#AhmadRusydi – Diari Siti

Cerpen: Diari Siti

14 Julai 2017 – Mungkin hari ini hari terakhir kami sekeluarga bermalam dalam rumah ini. Kami akan berpindah esok atau lusa. Barang-barang pun dah dimasukkan ke dalam kotak-kotak besar. Perabot-perabot pula dah dipunggah ke rumah baharu petang semalam.

Sedih.

Yalah, sejak dari lahir lagi aku dibesarkan di dalam rumah ini. Di sinilah tempat aku membesar. Belajar membaca dan menulis. Belajar tentang kasih sayang. Belajar tentang kehidupan. Sehinggalah usiaku kini mencecah 24 tahun.

Namun, yang membuatkan hatiku terlalu berat untuk meninggalkan rumah ini adalah memoriku bersama ‘kakak’.

Ya, aku tahu dalam nukilan-nukilan diari aku sebelum ni, aku tak pernah sebut tentang dia. Sejujurnya, aku tidak pasti samada ‘memori’ aku bersama kakak ini benar-benar terjadi atau sekadar khayalan seorang kanak-kanak yang kesunyian. Faktanya, aku seorang anak tunggal.

Namun, disebabkan hari ini hari terakhir aku di sini, hatiku tergerak untuk semadikan memori bersama kakak di dalam catatan diari hari ini.

Seperti yang semua orang tahu, lazimnya memori kanak-kanak akan mula disimpan di dalam minda bermula umurnya empat tahun. Waktu itulah kali pertama aku bertemu dengan kakak. Atau jika ada sebelum itu, aku tak ingat.

Kakak seorang yang ceria. Sentiasa melayani aku dengan baik. Setiap hari kami akan bermain bersama di tingkat bawah tanah rumah ini. Hanya di situ sajalah kami dapat bermain. Kata kakak, dia tidak boleh keluar dari situ. Rupa paras kakak sedikit lain jika dibandingkan dengan aku. Kakak tidak berambut. Matanya terletak di tepi kepala. Hidungnya tidak bertulang. Yang ada cuma dua lubang kecil yang kelihatan seperti dihiris. Lengan dan kakinya pula sangat panjang. Waktu itu, aku lihat dia sudah cukup dewasa. Namun, apabila difikirkan semula, usia kakak waktu itu cuma tiga atau empat tahun lebih tua dariku.

Walaupun usiaku semakin meningkat, namun kakak tidak pernah berubah. Rupa parasnya tetap sama. Setiap hari dengan pakaian compang camping yang sama. Sehinggalah pada suatu hari ketika usiaku tujuh tahun, sehari sebelum aku memulakan persekolahan, itulah kali terakhir aku berjumpa dengan kakak.

Aku masih ingat, hari itu, kami bercadang untuk bermain sorok-sorok di tingkat bawah tanah itu. Entah kenapa, aku asyik terlihat genangan air mata dalam mata kakak pada waktu tu. Kakak minta aku tutup mata dan kira sampai 100. Dia pula akan menyorok. Kalaulah aku tahu itu adalah kali terakhir aku bertemu dengannya, sudah tentu aku takkan setuju.

Selesai mengira, aku buka mataku dan mula mencari kakak. Aku meninjau ke bawah setiap perabot, buka segala peti dan selak segala kain penutup. Namun kelibat kakak tetap tidak kelihatan. Waktu itu, aku masih belum faham konsep jam. Jadi, apabila aku sudah bosan mencari, aku tinggalkan permainan itu dan naik ke atas. Mungkin nanti, bila kakak dah bosan, dia keluarlah, fikirku.

Sehinggalah malam tiba, kelibat kakak masih tidak kelihatan. Aku ada bertanya juga pada mama dan papa. Seperti biasa, jawapan mereka tetap sama.

“Siti mana ada kakak.”

Sehingga tamat sekolah rendah, aku masih percaya bahawa kakak lari meninggalkanku. Bertahun-tahun mama dan papa membawa aku berjumpa dengan pakar psikiatrik. Kata doktor, tahap imaginasiku terlampau tinggi. Itu sahaja. Yang lain tentang mindaku semuanya normal.

Semakin aku meningkat remaja, memoriku bersama kakak semakin aku anggap sebagai khayalan. Tidak lebih dari itu.

Sehinggalah beberapa hari lepas, secara tidak sengaja aku terdengar perbualan mama dan papa. Mama bertanya pada papa;

“Peti Sarah kita nak bawa macam mana, bang?”

“Nanti abang fikirkan.” Jawab papa.

Sarah. Aku cukup kenal nama tu. Entah kenapa apabila aku dengar nama tu, aku teringat pada kakak. But then again, doktor pun kata, imaginasi aku terlampau tinggi. Mungkin mama dan papa berbual tentang perkara lain. Mungkin aku tersilap dengar. Mungkin aku perlu cuba padamkan memoriku tentang kakak. Mama dan papa pun sejak dari dulu lagi berusaha keras untuk membuatkan aku lupa tentang dia.

Okaylah, sampai sini saja catatanku hari ini. Banyak kerja nak buat. Papa kata hari ini ada orang datang nak kemas tingkat bawah tanah pula. Entah kenapa papa taknak aku tolong kemas barang-barang tu, aku pun tak tahu.

Tak apa. Baik aku bungkus barang-barang dalam bilikku saja. Hmm. Rasa sedih dah teruja dalam masa yang sama.

Sampai sini saja. Assalam.

-tamat-

Ahmad Rusydi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

8 thoughts on “#AhmadRusydi – Diari Siti”

  1. Maaf pembaca semua, tak ada sambungan untuk kisah ni. Cuma ada prekuel. Saya dah hantar kepada FS. Apa pun, terima kasih kerana membaca ?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.