Bahana Hafal Mantera

Assalamualaikum. Terima kasih kerana sudi memberi peluang saya untuk berkongsi sedikit pengalaman saya semasa bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri Perak pada awal tahun 90-an.Sekolah Menengah Sains Teluk Intan

Kisah ini bermula pada malam minggu iaitu hari sabtu dalam pukul 10, masa itu aku adalah senior tingkatan 5. Malam itu macam tiada aktiviti yang hendak dibuat. Jadi aku mengambil keputusan untuk turun ke bilik TV untuk menonton movie. Bila masuk ke dalam bilik TV, nampaknya tidak ramai budak yang lepak tengok TV. Maklumlah malam ini semua diberi peluang untuk melakukan acara bebas, sama ada hendak belajar atau hendak lepak-lepak.

Setelah lepak hampir 30 minit menonton filem “Roxenne”, tiba – tiba berlari masuk adik senior dalam keadaan pucat.

“Abang! Abang!”, jerit adik senior tu pada aku.

Marah juga aku bila saat santai aku itu terganggu. Lantas aku bangun dan hampir menyinga. Aku tenung muka adik itu.

“Apa hal? Kau tak nampak ke aku tengah layan TV?”, sergah aku pada adik senior.

Terkedu sebentar adik tu. Hilang sekejap kata-kata yang hendak dia sampaikan kepada aku. Setelah seketika barulah adik itu berani bersuara.

“Abang Kamal! Abang Kamal pengsan”, adik itu melontarkan kata-kata dengan cemas.

Ah sudah! Kamal tu tingkatan 4 dalam dorm saya. Tanpa berlengah, saya terus berlari naik ke bilik. Ramai sungguh budak-budak dalam dorm saya. Macam pesta. Saya terus masuk ke dalam bilik dan menyelinap dan akhirnya sampai ke tengah dorm. Kamal sedang dalam keadaan terlentang dan beberapa orang sedang pegang tangan dan kaki dia. Kamal kelihatan meronta ronta cuba untuk melepaskan diri.

Saya pun memberanikan diri untuk bertanya. “Kenapa pula dengan Kamal ni?”.

Lantas seorang budak pun menceritakan yang mereka terjumpa Kamal terjerit-jerit tidak sedarkan diri di bangunan sekolah. Jadi mereka tangkap dia dan bawa balik ke dorm. Disebabkan katil saya adalah katil single, jadi kami gunakan ianya sebagai tempat untuk menenangkan kamal.

“Arrgghhhhhhh!!!! Aku nak balik!! Aku nak balik!!”, itu sahaja yang dijeritkan oleh Kamal. Matanya dah jadi merah menyala, mukanya dah jadi bengis. Kaca matanya entah di mana hilang.

“Kau nak balik mana?”, aku beranikan diri bertanya.

“Aku nak balik ke rumah aku! Aku nak balik!”, jerkah Kamal pada aku. Tiba – tiba aku jadi meremang. Lain macam pula dengan Kamal. Tidak pasal – pasal hendak balik rumah.

“Mana rumah kau?”, aku cuba mencari kepastian.

“Rumah aku belakang masjid! Aku nak balik! Bapa aku tunggu aku!”, jerit Kamal sambil meronta-ronta.

Alamak! Seberang jalan sekolah saya ada sebuah masjid yang kami akan pergi setiap minggu untuk solat Jumaat. Belakang masjid itu kami tahu ada kubur dan kalau jalan depan sikit ada paya nipah. Lepas pokok nipah itu terbentang sungai Perak yang berarus deras.

“Siapa nama kau?”, tanya sahabat aku yang pegang tangan Kamal. Dengan mata yang merah, Kamal merenung sahabat saya dan mendengus.

“Zaid! Nama aku Zaid!”, Kamal yang kami kenali dah bertukar nama jadi Zaid!

“Kena panggil ustaz ni”, bisik kawan-kawan aku. Kami rasa Kamal dan kena kerasukan jin yang tinggal di kuburan belakang masjid. Alhamdulillah tidak sampai lima minit, cikgu Daud sampai. Selepas dibelek-belek cikgu Daud berdiri di sebelah Kamal.

“Lepaskan dia”, perintah cikgu Daud. Haaaa. Kami terkejut. Biar betul cikgu? Hati kami berbelah bagi.

“Lepaskan dia. Kita tengok dia hendak ke mana”, kata-kata cikgu Daud semakin keras. Seperti tahu yang kami tidak akur kepada arahan dia.

Dengan berat hati kamipun lepaskan tangan dan kaki Kamal. Tanpa membuang masa, Kamal bingkas bangun dan melompat dari katil saya. Tanpa membuang masa, dia terus berlari turun dari tingkat satu asrama terus berlari ke arah bangunan sekolah dalam kepekatan malam. Kami terpaksa lupakan rasa takut dan gerun dan mengejar Kamal. Waktu itu hampir jam 12 malam.

Sahabat saya bernama Wan merupakan pelari pecut dan pemain ragbi sekolah berlari mendahului yang lain. Akhirnya Wan dapat tackle Kamal di kawasan padang di belakang makmal sains. Kawasan ini gelap dan berhampiran dengan hutan kelapa sawit.

Sunyi sepi. Yang kedengaran adalah nafas yang turun naik. Kamal yang tadi berlari umpama lipas kudung sedang duduk terjelepok di atas rumput. Kami sungguh hairan, spek mata Kamal power dia dalam 500. Tapi malam itu dia dapat berlari dengan laju. Setelah tunggu hampir lima minit, cikgu Daud pun sampai.

“Kau cari sapa dekat sini?” soal cikgu Daud.

“Aku cari bapa aku,” balas Kamal. Kali ini suaranya sudah semakin perlahan dan lemah.

“Mana bapa kau? Ada ke di sini?” cikgu Daud cuba bertanya.

Kamal melihat ke kiri ke kanan dalam kepekatan malam.

“Tiada. Dia tiada di sini,” jawab Kamal perlahan. Cikgu Daud tersenyum.

“Bapa kau benci pada kau. Bapa kau marah sebab kau kacau anak orang,” cakap cikgu Daud dengan tenang sambil tangan memegang bahu Kamal.

“Baik kau balik dan minta maaf pada bapa kau. Kau nak balik?”, pujuk cikgu Daud. Kamal yang tadi agresif mengangguk lemah.

“Kalau macam tu baliklah,” perintah cikgu Daud.

Tiba-tiba Kamal jatuh dan tidak sedarkan diri. Kami mengusung Kamal balik ke dorm sambil diiringi oleh cikgu Daud. Apabila sampai di dorm, sekali lagi kamal dibaringkan di katil saya. Kami pasangkan kelambu dan kelihatan Kamal seperti tidur tidak sedarkan diri. Bila melihat keadaan sudah terkawal, cikgu Daud menyatakan hasrat untuk pulang ke kuaters guru. Kami mengambil keputusan untuk membawa turun tilam dan tidur beramai-ramai di lantai beralaskan tilam bujang.

Sedang kami bersiap untuk tidur, tiba-tiba Kamal mendengus. Kamal yang terbaring tadi tiba-tiba duduk dan menjerit – jerit. Dia menyatakan ada suara yang berbisik – bisik kepada dia untuk ikut ke belakang masjid. Melihat kepada gangguan yang datang balik, kami berlari turun ke bawah dan kami berasa lega bila cikgu Daud masih ada di bawah bersama-sama dengan warden asrama. Kami menceritakan apa yang berlaku kepada Kamal, tanpa membuang masa cikgu Daud meluru terus ke dorm kami. Cikgu Daud masuk dan duduk di sebelah Kamal dan mengajar Kamal membaca ayatul kursi sambil mengunci diri. Setelah usai membaca sebanyak 7 kali, Kamal kelihatan tenang. kami berharap ketenangan ini sampai ke pagi esok.

Setelah yakin tiada lagi gangguan yang datang. Kami beramai-ramai tidur di bawah. Akhirnya semua tertidur akibat keletihan. Malam itu agak sunyi sepi dari kebiasaan. Tiada bunyi cengkerik. Sedang saya nyenyak tidur, dalam jam 3 pagi saya terdengar bunyi bising di luar dorm. Bunyi suara orang menjerit-jerit, menengking-nengking dan berjalan mundar mandir depan dorm. Saya mengangkat kepala perlahan lahan cuba melihat di luar. Tapi tiada nampak kelibat atau bayangan. Hanya suara sahaja yang terdengar. Kamal kelihatan tidur dengan nyenyak. Begitu juga kawan-kawan saya yang lain. Suara itu masih lagi kedenganran di luar. Perlahan – lahan saya menarik selimut menutup kepala. Ada rasa hendak kencing tapi saya terpaksa tahan. Akhirnya saya pun tertidur. Bila azan subuh berkumandang, kami semua bangun untuk bersiap untuk solat subuh di surau asrama. Kamal masih lagi tidur.

Petang itu apabila melihat Kamal sudah kembali segar, saya cuba untuk mengetahui apa yang berlaku malam tadi. Kamal pun bercerita yang dia pergi ke kelas dia pada jam 9.30 malam unuk mengambil barang dia yang tertinggal. Sampai sahaja di kelas dia di tingkat 3 di blok A, dia nampak satu bayang putih di hujung blok C berhampiran dengan perpustakaan sekolah. Apabila Kamal pusing belakang, bayang putih tersebut sudah ada di belakang dia. Bayang putih itu memperkenalkan diri sebagai bapa Kamal. Tiba-tiba Kamal berasa sangat mesra dengan bayang putih tersebut.

‘Bapa’ Kamal mengajak dia berjumpa dengan ‘abang’ dia. Setahu kami, Kamal ini anak sulung dalam keluarganya. Semasa berjalan, bayang tersebut setiasa berada di sebelah kiri Kamal. Apa yang menghairankan Kamal, apabila menuruni tangga, bayang itu terus berada di bawah tanpa melangkah anak-anak tangga tersebut. Akhirnya apabila sampai di tingkat bawah, Kamal lihat ada satu susuk tubuh yang besar berdiri di tepi telefon awam. Lantas ‘bapa’ Kamal memperkenalkan ‘abang’ dia. Apabila bersalaman, masa itu Kamal terus tidak sedarkan diri.

Saya cuba korek lagi bagaimana mahkluk itu tertarik kepada Kamal. Setelah disoal bertalu-talu, akhirnya Kamal mengaku yang dia terjumpa satu buku dalam bahasa Inggeris di perpustakaan. Buku itu bertajuk ‘The Malay Magic’. Kamal mengakui yang dia menyalin beberapa mentera dalam buku tersebut dan mengamalkan. Setelah dia mengamalkan mentera itu dia diganggu oleh makhluk itu. Kami mengandaikan yang mentera yang dibaca oleh Kamal itu adalah mentera yang memuja atau ‘memanggil’ makhluk tersebut.

Pada hari Isnin keesokan harinya, kami berjumpa dengan cikgu Daud tentang buku tersebut. Buku itu telah dibawa keluar dari rak buku di perpustakaan dan disimpan hingga hari ini. Itu sahaja perkongsian dari saya. Banyak lagi gangguan di asrama yang akan saya kongsikan bila ada masa. Harap anda terhibur dan mengambil manafaat dari cerita di atas. Selamat malam.

SHAM

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 2]

31 thoughts on “Bahana Hafal Mantera”

  1. Ni citer tipu. Kamal black tu dah mmg syaiton gile. Budak2 dorm D4 time nih mmg perangai nokhorom. Syaiton pon takot. Celah mana nak kene rasuk nyer. Tetiba bopan jadi hero. Lagi lawak…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.