Bilik Warden Hujung Blok
Aku bernama Zahari, dan sejak dua tahun lalu aku bertugas sebagai warden di sebuah sekolah menengah di pedalaman, jauh ke dalam, melepasi beberapa kampung dan ladang getah sebelum sampai ke pekan yang paling hampir. Tak payahlah aku sebut nama sekolah itu, cukup sekadar aku ceritakan apa yang berlaku, sebab sampai sekarang bila teringat, ubun-ubunku masih terasa sejuk.
Aku ditugaskan menjaga Blok Seri Melur, iaitu asrama lelaki tingkatan empat dan lima, blok paling hujung, terasing sedikit daripada blok-blok lain kerana dibina lebih awal daripada blok baru yang lain. Bilik pejabatku terletak bersebelahan dengan tandas awam pelajar, dan di sebelah kiri pula ada bilik simpanan yang jarang dibuka kerana penuh dengan kerusi patah dan buku-buku lama yang sudah berhabuk.
Malam itu hari Sabtu, dan seperti kebiasaan, ramai pelajar sudah balik bercuti. Yang tinggal hanyalah segelintir sahaja, kebanyakannya pelajar dari kampung jauh atau yang ibu bapanya bekerja di luar negeri, tak sempat nak ambil.
Suasana asrama pada malam cuti begini memang lain macam sunyinya berbanding hari biasa. Kalau hari biasa, sampai pukul sepuluh pun masih ada budak-budak berbual di ruang legar, ketawa-ketawa, kadang bergaduh pasal bola. Malam itu, jam sepuluh setengah sudah senyap sunyi. Aku sendiri rasa pelik dengan kesunyian itu, tapi aku anggap biasa sahajalah, bilangan pelajar memang sikit.
Aku siapkan beberapa kerja pentadbiran sampai lewat, isi borang kehadiran dan senarai nama pelajar yang tinggal untuk laporan esok. Jam sudah masuk dua belas tengah malam bila aku selesai. Badan penat, mata dah mula berat, aku bangun hendak ke bilik air sebentar sebelum tidur.
Tiba-tiba, terdengar ketukan di pintu bilikku. Tok, tok, tok. Tiga kali ketukan, jelas dan kuat, macam orang yang memang sengaja hendak menarik perhatian. Aku fikir mesti ada pelajar yang tak sedap badan atau nak minta ubat. Aku pun bangun, buka pintu.
Tiada siapa.
Aku tenung koridor luar, lampu masih menyala terang, tapi langsung tiada bayang orang. Dalam hati aku berkata, berani pula budak-budak ni nak main-mainkan aku tengah malam macam ni. Aku biarkan sahaja pintu terbuka, ingatkan kalau ada yang bersembunyi nak kejutkan aku, biar dia sendiri yang malu nanti.
Aku sambung kerja kemas-kemas tempat tidur, lipat baju yang bersepah di atas kerusi. Tak sampai beberapa saat, kedengaran bunyi guli jatuh, bunyi yang sangat jelas macam guli melantun-lantun di atas jubin mozek, tak-tak-tak-tak, memang bunyi guli, aku boleh cam kerana masa kecil dulu aku pun suka main guli di kampung.
Aku terus berpaling ke arah bunyi itu. Tiada apa. Tiada guli, tiada bekas mainan, langsung tiada apa-apa di atas lantai. Hati aku mula rasa tak sedap masa itu. Belum sempat aku fikir panjang, penyapu yang bersandar di sudut bilik tiba-tiba jatuh sendiri, jatuh dengan bunyi yang agak kuat sampai membuatkan aku terperanjat, jantung berdebar kencang. Aku pandang penyapu itu, memang tak ada sesiapa dekat situ, tak ada angin pun yang boleh menumbangkannya, sebab tingkap semuanya tertutup rapat.
Aku sendiri tak tahu kenapa, tapi mulut aku terus terkeluar bersuara, “Jangan ganggu aku, aku tak pernah ganggu kau.” Suara aku sendiri kedengaran gemetar bila aku dengar semula dalam kepala. Tak sampai beberapa saat selepas aku berpaling semula ke arah pintu yang masih terbuka tadi, kedengaran pula bunyi tapak kaki, jelas melangkah dari belakang aku, macam orang berjalan perlahan-lahan di atas jubin licin. Aku tak sempat nak berpaling lagi, sekali lagi kedengaran bunyi kuat, kali ini penyodok sampah yang tersandar di tepi almari jatuh dengan begitu kuat, sampai berdentum, macam ada tangan yang menghempaskannya.
Itu sahaja cukup untuk aku terus berlari keluar dari bilik, tak sempat aku pikir panjang lagi, kaki aku terus melangkah pantas menuju ke bilik pelajar yang paling hampir, iaitu bilik Haikal dan Zufar, dua pelajar tingkatan lima yang tinggal kerana ibu bapa mereka bekerja jauh. Aku ketuk pintu bilik mereka dengan kuat, tak ingat berapa kali, sampai keduanya terjaga dan membuka pintu dengan mata masih berat mengantuk.
“Kenapa, cikgu?” tanya Haikal, suaranya masih separuh sedar.
Aku cuba bertenang, tak mahu nampak cemas di depan pelajar. “Tak dak apa-apa, saje cikgu nak tengok kamu berdua okay ke tak,” jawabku, cuba seringan mungkin.
Zufar memandang ke arah bilik pejabatku yang masih terbuka pintunya, lampu masih menyala terang di dalam, kemudian dia memandang aku pula, matanya seperti mencari sesuatu di wajahku. “Cikgu dengar bunyi ke tadi?” tanyanya perlahan, suaranya tenang, tak macam orang yang baru terjaga tidur.
Aku terkejut sedikit dengan pertanyaan itu, tapi aku cuba jawab dengan selamba. “Bunyi apa pulak?” balasku, walaupun dalam hati aku sudah tahu ke mana arah soalan itu.
Haikal dan Zufar berpandangan sesama sendiri, macam kedua-duanya sudah paham sesuatu yang aku sendiri belum tahu. “Takdalah cikgu, kami ingat cikgu jatuhkan barang,” kata Haikal pula, cepat-cepat menukar topik, sambil menguap dan masuk semula ke dalam bilik. Zufar sebelum menutup pintu, sempat berhenti sebentar dan memandangku dengan pandangan yang agak aneh, seolah-olah dia hendak berkata sesuatu tapi menahan diri. Malam itu, aku terus duduk di ruang legar sampai ke subuh, tak berani balik ke bilik. Mata tak dapat dipejamkan langsung.
Esoknya sebaik sahaja siang, aku terus kemas semua barang-barangku dan berjumpa dengan pengetua untuk memohon bertukar bilik. Alhamdulillah, dibenarkan, dan aku dipindahkan ke sebuah bilik kecil berhampiran pejabat pentadbiran. Sejak itu, tak ada lagi apa-apa kejadian pelik yang berlaku padaku.
Beberapa bulan kemudian, semasa berbual dengan salah seorang guru lama, barulah aku tahu bahawa warden sebelumku juga pernah mengalami gangguan yang serupa di bilik yang sama, malah sampai beberapa orang ustaz pernah datang membacakan ayat-ayat suci di situ dahulu.
Menurut cerita, gangguan itu reda buat sementara waktu, namun tidak pernah hilang sepenuhnya. Ada yang mengatakan mungkin kerana bilik itu memang sudah lama tidak digunakan sebelum aku ditugaskan menghuninya, dan mungkin itulah sebabnya aku yang menggunakannya, akulah yang terkena tempiasnya.