Dendam
Assalamualaikum, terima kasih pada admin page FS yang akhirnya menyiarkan juga kisah sahabat laut. Dah sebulan aku tunggu dan fikir mungkin tak terpilih untuk di siarkan. Dah jadi malas untuk bercerita lagi. Tapi akhirnya disiarkan juga kisah itu jadi aku memilih untuk teruskan penceritaan lagi tentang mama.
Kawan-kawan, kali ini kisah aku masih tentang mama dan ceritanya saling berkait antara satu sama lain. Jadi jom lah baca apa yang aku sampaikan.
Masih segar dalam ingatan kisah ini berlaku pada tahun 2018 dan aku berusia belasan tahun lagi. Baru nak masuk fasa akil baligh. Sewaktu kejadian ni, kami sedang bercuti bersama keluarga sebelah mama di Cherating. Hari keluarga ini sangat meriah, atuk aku sewa keseluruhan kawasan chalet hanya untuk keluarganya sahaja. Jadi adalah yang buat BBQ dan pakcik makcik yang berkaraoke. Memang bising dan meriah sungguh. Tapi selesai makan-makan mama masuk bilik bawa adik aku yang masih kecil lagi waktu tu. Aku dan sepupu-sepupu mandi kolam sampai kecut kecut jari.
Masa tu kami yang paling lambat balik ke chalet. Tak silap aku dalam jam 1pagi. Selesai tukar baju, aku pun siap-siap baring nak tidur. Baru nak lelapkan mata tiba-tiba pintu chalet kami di ketuk kuat. Mama bangun buka pintu dan aku dengar orang kecoh-kecoh aku pun bangun turut mama. Rupanya salah seorang sepupu aku yang mandi kolam sekali hilang dan tak balik chalet. Jadi makngah tanya pada aku. Memang sepupu tu tadi ada dengan kami semua dan semua pun dah masuk chalet masing-masing selepas kami kemas kan kawasan BBQ tadi.
Tanpa berlengah aku pun keluar dan turut serta mereka mencari sepupu tu di kawasan chalet. Mama? Rileks saja masuk bilik, mandi & solat sunat. Begitulah kebiasaan mama jika terjaga di waktu malam. Tak lama kemudian, atuk membuat keputusan untuk adu kan hal itu pada pihak pengurusan chalet. Jadi semakin ramai lah orang yang turut serta mencari sepupu aku tu termasuk tuan chalet yang berkerusi roda.
Kemudian salah seorang dari mereka terjumpa selipar yang di pakai oleh sepupu aku tu dekat dengan gigi air pantai. Kami dah cemas takut dia di hanyutkan ombak atau pun apa. Dalam kekecohan itu aku nampak mama keluar dari chalet dengan papa. Aku pun berlari dapatkan mama dan ceritakan tentang penemuan selipar tu.
“along, tolong pesan pada atok agar jangan ada siapapun yang masuk ke laut. Hakim (nama sepupu aku) tu tak hilang di laut. Dia masih ada di sekitar sini. Mama & papa akan cari. Kalau dalam sejam mama & papa tak balik tolong azan guna pembesar suara. Pinjam kat pihak chalet nanti ya. ”
Kemudian mama keluar dari kawasan chalet menuju ke belakang belukar melalui pagar kecil yang ada di situ. Tanpa lampu. Tanpa apa-apa… Main redah saja dalam kegelapan. Aku berlari semula dapatkan atuk dan sampai kan pesan mama. Orang-orang yang ada di situ terdiam dan terkebil-kebil saja. Jadi atuk ajak mereka tunggu di wakaf dalam kawasan chalet tu. Hampir 40minit menunggu mama dan papa masih tak nampak bayang lagi. Atuk dah berpeluh resah dia risaukan anak cucunya.
“along, atuk rasa kamu dah bole azan la.“ tiba-tiba atuk bersuara.
“tapi belum sejam lagi tok.“
“tak apalah ,azan saja. Atok risau dan tak sedap hati. “
Jadi tanpa di tunggu lagi aku terus melaungkan azan menggunakan pembesar suara yang pak uda bawa untuk berkaraoke tu. Sekali laung. Diam. Azan kedua juga begitu. Kali ketiga aku laungkan azan, orang-orang yang ada di situ kecoh-kecoh menuju ke pagar tempat mama keluar tadi. Rupanya mama dah balik. Sepupu aku, Hakim tak sedarkan diri dan dipapah oleh papa. Hakim di bawa ke wakaf tadi dan atok membacakan air dan disapukan pada wajahnya. Orang-orang tadi mengerumuni papa dan bertanyakan tentang hal kehilangan itu. Mama diam sahaja duduk di pintu chalet dengan arwah nenek.
Tidak lama kemudian, azan subuh pun berkumandang. Atuk suruh kami berkemas untuk pulang. Family day kami kali itu dibatalkan serta-merta dan buat dirumah atuk saja. Pihak chalet juga sangat baik hati. Dengan memulangkan semula semua duit tempahan chalet yang sepatutnya 3hari 2malam tu pada atuk semula dan meminta maaf atas kejadian itu.
Mereka juga berterima kasih kerana perkara itu tidak melibatkan bomba ataupun polis. Menjadikan nama baik chalet itu masih terjaga.
Selepas sarapan, mereka balik ke rumah atuk. Ada yang terus balik ke rumah. Aku pun terus balik ke pantai timur memandang kan papa sudah cuti lama. Selepas bersalaman, kami gerak pulang. Dalam perjalanan cuaca hujan renyai. Waktu ni kami dah masuk dalam jajahan Terengganu. Cuma aku tak tahu kat mana. Tiba-tiba ada sesuatu melintas dihadapan kereta kami. Papa brake mengejut. Mama suruh berhenti di tepi jalan.
Waktu itu tiada kenderaan pun yang lalu jalan itu. Mama keluar kereta dan berpesan agar tunggu sahaja di situ dan jangan keluar dari kereta walau apa pun yang terjadi. Kemudian mama hilang di celah-celah kebun sawit di sebelah kiri jalan. Sewaktu menunggu mama, macam-macam jelmaan lalu lalang mengelilingi kereta kami. Sesekali kereta kami di guncang. Sesekali mendengar seperti ada sesuatu di atas bumbung kereta. Adik-adik sangat takut dan kami saling berpelukan. Papa tidak henti-henti membaca surah-surah.
Tidak lama kemudian, mama muncul mengendong seperti bayi dalam pelukannya. Mama masuk dalam kereta dan cepat-cepat suruh papa jalan. Papa memecut laju hingga ke kawasan pekan dan kami singgah disatu masjid di tepi jalan. Mama bergegas keluar dari kereta dan kami pun keluar nak tengok bayi yang mama pegang. Alangkah terkejutnya kami semua kerana apa yang dikendong mama bukanlah bayi seperti yang kami sangka tetapi seperti bangkai haiwan yang sudah membusuk.
Segera papa mengambil bangkai itu dan di lemparkan ke dalam parit dihadapan masjid yang sedang mengalir laju airnya. Dalam waktu itu ada beberapa orang masjid yang menyaksikan perkara itu memandangkan waktu itu sudah hampir masuk waktu asar. Mama? Dia terdiam kaku berdiri dan tidak bersuara sikit pun. Ada seorang pakcik tu aku fikir dia pak imam masjid tu mengajak kami ke rumahnya.
“ada yang berdendam dengan isteri kamu. Seeloknya jangan pulang ke rumah dulu. Mari duduk dengan pakcik untuk malam ni saja. Kita usahakan sama-sama. Insyaallah “
Papa yang sudah bingung menurut sahaja. Memandangkan kami sudah jamak solat maka kami terus ikut pakcik tu balik ke rumahnya. Solat asar di masjid itu digantikan dengan tok bilalnya.
Sesampai saja di rumah kampung itu, pakcik tadi suruh papa mandikan mama. Salinkan bajunya. Baju yang dipakai tadi pakcik tu bakar dihalaman belakang rumahnya. Kami adik-beradik dijamu dengan kuih-muih yang isteri pakcik tu buat. Mama baring dalam bilik yang disediakan. Tetapi mama tak tidur. Matanya saja yang terkebil-kebil. Papa sudah hilang selera nak makan apa-apa. Papa keluar dan bercakap-cakap dengan pakcik itu kemudian menganggukkan kepala. Entah apa yang dibualkan aku pun tak pasti.
Papa menghubungi atok dan menceritakan apa yang berlaku ini. Kedengaran suara atuk yang sangat risau dihujung gagang telefon. Aku yang tadi hanya memerhati tingkah orang-orang tua ini terkejut tiba-tiba kepala aku disentuh pakcik tadi.
“kamu jangan risau, ibu kamu kuat. Cuma dia terkena saja kali ini. Apa-apa pun pakcik cuma membantu selebihnya ibu kamu lebih tahu apa yang dia buat. Malam ni kamu tolong atuk ya. Kita bantu ibu.“ aku tersenyum dan angguk saja.
Malam itu selepas isyak. Ada dua orang lagi lelaki yang aku jumpa di masjid petang tadi. Seorang daripadanya ialah tok bilal. Pak cik tadi aku panggil dia tok haji membentangkan tikar mengkuang di halaman rumahnya yang luas. Adik-adik sudah diam di atas rumah dijaga Nek Sal isteri Tok Haji dan kak Yani anak perempuannya yang baru pulang dari kerja. Mama dibawa turun dan duduk bersila di atas tikar. Mama nampak sangat pucat dan seperti tidak bermaya. Tok Haji, tok bilal, pakcik Omar dan papa duduk disetiap penjuru tikar. Aku duduk bersila di beranda rumah tok haji memerhati dan menunggu arahan yang bakal diberikan.
Mereka memulakan zikir dan puji pujian terhadap Allah SWT. Hampir 10minit berzikir mama memberi respon dengan berdiri qiam tiba-tiba. Mama membuka langkah silatnya, kemas, padu, berbisa dengan setiap gerakan lembut itu kalau terkena boleh mati tak sempat mengucap. Orang-orang tua tadi menginjak sedikit ke belakang memberi ruang kepada mama yang hanya bersilat di atas tikar saja. Aku tak tahu apa yang sedang menyerang mama ketika itu tetapi dari setiap pergerakannya aku tahu mama sedang dikerumuni sesuatu yang banyak.
Di kejauhan aku terlihat bayangan seperti mawas besarnya hampir sama tinggi dengan lampu jalan. Bertanduk dan bertaring panjang. Matanya sebesar telur ayam itu merah menyala hampir tersembur api dari kelopaknya. Setiap hembusan nafasnya jelas kelihatan berasap-asap. Aku tutup mata takut dan gugup. Aku cuma nampak bayang itu sahaja tapi keadaan sangat bising dan bingit seperti di kelilingi beratus-ratus ekor beruk.
Tiba-tiba aku dengar suara mama memanggil aku. Aku buka mata dan berdiri nak peluk mama. Aku sangat takut sampai rasa nak terkencing. Tok Haji melaung dari bawah.
“along jangan turun! Itu bukan ibu kamu.“ berkali-kali tok haji berkata begitu.
Aku tutup mata dan menutup telinga dengan tapak tangan. Cuba berzikir dalam hati. Sangat susah hendak menyebut perkataan Allah sekalipun ketika waktu segenting itu. Benarlah kawan-kawan jika terlalu takut secara automatik lidah kita kelu nak membaca walau sebaris ayat yang selalu kita baca.
“along, azan!“ suara mama. Ya aku betul-betul dengar suara mama seperti di belakang ku sahaja. Dengan susah payahnya aku cuba melaungkan azan. Tersekat-sekat suara di kerongkong seperti tertelan batu. Dan akhirnya aku dapat melaungkan azan sekuat yang boleh tanpa melihat apa yang jadi dihadapan.
3kali azan sehingga aku rasa lemah longlai seperti kehabisan tenaga dan aku tak sedar apa-apa lagi.
Aku terjaga semula selepas merasa tubuh aku hangat dan telinga aku dengar suara mama dan papa sayup-sayup. Aku buka mata perlahan-lahan. Aku sudah terbaring di ruang tamu rumah tok haji. Hari dah tengahari rambang dah. Mama tersenyum dan bangunkan aku dari baring dan bawa aku mandi. Selesai mandi aku pakai baju dalam bilik sebelum adik aku panggil untuk makan tengahari. Selesai makan, aku dan adik-adik lelaki ikut papa solat di masjid bersama tok haji.
Selesai solat, kami duduk-duduk sambil mendengar orang-orang tua bercerita.
Papa memulakan cerita tentang kehilangan sepupu aku Hakim di chalet Cherating tu. Chalet tu sudah lama tidak ada yang sewa sejak tuan chalet tu jatuh sakit secara misteri. Sakitnya hanya kuat menyerang ketika waktu asar hingga ke tengah malam. Semasa mendapat tempahan dari atuk barulah chalet itu dibersihkan. Rupa-rupanya kehadiran kami seperti mencabar orang yang menyimpan iri terhadap tuan chalet itu kerana mama yang menjumpai barang sihir yang ditanam dalam kawasan chalet dan mama musnahkan semuanya. Mama masuk tidur awal bukan sebab untuk solat isyak semata-mata. Tapi mama dirikan solat hajat untuk kesejahteraan tuan chalet itu dan menghapuskan saki baki sihir yang ada.
Si penyihir ini marah dan cuba untuk menipu daya kami adik-beradik tetapi gagal sebab itu sepupu aku yang di ambil dan disorokkan dalam belukar belakang chalet itu dengan tujuan dapat berdepan dengan mama sendiri. Papa menyambung cerita lagi, dibelukar itu ada tiga orang lelaki yang tidak berapa jelas wajahnya kerana keadaan yang gelap.
Salah seorang dari mereka memarahi mama dan papa kerana mengganggu urusannya. mama tidak marah cuma menasihati orang itu agar bertaubat dan jangan di ulang lagi perbuatan sihir itu. Tetapi tidak dihiraukan. Dikepung mama dengan ratusan beruk ganas yang datang entah dari mana dan papa seperti dipasung tidak dapat bergerak sehinggalah mereka mendengar aku melaungkan azan. Sebelum orang-orang itu melarikan diri, dia telah memberi amaran persengketaan itu belum berakhir lagi. Jadi mama dan papa cepat-cepat bawa Hakim keluar dari kawasan itu.
Orang-orang yang bercakap-cakap dengan papa setelah Hakim ditemui itu bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku tetapi papa tidak bercerita apa-apa dan tuan chalet itu bertanya mana papa tahu tentang masalahnya. Papa hanya tersenyum sahaja dan minta agar dia sentiasa berhati-hati dan amalkan zikir tertentu. Katanya, dia sudah lama mencari penawar untuk sakitnya. Ke hospital sudah berpuluh kali tapi hospital masih tidak dapat mengesan penyakit apa yang dia hadapi.
Secara tradisional pun sudah tapi masih tidak sembuh juga sehingga kami sampai entah tiba-tiba dia yang hanya terbaring dapat bangun dari katilnya. Walaupun hanya duduk di kerusi roda tetapi dia tetap bersyukur. Sebelum balik, mama ada beri air tawar kepada tuan chalet itu untuk dia ikhtiar pulihkan kesihatan dan perniagaannya kembali. Kerana itu mereka sanggup memulangkan semula duit tempahan atuk. Mereka berhutang budi pada mama. Kerana itu mama ada berkata kepada aku, hanya orang yang benar-benar perlukan pertolongan sahaja akan dipertemukan dengan mama.
Dan mama tidak akan menolak untuk membantu kerana Allah yang mentakdirkan untuk mama mengikhtiarkannya dan mama tidak akan meminta sebarang bayaran atas khidmatnya. Kalau lah semua orang tahu kelebihan ini pastinya ramai yang akan ambil kesempatan terhadap mama kerana itu mama tidak mahu jadi perawat.
Sambung papa lagi tentang kejadian mama tiba-tiba berlari ke kebun sawit di tepi jalan itu. Katanya mama melihat seorang perempuan yang melintas kereta kami. Mama takut jika benar-benar perempuan itu perlukan bantuan kerana itu mama nekad mengejar perempuan itu jauh ke dalam kebun sawit itu. Dalam kebun tu ada pondok kayu. Dan perempuan itu sedang bersembunyi di pondok itu. Bila terlihat mama, perempuan itu meminta tolong agar mama bawa anaknya lari jauh-jauh kerana dia sedang diekori oleh musuh. Masa mama ambil bayi tu memang betul rupanya seperti bayi. Bukan bangkai haiwan yang busuk. Mama nak bawa perempuan itu untuk berlindung ditempat lain tetapi perempuan itu sudah tidak bernyawa. Jadi mama lari meninggalkan perempuan itu disitu.
Mama cepat-cepat masuk ke kereta dan suruh papa pandu laju-laju kerana ada yang mengejar mama. Dan kami ternampak masjid lalu berlindung dimasjid itu. Rupanya perempuan dan bayi itu hanya helah agar sihir itu berpindah kepada mama secara rela. Kerana itu mama seperti bukan mama ketika itu.
Tok Haji yang melihat perkara itu sudah tahu ada sesuatu tak kena. Kerana itu dipujuk papa agar tidak teruskan perjalanan balik kerana mereka sudah menanti dirumah kami untuk menghabiskan terus riwayat mama dengan sihir.
Malam yang mama bersilat di halaman rumah tok haji itu penentu segalanya. Benar kata tok haji mama seorang yang kuat walau pada awalnya dia sendri sudah tertewas dan tertipu tapi zikir, tahmid dan takbir itu telah mengembalikan kekuatan kerohaniannya. Makhluk besar yang aku lihat setinggi lampu jalan itulah ketuanya dan beruk yang banyak itu anak-anaknya.
Beruk-beruk itu telah menyerang aku secara batin. Aku tidak tahu bagaimana rupa bentuk serangan yang aku hadapi ketika itu tetapi badan aku sakit-sakit lepas tersedar. Kata papa, mama berusaha mempertahankan aku dengan bertindak keluar dari likungan zikrullah dan berlari mendapatkan aku yang sudah terkeluar dari sempadan pendinding yang tok haji buat. Sungguh aku tidak sedar aku sudah berganjak dari tempat itu Tindakan itu sangat membayakan nyawa mama.
Sehinggalah aku dengar suara mama memberi arahan agar aku melaungkan azan sehingga habis tenaga aku dikerjakan binatang-binatang itu. Ketuanya yang besar itu telah ditumbangkan oleh “leluhur“ mama bersama harimau peliharaannya serta kata tok haji mama dibantu oleh sekumpulan jin islam yang sama-sama menguatkan mama dengan gema zikir mereka diwaktu mama hampir tertewas. Tok haji tak tahu datang dari mana kumpulan jin Islam yang membantu malam itu.
Yang aku tahu itulah mereka kumpulan bunian atau jin islam yang sentiasa membantu mama dan sering bermuzakarah serta belajar agama dengan mama pada malam-malam tertentu terutama pada bulan Ramadhan. Papa pula tidak tahu dan tidak nampak apa yang aku nampak kerana kata mama hijab papa sangat tebal dan itu bagus untuk dirinya. Kalaulah papa nampak apa yang menyerang mama tentu dia tidak akan betah bersila berzikir saja. Nanti jadi banyak kerja pula kata mama.
Selepas sebulan kejadian itu. Pihak chalet menghubungi mama. Mereka dapatkan nombor telefon mama dari atuk. Tuan chalet itu memberitahu dia sudah semakin sembuh tetapi isterinya meninggal dunia seminggu selepas kami menginap di chalet itu kerana tumpah darah. Tuan chalet itu menghantar gambar arwah isterinya. Mama terkejut kerana itulah perempuan yang mama tolong yang berlari melintas kereta kami ketika perjalanan pulang. Rupanya itu petanda orang itu telah menyihir keluarga tuan chalet itu juga sehingga menyebabkan kematian isterinya. Nauzubillah.
Oh tentang orang yang membuat sihir itu,selepas jin belaannya tewas dia jatuh sakit dan melarikan diri ke negara seberang untuk menambah ilmunya lagi tetapi akhirnya meninggal dunia di sana kerana kemalangan ngeri. Dan orang ini adalah saudara kandung kepada tuan chalet ini. Menyimpan iri disebabkan harta pusaka peninggalan orang tua arwah isteri tuan chalet ini.
Hakim pula, aku tanyakan pada dia apa yang berlaku malam itu. Kata Hakim, ketika dia berjalan menuju ke chalet, dia bawa sedikit makanan ingat nak makan dalam bilik sebelum tidur. Tapi ada seorang tua menegurnya meminta sedikit makanan yang dibawa. Hakim pun bagilah pinggan yang berisi makanan tu pada orang tua tu kemudian dia dah tak ingat apa-apa lagi sehinggalah ibunya menyedari dia hilang dan tidak balik ke chalet.
Mama sering menasihati kami agar jangan cepat merasa iri dan dengki dengan rezeki orang lain kerana setiap kita sudah tertulis rezekinya. Banyak atau sedikit itu adalah total cara kita mensyukuri nikmat bukan pada jumlahnya semata-mata.
Seperti kejadian ini. Tidak seharusnya merasa dengki dengan peninggalan pusaka ipar duai. Kita masih ada kudrat carilah harta sendiri tetapi harta yang paling berharga adalah IMAN. Tetapi selalu meletakkan iman di belakang sekali kerana sudah menghidapi penyakit WAHN iaitu cinta dunia.
Sekian sahaja kisah kali ini. Jika berkesempatan, akan aku kongsikan lagi.