Dia Siapa Sebenarnya
Sudah lama aku merancang untuk berdikari dan tinggal sendiri, atau sekurang-kurangnya menyewa bersama rakan-rakan untuk mengurangkan beban kewangan. Selepas berbulan-bulan mencari, akhirnya aku menemui sebuah unit apartment yang terletak agak pinggir bandar tetapi menawarkan harga sewa yang sangat berpatutan.
Pemilik rumah seorang lelaki separuh umur yang sangat ramah. Apartment itu sudah dibersihkan sepenuhnya dan dilengkapi dengan pelbagai perabot asas serta peralatan elektronik moden seperti televisyen pintar, peti sejuk, dan mesin basuh. Apa yang membuatkan aku sedikit hairan pada mulanya ialah keadaan blok apartment itu yang agak sunyi. Unit yang aku sewa berada di tingkat atas, manakala unit di sebelah dan bahagian atas langsung tiada penghuni semuanya kosong dan gelap. Hanya unit di tingkat bawah sahaja yang kelihatan berpenghuni. Namun, memandangkan harganya murah dan keadaannya selesa, aku tidak banyak bertanya.
Sebelum menandatangani perjanjian sewa, aku ada menghubungi tiga orang rapatku. “Aku dah jumpa tempat sewa yang selesa. Nanti kalau aku dah masuk, korang pindah sajalah tinggal sama-sama. Sewa kita bayar kongsi berempat, lagi pun jimat,” kata-ku kepada mereka melalui WhatsApp.
Kawan-kawanku Zack, Amir, dan Hairi semuanya setuju tanpa banyak ceritanya. Cuma pada minggu pertama aku mendaftar masuk, mereka masih terikat dengan urusan kerja masing-masing dan berjanji akan menyusul seminggu kemudian. Jadi, untuk beberapa hari pertama, aku seorang sahaja yang menetap di apartment itu.
Malam pertama aku tidur di situ terasa sangat tenang. Suasananya nyaman, angin malam menyapa lembut dari tingkap ruang tamu, dan katilnya empuk. Aku langsung tidak merasakan sebarang gangguan.
Tetapi, semuanya mula berubah pada malam ketiga.
Malam itu sudah lewat. Jam di skrin telefon pintar menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Aku sedang bersandar di sofa ruang tamu sambil melayari aplikasi TikTok untuk menghilangkan bosan sebelum tidur. Lampu ruang tamu hanya dipasang separuh malap, manakala lampu di bahagian dapur dan koridor luar dipadamkan.
Tiba-tiba, suasana sunyi malam itu dikejutkan dengan satu bunyi ketukan di pintu utama.
Tok… tok… tok.
Ketukan itu tidak terlalu kuat, tetapi cukup jelas untuk didengari di dalam rumah yang senyap itu. Dahi aku berkerut. Siapa pula yang datang lewat malam begini? Fikiran aku mula melayang kepada kemungkinan jiran bawah or mungkin tukang kutip hutang tertunggak (walaupun aku baru je masuk).
Aku bangun dari sofa, melangkah perlahan ke arah pintu utama. Tanpa menggesa, aku membuka kunci tombol dan menarik daun pintu sedikit untuk melihat gerangan di luar.
Di bawah cahaya samar-samar lampu koridor apartment yang kekuningan, berdiri seorang wanita separuh umur. Anggaran usianya sekitar lewat 50-an, hampir sebaya dengan ibuku di kampung. Wajahnya kelihatan sedikit letih, rambutnya disanggul kemas tetapi ada beberapa helai yang terurai di dahi, dan dia memakai baju kurung tradisional yang sudah agak lusuh.
Melihatkan usianya yang sebaya ibu, rasa curiga aku hilang serta-merta, digantikan dengan rasa kasihan dan hormat.
“Ada apa ya, makcik?” tanyaku lembut, membuka pintu sedikit luas.
Wanita itu merenungku seketika dengan pandangan yang agak kosong, sebelum bibirnya yang pucat mengukir senyuman nipis. Suaranya serak-serak basah, kedengaran sangat perlahan apabila dia berkata, “Nak minta air minum… tengok rumah ni ada orang lagi. Makcik haus sangat, tekak ni rasa kering.”
Mendengar permintaannya yang hanya sebatas segelas air, aku langsung tidak meragui apa-apa. Lagipun, pada usia sebegitu, mungkin dia tinggal di blok berhampiran dan keletihan.
“Oh, baiklah makcik. Tunggu sekejap ya,” kata-ku ramah seraya berlari kecil ke arah dapur untuk mengambil segelas air sejuk dari Coway.
Tidak sampai seminit, aku kembali ke muka pintu dan menghulurkan cawan kaca itu kepadanya. Wanita tua itu menyambutnya dengan kedua-dua belah tangan yang sedikit terketar-ketar. Dia meneguk air tersebut dengan gelojoh, seolah-olah sudah berhari-hari tidak membasahkan tekak.
Selepas menghabiskan air dalam cawan itu, dia memulangkan cawan tersebut kepadaku.
“Terima kasih, nak,” bisiknya pendek.
“Sama-sama, makcik. Tak perlu risau,” balas-ku sambil tersenyum.
Tanpa berkata apa-apa lagi, wanita itu terus berpaling badan dan melangkah pergi perlahan-lahan menyusuri koridor yang gelap menuju ke arah tangga. Aku berdiri di muka pintu memerhatikan susuk tubuhnya hilang dari pandangan sebelum aku menutup dan mengunci semula pintu grill.
Malam itu, aku masuk tidur tanpa memikirkan apa-apa yang buruk. Aku anggap ia sekadar insiden kecil membantu orang yang memerlukan pertolongan di tengah malam.
Beberapa minggu berlalu dengan pantas. Seperti yang dijanjikan, Zack, Amir, dan Hairi akhirnya berpindah masuk ke apartment itu. Suasana rumah yang tadinya sunyi sepi kini menjadi meriah dan bising dengan gelak tawa kami berempat. Urusan bayaran sewa dibahagikan sama rata, dan kami mula selesa menjalani rutin harian di situ. Kerja kuliah dan pejabat berjalan lancar, dan kisah malam ketiga aku didatangi wanita tua itu perlahan-lahan tenggelam dalam kesibukan harian.
Sehingga satu petang, ketika kami berempat duduk bersembang di ruang tamu sambil menikmati minum petang, topik tentang jiran-jiran tetangga terbukit.
“Korang sedar tak, kawasan apartment ni macam sunyi sangat kan?” kata Amir sambil memandang ke luar tingkap. “Unit sebelah kita kosong. Atas kita pun takde orang. Cuma ada jiran kat tingkat bawah je yang kita pernah nampak sekali-kala.”
Aku mengangguk bersetuju. “Ha’ah, aku pun perasan masa mula-mula masuk dulu. Tapi selesa sebab tak de orang kacau.”
“Tapi, ada satu benda pelik aku nak tanya korang,” kata Hairi tiba-tiba, wajahnya bertukar serius. “Korang pernah perasan tak… ada tak nampak mana-mana orang tua, terutamanya makcik umur dalam 50-an tinggal kat blok ni?”
Sebaik sahaja Hairi menuturkan ayat itu, darah aku terasa menyerbu naik ke kepala. Jantung aku berdegup kencang secara tiba-tiba. Suasana di ruang tamu itu mendadak menjadi sunyi sepi.
“Makcik umur 50-an?” soalku cepat, menatap wajah Hairi dengan pandangan tajam. “Kenapa dengan makcik tu?”
Hairi mengerutkan dahi. “Takde la… aku dah tinggal sini hampir sebulan lebih dengan korang. Aku selalu juga turun bawah beli barang kat kedai runcit depan tu, atau sidai baju kat balkoni. Tapi aku never nampak langsung muka makcik separuh umur kat blok ni. Jiran tingkat bawah tu semua aku dah kenal ada pasangan muda dengan seorang anak kecil, dan seorang lelaki bujang kerja kilang. Takde langsung makcik tua.”
Zack menyampuk, “Betul tu. Aku pun jarang tengok orang tua merayap kat blok ni sebab majoriti penghuni sini golongan muda yang baru bekerja. Kenapa kau tanya, Hairi? Kau ada nampak ke?”
Tempoh hari masa aku balik lewat malam tu, aku ada nampak seorang makcik tua sedang naik blok apartment kita ni, bila aku naik tangga dah tiada pula makcik tu dan sampai sekarang ni makcik tua tu dah tak kelihatan , kata Hairi.
Aku menelan air liur yang terasa kesat. Keningku berkerut seribu. Ingatanku terpaku kembali pada malam ketiga aku bersendirian di rumah itu jam 12 malam, ketukan pintu, wanita tua yang meminta air, baju kurungnya yang lusuh, dan cara dia berjalan pergi tanpa berkata lebih.
“Sebenarnya…” aku mula bersuara dengan nada yang perlahan, menarik perhatian ketiga-tiga rakanku. Aku menceritakan semula kejadian malam itu dari awal hingga akhir bagaimana aku membuka pintu pada lewat malam, wajah wanita itu, cawan air yang diminta, dan bagaimana dia menghilang ke dalam gelap.
Selepas aku menghabiskan cerita, ruang tamu itu diselubungi ketulan ais kesunyian. Masing-masing terdiam kaku. Amir kelihatan meremang bulu romanya, manakala Hairi dan Zack saling berpandangan dengan wajah pucat lesi.
“Kau… kau biar betul?” bisik Zack, matanya meliar memandang sekeliling ruang tamu seolah-olah ada sesuatu sedang memerhati dari sudut gelap. “Dah hampir sebulan lebih kita kat sini, dan korang tahu kan blok ni tingkat atas dengan sebelah kosong. Kalau dia tinggal kat tingkat bawah, mesti salah seorang daripada kita pernah nampak dia sekurang-kurangnya sekali.”
“Dan lagi satu…” Hairi menyambung dengan suara bergetar. “Kenapa dia minta air pada pukul 12 tengah malam? Dekat tingkat bawah tu kan ada paip air sendiri, malah setiap rumah ada penapis air. Kenapa dia perlu naik ke tingkat paling atasn yang terang-terang kosong hanya untuk ketuk pintu rumah kau dan minta air?”
Kata-kata Hairi itu membuatkan bulu roma di seluruh badanku tegak berdiri. Kedinginan tiba-tiba menyerap ke tulang hitam.
Sekali lagi, bayangan wanita tua itu terlayar di minda aku. Wajahnya yang tenang, matanya yang kosong tanpa sebarang emosi, dan bagaimana dia tidak pernah kelihatan lagi sejak malam itu, biarpun aku sudah berbulan-bulan menetap di situ bersama rakan-rakan.
Dia bukan jiran kami. Dia bukan penduduk apartment itu.
Lalu… siapa dia sebenarnya? Dan apa yang dia mahu malam itu?
Sampai ke hari ini, setiap kali menjelang tengah malam, apabila angin malam meniup perlahan pintu rumah sewa kami, aku pasti akan terdiam kaku, mengira kembali detik-detik ketika tangan tua itu mengetuk pintu rumahku pada malam yang sunyi itu.