Dia Datang

Petang itu abangku Ibrahim mengajakku untuk ke hospital. Isterinya baru sahaja bersalin anak ke tiga. “Nak bagi surah Yaasiin” katanya. Aku pun bersiap-siap, segera mengikutinya naik ke dalam kereta. Aku duduk di bahagian hadapan, anaknya Ijam duduk bahagian belakang. Ijam baru berusia tujuh tahun.

Kami sampai di hospital lebih kurang pukul 6.15 petang. “Budak tak boleh naik. Kau tunggu Ijam kejap ya dalam kereta..” kata abangku.
Aku mengangguk sambil mataku melihat abangku berlalu pergi. Ijam diam sahaja di belakang. Aku ingatkan dia tertidur tapi matanya memandang ke arah pokok-pokok rendang yang ditanam berdekatan kawasan letak kereta itu.

Setengah jam berlalu. Hampir pukul 7 malam abangku masih belum turun. Tunggu masa melawat habis agaknya! Fikirku. Tiba-tiba aku terdengar bunyi ketukan di cermin. Aku segera menoleh. “Ijam main cermin ke?” tanyaku. “Tak, maksu…”
Kemudian, kami sama-sama memandang ke hadapan semula.
Bunyi lagi ketukan yang sama.
Aku tengok Ijam. Dia menunjukkan muka hairan. “Ijam tak ketuk cermin, maksu” katanya tanpa ditanya.

Tiba-tiba dadaku berdebar. Tidak lama kemudian, abangku pun kembali ke kereta dan kami pun pulang tanpa ada perkara-perkara yang pelik.

Malam itu aku tertidur awal kerana keletihan. Di sebelahku ialah ibuku; kami berdua tidur di ruang tamu. Mak menghadap ke dinding sementara tilam aku pula dekat dengan pintu bilik. Mak suka menutup lampu kerana katanya tak boleh lelap kalau cerah sangat.

Dalam nyenyak tidur, tiba-tiba aku terjaga. Entah kenapa aku terasa ada orang sedang merenung aku. Mataku segera tertancap pada jam dinding. Pukul 2.45 pagi. Aku berkalih baring menghadap ke pintu bilik.

Allahuakbar!!

Dadaku berdebaran kencang rasa hendak pecah! Terlihat di pintu bilik itu seorang wanita, bermuka pucat, memakai tudung berwarna putih kumal dan baju hijau hospital duduk memandangku. Dia menatapku dengan wajah sedih. Aku tak tahu hendak bereaksi bagaimana. Perlahan-lahan aku mengubah posisi ke arah mak.

“Mak! Mak!…” ku panggil ibuku perlahan.
“Humnnn….humnnnn…” Nampaknya mak terlalu mengantuk.
Peluh sudah memercik di dahi. Aku tidak berani hendak bangun. Takut kalau-kalau wanita berbaju hijau itu mendekati.
“Makkk….oooo makkkk…” aku memegang lengan ibuku. Malangnya mak terlalu nyenyak tidurnya!
Aduh, bagaimana ni?

Jarum jam saat terus bergerak. Tapi aku rasa terlalu perlahan. Baru pukul 2.55.
Aku mula membungkuskan diri perlahan-lahan dengan selimut.
Aku menutup mata rapat-rapat. Pelbagai ayat Quran yang dihafal aku baca dalam hati.
Suasana makin sepi.

Selama sejam setengah aku jadi kaku takut hendak bergerak.

“Mak…mak…subuh dah mak” aku menggerakkan ibuku agar dia bangun. Biasanya kalau mak dengar perkataan subuh, bingkas dia bangun. Mak hendak solat di masjid.
Tapi malangnya mak masih lena. Aduhaii…

Alhamdulillah, tidak lama kemudian bunyi krokk krekk krokkk krekk mikrofon imam dari masjid di hadapan rumah kedengaran. Seperti kebiasaannya, akan ada kedengaran bacaan ayat-ayat suci al Quran dialunkan menerusi kaset.
Mak terjaga dan bingkas dia duduk di atas tilam.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. ” Awal kau bangun” katanya mak kepadaku.
Aku tersenyum tawar.

Mak melipat selimut dan tilamnya lalu masuk ke dalam bilik.
Wanita berbaju hijau sudah tidak kelihatan. Debaranku surut. Tapi seraut wajah pucat dan sedihnya masih aku ingat.

” Tu kan tapak rumah mayat…” kata kakak sulungku ketika aku ceritakan perkara yang terjadi. Memang abangku memakir kereta di tapak rumah mayat dan berdekatan pula dengan bangunan wad bersalin.

Mungkin ada yang mengikut kami balik?
Selepas “dia” mengetuk cermin kereta dua kali tanda ingin masuk?
Aku tak dapat membayangkan bahawa “dia” bersama-sama kami mengikut pulang.
Aduh!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Gee Akil

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 34 Average: 4.3]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.