Assalamualaikum FS, andai kata nukilan ni telah di-publishkan maka terima kasih yang tak terhingga diucapkan. Aku adalah pembaca tegar FS sejak di bangku sekolah yakni sejak tahun 2017 atau 2018. Tapi kalini, baru aku terdetik rasa untuk berkongsi pengalaman hidup aku yang diberi anugerah istimewa sejak dari kecil. Tujuan nukilan ni hanyalah sekadar perkongsian cerita dan juga sebagai peringatan kepada kita umat manusia bahawa ada penghuni alam lain yang Allah SWT cipta atas sebab-sebab tertentu.
Aku gelarkan diri aku Jane. Sebenarnya aku tak pasti sejak bila “anugerah istimewa” ni diberikan kepada aku. Yang aku pasti, aku dapat merasa kehadiran mereka, dapat melihat malah aku dapat berinteraksi cuma kepada segelintir sahaja. Mungkin juga bermula dari awal kandungan Umi aku. Sebagai permulaan, aku akan bagi POV Umi aku untuk mudah korang faham jalan cerita.
POV Haseena (bukan nama sebenar)
Kandungan aku semakin sarat, mungkin dalam seminggu dua lagi aku bakal melahirkan puteri yang ke-3. Sepanjang kandungan baik-baik saja, takde perkara aneh yang berlaku. Namun, sejak akhir-akhir ni suami aku berubah, jadi panas baran dan mudah marah tak tentu hala. Aku cuba untuk faham situasi yang dia mungkin stress kerja, tapi nampak dari gaya benci sungguh suami aku pada aku. Caci maki jadi makanan harian sejak dua menjak ni, kadang-kadang aku dipukul macam lepas geram. Aku tak tahu apa salah aku.
Kadang-kadang tidur aku tak lena. Aku sering bermimpi yang aku akan melahirkan anak syaitan, hampir setiap pagi bila bangun tidur ada kesan cakaran baru di perutku. Aku risau tapi aku masih positif ini semua mainan syaitan untuk menyesatkan umat manusia.
Sampai lah satu hari ketika aku menyidai jemuran di luar rumah aku terjumpa bungkusan warna putih tapi dipenuhi kotoran tanah coklat gelap. Itu pun baru dikambus keluar oleh kucing hitam entah datang dari mana. Aku buka bungkusan aneh tu. Berderau darah melihat isi bungkusan tu yang mengandungi janin kecil, tompokan darah serta gambar persandingan aku bersama suami. Cepat-cepat aku berlari masuk ke rumah dan mencapai telefon untuk menghubungi ibuku. Aku menceritakan segala yang terjadi di dalam rumah aku sejak beberapa minggu ini.
Hari itu juga, Mak dan Abah aku datang ke rumah dan membawa aku ke pusat perubatan di negeri Kedah. Jauh. Terasa begitu seksa menahan berat kandungan yang semakin berat hingga rasa nak tercabut perut dari tubuh badan. Aku ke sana tanpa pengetahuan suami jadi aku enggan untuk pergi tapi apakan daya Mak pujuk sampai menangis teresak untuk pergi berubat. Aku akur, aku bawa kedua anak perempuan aku ikut pergi. Sampai saja di perkarangan sebuah rumah batu tu, aku mula merasa badan aku panas yang amat sangat. Tak pernah seumur hidup aku merasa panas yang bahang menyesakkan dada. Abah memapah aku masuk ke rumah itu bila melihat aku mulai lemah longlai tak bermaya. Ingatan aku berhenti di situ.
Menurut Mak, aku pengsan sebelum masuk ke dalam rumah ustaz dan sejurus ustaz membaca surah dan ayat-ayat suci, aku menjerit sekuat-kuatnya. Suara aku garau, urat hijau menimbul di leher dan tangan. Aku cuba untuk mencederakan kandungan aku sendiri namun Abah sempat menahan. Pelbagai aksi yang bahaya aku cuba lakukan, tapi aku memang tak sedar dan tak ingat apa-apa. Ustaz tu kata orang yang paling rapat dan baik dengan aku yang ‘menghantar’ semua benda ni. 2 hari selepas berubat, aku telah melahirkan seorang puteri yang sihat dan kulitnya putih gebu. Aku lega sebab bila ingat semula mimpi-mimpi buruk aku sebelum ni, aku jujur takut. Mak dan Abah juga telah membawa suamiku berubat di tempat yang sama, Alhamdulillah suamiku semakin pulih, kembali menjadi diri dia yang sebenar. Selama beberapa bulan aku dan suami berubat tanpa henti untuk betul-betul pulih. Sehingga ke hari ini, aku masih tak pasti siapa ‘penghantar’ ini semua, aku maafkan orang itu. Harap-harap hidup orang tu tenang.
Jane
Sejak dari kecil lagi, Umi dan Abi kata aku istimewa. Aku tak pasti apa yang istimewa sebab aku rasa aku kanak-kanak biasa macam orang lain. Cuma, aku dapat melihat ‘mereka’ di dunia manusia siang mahupun malam. Pada mulanya aku takut, aku gerun dengan pelbagai rupa yang aneh dan jelik dilihat dengan mata sebab ia menyebabkan aku cepat letih dan lesu. Lama kelamaan perasaan ini hilang, langsung aku tak pedulikan kehadiran mereka sekarang. Hidup aku dah sebati dengan kewujudan mereka setiap masa dan di mana-mana.
Kali pertama aku dapat ‘melihat’ makhluk ini sewaktu aku teman kedua kakak aku Kak Min dan Angah (bukan nama sebenar) pergi kelas mengaji dengan jiran kampung. Dulu, kami pernah tinggal di kawasan Felda selepas Atuk meninggal sebab Umi nak jaga nenek kami. Aku masih ingat dengan jelas malam kejadian hujan turun sangat lebat, angin kencang habis beterbangan daun-daun kering rumah Nek Mah (bukan nama sebenar). Tapi semua budak-budak mengaji seperti biasa, aku hanya duduk di tepi sekadar melihat mereka semua sebab tak silapnya aku baru berumur 4 tahun. Ada yang kene marah dengan Nek Mah bila bacaan tak betul. Aku mengerekutkan badan menahan kesejukan, aku terpandang salah satu tingkap yang dibiar terbuka. Bungkusan berbalut kain putih penuh darah tu sedang pandang tepat ke arah anak mata aku. Aku kaku, badan tegak seolah dikunci rapat untuk bergerak. Aku pandang ke arah semua yang ada di ruang tengah rumah, semuanya khusyuk mengaji. Makhluk itu masih tekun memandang aku. Kulit mukanya terkupas, bola mata kanannya terjuntai bersama urat saraf yang dah pucat. Mata kirinya lompong tiada isi, hanya ulat-ulat yang memenuhi ruang.
“Berhenti sekejap semua. Hujan lebat ni, tolong tutup tingkap, habis tempias masuk rumah ni.”, kata Nek Mah. Semuanya akur berhenti mengaji, dua daripada mereka bangun menutup tingkap. Nek Mah bangun dan menuju ke tingkap yang ada ‘Si Dia’ tapi Nek Mah selamba tutup macam tiada apa.
Aku berganjak bangun duduk di sebelah Angah.
“Angah…kau nampak tak apa dekat tingkap yang Nek Mah tutup tu?”, Angah pandang ke tingkap. Berkerut keningnya.
“Ada apa? Takde ap…”
“Mengaji…nak berborak duduk tepi sana!”, jerkah Nek Mah. Selesai kelas mengaji, Nek Mah menghubungi ibu bapa masing-masing untuk mengambil kami. Dia tak benarkan kami balik sendiri jalan kaki seperti selalu. Aku fikir mungkin sebab baru lepas hujan jadi bahaya, namun bila semakin dewasa baru aku terfikir. Nek Mah nampak ke apa yang aku nampak?
Pengalaman kedua, sewaktu orang kampung gempar dengan kehilangan seorang budak lelaki yang mungkin sebaya aku ketika main waktu petang. Menjelang Maghrib ramai orang kampung berkumpul di hadapan rumah budak lelaki tu, aku yang kebetulan baru balik dari kedai runcit membonceng motor dengan Abi jadi Abi turut berhenti.
“Tadi dia elok je main depan rumah, aku masuk rumah nak amik barang tengok dia dah takde. Puas aku cari ni sampai kebun belakang rumah ni.”
“Dia main dekat mana pakcik?”, tanya aku dengan nada ingin tahu. Pakcik tu memandang aku atas bawah dengan muka sinis.
“Eh, budak ni. Pergi balik rumah nanti kau pulak yang hilang.” Abi terus menarik lengan aku kepadanya. Abi memandang aku lama.
“Jane nampak ke? Dekat mana dia?” aku hanya mengangguk mengiyakan. Makhluk itu memiliki kaki yang sangat panjang sehinggakan budak lelaki tu tersorok antaranya. Dia tiada rupa, tapi rambutnya yang kusut masai panjang berhela sehinggakan aku tak nampak mana penghujungnya. Dari tadi aku nampak budak lelaki tu disorok di bawah pokok mangga tu, hanya beberapa langkah dari rumah dia. Kini, semua penduduk kampung yang berada di situ memberi perhatian kepada aku. Jelas nampak muka mereka cuak terutama sekali Pakcik tu.
“Nampak apa ni Lil? Jangan bergurau kasar waktu senja ni.” Abi hanya senyum dan membaca sesuatu. Aku dapat lihat makhluk berkaki panjang tu menggelepur seperti kepanasan namun dia tak juga berganjak, budak lelaki tu bagai dibuai mimpi enak tidur di celahan kaki makhluk tu. Abi menghentikan bacaan dan melihat jam, semua yang berada di situ turut ternanti kesudahan. Azan Maghrib berkumandang, bersama langit yang semakin bertukar warna keorenan serta kicauan burung-burung beterbangan pulang ke sarang. Aku memusingkan kepala di bawah pokok mangga. Hilang. Makhluk tadi hilang, yang tinggal hanya budak lelaki tu yang masih ketiduran. Lalu aku menuding jari ke arah pokok mangga, berlari Pakcik tadi memeluk anaknya.
Pengalaman seterusnya berlaku ketika kami sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur. Rumah itu bukan rumah baru beli dan baru diduduki, tapi rumah yang sudah diduduki sebelum keluarga aku berpindah ke Felda kampung Umi aku dulu. Jadi, semua dah terbiasa dengan rumah tu kecuali aku. Sebab waktu tu aku masih bayi. Selain tu, aku dapat merasakan sesuatu yang tak enak di rumah tu. Abi sudah ‘memagar’ keseluruhan kawasan rumah namun aku masih dapat merasakan ‘kehadiran’ bendasing. Suatu hari, Abi, Umi dan Angah keluar untuk membeli barang asrama Angah untuk tahun depan. Aku enggan untuk mengikuti mereka sebab aku memilih untuk duduk di rumah dengan Kak Min dan menonton televisyen saja. Ketika ralit menonton rancangan di hadapan, telinga kiri aku disapa dengan nafas deras yang kuat sekali lalu. Laju aku menoleh, tapi tiada siapa.
“Kak Min! Kak Min kat mana?”
“Dalam bilik ni, kenapa?”
“Meh la sini teman Jane tengok kartun. Cepat la.”
“Okay…kejap.” Beberapa minit berlalu namun bayang Kak Min tak keluar juga dari bilik. Aku menjerit lagi memanggil kakak aku. Senyap. Aku bangun mencari Kak Min di dalam bilik tapi tiada siapa. Sewaktu aku menyelak kain langsir di pintu bilik, aku nampak Kak Min sedang duduk di sofa menonton televisyen. Aku duduk di sebelah Kak Min.
“Mana Kak Min tadi? Panggil tak nyahut.” soalan aku hanya dijawab dengan senyuman Kak Min. Dia cuma diam tak berkata apa. Aku endahkan saja dan menyambung tontonan. Semakin lama aku rasa tak selesa, aku rasa diperhatikan. Aku menoleh ke kakak aku. Ya, dia sedang memandang tepat ke dalam anak mata aku. Bulu roma merinding dengan tiba-tiba, lain rasa aura Kak Min waktu itu.
“Kak Min ni kenapa pandang macam tu. Seram lah dah macam hantu.” sekali lagi Kak Min hanya senyum. Aku baring di atas pangkuan Kak Min sambil menonton televisyen lalu Kak Min mengusap dan bermain dengan rambut aku. Masa berlalu, aku terlelap di atas sofa rupanya. Aku hanya terjaga bila terdengar deruan enjin kereta menandakan Abi,Umi dan Angah dah sampai. Aku bergegas berlari ke pintu dan keluar menyambut mereka. Aku nampak ada Abi, Umi, Angah dan…Kak Min.
“Kak Min dari mana ni?”
“Dari mana? Kak Min follow Umi Abi lah. Duduk rumah pun nak kene tengok kartun dengan kau je boring lah.” muka aku serta merta berubah pucat lesi. Umi terus memeluk aku erat.
“Kenapa ni Jane? Cuba bagitahu Umi.”
“Tadi Kak Min ada dalam rumah ni. Jane tengok TV dengan Kak Min, Jane tidur atas riba Kak Min.”
“Astaghfirullahalazim…”Abi tergesa-gesa masuk ke dalam rumah dan membaca ayatul Kursi. Malam itu juga, kami semua baca Yassin bersama-sama dan Abi memagar keliling rumah sekali lagi. Kejadian tu berlaku waktu siang, namun selepas pada itu Umi dan Abi melarang kami semua untuk tinggal bersendirian di rumah apatah lagi waktu malam.
-Bersambung-