Datuk Gong

Salam sejahtera kepada admin dan semua peminat tegar FS. Ni hao. Semoga kita sentiasa dilindungi oleh Tuhan.

Aku S, ah moi yang pernah mencoretkan sebuah karya sebelum ini bertajuk “Misteri Spirit Medium Cina”. Masih ingatkah bersama aku?

Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi komen. Aku betul-betul tak sangka bahawa karya aku mendapat sambutan dari orang ramai dengan penuh terbuka….

Sekali lagi kita bersua muka tetapi bukan untuk menyambung kisah yang dicoretkan sebelum ini tetapi untuk membuka topik yang baru.

Kepada yang menginginkan sambungan untuk karya sebelum ini, aku nak mintak maaf dekat korang sebab aku tak dapat nak melakukannya. Sumbernya sudah ada di depan mata tetapi apabila ingin merungkai rahsia-rahsia spirit medium, ianya akan mengundangkan perasaan yang tidak disenangi. Oleh itu, aku tidak boleh menyambung coretan tersebut.

Kali ini aku ingin berkongsi tentang “Datuk Gong”. Haaa siapakah beliau?

Dikalangan orang cina, beliau dikenali sebagai Datuk Gong manakala di kalangan orang melayu pula, beliau dikenali sebagai Datuk Keramat.

Datuk Gong, atau juga dipanggil Na Tuk Kong, merupakan semangat ataupun penunggu tempatan yang disembah oleh masyarakat cina di negara kita.

Istilah Datuk Gong merupakan kombinasi panggilan hormat yang diambil dari bahasa cina dan bahasa melayu.

Sebelum kedatangan agama Islam di Tanah Melayu, dengan kepercayaan animisme pada masa itu, orang melayu menyembah semangat atau penunggu yang tinggal di pokok, batu dan tempat-tempat yang mempunyai keganjilannya tersendiri.

Namun kepercayaan ini, terutamanya dalam masyarakat melayu, mulai terhapus apabila fatwa dan mufti mengharamkan serta melarang amalan tersebut daripada berleluasa kerana ianya amalan khurafat. Tinggallah kepercayaan ini dalam kalangan masyarakat cina. Disini, bermulalah konsep menyembah penunggu melayu tempatan.

Ya. Betul tu. Datuk Gong merupakan penunggu tempatan yang berbangsa melayu.

Kepercayaan ini disalah fahamkan oleh sesetengah orang di Malaysia dimana mereka mengganggap Datuk Gong sebagai salah satu tuhan cina. Tetapi disebaliknya, kebanyakkan Datuk adalah penunggu melayu yang mendiami di pokok, besut, gua dan di batu yang unik rupanya.

Datuk Gong, pada asalnya merupakan manusia yang mempunyai pangkat mahupun darjat dalam kalangan masyarakat. Mereka terdiri daripada tokoh masyarakat setempat, pemimpin yang disanjungi ramai, pengamal perubatan traditional, orang – orang alim, orang yang mempunyai ilmu silat mahupun pendekar melayu. Ada sesetengah orang berpendapat bahawa Datuk Gong merupakan pahlawan melayu yang tersohor pada zaman dahulu iaitu Hang Tuah.

Terdapat sembilan jenis Datuk. Masing-masing merupakan pahlawan yang gagah ataupun individual yang mahir dalam seni silat. Mereka juga dikhabarkan untuk memilikki kuasa sakti.

Disenaraikan dibawah nama sembilan Datuk itu mengikut pangkat senior dari yang paling sulong kepada yang bongsu.
1. Datuk Panglima Ali
2. Datuk Panglima Hitam
3. Datuk Panglima Harimau
4. Datuk Panglima Hijau
5. Datuk Panglima Kuning
6. Datuk Panglima Putih
7. Datuk Panglima Bisu
8. Datuk Panglima Merah
9. Datuk Panglima Bongsu

Korang pernah nampak tak, kadang-kadang ditepi jalan ataupun di bawah pokok ada tokong kecil yang berwarna merah ataupun kuning keemasan? Pernah tak korang tertanya-tanya apakah benda tersebut? Itulah tokong yang menempatkan Datuk Gong. Penduduk di sekitar kawasan tersebut akan menyembah Datuk Gong itu.

Bukan itu sahaja, kita juga boleh mempelawa Datuk Gong ke rumah kami tetapi tokongnya, bersama dengan patungnya, perlu diletakkan diluar rumah. Tak boleh di dalam rumah. Sebab tu, di sesetengah rumah orang cina, korang boleh lihat tokong merahnya di luar rumah.

Manakala di tokong cina, selalunya tokong Datuk Gong boleh dijumpa diluar bangunan utama tokong, sama ada di mezbah miliknya sendiri ataupun di tokong kecil yang khas untuknya. Hanya di tokong yang didedikasi kepada Datuk Gong, patung atau tabletnya akan ditempatkan di mezbah utama.

Apabila kehadiran Datuk Gong sangat dirasai di sesuatu kawasan, kuil merahnya yang kecil itu akan diubahsuai kepada kuil yang lebih besar dan cantik terutamanya apabila penduduk di kawasan tersebut berpendapat bahawa Datuk tersebut sangat berkuasa.

Bagi tokong Datuk Gong yang dibina pada zaman dahulu, boleh dilihat pada seni bina tokong, unsur-unsur melayu dan Islam seperti bulan sabit dan tulisan jawi. Di dalam ruangan kecil itu, terletaknya patung Datuk Gong.

Biasanya, tokong akan dihiasi dengan barang-barang yang mempunyai kaitan dengan Datuk dan kedudukannya sebagai penunggu melayu. Contohnya baju melayu, kain pelikat, songkok serta keris dan tongkat rotan. Semua barang ini akan diletakkan disebelah patung Datuk Gong.

Penyembahan kepada Datuk Gong di sesuatu tempat hanya bermula apabila seseorang didatangi oleh Datuk Gong dalam bentuk rohaninya. Biasanya, Datuk Gong akan menjelma sebagai harimau putih atau seorang lelaki tua yang berpakaian serba putih.

Datuk Gong boleh digambarkan dengan pelbagai rupa. Antaranya ialah sebuah patung yang menyerupainya, tulisan namanya pada tablet dan bendera-bendera yang menandakan kehadirannya.

Patung Datuk Gong menyerupai seorang lelaki melayu yang berbaju melayu, berkain pelikat, bersongkok atau berkopiah dan kebanyakkannya memegang keris sebagai alat kebesaran orang melayu. Ada juga Datuk Gong yang mengenakan pakaian serba kuning, menunjukkan kaitnya dengan kerabat diraja.

Alat-alat yang diperlukan untuk sembahyang terdiri daripada sepasang lilin, beberapa batang colok dan kemenyan.

Makanan yang akan dihidangkan kepada Datuk mestilah makanan yang halal. Ini termasuk cara penyembelihannya. Oleh itu, makanan yang tidak halal seperti daging khinzir adalah dilarang sekali. Minuman yang memabukkan seperti arak juga tidak boleh dihidangkan kepadanya.

Orang yang menyembah Datuk Gong akan meminta darinya perlindungan, kesihatan yang baik dan juga tuah. Kadang-kadang juga, orang akan meminta pertolongan darinya untuk menyelesaikan masalah mereka yang tertentu. Ini boleh dilakukan apabila spirit medium menjemput Datuk Gong untuk merasuki badannya. Apabila spirit medium di dalam trance, dia akan bertutur dalam bahasa melayu, al-maklumlah Datuk Gong pun penunggu melayu.

Terdapat juga versi wanita buat Datuk yang dikenali sebagai Datuk Nenek ataupun Na Tuk Nai Nai.

Aku faham bahawa topik kali ini sangat sensitif kerana ianya melibatkan agama dan budaya dari kaum yang berlainan. Tetapi aku disini hanya ingin berkongsi tentang kebudayaan kita. Kepercayaan Datuk Gong merupakan sesuatu yang unik di Malaysia dimana ia adalah gabungan kepercayaan masyarakat cina dan kepercayaan masyarakat melayu. Kepercayaan ini tidak akan dijumpai di negara lain seperti China.

Apa yang baik kita amalkan, yang buruk kita hindarkan.

Because of this uniqueness, that’s what makes us truly Malaysia.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

S

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 5]

9 thoughts on “Datuk Gong”

  1. Ya…ada kat selangor tokong yg mengandungi patung sultan abdul samad. Maaf, itu sangat syirik bagi kami pembaca yg beragama Islam.

    Pernah juga nampak ‘shrine’ di luar pagar sebuah rumah cina, yg patung di dalamnya pakai baju melayu dan tengkolok.

    Reply
  2. Minta penulis banyakkan lagi penulisan mcm ni..so that we from other races n religion could understand more about others’ believes…keep it up!

    Reply
  3. Mostly kita bole tgk ni kat klang.. and ada sesetengah orang yg x aware psl mix culture ni akan ingat ni antara satu provokasi…

    Reply
  4. Bagus cerita ni bg pendedahan tentang kepercayaan agama lain. So, nnt tak timbul salah faham. Nnt ingat provokasi pulak padahal itu kepercayaan diorg. Kita as muslim kena pandai bezakan la. Sbb tu kena ada ilmu. “Bagimu agama mu dan bagi ku agamaku” Quran 109:6.

    Reply
  5. Saya mewakili seluruh umat islam menyeru semua pembaca nonmuslim supaya mempelajari dan mendalami kepercayaan berugama masing2 tentang kebenarannya krn sesungguhnya hanyalah islam sahaja satu2nya ugama yg diredhoi oleh Allah swt dan tiada tuhan lain selain Allah swt. Tujuan saya menyampaikan pesan ini bertujuan utk menjalankan tanggung jawab kami sebagai umat islam agar tidak dipersalahkan diakhirat kelak apabila kamu dipersoalkan oleh Allah swt kenapa tidak mahu menerima islam sebagai ugama kamu. Harap pelajarilah ugama anutan kamu dan bandingkanlah dengan islam melalui pemahaman terhadap ayat2 dalam al quran krn sesungguhnya segala kebenaran itu ada didalamnya. Semoga kita menjadi saudara seugama, InsyaAllah. Amin.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.