Adilla Part 2

ADILLA  Part 2

“Hana, Damia… boleh tak aku nak main kat rumah ang?”. Aku bertanya dengan muka merah menahan perasaan malu.

“Kenapa pula? Pergilah main dengan Adilla, dia kan kawan baik ang.” Hana menyindir.

“Ishh.. tak baik lah ang ni Hana, kesian Aishah. Boleh ang main dengan kami tapi syaratnya jangan pernah cuba nak bawa Adilla, kalau tak, sampai bila-bila pun kami tak nak kawan dengan ang.” Damia memberi amaran sambil tangannya menghulurkan salam.

Aku sambut salam Damia dengan senyuman, laju kepalaku mengangguk tanda bersetuju dengan syarat Damia. Hana turut bersalam denganku, merajuknya tidak lama. Hana sebenarnya kecil hati dengan aku sebab sanggup memilih membela Adilla berbanding dia dan Damia beberapa hari lepas. Itu sebab mula-mula dia tak nak berkawan dan bercakap denganku.

“Termasuk hari ni, dah tiga hari Adilla tak datang sekolah. Ang tak rasa pelik ke?”. Hana bertanya kepadaku.

“Entah… tiga hari lepas aku dan Adilla berjanji nak jumpa kawan-kawan dia tapi tunggu punya lama Adilla tak datang pun.” Aku bercerita, hatiku masih sebal dengan kelakuan Adilla. Bagiku, kalau tak sudi berkawan, cakap sahaja terus terang denganku, tak ada lah aku terpacak tunggu dia sampai pukul 5.30 petang pada hari itu.

“Semalam aku ada nampak Adilla masuk kawasan taman permainan terbiar kat kampung kita ni. Aku tengah naik motor dengan kakak aku waktu tu tapi tiba-tiba Adilla hilang macam tu je.” Hana mula bercerita.

“Ishh.. betul ke ang ni? tak kan lah Adilla boleh hilang macam tu je.” Damia menentang.

“Betul, aku tak tipu. Kakak aku pun nampak Adilla masuk kawasan taman permainan terbiar tu dan tiba-tiba hilang.” Hana membulatkan matanya tanda dia bersungguh bercerita.

“Kak aku kata kawasan taman permainan tu ada hantu. Eee~ kenapa Adilla tu pergi situ seorang diri?”. Hana menyoal dalam nada ketakutan.

“Dulu pun aku pernah nampak Adilla masuk kat kawasan tu. Dia keluar dari semak seberang jalan tu lepas tu pergi ke kawasan permainan terbiar.” Aku bercerita mengenai kejadian yang aku nampak beberapa hari sebelum itu.

“Aku rasa Adilla tu saja tak nak mai sekolah.” Hana serkap jarang.

“Haah.. dia memang selalu tak datang sekolah pun. Dia pun selalu lari dari rumah lepas tu datang ke rumah penduduk kampung, minta tolong.” Damia berkata sambil menghulurkan kerepok Mimi kepadaku.

“Haah, Mak aku kata ayah Adilla selalu rogol dia tu pasai dia duk lari dari rumah. Orang kampung tak berani nak tolong sebab ayah dia suka serang rumah penduduk kampung yang tolong Adilla.” Hana pula menyampuk.

“Oh! Rogol tu apa?.” Aku bertanya kehairanan. Damia menjongketkan bahunya tanda tidak tahu.

“Entah, aku pun tak tahu. Yang aku tahu mak aku kata rogol tu benda jahat sangat. Paling jahat.” Hana mengulas.

“Ooo..” Aku dan Damia berkata serentak.

“Aishah! Cikgu Huda panggil ang suruh pi pejabat guru sekarang.” Farid, ketua kelas aku menjerit dari jauh.

“Okay!.” Aku membalas.

***************************

“Cikgu dapat tahu, kamu seorang saja yang sudi berkawan dengan Adilla. Betul ke?”. Cikgu Huda bertanya lembut.

“Ya cikgu, Adilla kawan saya.” Aku berkata dengan nada perlahan.

“Kalau macam tu, kamu tahu kenapa Adilla dah tak datang ke sekolah selama tiga hari?”. Cikgu Huda bertanya lagi. Aku pantas menggeleng kepala.

“Tak tahu cikgu, tiga hari lepas memang saya ada janji nak main dengan Adilla. Adilla janji nak bawa saya jumpa kawan-kawannya tapi dia tak muncul pun.” Aku mula bercerita.

“Kawan? Setahu cikgu, kamu seorang saja yang berkawan dengannya.” Cikgu Huda menyoal kehairanan.

“Oh! Tidak juga cikgu, Adilla ada kawan dari kampung lain. Tiga orang. Seorang kanak-kanak lelaki, dua lagi kanak-kanak perempuan tapi mereka tak nak saya berkawan dengan Adilla. Mata mereka pun berubah menjadi kuning dan hitam.” Aku bercerita dengan penuh semangat.

“Kalau macam tu nanti balik sekolah, Aishah naik kereta dengan cikgu, nak tak? Aishah tunjuk kat mana Aishah tunggu Adilla tiga hari lepas, boleh?”.

“Yeay! Dapat naik kereta cikgu. Boleh cikgu, nanti saya tunjukkan.”

*********************
“Eh! Itu Adilla kan.” Cikgu Huda menunjuk ke suatu arah tidak jauh dari tempat aku dan Cikgu Huda berdiri.

“Mana cikgu? Saya tak nampak pun.” Aku melihat ke arah yang ditunjuk oleh Cikgu Huda.

“Aishah tengok betul-betul. Tu… Adilla tengah melambai ke arah kamu.” Cikgu Huda sekali lagi menunjuk ke tempat tadi.

“Dah cikgu, saya memang tak nampak pun Adilla kat situ.” Aku melihat sekali lagi ke arah yang sama namun masih tidak dapat melihat kelibat Adilla.

“Mungkin cikgu tersalah lihat. Jom kita balik.” Cikgu Huda berjalan menuju ke kereta. Aku hanya mengikuti dari belakang.

Muka Cikgu Huda kelihatan pucat, peluh menitik keluar dari dahinya. Cikgu Huda memandu pulang sebelum dia tiba-tiba berhentikan kereta secara mengejut. Jika tidak dipakaikan tali pinggang kereta mungkin aku sudah tercampak ke depan cermin kereta.

“Astaghfirullahal Azim, kamu nampak ular besar tadi? Ular tu tiba-tiba melintas depan kereta.” Cikgu Huda berkata dengan nada takut. Aku mengangguk.

Ya, aku nampak ular berwarna hitam kekuningan yang besar melintas secara tiba-tiba ke tengah jalan menyebabkan Cikgu Huda terpaksa berhentikan kereta secara mengejut. Sedang aku dan Cikgu Huda masih dalam keadaan terkejut, ular tadi menyusur di depan cermin kereta Cikgu Huda kemudian melingkar ke arah cermin sisi bersebelahan tempat Cikgu Huda memandu. Aku dan Cikgu Huda menahan nafas seumpama tidak mahu ular itu menyedari kelibat kami berdua disitu walaupun tahu usaha itu hanya sia-sia.

Ular itu terus melingkar ke cermin sisi di tempat duduk belakang dan seterusnya ke cermin bonet kereta dan beralih ke cermin sisi di sebelah tempat duduk ku. Semasa ular itu melingkar di cermin sisi sebelah tempat dudukku, aku terpandang mata ular tersebut. Kami bertembung empat mata sebelum aku cepat-cepat mengalihkan pandanganku.

“Aishah Humairah~~~” Satu suara halus memanggil namaku.

Ular itu kembali melingkar ke cermin depan kereta sebelum menyusur turun dan terus lenyap dari pandangan.

“Aishah! Kamu ok tak ni?.” Cikgu Huda bertanya dengan nada gelisah apabila melihat badanku bergegar kuat tanpa henti dan mulutku mengeluarkan buih putih.

Badanku terasa sakit, kesakitan yang sama yang aku rasa semasa ditolak oleh tiga kanak-kanak yang merupakan kawan Adilla. Pergelangan tangan dan kakiku kembali terasa sakit seperti dicengkam erat oleh sesuatu dan mulai timbul kesan lebam yang besar. Perit dan pedih terasa disetiap tubuhku, pandanganku kabur dan dunia aku rasa gelap gelita.

***********************

“Aishah! Aishah! Aiiishaahhh!”. Suara Adilla mengejutkan aku dari lena.

“Adilla…” Aku berkata dengan nada lemah. Badanku masih terasa sakit.

“Adilla… ang pergi mana? Kenapa aku tunggu ang petang tu ang tak datang? Kenapa ang dah tiga hari tak pergi sekolah? Ayah ang buat jahat kat ang lagi ke?”. Aku menangis.

Ingin aku capai tubuh Adilla ketika itu tetapi entah kenapa jarak antara aku dan Adilla dekat namun terasa begitu jauh. Adilla hanya tersenyum.

“Aku datang sebab nak bawa ang pergi jumpa kawan-kawan aku. Ang nak ikut tak?”. Adilla bertanya sambil dia menghulurkan tangannya kepadaku.

Aku mengangguk kecil, aku cuba menyambut huluran tangan Adilla namun tidak berjaya. Badanku terasa begitu sakit walaupun untuk bergerak seinci.

“Kenapa aku tak boleh capai tangan ang? Kenapa badan aku rasa sakit sangat?”. Aku berkata dengan nada tersekat-sekat menahan sakit.

Adilla berjalan perlahan menghampiriku. Bibirnya tidak lengkang dari mengukir senyuman. Dicapai tangan aku dan aku terasa seperti tanganku dicengkam dengan kuat, semakin lama semakin kuat sehingga tulang tanganku terasa seperti dipatahkan.

“Sakit…. Lepaskan aku, aku sakit.” Aku merintih.

Adilla ketawa mengilai. Matanya berubah menjadi warna kuning. Ya, sama seperti mata ular yang aku lihat semasa berada didalam kereta Cikgu Huda. Mata yang sama, pandangan yang cukup tajam. Sama seperti mata ketiga-tiga kawan Adilla yang menolakku jatuh.

“Aishah! Aishah Humairah! Bangun… Kamu dengar tak suara Mama?”. Mama memanggil namaku dengan esakan.

Mataku perlahan-lahan terbuka dan aku lihat rumah Mama sudah dipenuhi penduduk kampung.

InsyaAllah dalam masa terdekat akan aku sambung cerita mengenai Adilla, bukan sengaja aku tangguhkan cerita ini, cuma masa kurang mengizinkan. Seandainya aku tak sambung part 2 ini, apa pula kata yang lain. Mohon maaf banyak-banyak kepada semua, sebenarnya bukan mudah nak mengarang cerita. Korang jangan marah yaa.. Sekian terima kasih… Assalamualaikum….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aishah Humairah

2 thoughts on “Adilla Part 2”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.