke tepi pantai, katanya nak kutip kulit kerang. Mula-mula mama malas tapi sebab adiknya mendesak dia turutkan juga. Malam tu hujan gerimis dan mama tak tengok jam pukul berapa tapi katanya malam masih muda. Jadi mama dan mak usu duduk-duduk di kerusi yang memang ada disediakan disitu sambil berbual kosong. Masa tu mama memang tengah pening-pening jadi dia tengok sajalah mak usu berjalan digigi air. Entah macam mana mama terlelap disitu.
Ketika terlelap tu mama rasa seperti ada tangan sejuk yang menyentuh kepalanya. Mama cuba buka mata tapi tak boleh. “Tenang-tenang sahaja, saya ubatkan sakitnya” suara tu halus tapi seperti bergema. Kemudian tangan itu urut kaki pula. Kali ni baru mama dapat buka mata. Mama kata makhluk tu berwarna biru kehijauan. matanya besar berwarna hitam tapi retina matanya kecil berwarna putih dan berkilau. Tubuhnya panjang seperti ular dan sisiknya besar-besar. Tak ada hidung cuma ada dua lubangnya saja. Mulut besar tapi senyumannya manis bukan senyum yang menakutkan. Mama tak rasa takut tapi lebih kepada terpesona kerana makhluk tu nampak cantik walaupun agak aneh.
“Assalamualaikum” mama beri salam tapi makhluk tu masih senyum tak jawab salam dan tunduk merenung kaki mama. Tiga kali mama bagi salam tapi tak berjawab tahulah mama makhluk di depannya bukan la Islam. Jadi mama tanya kenapa dia ada kat situ? Nak apa? Makhluk tu menggulung tubuhnya yang panjang dan hanya sebahagian sahaja yang duduk di hujung kerusi mama. Sambil merenung laut makhluk tu berkata, sewaktu dia memburu dia ternampak ada 1 cahaya terang di hujung pantai dia tertarik dan rasa nak tahu jadi dia berenang lebih dekat. Kemudian dia nampak mama. Hati dia tertarik rasa nak berkawan sebab ada sesuatu yang ada pada mama. Jadi dia tunggu saja kat tempat dia sembunyi tadi menunggu masa sesuai untuk bertemu. Jadi mama tanya. Apa yang ada? Apa yang buat dia tertarik sangat? “Maalikiyau middinn” kata makhluk tu. Tersentak mama. Ya petang tadi ketika mandi dalam renyai hujan itu mama ada membetulkan Al-Fatihah yang di baca mak usu.
Jadi mama ajarkan Al-Fatihah pada makhluk itu sekali dengan taddaburnya. Malam itu juga makhluk itu mengangkat syahadah. Dan nanti dia akan sampai kan pada penduduk negerinya. Bermakna makhluk ini ramai. “Ya, kami sangat ramai dan berpuak-puak seperti manusia juga” kata makhluk itu. Ada yang baik dan ada juga yang jahat suka menipu daya manusia. Kerana segelintir makhluk ini merasa manusia ini angkuh dan sombong penuh dengan nafsu serakah. Itu yang membuatkan mereka jadi benci dengan kehadiran manusia dikawasan mereka.
Diakhir pertemuan, makhluk itu menghadiahkan mama dua biji batu berwarna merah dan hijau. Batunya kecil sahaja dan mama satukan dengan tasbih kayu mama. Sampai sekarang mama masih guna tasbih itu. Nak buat ubat pun guna tasbih tu juga. Kemudian, makhluk itu bangun ingin kembali ke laut. Bentuk tubuhnya seakan-akan naga cina yang panjang yang selalu di tarikan dengan batang buluh tu. Melayang perlahan ke dalam laut dan ditelan kegelapan malam. Persahabatan mama tidak di situ saja. Hampir tiap minggu kami lepak-lepak disatu pantai di pantai timur ini. Setiap itu juga mama akan duduk diam dekat dengan gigi air menghadap laut dan wajah mama akan berseri-seri selepas itu. Setelah kejadian itu barulah mama perasan yang migrain teruknya sudah hilang sepenuhnya. Bertahun-tahun sudah mama menderita migrain yang kronik. Macam-macam ubat dah telan tapi tak baik-baik sehinggalah pertemuan itu berlaku. Semua atas izin Tuhan Yang Maha Menyembuhkan.
Selang beberapa bulan, mama melahirkan aku di sebuah hospital di bandar. Mama dapat wad kelas satu yang cuma ada dua orang saja dalam sebilik. Aku lahir waktu tengah malam. Kata mama, sepanjang berada di wad itu, telinganya sentiasa mendengar seakan-akan deruan ombak dan ade waktunya berbau wangi yang menyegarkan. Dan bila balik ke rumah, mama terjumpa sisik ikan yang besar berbentuk hexagon berwarna biru kehijauan dan bersinar-sinar jika terkena cahaya matahari dalam bedung aku. Tahulah mama bahawa sahabatnya hadir menziarahi dia ketika di hospital. Sisik itu mama serah pada aku ketika aku keluar belajar jauh. Bukan buat tangkal ye. Hanya sebagai cenderahati dari seorang sahabat.
Oh ye. Lupa aku nak ceritakan lagi. Selepas mereka bertemu, mama naik semula ke biliknya. Mak lang dan mak usu sudah polos tidur di katil. Jadi mama ambil selimut dan baring atas sofa. Sedang mama teringat-ingat akan kejadian tadi tu. Jam mama berbunyi pukul lima pagi. Baru mama tersedar yang dia sudah begitu lama di pantai padahal rasa macam sekejap saja dia bertemu dengan makhluk laut tu. Mama pun mandi dan solat sunat sampai subuh. Bila hari dah siang, ketika sedang bersarapan, mama tanya pada mak usu tentang hal malam tadi. Tapi mak usu menafikan yang dia naik dan ajak mama turun. “Kitorang lepak kat dewan makan tu sampai pukul 11 la.” Mak lang juga mengiyakan dan katanya ketika mereka berdua masuk ke bilik, mama sudah tidur di sofa depan tv. Kerana itulah mereka tidak mencari mama malam itu kerana mereka nampak “mama” sudah tertidur. Mama diam dan senyum saja. Tengahari itu mereka pun check out dari resort dan sambung percutian di sebuah hotel lain pula. Tapi bukan di tepi pantai lagi tapi ditengah hutan bandar kerana atuk menjalani kursus dua hari disitu.
“Tak kira apa pun hobi kita, hiking, camping, mandi manda. Ingatlah setiap tempat itu ade penghuninya. Jaga lah adab kita bukan sesama manusia saja tapi beradab la dengan sesama makhluk. Jangan suka cakap besar, jangan sombong, jangan jadi mentaliti tahap bawah. Hormati suatu tempat itu sebagaimana kita mahu orang beradab ketika bertamu dirumah kita. Jika kita sentiasa positif, mereka tak kan usik kita.” Begitulah pesan mama jika aku mahu keluar beriadah dengan kawan-kawan. Kata mama makhluk laut ibarat golongan T20 kerana kerajaan jin paling kuat adalah di laut. Jadi kena lebih berhati-hati jika nak ke laut. Aku pula tersangatlah suka kan pantai dan laut berbanding hutan dan gunung. Entahlah, mungkin kerana terkenan sahabat mama tu.
Baik lah. Sekian saja perkongsian kisah aku tentang mama kali ini… Jika ada masa terluang, aku akan kongsikan lagi. Insya-Allah