Lelaki Bertopi Rotan
Petang tu, aku dengan tiga orang kawan pergi hiking satu trail lama di pedalaman Sabah.
Trail tu tidaklah jauh sangat. Dalam 6–7 km saja. Tapi ada seorang pakcik di kampung tu pesan satu benda:
“Kalau nampak orang berjalan depan kamu… jangan panggil.”
Kami senyum saja. Afik tanya “Kenapa? Hantu kah?”
Orang tua tu cuma jawab,
“Kalau dia angkat kepala, kamu jangan tengok muka dia.”
Kami pun teruskan hiking. Mula-mula semuanya normal. Bunyi burung, cengkerik, angin, daun kering dipijak. Lepas hampir dua jam, kami sampai satu kawasan hutan yang sangat sunyi.
Peliknya…
tak ada bunyi serangga langsung. Seolah hutan tu adalah sebuah bilik kosong.
Jef yang berjalan paling belakang, tiba-tiba berbisik “Eh… kamu dengar kah?”
“Kau dengar apa?” sahut ku.
“Macam ada orang jalan belakang kita.” kata Jef
Kami semua diam. Afik memberhentikan langkah.
Krek…
Krek…
Krek…
Memang ada bunyi ranting dipijak. Kami berhenti, bunyi tu berhenti. Kami jalan, bunyi tu ikut jalan.
Aku lihat sedikit. Tak ada siapa. “Binatang kali,” kata ku.
Kami sambung berjalan. Lima minit kemudian, kami nampak seorang lelaki di depan. Dia pakai baju hitam, topi rotan, seluar coklat dan beg guni yang koyak.
“Nasib baik ada orang lain,” kata Afik.
Lelaki tu berjalan perlahan. Kami cuba kejar. Tapi pelik, makin kami laju, makin dia jauh. Sampailah di satu tempat, lelaki tu hilang di sebalik semak.
Kami berhenti..“Dia masuk mana?” soal Jef. Tak ada jalan lain, hanya satu trail lurus. Kemudian Afik tunjuk ke tanah, Ada kesan tapak kasut yang masih baru.
Kami ikut tapak tu. Lebih kurang 50 meter berjalan, kami nampak lelaki tadi berdiri membelakangi kami. Afik terus nak panggil.
Tapi aku teringat pesan orang kampung. Aku pegang bahu Afik. “Jangan.” kata ku. Tapi lelaki tu tiba-tiba berhenti. Kemudian kepalanya menoleh perlahan ke arah belakang (badan hadap depan, kepala pusing ke belakang). Perlahan dia mengangkat wajahnya.
Aku terus tunduk. “Jangan tengok!” aku bisik. Kawan yang lain ikut tunduk. Beberapa saat kami cuma dengar bunyi angin. Kemudian lelaki itu berkata:
“Kamu… sesat kah kawan?” Suara dia kedengaran betul-betul dekat. Padahal tadi dia hampir 50 meter di depan.
Aku tak jawab. Afik dan Jef pun diam. Kemudian kami dengar bunyi langkah.
Krek…
Krek…
Krek…
Dia berjalan menghampiri kami. Berhenti betul-betul depan kami. Kemudian dia berkata lagi,
“Kalau sesat… ikut saya”
Aku pejam mata. Tiba-tiba Jef menjerit. “LARI BODO!”
Kami semua terus berlari turun trail tanpa tengok belakang. Entah berapa lama kami berlari, sampai akhirnya kami nampak jalan utama. Kami berhenti dengan nafas yang tercungap-cungap.
Aku tengok jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Aku perlahan-lahan pandang ke arah trail tadi.
Di antara pokok-pokok, jauh di atas sana… ada seorang lelaki berdiri.
Baju hitam.
Topi rotan.
Dia tak bergerak. Tapi tangannya menunjuk ke arah kami. Dengan nada suara kasar dia berkata .. “Kenapa kamu lari? Saya cuma mahu tunjuk jalan, KAWAN.”
Sejak hari tu, kami tak pernah hiking trail tersebut lagi.
Seminggu kemudian, kami berborak dengan seorang guide hiking yang pernah masuk trail tu. Kami ceritakan semuanya.
Dia diam lama. Kemudian dia tanya, “Kamu nampak muka dia?”
Kami jawab tak. Dia menghela nafas lega. “Bagus.” katanya.
Aku tanya, “Kalau kami tengok apa jadi?”
Dia pandang kami dengan muka serius. “Ikut cerita orang kampung, kalau kamu pandang kamu akan sesat, dan bila kamu berjaya balik .. kamu tidak akan balik bertiga, tapi berEmpat” …….. kami terfikir, mungkin sebab tu dia panggil kami “kawan” .. mau ikut balik mungkin.
Sekian saja kisah seram yang tidak seram daripada saya. Maaf atas segala kekurangan.