Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Anugerah Istimewa Bahagian 2

Terima kasih team FS sebab sudi publishkan cerita aku sebelum ini (https://fiksyenshasha.com/anugerah-istimewa/). Aku agak sibuk, tak sangka terlalu lama cerita aku tertangguh. Kali ini aku akan cuba untuk sambung penceritaan kisah pengalaman hidup aku dari semasa ke semasa jika ada kesempatan waktu.

Bab 2: Interaksi

Murid-murid Tahun 5 dan Tahun 6 diwajibkan untuk menyertai Camping sekolah. Sebagai seorang yang meminati aktiviti lasak, aku lah yang paling gembira sekali menanti hari tersebut. Ini akan menjadi pengalaman pertama dalam hidup dan dapat tidur bersama-sama kawan aku. Segala keperluan dan kelengkapan telah aku bawa, masing-masing teruja menunjukkan luggage masing-masing yang pelbagai warna. Hari kami di sekolah dipenuhi dengan aktiviti seperti ceramah, solat jemaah, aktiviti berkumpulan dan bermacam lagi.

Selesai solat Isyak dan aktiviti, kamu diarah oleh guru untuk terus masuk tidur ke dalam khemah. Beberapa pelajar Tahun 6 dipilih untuk menjadi patrol malam itu. Khemah bagi pelajar lelaki dan perempuan diasing. Khemah lelaki di kawasan padang bola yang luas, manakala pelajar perempuan di bahagian tepi padang sekolah bersebelahan blok sekolah. Semestinya aku dah 3 orang kawan aku tak boleh tidur, kami berbual mengenai pengalaman dan bertukar perasaan penat kami pada hari itu. Sebelum kami melabuhkan tirai mata, kawan baik aku Arin (bukan nama sebenar) meminta aku untuk teman dia ke tandas. Kami keluar dan memaklumkan kepada patrol dan guru yang bertugas ketika itu tujuan kami.

“Kamu pergi toilet yang belakang ni je tau, jangan pergi ke blok lain.” maklum guru tersebut dan kami pun beredar. Aku dan Arin berjalan berpegangan tangan, dapat aku rasakan basah tangan Arin akibat peluh.

“Jane tunggu aku tau. Aku sakit perut sangat ni. Jangan pergi mana-mana tau!”
“Ye…aku dekat sini je.” sedang aku membetulkan ikatan rambut, aku terdengar sayup-sayup suara memanggil nama aku. Berkali-kali juga nama aku dipanggil tanpa aku tahu dari mana datang arahnya.

“Arin..kau ke tu?” senyap. Sunyi sepi.
“Arin kau jangan main-main tau aku tinggal kau nanti.”

“AKU BUKAN ARIN. AKU SURI.” berdesup laju jantung aku mendengar suara garau itu. Aku menoleh kiri dan kanan aku.

“Kau siapa, tunjukkan diri kau. Aku tak kacau kau.” lalu entiti itu keluar dari celahan pintu dari salah satu kubikel toilet. Aku tak nampak raut wajahnya, tapi dari fizikalnya dia adalah wanita dewasa dengan rambut hitam mayang menutupi mukanya. Dia tidak berkaki, dia juga tidak berjalan. Tapi aku rasakan kehadiran dia bukan ancaman.

“Kenapa kau kacau aku?”
“Jangan pergi. Kau kene balik?” kata Suri.
“Balik? Balik ke mana?”
“Balik Jane. Pergi.”
“Pergi ke mana? Kau ni siapa? Balik untuk apa?”, “PAPP!” pintu tandas dibuka. Terjengul wajah Arin yang jelas berkerut mukanya. Aku hanya kaku di situ.

“Kau ni cakap dengan siapa Jane? Jom balik Jane. Bulu roma aku dah tegak ni.” Arin menarik tangan aku dan balik ke khemah kami.

Keesokan harinya juga padat dengan aktiviti yang bermula dengan Qiamulail. Usai menunaikan solat Isyak berjemaah, guru mengarahkan kami untuk menukar pakaian dan kembali berkumpul di tapak perhimpunan untuk aktiviti Night Walk. Keluhan demi keluhan aku dengar dari pelajar-pelajar lain untuk tak teruskan aktiviti malam itu. Termasuk kawan-kawan aku.

“Ish…ni yang paling aku taknak ni. Dah lah malam semalam si Jane ni bercakap sorang. Aku cuba fikir positif lagi ni. Aku nak pura-pura sakit lah.” ujar Arin. Aku hanya tersenyum kambing, enggan untuk buka mulut hal semalam.

Semua pelajar ditutup mata dengan sehelai kain hitam begitu juga aku. Gelap pandangan kami semua malam itu bersama debaran entah apa cabaran kami lepasni. Guru bertugas memberi taklimat pendek untuk aktiviti tersebut dengan peringatan keras, “Jangan sesekali lepaskan tali yang kamu pegang sehingga penamat. Tak kira apa jadi ya semua.” Lalu satu demi satu kumpulan dilepaskan jalan mengikut arah tali mara ke hadapan. Aku tak pasti perjalanan aku bermula dari mana malam itu.

Di pertengahan jalan, telinga kiri aku disapa angin lalu yang sangat sejuk. Aku tahu itu dia. Aku endahkan saja dan menyambung perjalanan aku.

“Balik Jane. Balik!” keras sekali peringatan dia. Aku tetap berkeras dan terus berjalan ke depan. Namun, tiba-tiba tangan aku direntap kuat sehingga aku terlepas tali yang tak sepatutnya aku biar lepas dari genggaman. Tangan sejuk itu menarik aku terlalu kuat sehingga tubuh aku terdorong ikut sama ke arah yang aku pun tak tahu.

“Mereka di sini lebih gagah perkasa dari aku Jane. Lebih baik kau pulang, aku tak mampu melindungi kau jika aku lemah daripada mereka.”
“Apa maksud kau? Aku tak pernah panggil kau untuk lindungi aku. Aku hanya ada Allah sebagai pelindung aku. Pulangkan aku ke tempat tadi.”
“Kau adalah tanggungjawabku, kau adalah amanahku Jane.” aku cuba untuk membuka kain hitam yang diikat namun gagal. Aku ingin sekali melihat siapakah dia yang boleh berkomunikasi dengan aku sekarang ni. Aku gagal dan gagal lagi, kain tersebut seolah diikat mati ketatnya.

Kedengaran bunyi siren kuat sekali dari arah yang agak jauh dari aku. Diselangi suara pekikan dari seorang lelaki memanggil nama aku. Anehnya, dengan mudah sekali kain hitam dikepala aku buka, lalu aku menjerit menyahut untuk memaklumkan aku masih berada di situ.

Suasana malam itu kecoh dengan desas desus mengatakan ramai pelajar yang hilang di beberapa check point. Aktiviti itu yang bermula lebih kurang 10 malam sepatutnya selesai dalam masa satu jam, aku dan beberapa pelajar yang hilang selama 4 jam dan aku orang terakhir yang dijumpai. Aneh, selama lebih 4 jam aku hilang tapi aku rasa macam 10 minit sahaja. Aktiviti Night Walk dibatalkan serta merta dan semua pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada keesokan harinya. Aku dan 3 orang pelajar yang hilang malam tadi ditahan oleh guru dan fasilitator untuk bersoal jawab. Berdasarkan jawapan mereka semua, mereka tak pernah lepaskan tali dan hanya berjalan mengikut aras tali yang diikat sebelum mereka sedar semuanya berhenti di tepi sebatang pokok yang besar. Ya, mereka semua dijumpai di satu tempat yang sama dalam waktu yang sama kecuali aku. Aku ketika itu buntu untuk memberi jawapan sama ada untuk berbohong atau jujur sahaja tentang apa yang terjadi.

Aku akhirnya menceritakan segala yang jadi dari kejadian di tandas bersama Arin sehingga aku mendengar jeritan lelaki yang memanggil nama aku. Mereka semua terdiam. Aku masih terbungkam di situ, menanti keputusan mereka. Namun, akhirnya mereka menghubungi Umi dan Abi untuk menjemput aku pulang ke rumah.

Sewaktu di rumah, Umi dan Abi tak banyak tanya malah hanya menyuruh aku berehat di dalam bilik dan tidur. Aku tak pasti apa yang dibincangkan oleh mereka berdua, muka mereka kelihatan serius. Kali terakhir aku ingat, aku dibawa oleh Umi dan Abi ke satu pusat perubatan terkenal.

“Ada jin yang menjaga dia.”
“Siapa dia ustaz? Macam mana boleh jin tu jaga anak saya? Apa maksud ustaz?”
“Dia ada sejak dari dalam kandungan lagi. Dia hadir kerana terlalu banyak gangguan sewaktu isteri kamu mengandungkan anak kamu ni. Takpe lah…saya cuba setakat yang saya mampu. Jin tu tak mahu bercakap dengan saya.”
“Tolong ustaz halau dia. Kami tak perlukan dia untuk jaga anak kami, Jane tanggung jawab kami.” Umi mencelah perbualan antara Ustaz dan Abi.

Hari-hari berlalu seperti biasa selepas pulang dari pusat perubatan. Selama berbulan-bulan aku pergi berubat, dan bermacam tempat juga Abi dan Umi usahakan untuk pulangkan si ‘Dia’. Namun, usaha mereka menemui jalan buntu kerana dia terlalu menyayangi dan enggan melepaskan aku. Si Dia tidak pernah menyakiti aku, tak pernah hadir di dalam mimpi waima menunjukkan rupanya kepada aku. Kali pertama dan terakhir cumalah ketika di dalam tandas perempuan di sekolah dan cubaan dia untuk menyelamatkan aku ketika aktiviti malam.

Aku menjalani kehidupan seperti biasa, berkawan dan bermain. Aku masih nampak entiti di mana-mana cuma aku kini lebih ‘kebal’ dan berani. Umi selalu berpesan untuk jangan tinggal solat dan rajin membaca al-Quran sebagai pendinding diri. Alhamdulillah, aku masih ingat pesanan Umi dan mempraktikkan segala pendinding untuk melindungi diri. Tentang anugerah istimewa ini, aku percaya ada hikmah mengapa Allah memilih aku sebagai hamba yang dapat melihat ‘mereka’ sebagai pedoman dan pengajaran. Dan aku percaya anugerah ini pasti ada tujuannya untuk membantu umat manusia lain yang memerlukan.

-bersambung-

Jane Noir
Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram