Daging Pun Sedap Bahagian 2

BAHAGIAN 2

“Minum air ni. Bismillah…” arah Tina sambil menghulurkan gelas berisi air suam kepadaku. Wajahku pucat lesi.

Dengan rakus aku meneguk.

“Hei, pelan-pelanlah..” kalut Tina melihat kelakuanku. Ditepuk-tepuk belakangku agar tidak tersedak.

“Tina, aku nak keluar dari rumah ni. Aku takut..” rayuku. Tidak mahu rasanya aku berlama-lamaan di rumah itu. Cukuplah apa yang ku alami sebentar tadi.

“Haish kau ni. Nak keluar pergi mana malam-malam macam ni?”

“Mana-mana je. Yang penting bukan kat sini!” aku masih bertegas. Kalau terpaksa menyewa hotel pun aku sanggup. Duit PTPTN kan ada.

“Dah dah jangan mengarut. Cuba kau cerita kat aku apa yang terjadi sebenarnya.” Tina ingin tahu. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.

“Aku takut Tina. Tadi aku nampak ‘benda’. ‘Benda’ tu kacau aku.”

“Benda apa? Apa kau merepek ni?” berdiri bulu roma Tina.

“Tadi aku nampak ada perempuan merangkak atas syiling ni.”

“Astagfirullah…” berishtigfar panjang Tina dibuatnya. Bukan dia tidak mahu percaya, tapi mendengarkan perkara itu terus sahaja membuatkan dia meremang seluruh badan.

“Betul Tina! Sumpah! Dia panggil nama aku, lepas tu dia baring dekat bahu aku. Tu yang aku terkejut.” aku masih mahu meyakinkan Tina.

“Kau biar betul Jiah? Rumah ni kan kita dah ‘pagar’ masa kita pindah dulu. Lagipun tiada pula yang pernah mengadu diganggu sebelum ni. Kenapa malam ni…” Tina dah cuak.

“Kau tak percaya kat aku ke? Kau kan tahu aku bukan jenis yang mereka-reka cerita macam ni.”

“Bukan tak percaya Jiah. Hmm.. takpelah malam ni aku teman kau tidur eh?” pujuk Tina. Aku tahu dia pun bukan berani sangat. Tapi kuranglah sikit rasa takut yang bersarang kalau berteman.

DUK! DUK! DUK!

Kedengaran bunyi pintu seperti diketuk.

Kami berdua berpandangan. Aku kembali pucat. Tina pula menelan liur.

“Sueeee…” panggil Tina. Katanya masa dia dan Sue sampai tadi, dia yang bergegas masuk terlebih dahulu setelah mendengar aku terpekik. Tapi kemana Sue?

“Sue balik dengan kau ke tadi?” aku menagih kepastian.

“A ah. Takkan dia tak dengar kau teriak kut.” Tina cuba menyedapkan hati.

DUK! DUK!

Masih kedengaran bunyi yang sama.

Tina bangun. Dia memberanikan diri untuk mencari arah bunyi itu datang. Sepertinya dari luar bilik.

“Tina, aku takut.”

“Takpe, aku ada ni. Jum kita tengok.” Tina cuba menenangkanku.

Seperti lagak pencuri, kami perlahan-lahan menapak keluar dari bilik.

“Arghhhhhh!!”

Tak semena-mena aku berteriak. Tanganku spontan menekup wajah.

“Ya Allah, Sue! Kau buat apa tu?!” Tina turut terperanjat. Sue sedang menghantukkan kepalanya di pintu bilik Tina, bersebelahan bilikku. Mata Sue terbuka. Namun reaksinya kaku. Seperti sleep walking perlakuannya.

Tina menoleh ke arahku. Hairan melihat aku sedang menggenggam erat bajunya.

“Kau kenapa ni Jiah?!” Tina turut merasa seram.

“P..pe..perempuan tu..”

“Perempuan? Siapa? Sue ke?” tanya Tina lagi.

“Pe..pe..rempuan yang merangkak tu. Dia te..te..ngah hentak kepala Sue ke pintu.” tersekat-sekat suaraku menahan takut. Memang itu yang aku nampak masa keluar dari bilik tadi. Muka ‘benda’ tu memandang tepat ke arah ku sambil tangannya menghantuk kepala Sue ke pintu. Seram!

“Ya Allah..” Tina sudah tidak dapat menahan rasa takutnya lagi. Dilihatnya Sue masih berpelakuan sama. Tapi dia tidak nampak perempuan yang diperkatakan olehku.

“Sue..Sue kau dengar tak ni? Ya Allah Sue..” Tina cuba untuk menyedarkan Sue. Tapi tiada respon.

Dengan segera Tina mengeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor ustaz Shafiq yang merupakan pensyarah kami di kolej. Beliau sangat berpengetahuan dalam ilmu agama. Kami perlukan bantuannya.

“Hello..” kedengaran suara Ustaz Shafiq di hujung talian.

“Ustaz. Tolong kami ustaz.. kami ‘diganggu’…” rintih Tina.

“Assalamualaikum Tina. Cuba ceritakan dekat saya apa yang berlaku.”

“Walaikumsalam. Maaf ustaz. Tadi masa saya balik ke rumah saya dengar Jiah terpekik. Dia cakap dia nampak perempuan merangkak. Dan sekarang ni Sue pulak ‘diganggu’. Macam mana ni ustaz? Tolong kami..” rayu Tina.

“Bawa bertenang, kamu jangan risau. Dalam 5 minit saya sampai. Saya nak kamu baca ayat Kursi dan tiga Qul. Ingat, jangan sesekali berhenti dan pastikan Sue tak kemana-mana.” arah ustaz Shafiq.

Untung bagi kami, beliau hanya tinggal beberapa blok dari rumah yang kami sewa. Tapi untuk menantikan lima minit itu berlalu, terasa seperti lima tahun lamanya.

“Baik ustaz.” talian dimatikan. Tanpa membuang masa kami terus membaca ayat Kursi dan tiga Qul dengan kuat. Terkumat kamit bibir kami.

Mendengarkan itu, Sue serta merta menghentikan perbuatannya. Hidungnya kembang kempis menahan marah sambil mengeluarkan bunyi dengusan yang keras.

“Kau baca apa tu hah?!” Tempelak Sue. Garau betul suaranya.

“K..kami baca ayat Kursi Sue.. Kan kita selalu baca ayat ni sebelum tidur. Sue baca sekali ya?” Tina memberanikan diri walaupun bulu romanya sudah menegak.

“Aku taknak! Aku tak suka! Panas tau tak?! Aku nak korang berhenti sekarang!!”

“Astagfirullah Sue. Bawa mengucap. Ingat Allah Sue.” Tina tahu yang berada di depannya sekarang bukanlah Sue. Dia sudah dirasuk.

Aku yang melihat situasi itu terus menundukkan kepala. Tidak berani memandang ke arah Sue. Namun bibirku masih setia membaca surah suci. Hanya itu pendinding yang bisa melindungi kami saat ini.

“Aku cakap berhenti! Kau tak dengar ke hah?!!!” Sue memegang kepalanya seolah-olah sedang dalam kesakitan. Tudung yang tadi rapi di kepala juga sudah senget ke kiri. Persis orang tidak siuman.

“Tina aku takut..” aku segera berundur ke belakang. Menggigil seluruh tubuhku. Kalau bukan kerana setiaku pada sahabat, sudah lama aku mengambil langkah seribu.

Namun kulihat Tina tidak berganjak. Dia tidak mahu tunduk. “Jangan berhenti baca! Teruskan. Kita kena tunggu sampai Ustaz Shafiq datang.” arah Tina tegas. Sue pula semakin tidak senang duduk. Wajahnya berubah bengis.

“Aku cakap berhentii!!!!!” tanpa amaran, Sue meluru ke arah kami dengan tangan didepakan ke hadapan seperti mahu mencekik.

Aku dan Tina terpekik dek terperanjat dan terus berlari ingin keluar dari rumah.

“ALLAHUAKHBAR!!!!” laung ustaz Shafiq yang tiba-tiba muncul di depan pintu rumah sambil merenjis sesuatu. Mungkin air yang sudah dibacakan ayat suci.

Meraung Sue tatkala air itu terkena wajahnya. Bunyi yang dikeluarkan sungguh mengerikan. Seperti lolongan binatang yang sedang kesakitan dan meminta pertolongan.

“Aaaaaa…Sakitttttt!!”

Lantas, tanpa dapat diterima logik akal dan hukum graviti, tubuh Sue yang sedikit gempal itu melompat ke atas siling yang tinggi lalu merangkak laju ke penjuru dinding. Gila! Sebiji macam dalam filem Ju On!

Ustaz Shafiq yang baru sampai juga turut terkejut. Selama dia hidup di muka bumi Allah ini, tidak pernah lagi dia melihat kes sekronik ini. Iblis apakah yang merasuk Sue?

“Hssss… Hssss..” Sue mengeluarkan bunyi dengusan yang menyeramkan. Berat bunyinya namun halus di pendengaran. Wajahnya kini bukan lagi wajah Sue. Tapi wajah makhluk yang aku lihat merangkak tadi.

Rambutnya menggerbang menutup hampir seluruh wajah. Yang kelihatan hanyalah mata yang merah menyala. Makhluk jenis apakah itu? Jerangkung? Pontianak?

“Sue…” Tina sudahpun teresak-esak menangis. Begitu juga aku. Sedih dan takut bersilih ganti. Harapan kami kini hanyalah ustaz Shafiq.

Bersambung…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jenja

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

2 thoughts on “Daging Pun Sedap Bahagian 2”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.