Blok 4 Vista Angkasa

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum semua peminat tegar Fiksyen Shasha, Apa khabar kalian semua dalam bulan yang mulia ini dan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Semoga rakan semuanya dalam keadaan baik-baik hendaknya. Nama aku ialah RYTCI, nama pena yang merupakan akronim ciptaan sendiri aku. Aku pernah menulis 2 cerita sebelum ini iaitu SESAT DI MIDVALLEY dan MASAK DI DAPUR. Kali ini aku kembali dengan 1 kisah misteri yang aku rasa agak menarik untuk aku kongsikan.

Cerita ini dialami rakan sekerja aku, yang aku beri nama Faizah kami rakan sepejabat di sebuah syarikat konsultan Menara OUA. Kami agak rapat, walau bukan “department” yang sama, sering keluar makan bersama. Keakraban ini membolehkan Faizah pada suatu hari berkongsi sebuah cerita yang buat aku terpaku mendengarnya. Kisah yang Faizah kongsikan bukan kisah yang berlaku di pejabat kami tetapi berkisar di rumah sewa yang Faizah menetap bersama 6 orang rakannya yang lain. Syani, Sofiyah, Idha, Tasya, Amaria dan Mizah. Nama-nama ini aku tukar sedikit agar tidak sama demi menjaga privasi rakan-rakan yang lain.  Pertama sekali aku mohon maaf jika wujud kekeliruan dari segi nama kerana aku cuba ceritakan sebaik dan sehampir yang mungkin dari penceritaan Faizah. Insyallah.

Apartment yang Faizah ceritakan ini cukup terkenal di sekitar Lembah Pantai, betul bersebelahan dengan LRT Universiti yang kini diberi nama glamour LRT KL Gateway. Vista Angkasa namanya. Ramai juga kawan-kawan aku yang sama belajar di Universiti Malaya dulu turut menyewa di sana. Faizah telah lama mengidam menyewa di apartment ini dek lokasinya yang cukup strategik bersama kemudahan pengangkutan yang memberi akses mudah untuk ke tempat kerja atau kemana sahaja dalam bandar Kuala Lumpur.

Mulanya setelah tawaran kerja diterima, Faizah mula mencari rumah sewa melalui iklan Mudah , Facebook dan pelbagai lagi. Namun rata-rata kebanyakan penyewa lebih gemar menyewakan bilik per kepala dari sebuah unit dek margin keuntungannya lebih berbaloi. Lokasi rumah juga tidak menepati kretiria yang dia mahukan. Rancangannya ialah mencari rumah kosong sebelum sewa dibuka pada teman-teman sekerjanya yang lain yang masing-masing kepincangan mencari tempat tinggal. Tengahari itu mesej Whatsapp masuk bertalu-talu. Rupanya mesej dari sahabat baiknya Tasya memaklumkan ada sebuah rumah kosong di Apartment Vista Angkasa melalui iklan FB.

Ibarat mengantuk disorongkan katil bantal, peluang terus diambil Faizah, hematnya sanggup mengeluarkan simpanan terlebih dahulu asal dapat masuk ke rumah. Tak sanggup lagi tinggal di flatnya sebelum ini di Pantai Dalam. Seringkali lif berbau hancing, entah siapa hilang akal membuang air di dalam lif, kadangkala hanya sebuah lif beroperasi sahaja, bekalan air kerap terputus, “tak larat lagi hendak mengadap”, bentak Faizah dalam hati. Semangat benar Faizah untuk melihat dulu rumah tersebut. Malam itu juga mereka kesana setelah temujanji melalui telefon dibuat.

Kelihatan susuk tubuh wanita dalam lingkungan 50an berbangsa Cina menunggu diluar rumah, diajak mereka masuk. Mereka orang pertama sejak rumah tersebut diiklanlan. Kasut tak perlu dibuka ujar Auntie yang peramah itu. Ditunjukkan ruang satu per satu. Ternyata rumah itu unit kosong dan tidak berpenghuni. Lantai pon terasa kesat tanda lama tidak dijejak sesiapa. Hanya ada meja makan bulat yang ada bulatan kaca boleh berputar di bahagian atasnya dan beberapa perabot asas seperti sofa dan peti ais kecil. Balkoni dibuka, angin menerpa masuk, tak sesegar udara di kampung disamping bunyi desingan nyamuk berkejaran di telinga. Tuan rumah Cina itu memaklumkan kali terakhir disewakan lebih setahun yang lalu. Penghuni lama lari tidak membayar sewa.

Auntie itu menceritakan ada masalah perebutan hak duit rumah sewa dalam ahli keluarganya, maka rumah itu dibiarkan setelah penyewa terakhir keluar, Faizah dan Tasya mengangguk memberi reaksi apabila bersemangat wanita Cina itu bercerita sambil mengiring mereka di setiap bilik. Suis setiap bilik dipetik, laju sahaja hidup tanpa berkelip macam dalam cerita seram. Tandas diperiksa, pam ditekan tanpa masalah, cuma dinding ada kelapuk halus tanda lama tidak digunakan. Rundingan harga terus diadakan dan akhirnya sebulat suara mereka setuju dengan syarat dan deposit yang ditawarkan Auntie tersebut, bersesuaian dengan bajet sewa mereka. Auntie peramah itu bersetuju mengenakan sebulan sahaja deposit, tersenyum mereka malam itu. Langkah kanan!

Gembira yang tak terkira dapat sebuah unit kosong di tengah bandaraya Kuala Lumpur, masing-masing berkira-kira merancang membeli kelengkapan rumah selepas ini dan beberapa hari selepas itu mereka berdua pon berpindah masuk. Namun masih tidak tidur disebabkan rumah belum dicuci. Tasya diberikan tugas mencari ahli rumah yang baru. Mereka bersepakat cuma tujuh orang sahaja boleh menghuni rumah ini. Tak terlalu sesak dan cukup bayaran bulanannya. Daripada dua orang kini penghuni bertambah lagi lima orang baru. Ditawarkan kepada rakan sekerja di pejabat Tasya dan rakan lama Faizah. Tawaran memang diterima bulat-bulat. Gigih masing-masing menyewa sebuah kereta, Faizah sendiri memandu ke setiap rumah sewa lama rakan-rakan barunya mengutip beg besar dan perkakas disumbatkan ke dalam MPV kecil itu. Mereka berpindah pada hari Jumaat petang, maka ada kelapangan untuk mereka membersihkan rumah. Lantai diberus, kipas dicuci, tingkap dibuka membebaskan segala hama dan habuk yang terperangkap hampir lebih setahun.

Malam itu semua tidur berhimpit di ruang tamu beralaskan Toto Narita yang baru sampai melalui online beberapa hari sebelum mereka masuk. Penat betul mengemas rumah, basuh tandas dan segalanya dicuci. Kerak-kerak di lantai ditonyoh sekuat mungkin. Kudrat anak dara ini mungkin tak segagah beberapa pemuda yang menjadi jiran mereka luah Idha ahli baru rumah ini secara tiba-tiba. “Belum apa-apa dah usha eh?” balas Faizah mengusik. Masing-masing cuba mengingat rupa jiran sebelah mereka ini. Boleh tahan juga bisik masing-masing. Usik mengusik menghiasi malam pertama mereka sebelum masing-masing berdengkur umpama motobot. Masing-masing cepat menyesuaikan diri walau ada yang baru mengenali sesama mereka.

Pagi itu sekitar jam 3-4 pagi, seorang lagi ahli rumah Amaria terjaga dan terkebil-kebil, tahu-tahu sahaja separuh badannya sudah di lantai jauh dari toto yang melapik dari kesejukan. Sejuk betisnya sambil digosok-gosok. Terkerut-kerut mukanya menahan rasa memulas-mulas perutnya yang hendak meletup. Segera menapak menuju ke tandas. Rumah ini mempunyai dua buah tandas, sebuah di luar, sebuah lagi di dalam Master Room atau Bilik Utama. Tandas di Master Room menjadi pilihan kerana lebih luas dan lebih bersih. Suis dipetik dan pintu dikunci.

Semasa Amaria sedang melabur dalam Amanah Saham yang bertalu-talu keluar. Baunya boleh tahan memedihkan lubang hidung, entah apa ditelannya petang tadi. Suasana hening kecuali bunyi paip air mengalir dikejutkan dengan bunyi tombol pintu dipulas-pulas dari luar. “Mesti yang lain pon sama nak melabur” bentak Amaria dalam hati sambil menjerit kecil “Pergi tandas luar lah wei”. Pulasan tombol berhenti dan kembali sunyi. Selesai program di dalam tandas, si Amaria terus bertatih ke toto kembali meletakkan kepala, dijeling rakannya yang tidur sambil tertanya-tanya siapalah rakannya yang nak merempuh masuk ke toilet tapi mengantuknya tidak ditahan lagi. Lena….

Esok paginya masing-masing bangun lewat, penat malam sebelumnya dibalas dengan tidur lena, semunya ralit menatap telefon sambil berhimpit atas hamparan toto, Amaria dengan suara serak bertanya. “Semalam sape yang sakit perut? Tak rilek betul, kacau betul aku dalam toilet” sambil ketawa kecil. Masing-masing menggosok mata dan menguap kecil tanda masih mengantuk walau matahari sudah tegak di kepala. Faizah segera menjawab malas “Entah, aku tido m**i, tak sedar langsung”. Yang lain senyap tidak mengaku. Amaria mematikan pertanyaan. Persoalan itu terus hilang dimatikan dengan jawapan acuh tidak endah Faizah.

Selang beberapa minggu..
Pagi itu Faizah bangun dari lena, puas betul tidurnya akibat dari makan ubat selsema pada malam sebelumnya. Badannya tidak berapa sihat, mungkin musim hujan yang tidak berhenti turun memberi kesan pada kesihatannya. Sempat dia ke klinik pada semalamnya dan mendapatkan cuti sakit. Tangannya menolak badannya perlahan dan memaksa bangun dari katilnya bujangnya lalu membuka pintu biliknya, dia menjenguk setiap bilik, semua rakannya tiada. Sunyi sepi hanya kedengaran ligat bunyi kipas yang lupa dimatikan rakan serumahnya. Faizah memetik suis satu persatu mematikan kipas, silap gaya mau melambung bil bulan ini. Sambil bermalas-malasan, Faizah kembali ke bilik, menanggalkan pakaiannya, mencapai tuala dan dikembankan lalu menuju ke bilik tidur utama untuk mandi. Memang tandas di bilik tidur utama menjadi tandas kegemarannya berbanding tandas bahagian luar.

Kesejukan air masih terasa menerpa dan berlari di tubuhnya walaupun waktu hampir tengahari. Sewaktu Faizah menggosok kepalanya yang dilimpahi buih secara tiba-tiba tombol pintu tandas dipulas-pulas laju seolah ada yang tidak tahan mahu masuk ke tandas. Tersentak Faizah! Nafasnya seakan terhenti, ligat kepalanya memproses sistem operasi otaknya, siapa gerangan yang memusing-musing tombol pintu itu yang dikunci kemas setiap kali masuk ke tandas. Peristiwa rakannya yang terlupa mengunci pintu ketika sedang membuang air besar cukup dikenang peristiwa bersejarah seluruh penghuni rumah beberapa hari lalu. Kepala Faizah kembali memikirkan, mana mungkin ada kawannya pulang seawal ini? Tambahan dalam group Whatsapp rumah tadi yang dibaca juga tiada sebarang makluman ada antara mereka mahu pulang.

Kebiasaannya mereka memaklumkan kerana kunci rumah terhad, tak sempat dibuat untuk setiap seorang. Rakannya juga rajin berinteraksi di dalam group rumah, kadangkala mengirim sesama sendiri, ada yang mahu air itu, ada yang teringin makan ini. Fikirannya kembali menerpa dengan pelbagai dugaan, terlintas di hati, entah-entah ada orang memecah masuk rumah cuba mencuri barang, entah rakan-rakannya lupa mengunci pintu, dalam keadaannya tanpa seurat benang sambil kepalanya masih dipenuhi syampu, Hani mencapai tuala mengikat kemas di badan genitnya. Dalam kepalanya ligat memikirkan siapa di luar tandas. “Kalau betul ada orang masuk, aku nk terus ke tingkap menjerit minta tolong sekuat hati” rancang Hani di dalam hati. Untung-untung ada guard Nepal yang meronda di bawah rumahnya .

Pintu tandas dipulas perlahan, smbil ibu jarinya menekan tombol agar bunyi kunci dilepaskan tidak kedengaran, pintu dibuka dan terhendap-hendap Faizah mengintai kiri dan kanan. Nekadnya akan menendang sekuat mungkin jika ada penceroboh, tak kisah apa yang mungkin dilihat penceroboh itu dengan Faizah sekadar dibaluti tuala, janji keselamatan diri tidak dikorbankan. Aneh, tiada siapa di luar bilik itu. Segera dicapai telefonnya yang dicampak tadi sebelum masuk tandas di atas katil bujang yang baru sahaja mereka beli. Katil terpakai tersebut dibeli oleh setiap seorang dan ditempatkan di setiap bilik menggantikan toto yang menyakitkan badan setiap kali bangun tidur. Untung sahaja murah dan kualitinya boleh tahan. Dengan telefon di tangan, Hani segera mendail rakannya Tasya sambil berjalan perlahan-lahan menjingkit ke arah bilik yang lain. Berdoa semoga kawan serumahnya lah yang cuba menerjah tadi.

Talian diangkat Tasya, “Haa Apesal? Ko Demam Macam Mana? Dah Makan Ubat?” Bertubi-tubi kawannya menanyakan soalan sebelum sempat membuka mulut. Faizah membalas perlahan ” Aku rasa ada orang masuk rumahlah, Ada orang dok pusing-pusing pintu bilik air masa aku mandi” meluahkan kepada sahabatnya. Hampir terjerit kecil kawannya di hujung talian.Talian terus dimatikan, Faizah tidak menemui sesiapa di dalam rumah. Pelik..

Tengahari itu hampir semua penghuni rumah pulang awal, Faizah duduk di meja makan dikelilingi rakan serumahnya. Takut, pelik, seram, semua perasaan itu seolah melompat-melompat mengelilingi mereka semua. Memang tiada siapa di rumah, pintu terkunci kemas bersama mangga tebal berkilat disematkan pada grill pintu. Mustahil ada orang masuk, kecuali macam cerita Korea yang mana ada seorang penjahat menyorok bawah katil pada setiap malam tapi katil mereka memang tiada ruang dibahagian bawah. Katil jenis rendah diperbuat dari kayu dari mana penjual itu dapat pun mereka tak tahu. Siling pula batu konkrit, balkoni memang terkunci rapat setiap masa disebabkan nyamuk suka singgah melalui balkoni. Ketika itu, barulah ada rahsia yang diceritakan, keluar segala rupa cerita yang sebenar dialami oleh penghuni rumah tersebut. Kejadian aneh tidak dialami oleh Faizah seorang sahaja hari itu.

Bermula dari rakannya Mizah membuka sesi luahan kisah mistik di rumah ini dengan sebuah kejadian aneh berlaku pada dirinya sendiri. Kurang jelas bila kejadian itu, cuma ketika itu waktu selepas tengah malam di bilik tengah. Rumah ini ada tiga bilik. Bilik utama atau Master Room dimana empat orang sebilik dan terletaknya tandas Faizah mandi dan diganggu dengan tombol pintu yang dipulas tadi, bilik tengah atau middle room yang menempatkan dua orang rakannya dah bilik single atau bujang yang menempatkan Faizah seorang tidur di situ. Berbalik semula pada kejadian yang diceritakan rakannya. Sewaktu itu dia sedang melayan mata sambil menerawang melayani mesej buah hatinya, tabiat Mizah ini pula suka tidur dengan bantal yang banyak tetapi kadang kala merimaskan dirinya sendiri. Jadi rakannya ini mencampakkan satu bantal ke bawah bucu katilnya bagi memberi ruang kepadanya untuk memusing-musing badannya. Esok akan diangkat kembali sewaktu mengemas dalam hatinya. Namun secara tiba-tiba bantal yang dicampak kebawah tadi dicampak semula seolah dilempar dari bawah mengenai perutnya.

Terkejutnya bukan biasa-biasa hingga tercabut kepala pengecas telefon daripada plug yang sedang memenuhi bateri telefonnya. Dijenguknya ke bawah siapa yang bergurau sedemikian. Tiada apa. Segera Mizah menoleh kepada satu-satunya rakan sebilik Sofiyah disebelah kiri katilnya. Elok je diulit mimpi. Takkan dia pula yang baling. Tambahan pula rakan sebiliknya bukan jenis yang suka menyakat atau bergurau. Memang jenis serius tiap masa. Cerita kejadian ini meremangkan semua orang yang mendengar. Nasiblah dia campak dari bawah, kalau dia campak dari atas, lepas tu nampak pula siapa yang baling mau esok jugak kawan ni balik kampung rasanya. “Kenapa ko tak cerita?” luah seorang lagi rakannya. “Aku takut korang semua takut, tu yang aku diam je, entah aku yg mengigau je agaknya”, balas Mizah perlahan sambil mengetap bibir. Semua terdiam dan suasana senyap sepi, macam malaikat lalu naik Virago.

Kemudian seorang lagi rakan serumahnya membuka mulut tentang kejadian yang tak kurang aneh, kisah ini berlaku sewaktu dia sedang melayan Netflix di ruang tamu. Katanya sewaktu kusyuk menonton Money Heist musim terbaru, dia terasa ada orang memandangnya dari arah dapur. Satu rasa di hatinya mengatakan memang ada orang dari arah situ. Perasaannya kuat benar. Dua tiga kali ekor matanya cuba melirik siapa walau sedang menonton, mungkin ada kawannya sedang makan aiskrim senyap-senyap depan peti sejuk. Lampu dapur dimatikan ketika itu, lampu ruang tamu juga sama kecuali lampu dari skrin televisyen sahaja yang samar- samar menerangi ruang tamu. Tetapi rakannya ini tetap merasakan ada sesuatu atau seseorang sedang memerhatikan cuma siri Money Heist lebih mendebarkan, perasaan aneh itu terus hilang apabila kawannya turut hilang dibuai lena dihadapan televisyen. Kisah ini diungkit kembali hari ini. Masing-masing melirik mata ke arah dapur. Meremang tengkuk!

Masing-masing mula terasa sesuatu apabila seorang demi seorang memperdengarkan kisah aneh didalam rumah mereka. Tiba-tiba salah Amaria mengeluarkan suara. “Haaaa korang ingat tak aku pernah tanya sape yang main-main tombol pintu toilet, dulu masa mula-mula kita masuk rumah ni”. Ligat masing-masing mula memproses otak mengingat kembali kejadian beberapa bulan berlalu. Ya masing-masing mengangguk setuju. Peristiwa sama seperti Faizah lalui hari ini. Masing-masing senyap berkerut dahi seolah memikirkan sesuatu. Sejak dari hari itu, masing-masing cukup kecut perut kalau berseorangan di rumah. Masakan tidak, hendak beli biskut dekat kedai mamak bawah pon sanggup ikut sekali asalkan jangan sesekali berseorangan di rumah. Ada yang sanggup mandi tak kunci pintu, asalkan tidak berulang kisah gangguan di tandas ini. Trauma masing-masing dibuatnya kali ini.

Hampir berapa ketika, tiada lagi perkara misteri yang dilaporkan berlaku selepas itu, boleh dikatakan hampir sebulan juga rumah itu tenang memberi sedikit kelegaan kepada penghuni rumah. Masing-masing mengharap gangguan ini segera berakhir. Namun harapan itu meleset sama sekali. Satu petang, lebih tepat waktunya selepas Maghrib, rakan serumah mereka, Amaria menerbitkan sebuah lagi kejadian aneh lagi menyeramkan kepada seluruh penghuni rumah malam tu. Sebelum itu untuk makluman pembaca FS , setiap rumah di blok ini mempunyai tingkap dari bilik bujang dan balkoni dapur membolehkan ruang dalam rumah dan dapur dilihat oleh sesiapa sahaja yang melalui koridor lebih-lebih lagi jika langsir atau tirai tidak diturunkan. Memang sesiapa boleh mengintai isi rumah tambah-tambah kalau lampu ruang tamu dibuka dan lampu bilik bujang ditutup.

Cerita si kawannya ini pula baru melangkah keluar dari lif di tingkat rumah mereka, rumah mereka memang bersebelahan lif. Tidak semena-mena rasa dia meremang dan d***h seolah beku ditekapkan ais ke muka apabila sewaktu menghampiri pintu rumah mereka, dia terpandang lembaga sedang berdiri di dalam ruang tengah rumah. Lebih menakutkan lagi ia memandang tepat menyeringai ke arah Amaria memperlihatkan rupanya seakan muka lelaki botak, baju seolah kain sekadar dibaluti, kulitnya hitam legam dengan taring yang panjang berselirat. Seolah memang sengaja memperlihatkan diri. Dipandang sepintas lalu dan Amaria terus berjalan tanpa berhenti di pintu rumah terus ke hujung koridor rumah. Menjejeh air matanya menangis sebab ketakutan yang amat sangat. Tersandar di tepi koridor,tiada siapa pula waktu-waktu ini yang lalu untuk diminta pertolongan. Amaria mencapai telefon di dalam saku seluarnya, talian diangkat, rupanya mereka ada di dalam rumah, masing-masing di dalam bilik baring bermalasan melayan perasaan setelah selesai mandi dan solat Maghrib. Suara tersekat-sekat menahan rasa takut meluahkan apa yang terjadi kepada Faizah selaku ketua rumah. Masing melihat aksi-aksi Amaria melenggok-lenggokkan tangannya bercerita mengenai kejadian itu. Satu rumah kembali tak senang duduk. Ingat lagi masing-masing tak lepas dari membaca surah Yassin malam itu. Cerita Amaria tentang rupa wajah lembaga itu betul-betul menakutkan semua penghuni. Semua seakan trauma kembali. Ikhtiar perlu dicari…

Faizah bercerita lagi, selang beberapa hari kemudian seorang dari penghuni rumahnya sempat menyapa salah seorang pemuda yang merupakan jiran mereka. Pertanyaan diajukan sewaktu kebetulan sama-sama mereka berjalan dari stesen LRT ke arah blok rumah mereka. “Awak, selama awak duduk sebelah rumah kami, ada tak dengar apa-apa cerita pasal rumah tu?” Pemuda hitam manis dengan lanyard CIMB yang sentiasa tersemat kemas di leher mengeluh lemah dan membalas, ” Rumah tu memang lama takde orang duduk, dari saya mula masuk dulu tapi kan…”, jawapan pemuda tersebut seolah dihentikan seketika seolah mengambil masa memikirkan ayat seterusnya. ” Kitorang biasa dengar bunyi dari rumah korang sebelum korang masuk lagi, macam sayup-sayup bunyi macam orang bergaduh tapi dalam bahasa yang kita tak faham, kadang tu ada bunyi orang bertukang masa nk subuh, kadang tu ada dalam pukul 2-3 pagi, kadang tu ada boleh dengar bunyi macam dinding kena ketuk dengan benda berat”. Berkerut kening kawannya mendengar jawapan ini. “Kenapa awak tak cerita dekat kitorang pon?” soalnya kembali pada pemuda. “Sebab awak tak tanya” balas jirannya pendek. Comel betul mendengar jawapan pemuda hitam manis ni, ada logiknya takkan nak cerita pasal hantu kat jiran yang baru masuk kan? Tersengih-sengih jirannya membalas soalannya.

Kejadian aneh dan misteri tidak berhenti setakat itu sahaja. Kadangkala jika Faizah atau rakannya di dalam tandas mereka kerap kali terdengar nama mereka dipanggil. Seolah-olah dipanggil di luar pintu. Mulanya mereka memang ingat dipanggil oleh rakan serumah tapi apabila ditanya tiada sorang pun yang memanggil. Kejadian dipanggil ini berlarutan hinggakan waktu tidur pun ada terdengar suara dipanggil sehinggakan mereka akan bertanya dalam group Whatsapp. “Ada sape2 panggil aku?” Jawapan balas ternyata diduga. Tiada siapa yang memanggil. Faizah pula kebelakangan ini tidak tidur sendirian di biliknya. Sanggup bersempit bersama rakannya Tasha di atas katil yang sama. Tak sanggup membayangkan muncul lembaga atau benda yang menakutkan tatkala berseorangan di biliknya.

Ada pula cerita seorang penghuni rumah (lupa siapa) keluar dari bilik mahu ke dapur meneguk air. Rasa haus membuak-buak sejak baring tadi. Hanya ada lampu dari tandas luar menerangi sedikit ruang hadapan. Pintu peti ais dicapai, diambil botol air lalu diteguk, bunyi air ditelan memecah kesunyian malam. Waktu keluar dari ruangan dapur kembali ke bilik rakannya ini terlihat kelibat seseorang baring di sofa ruang tamu. Pada hematnya mahu menegur kenapa tidak baring di bilik, dengan kipas tidak dibuka pasti nyamuk bersorak girang dapat menyedut d***h tanpa henti. Langkahnya mahu ke sofa terhenti seketika apabila terlintas siapa pula yang berani tidur berseorangan dihadapan. Langkahnya terus dibelokkan ke bilik tanpa melirik sedikit pun ke arah susuk tubuh tersebut. Laju ke biliknya, mahu saja dia menoleh tapi takut lain pula yang menjelma. Terus diceritakan kepada rakan sebiliknya. “Weh, ada orang tido kat sofa sorang-sorang”. Kawannya membalas dengan soalan. ” Sape?”. Entah, aku tak berani nak tegur, Bulu roma halus mula tegak, terus dihimpit badannya ke katil rakannya. Tidur berhimpit malam itu. Esok pagi rakannya mula bertanya kisah malam tadi. Semua menggeleng lemah. Pagi itu semua pergi kerja serentak!

Beberapa hari kemudian, ikhtiar dilakukan dengan merujuk bapa kepada Idha, bapanya seorang ustad di sekolah menengah merangkap imam sebuah masjid di Nibong Tebal. Atas faktor lokasi yang jauh, bapanya tidak dapat datang ke Kuala Lumpur tapi berjanji membantu dari jauh. Petang itu, Idha menyampaikan pesan pada mereka semua.Malam itu semua diminta tidur di dalam bilik masing-masing dan menutup pintu sementara si Idha sendiri berlegar-legar di ruang tamu menabur campuran garam kasar dan lada hitam yang dibeli petang itu di sekeliling bahagian rumah. Masing-masing memasang telinga dan memerhati bayang Idha dari bawah pintu, tertatih-tatih Idha keseorangan menjalankan kerja. Mungkin itu pesanan bapanya, yang lain akur tidak dibenarkan keluar.

Selesai sahaja tugasannya, giliran Idha pula masuk ke biliknya dan mengunci pintu. Biarkan bapanya menjalankan kerja dari jauh. Malam itu, masing-masing tekun memasang telinga. Ada bunyi seolah pinggan mangkuk di dapur berlaga, ada bunyi batukan orang tua, ada bunyi halus orang ketawa dan menangis sayup-sayup. Bunyi-bunyi itu seakan bergerak, sekejap seolah di dapur, sekejap seolah di ruang tamu, ada masa seolah betul-betul di depan pintu bilik. Entahlah bagaimana tabahnya Faizah yang berseorangan di dalam bilik bujangnya malam itu, semuanya berjaga hingga lewat pagi dan mereka berkomunikasi dalam group Whatsapp sahaja berbual tentang kejadian aneh ini. Idha pula membalas, “jangan sesiapa menegur atau cuba membuka pintu”. Masing-masing akur…

Pagi itu semua berkejaran ke tempat kerja tanpa sempat bertanya kejadian malam sebelumnya lebih lanjut. Namun Tasya membuka pertanyaan di dalam grup Whatsapp rumah ” Ayah ko cakap apa Da?”. Masing-masing menunggu Idha membalas, tak lama kemudian mesej masuk “Memang ada yang menghuni rumah kita dari dulu dan tak mahu keluar walau dipujuk cara halus dan kasar”. Masing-masing kelihatan typing. “Sape?” balas mereka. Idha menjelaskan dengan tenang ” Ayah aku cakap diorg duduk situ, ada yang “tinggalkan diorang kat situ”. “Diorg duduk kat mana?” seorang lagi bertanya. Faizah dengan cepat membalas, “ada yang duduk dalam tandas, ada yang duduk dekat dapur”. Masing-masing mengeluh….

Kali terakhir Faizah menceritakan kisah ini lebih seminggu sebelum Ramadhan. Aku tak sempat berjumpanya tuntutan kerja yang memaksa aku bekerja dari rumah sementara waktu. Nanti aku akan tanya apa pengakhiran kisah di rumah sewanya itu. Sama-sama kita doakan semoga Allah melindungi mereka dari gangguan jin dan syaitan

ُ”Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 1899)

RYTCI 8891
9 Mei 2020, 2.30 pagi..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

RYTCI

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

4 thoughts on “Blok 4 Vista Angkasa”

  1. Best betul kisahnya …panjang dan mantop ..gitu. …
    Doa aku semoga kesemua kawan Faizah satu rumah tersebut diberikan oleh Allah swt pertolongan dan dibukakan jalan dalam menghadapi masalah dari Juga Makhluk Almah swt berlainan dimensi ini …
    Merujuk kepada yang Pakar dan berilmu dalam hal ini adalah lebih Afdhol ….Insha Allah ..pasti Allah bukakan jalanya …
    Berzikirlah selalu …ingat Allah lah yang maha berkuasa ..mereka makhluk jua dan mereka kerja menyesatkan akidah dan melalaikan manusia …
    sila sambung …kisah yang menarik ni ..

    Reply
  2. Panjang..sampai tersasul nama..berhenti kat part amaria nampak hantu ke or kawan yg kat luar yg nampak lelaki kulit hitam botak tu

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.