Atuk dan Kebun Hitam

Aku Amar, berumur 16 tahun, tinggal di bandar. Tapi setiap kali cuti sekolah, aku akan dihantar balik ke kampung untuk tinggal bersama atuk seorang pekebun yang tinggal bersendirian di hujung kampung, jauh dari jalan besar, dikelilingi hutan dan kebun tua yang luas.

Rumah atuk rumah papan, usang tapi kemas. Di sekelilingnya terdapat dusun durian, rambutan, dan kebun getah yang luas. Tapi ada satu kawasan, di hujung kebun, atuk tak pernah benarkan aku jejak.

“Jangan pergi belakang pokok jering tu. Kawasan tu… keras,” kata atuk sambil pandang tepat ke mataku.

Aku angguk. Tapi sebagai budak remaja yang degil, larangan itu membangkitkan rasa ingin tahu.

Malam pertama, aku terdengar bunyi pelik dari luar rumah. Seakan bunyi cangkul, diikuti dengan suara perempuan menyanyi perlahan. Bila aku tanya atuk esok paginya, dia cuma balas:

“Bunyi kebun. Kau buat tak tahu je.”

Hari demi hari aku makin perasan perubahan atuk. Dia selalu termenung ke arah kebun hujung. Kadang-kadang dia bangun tengah malam, bawa lampu suluh dan turun ke kebun seorang diri.

Aku pernah ikut dari jauh, senyap-senyap.
Tapi bila aku sampai kawasan tu, atuk dah tak ada.
Cuma ada pokok-pokok tua dan satu kawasan tanah yang kelihatan baru digali.

Malamnya, aku demam panas. Dalam lena tak lena, aku nampak seorang perempuan berkebaya lusuh, rambut mengurai basah, duduk di birai katil aku.

“Dia dah janji tanam aku dekat sini… tapi dia mungkir.”

Esok pagi aku bangun dengan kesan tanah merah di tapak kaki.
Atuk cuma pandang aku tajam, dan cakap:

“Jangan campur hal orang m**i.”

Aku tahu… kebun ni sembunyikan sesuatu.
Dan aku tak sangka aku akan jadi saksi kepada sesuatu yang jauh lebih gelap.


Malam keempat aku di kampung. Atuk keluar seperti biasa, tapi kali ni… aku ikut jejaknya.

Dia menuju ke hujung kebun. Di situ aku nampak sebuah tanah kecil bertanda batu nisan tak bertulis.
Atuk berdiri lama di depan nisan tu, mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

Tiba-tiba, tanah di bawah mula bergerak perlahan.
Dari celah tanah, tangan kurus kering keluar… menggenggam tanah, merangkak keluar.

Aku hampir menjerit, tapi kaki terkaku.
Atuk cuma bisik:

“Kau masih nak tahu kisah sebenar?”

Atuk ceritakan semuanya.

Perempuan tu Mak Esah, dulu isteri atuk. Orang kampung kata dia pengamal ilmu hitam. Dia hilang secara misteri selepas dituduh menyebabkan kematian beberapa orang. Sebenarnya, atuk sendiri yang b***h dia, dan tanam di situ. Tapi sebelum m**i, Mak Esah sumpah akan bangkit selagi roh dia tak ditanam mengikut adat sebenar.

Sejak itu, atuk terpaksa buat “upacara” setiap malam Jumaat, bagi dia bertenang.

Tapi malam itu… makhluk itu tak mahu tenang lagi.

Mak Esah muncul sepenuhnya, tubuhnya reput, mata merah menyala. Dia jerit:

“JANJI KAU DAH LAMA PUTUS! AKU NAK D***H WARIS KAU!”

Aku lari, terdengar atuk melaungkan azan. Tanah bergegar. Pokok-pokok bergoyang kuat walaupun angin tiada.

Keesokan pagi, aku ditemui oleh orang kampung di tepi jalan besar berbogel, berlumur tanah dan luka di badan.
Mereka jumpa rumah atuk dah terbakar, kebun hangus, dan… tiada mayat dijumpai.

Kini, setiap kali aku tidur malam, aku dengar suara berbisik dari arah tingkap.

“Tanam aku ikut cara aku… atau kau yang aku tanam.”

Kebun hitam itu kini tinggal padang luas, tapi tak ada sesiapa berani jejak.
Sebab bila malam sunyi… suara cangkul dan nyanyian perempuan tua masih kedengaran dari arah hujung dusun.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jangan terlepas cerita terbaru.

Akan terus dihantar ke email anda.

We don’t spam! Read our privacy policy for more info.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.