#EDI – PELESIT KAMPUNG BAGAN

Ini kesinambungan dari kisah ‘Makcik Kemban’. Jenuh aku nak recall balik apa yang berlaku malam tu. Lalu diolah supaya jadi ringkas. Moga admin dapat release dengan segera sebab depa dok tunggu dah nu…tak sabaq dah! Tq admins and all readers. Selamat membaca.


“Makin menjadi ni. Semalam Latip nampak benda yang sama kat belakang rumah kita. Macam yang budak-budak tu nampak. Lepaih tu Siti pun kata ada nampak jugak” Ujar ayah aku waktu bersarapan pagi dengan mak kat dapur.

“Ana bagitau dah hari tu. Siti berlari mai ke dapoq. Dia kata ada orang tua dok berkemban kat bilik mandi.” Mak dan ayah sentiasa membahasakan diri depa ‘ana’ dan ‘kita’. Ana maksudnya saya, ‘kita maksudnya kamu. Kepada yang dah baca kisah Jin Pendamping Jan depa tau la hal mak ayah aku ni.

Perbualan antara mak dan ayah ni berlaku seminggu selepas kami 3 beradik terserempak ‘Makcik Berkemban’ kat kebun nyok. Untuk makluman, telur aku sihat dan selamat…jilake gelak lebih-lebih hampa nih.

Di pagi kejadian tu, ayah pulang ke rumah menjinjing baldi merah yang tertulis nama abang Ngah. Ayah kata nampak kain sarung terbelah dua kat tengah jalan tapi taktau sapa punya. Lepas mak cerita habis kat ayah baru ayah tau yang itu kain anak dia, abang Long aku.
Aku yang sedang bertinggung bagi makan ayam kat belakang terus memasang telinga nak tahu isi perbualan mak dan ayah.

“Tak boleh biaq ni. Kalau ada yang hantaq kita kena buang. Biaq lama-lama nanti lagi mengacau.” Kata ayah pada mak.

“Buat la macam mana pun. Ana bukan apa, anak-anak tu sampai tergolek tertungging tengah jalan. Takut patah riuk depa tu.”

“Nanti la ana pikiaq. Ada la cara dia. Esok ana nak pi Perlis sat, nak jumpa guru ana. Kita jaga anak-anak. Petang esok jugak ana balik”

“Pi jumpa sapa sampai Perlis nu?” Tanya mak dengan mata terbeliak, risau dia bila ayah nak keluar jauh.

“Lebai Din, Bohor Mali. Ana pi dengan Haji Kob, naik kereta dia.” Jawab ayah. Aku yang dari tadi dok pasang telinga dah siap tercegat depan pintu dapur.

“Ayaaahhh…ikut!”

“Tak payah. Dok rumah dengan abang-abang jaga Mak dengan Kak Ti.
Cissssss………baru nak merasa naik kereta Datsun Buah Kana. Kecewa aku. Bukan selalu dapat merasa naik kereta!!!

Petang tu, aku join Along dan Angah berborak dengan Kak Ti. Depa dok soal siasat Kak Ti. Rupanya Kak Ti pun pernah terserempak makcik tu kat bilik mandi sebelum kami terserempak kat kebun nyok lagi.

“Masa tu aku nak pi jamban,lepas maghrib. Aku nampak dia dok berdiri tepi pokok cermai. Ingatkan Makcik Suri bini Pak Latip mai amik buah cermai. Tapi bila dia berkemban, kurus pulak, aku tak rasa tu Makcik Suri. Makcik Suri tu badan ‘nalaa’ punya tong drum.” (‘nalaa’ tu slang penang, nak menggambarkan sesuatu yang luar biasa)

Wah waaahhh…..sedap dia kata badan orang macam tong drum. Rambut dia macam penyapu roman tu dia tak ingat!

“Aku dengaq ayah dok bersembang dengan mak kat dapoq semalam. Ayah kata, tu pelesit.” Kata Angah.

“Pelesit tu apa?” Soal aku. Sumpah masa ni 1st time aku dengar nama pelesit. Sebelum ni yang aku tau langsiaq, toyol, hantu raya, hantu galah, hantu pokok pisang, hantu komkom, hantu tetek.

“Pelesit tu macam hantu raya jugak. Jin yang orang bela. Hantu raya tu jantan, yang bela pun jantan pasai hantu raya ni rajin buat kerja. Pelesit ni betina. Yang bela pun pempuan, keja dia pun macam pempuan jugak….membawang!” Begitu kata abang Long menerangkan biografi makhluk jin dua ekor ni. Entah betul ke tak aku pun taktau. Dia ni kadang-kadang konfiden lebih.

Keesokan harinya, bagai yang dikatakan ayah, lepas subuh dia dah keluar rumah menuju ke Perlis. Haji Kob datang ambil ayah depan rumah. Aku tenung ja ayah berlalu pergi meinggalkan aku. Bukan sedih sebab ayah tinggal, sedih sebab tak dapat naik Datsun Buah Kana. Zaman tu sesiapa yang ada kereta kat kampung aku ni kira hebat sangat dah. Macam orang yang ada Mustang zaman sekarang.

Aku pun keluar ke belakang rumah nak bagi Dolah makan pagi. Dolah adalah seekor ayam jantan keturunan jawa yang dihadiahkan oleh saudara ayah waktu berkunjung ke rumah kami tidak lama dulu. Dia datang naik kapal dari Batam, masuk ke Johor dan langsung ke Penang menaiki bas. 2 Hari perjalanan baru sampai rumah aku. Masa dia sampai di rumah, aku tengok ayam tu berjalan terhoyong-hayang…jetlag!

Sedang aku asyik bersembang dengan Dolah, aku perasan ada seekor belalang hijau sebesar jari orang dewasa sedang bertenggek kat tepi tiang reban. Aku jentik belalang tu….piiiuuuuuuuu…. melayang dia ke dalam semak. Tu pun kira baik sangat dah. Kalau kawan-kawan aku, siap cabut kaki takmau bagi dia lompat.

“Edi…hang buat apa?” Abang Long datang menyapa aku dari belakang.
“Bagi Dolah makan.”
“Jom pi ataih sat. Tolong Long.”
“Tolong apa?”
“Alaaaahhh jom la sat.” Dengusnya sambil menarik tangan aku masuk ke dalam. Tiba di tingkat atas, dia tunjuk sesuatu kat alang rumah.

“Hang nampak natang tu?”

Aku tercangak-cangak ke atas melihat ke arah yang abang Long tunjuk. Ada lagi seekor belalang sebesar tadi sedang melekat kat alang rumah.

“Aku kokko (ampu atas belakang) hang…paih tu hang tangkap.” Kata Abang Long.
“Pasaipa kena tangkap?” Tanya aku yang inginkan kepastian.
“Banyak songeh la dia niiii…..mai nak belakang.” Perintah abang Long. Aku pun celapak atas bahu dia dan dia tolak aku naik ke atas menyentuh alang rumah. Belalang tu hanya diam di situ. Aku tangkap dan genggam kemas-kemas takmau bagi terlepas. Terasa kaki dia yang tajam menendang-nendang dalam tapak tangan.

“Mai sini. Kita boh dalam botoi.” Kata abang Long lagi.
“Pasaipa kena boh dalam botoi?”
“Pasaaaaaiiii…..kita tunggu malam ni. Kalau yang ni belalang pelesit, satgi malam dia bertukaq jadi nenek tua dok dalam botoi tu.” Ujarnya lagi sambil dok buat mata terbeliak.

“Boleh ka macam tu?” Tanya aku lagi. Aku ni bukan jenis mudah diperbodohkan walaupun aku ni adik.

“Hang tunggu la malam niiiii…isshh! Tanya banyak sangat ni. Besaq nanti nak jadi polis ka apa?” Dia terus mengomel langsung memasukkan belalang tu ke dalam botol kaca yang tudungnya dah ditebuk lubang kecil.

Hari beransur gelap dan siang pun melabuhkan tirai. Aku yang baru balik dari masjid terus melihat jam di dinding. Mana ayah ni? Dah pukul 9.30malam tak balik lagi. Semalam dia kata petang ni juga nak balik.

“Ayah balik lambat. Kereta Pak Kob rosak kat Pendang.” Kata mak bila dia nampak aku menggelisah tunggu ayah tak balik-balik. Mak tengah lipat baju sambil menonton tv hitam putih.

“Ayah sampai kul berapa mak?” Tanya aku.

“Tak tau la cek. Boleh jadi malam ni boleh jadi esok pagi. Tunggu ja dia telefon satgi.” Begitu jawab mak.

Aku perhati muka mak. Wajah suci insan yang melahirkan aku tu nampak macam tak tenteram. Tak sedap hati. Selalunya kalau duduk depan tv walaupun tangan sedang lipat baju, mata mak akan tertumpu kat tv. Tapi kali ni mak tak ambil peduli tentang tv yang sedang terpasang, matanya kadang-kadang terpaku ke lantai dan kadang-kadang melirik ke pintu rumah.

“Mana Along dengan Angah? Tak balik lagi?” Mata mak mengintai-ngintai ke pintu rumah mencari heronya lagi dua orang.

“Ada tu kat luaq. Dok pebetoi rantai beskat. Tadi jatuh masa balik masjid”
Selang beberapa minit dua orang abang aku tu pun masuk ke dalam.

“Mak..ada orang mai nak jumpa mak.” Kata Angah. Di tangannya ada spanar dengan skru driver.

“Hah? Sapa dia?” Tanya mak dengan mata terjegil. Jarang orang mai cari mak kat rumah, malam pula tu.

“Tak tau…dia kata kawan mak. Along tak kenai pun..” Jawab abang Long.
Mak pun bingkas bangun dan mencari tudung. Dah siap menutup auratnya, mak jengah ke pintu.

“Mana dia?”

“Ada tadi kat luar tu.” Jawab abang Long, dan dia berjalan menuju ke muka pintu.

“Ehhh…tadi ada. Mana dia pi?” Abang Long menggaru-garu punggungnya yang berlapik kain sarung.

“Yaa ada tadi. Makcik mana entah. Bagi salam pun tak. Dok tak dok terjengoi ja belakang kami.” Ujar abang Ngah mengiyakan kata-kata abang Long. Aku pun keluar sekali nak tengok siapa yang datang siapa yang pergi. Sah la tak ada siapa sebab kawan tu dah blah.

“Rupa dia macam mana? Takkan hampa tak kenai? Kalau orang sini mesti kenai kan?” Tanya mak lagi bertalu-talu, penuh curiga.

“Tak kenai. Tak nampak sangat muka dia. Masa dia tanya mak tu dia dok tengok ke lain, tak tengok kami pun. Dia pakai selendang, baju kuning dengan kain batik.” Jelas abang Long.
Mak aku termenung depan pintu. Aku nampak raut wajah mak berkerut. Lalu dia suruh kami masuk dan tutup pintu…kunci dengan kemas.

“Pi tidoq awai malam ni. Mak tunggu ayah balik. Kalau tak jadi balik nanti dia telefon.” Mak pun perintahkan kami untuk tidur awal. Biasanya memang kami tidur awal pun. Jam 10.30 dah sepi rumah mak ayah tu.

Kami pun berlari ke atas menuju ke bilik. Tiba di bilik tidur, abang Long mencari botol belalangnya yang kami tangkap siang tadi. Dia letak kat atas almari baju. Dia turunkan botol tu dan tunjuk kat aku dengan abang Ngah.

“Tengok ni…nampak tak?” Dia sua botol tu ke muka aku.
“Nampak…belalang.” Jawab aku.
“Pandai…..ok jom tidoq.” Jawabnya sambil meletakkan kembali botol tu atas bumbung almari. Hareeyyy….tu ja nak habaq? Ingatkan apa diaaa laa…

Aku terjaga jam 1 pagi bila terdengar bunyi bising macam nyamuk tengah bersembang kat kiri kanan aku.

“Woiii….jom la pi kencing sat. Aku tak tahan ni.”
“Alaaaa…..pi la dulu. Satgi aku pi. Ngantuk ni”

Aku yang masih terpejam malas nak angkat tau, sebab aku tak berasa nak kencing pun.

“Ediiii….jom teman Angah sat.” Bergegar badan aku bila abang Ngah hinggut nak suruh aku bangun. Aku diam….buat-buat tak sedar diri.

“Hampa dua ni memang pesen suka kencing berak tengah malam ka? Kacau la aku nak tidoq” Begitu abang Long membebel. Tapi dia bangun juga teman abang Ngah turun ke bawah. Aku terus sambung tidur. Sebagai adik, aku layak diberi immunity dari teman depa dua pi kencing.

‘Tupp….tuppp….tuuppp…’

Belum sempat aku nak mimpi yang best-best, terdengar bunyi tu kat dinding bilik aku. Aku buka mata sikit. Mata aku sepet dalam jaga sambil memerhati ke dinding rumah. Tak ada apa. Hanya limpahan lampu jalan dari luar yang menyimbah masuk ikut celahan dinding yang berlubang-lubang. Aku pejamkan mata balik.

‘Tup..tup tup tup’ bunyi tu datang lagi. Sekali lagi aku bukakan mata dan perhati ke dinding. Kat sini baru aku perasan, abang Long tak ada kat sebelah aku. Aku kalih kiri, abang Ngah pun tak ada. Aik? Depa ni pi kencing ka pi mandi?

Lagi sekali bunyi tup tup tup tu menyinggah ke telinga aku. Macam ada orang ketuk dari luar, padahal bilik aku kat atas. Masa ni aku dah terbayang kejadian beberapa tahun lepas dalam kisah ‘Langsiaq’. Aku pejamkan mata dan mengucap banyak-banyak. Sambil tu dok memaki hamun abang-abang aku sebab turun kencing lama sangat. Hari tu kata aku langgah minyak tanah, kali ni depa kencing lebih lama dari aku. Popelaq!

Lama aku membatu dalam selimut, sehinggalah aku terdengar ada suara memanggil aku dari luar…

“Ediiii….woii Ediiii…” Suara tu tak berapa jelas, macam orang menjerit dalam berbisik.
“Adiiikkk…..woiii bukak tingkap ni” Aku pasang telinga lagi nak dengar betul-betul.
“Ediii….bukak la woooiii” Kali ni kuat sikit, dan cara wooiiii tu aku pasti kalau bukan abang Long pun mesti abang Ngah. Ni bukan hantu yang panggil. Rasanya hantu lebih sopan dari depa dua. Aku pun bangkit menuju ke tingkap. Daun tingkap tu aku buka.

‘Kellepaaappp’

“Adooiii……sakit la bodo” Teriak aku sebab terkejut dan pedih kat dahi.

Sebatang galah panjang buat kait buah mempelam singgah di kepala aku. Masa aku buka tingkap tu abang Long tengah swing galah tu ke dinding. Elok kepala aku jengoi ja maka kepala aku la yang kena.

“Ediii…..bukak kunci pintu belakang.” Jerit abang Long dari bawah. Dia ni apahal?

“Awat? Sapa kunci pintu?” Tanya aku sambil gosok-gosok dahi yang terasa pedih kena batang galah tadi. Aku nampak abang Ngah pula sedang bertinggung tepi abang Long dengan berkelubung kain sarung.

“Mana la aku tau. Mak kot? Kami ketuk punya lama. Panggil mak pun tak menyut (jawab). Cepat la pi bukak.” Katanya lagi.

Aku pun berlari turun ke bawah dan menuju ke pintu dapur. Tandas rumah aku ni letaknya kat luar, terpisah dengan induk rumah. Kena keluar pintu dapur dulu baru boleh masuk tandas dan bilik mandi.

Ya..betul kata abang aku. Pintu terkunci dari dalam. Tapi siapa yang kunci? Aku perhati keliling rumah dan tak nampak kelibat mak atau Kak Ti. Mak tidur dengan adik bongsu aku dalam bilik di bawah. Kak Ti pun dalam bilik dia kat sebelah bilik kami di tingkat atas. Lagi pun jarang la Kak Ti nak bangun tengah malam ni. Dia punya tidur tu level jenazah dah. Hang terajang pintu pun belum tentu dia bangun. Pernah sekali rumah kami banjir dan Kak Ti tidur depan tv di tingkat bawah. Air banjir dah sampai ke telinga pun dia dok lena lagi.

Mata aku meliar di seluruh ruang bawah rumah…… gelap. Hanya lampu kuning kat tangga ja yang menyala. Aku buka pintu dan menerpa depa dua orang masuk ke rumah.

“Sapa laa pi kunci. Sat ja kot, mak takkan taktau kami dok dalam bilik ayaq?” Abang Ngah mengomel sebaik melangkah masuk ke dalam dituruti abang Long.

“Taktau…aku dok lena kat ataih” Jawab aku lalu menutup balik pintu tu dan pasang kunci. Kami bertiga pun berjalan ke tangga untuk naik ke atas.

Aku berhenti kejap depan pintu bilik mak dan pelan-pelan aku buka pintu. Aku lihat mak dengan adik sedang nyenyak tidur, tapi tak nampak kelibat ayah dalam bilik. Belum balik juga gamaknya.

Abang Long berjalan di depan dan aku di belakang sekali. Tangga pun dipijak, berbunyi tangga kayu tu memecah kesunyian rumah kami.

‘Kreeekkkk…kreeekkkk…kreeekkk’

Tiba-tiba, belum sampai di anak tangga paling atas, abang Long berhenti…tercegat atas tangga. Aku dan abang Ngah pun terpaksa emergency break sebelum terlanggar buntut dia.
“Woiihh…pasaipa? Jalan la!” Dengus abang Ngah sambil menolak belakang abang Long.
Tiada pergerakan dari abang Long. Dia hanya tercegat berdiri dan matanya memandang ke arah pintu bilik kami.

“Long…hang tidoq ka kat tengah tangga ni?” Tanya abang Ngah lagi sambil menujah-nujah bahu abang Long.

“Edi….tadi masa hang turun mak ada dalam bilik ka?” Bisik abang Long perlahan.
“Mana ada sapa. Mak kan dok tidoq dalam bilik dia.” Jawab aku.
“Abih tu …..yang berdiri kat tingkap tu sapa?” Tanyanya lagi.

Mata aku terbeliak, hilang terus rasa mengantuk. Lalu abang Ngah pun naik setapak anak tangga untuk lihat ke dalam bilik. Bilik kami ni berdepan dengan tangga. Kalau pintu pilik tu terbuka hang boleh nampak ja apa ada kat dalam tu.

Aku yang berdiri kat belakang sekali pun turut naik setapak lagi. Berhimpit-himpit kami kat tangga macam penyamun nak pecah rumah. Masing-masing, terjengoi kepala nak tengok apa yang abang Long aku nampak.

Tadi masa turun ke bawah, aku lupa nak tutup tangkap bilik tu. Aku lari je turun sebab nak cepat. Dan sekarang ni, kami nampak ada seorang perempuan bertudung sedang berdiri kat tingkap bilik kami dan sedang memerhati ke luar jendela. Bilik kami tu gelap, tapi bila tingkap terbuka, sedikit simbahan lampu dari luar akan menerobos masuk ke bilik. Makcik tu hanya diam tak bergerak macam melihat sesuatu di luar rumah. Dia memakai selendang, berbaju kuning dan berkain batik.

Tiba-tiba…

‘Krrrreeeekkkkkkk….’ Pintu bilik Kak Ti yang terletak di sebelah bilik kami terbuka dengan laju. Tersembul muka Kak Ti dari muka pintu. Bapak terkejut beruk kami bertiga kat tangga sampai bergetar tulang lutut. Kak Ti ni kalau dia baru bangun tidur, Allahu……seram tengok dia. Sapa laaa bakal laki dia nanti.

“Ampaaa…” Belum sempat Kak Ti berkata apa-apa, abang Long angkat jari ke bibir dan tunjuk isyarat diam.

“Apa dia??” Tanya Kak Ti masih terpinga-pinga depan pintu.

Kami bertiga yang masih kat tangga terus buat isyarat… ‘ssssshhhhhhh!!”
Kak Ti pun diam. Muka dia masih blur memandang kami tercegat kat situ. Masa tu aku memang nak lari dah. Tetapi disebabkan kat bawah pun gelap, jadi aku terpacak juga la kat situ dengan abang-abang aku.

Dan ketika aku pandang semula ke bilik……..bulu roma aku meremang bagai nak tercabut dari kulit. Terasa d***h di seluruh tubuh naik berhimpun di muka…..makcik tu kalih memandang kami!!

“Ehh….makcik tadi la. Kawan mak…..” Abang Ngah bersuara. Kemudian….

“Hantuu!!” Sebaik terpacul perkataan tu dari mulut abang Long, dia berlari celapak naik ke atas.

‘Gedegguuummmm…!!!’ Kak Ti pula hempaskan pintu bilik dia dan ditutup rapat-rapat.

Aku dengan abang Ngah jadi terpinga-pinga…nak lari ke mana pun tak tau. Aku pegang kain abang Ngah kuat-kuat. Jangan sekali tinggalkan aku kat sini. Putus sedara kang. Yang abang Long pula dah macam Charlie Chaplin aku tengok dia, kejap nak ke atas kejap nak ke bawah sama banyak. Dia lari ke bilik Kak Ti lalu di tendangnya pintu tu.

‘Gedegaaaannnggg….!!!’ Tapi pintu tak terbuka. Kak Ti kunci dari dalam.

Lalu dia panjat galang kayu yang menjadi pagar anak tangga dan terus lompat turun ke bawah…jatuh tepat kat kaki aku.

“Gedebukkk…gedebuk’ bunyi dia jatuh macam nangka busuk dan terus tergolek ke bawah
Kalau tadi dia ada paling depan, sekarang ni dengan sekelip mata dia dah ada belakang aku. Aku pun tak tunggu lama, dengan saki baki kekuatan yang ada, aku lompat melepasi abang Long yang masih tergolek kat lantai rumah. Aku lari terus menuju ke bilik mak. Abang Long pula lari ke pintu depan.

‘Baaaaannngggggg….’ Aku terdengar dia langgar pintu dalam gelap.

“Maaaakkkkkkkk ….” Jerit aku setelah pintu bilik mak aku rempuh dengan kuat.
“Maaaaaakkk bangun maaaakkkk!!!” Teriak aku lantas melompat atas katil mak.
“Haaaahhhhh…..awat pulak dah niiii….” Mak tekejut dari tidur dan duduk terpacak atas katil.
“Kawan mak tadi….dia ada dalam bilik.” Kata aku sambil memegang kaki mak.
“Kawan mana? Tengah malam ni mai kot mana kawan mak?” Tanya mak lagi sambil menggosok-gosok mukanya yang masih terpisat-pisat mengantuk.

Dalam huru hara kelam kelibut tu aku perasan yang abang Ngah masih kat tangga tapi dalam keadaan meniarap dan badannya melurut perlahan-lahan kebawah dari satu anak tangga ke satu anak tangga. Mukanya pucat lesi dengan mata terpejam. Sampai di lantai bawah, dia terus meniarap tak angkat muka.

Mak bawa aku keluar dari bilik dan menuju ke tangga.

“Ya Allaaaaahhh…..apa lagi laaa hampa ni. Along mana?” Tanya mak. Aku masih menyorok belakang mak dan pegang erat kain mak.

“Tak tau…dia lari pi depan.”

“Ni Angah pasai pa tidoq tang ni?” Aku taktau nak jawab. Tapi aku pasti abang Ngah tengah berlakon tidur.

“Mana kawan mak?”
“Dalam bilik kami tu. Along dengan Angah pun nampak tadi!!!” Jawab aku untuk meyakinkan mak.

Mak pun berjalan naik ke bilik kami dan aku follow rapat, masih pegang kain mak.
“Takdak sapa pun. Tu awat tingkap terbukak?” Kata mak sebaik melangkah masuk ke dalam bilik. Aku pula berdiri kat tangga, tak berani nak ikut mak masuk bilik. Mak tutup kembali tingkap tu dan melihat-lihat keliling bilik. Seterusnya…..

‘Krreeekkkk….’
“Mak….awat mak?” Secara tiba-tiba Kak Ti muncul di muka pintu biliknya dengan rambut berserabai mengalahkan ranting pokok kekabu. Nokhorom, nyaris aku nak lompat lagi sekali. Adoi…macam hilang dah jantung ni.

“Siti tak tidoq lagi ka?” Tanya mak pada Kak Ti.

“Tidoq dah haih…tapi tadi mak dok tarik kaki cek, tu yang jaga ni. Paih tu depa dok main kat tangga, hingaq.” Jawab Kak Ti sambil menjuihkan bibir ke arah aku.

“Bila masa mak tarik kaki? Mak baru naik ni…” Jawab mak. Terlopong Kak Ti bila mak jawab macam tu.

Lalu kami bertiga turun ke bawah dan dapatkan Abang Ngah yang masih tak bergerak di lantai rumah.

“Ngah….mangkit Ngah. Tak payah berlakon dah…” Kata aku sambil berlalu pergi ke depan rumah. Aku tak peduli sangat sebab aku tau dah perangai dia, sama macam aku jugak. Kalau takut pura-pura pengsan. Matlamat aku sekarang ni cari abang Long.

Aku buka semua lampu yang ada kat ruang bawah tu. Terang benderang lampu kalimantang melimpahkan cahayanya. Aku tengok jam di dinding. Dah pukul 2 pagi. Masalahnya sekarang ni, pintu rumah terpelohong dan abang Long tak ada.

“Ya Allah…mana Along ni?” Mak mula kerisauan sebab seorang anak jantan dia dah hilang. Aku ikut mak keluar rumah dan mencari-cari kat halaman depan. Kat celah pasu bunga, kat belakang pokok kekabu…hingga ke belakang rumah tak nampak bayang Along. Angah pula yang aku dah syak dia pura-pura tidur ja tadi turut mencari bersama Kak Ti. Along dah hilang…!!
Mak ajak Angah ke rumah jiran, Pak Latip. Nak minta tolong Pak Latip cari sama.

“Jom pi rumah Pak Latip. Kot-kot dia ada sana. Siti dengan Edi tunggu adik ” Ajak mak lantas menarik tangan Angah menuju ke rumah Pak Latip.

Aku dengan Kak Ti termangu kat ruang tamu. Letih dan mengantuk, seram pun sama.

“Tadi sapa tarik kaki hang kak?”
“Aku rasa mak. Pasai gelap aku tak nampak sangat. Tapi macam mak.” Katanya.
“Tadi ampa buat apa kat tangga punya hingaq? Malaih aku nak layan.” Ujarnya lagi sambil membaringkan badan ke lantai.
“Hang taktau ka? Kami nampak hantu dalam bilik.”
Terus Kak Ti bangun balik. Tak jadi nak baring.
“Hantu apa?”
“Tak tau la aku. Perempuan. Abang Ngah kata makcik yang mai cari mak malam tadi.”
“Uiissshhh….biaq betoi ampa ni.”
“Betoi la kak. Hang tengok ni Along dah hilang. Ingat dia saja-saja nak lari malam macam ni?”
Kak Ti diam. Dia mengurut-ngurut betisnya yang bertutup dengan seluar tidur.

“Ni benda apa pulak kat kaki aku?” Setelah lama membungkam, Kak Ti bersuara sambi selak kaki seluarnya ke paras betis.

Nampak setompok bekas hitam pada betis kirinya, macam lebam yang lama dan terdapat 3 lubang kecil bagai ditusuk jarum kat tompok lebam tu. Aku diam, sebab aku pun taktau apa kena dengan kaki dia.

Selang beberapa minit, mak dan abang Ngah tiba di rumah bersama Pak Latip dan Makcik Suri. Disusuli lagi dua tiga orang kampung yang aku dah tak ingat namanya. Mereka duduk berbincang macam mana nak cari Along. Wajah mak semakin risau mengenangkan anaknya yang seorang tu. Senakal-nakal abang Long, tetap anak dia juga.

“Dia ada kot ni ja. Kita cari kot dekat dulu.” Kata Pak Latip menenangkan mak. Depa pun pakat-pakat keluar ke halaman bersuluhkan lampu suluh masing-masing. Aku pun turut keluar dengan mak dan abang Ngah. Kak Ti ditugaskan menemani adik kat dalam. Adik aku masih kecil masa tu.

Sedang sibuk mencari sambil memanggil nama Along, aku terlihat kelibat lampu kereta dari kejauhan.. Ayah dah balik!

Kereta Haji Kob mendekati rumah kami. Dalam hati aku berasa lega banyak dah bila nampak kereta Datsun tu. Ayah pun keluar dari kereta…

“Assalamualaikum.” Ayah memberi salam sebaik saja kakinya menjejak tanah. Muka ayah macam biasa, tenang. Di sebelahnya keluar Hj Kob dari tempat pemandu dan disusuli seorang kawan ayah yang aku tak kenal. Mukanya bersih bercahaya lengkap berserban dan berjubah putih.

“Hari tu jumpa kain pelikat kat tengah jalan, kali ni ana jumpa tuan dia.” Kata ayah sambil tersengeh-sengeh kat mak.

“Jumpa sapa?” Tanya mak. Baru ja mak nak bagitau ayah tentang huru hara malam ni. Tapi tak jadi bila ayah dah p****g dulu.

“Tu…Along ada kat belakang. Ana kutip tepi jalan. Dia kata nak naik bas balik asrama.”
“Hah?? Mana dia?” Terjegil biji mata mak bila ayah kata macam tu. Pintu belakang terbuka dan Along keluar tersenyum-senyum. Macam tak ada apa-apa.

“Along pi mana tadi? Nak balik asrama apanya, kan tengah cuti ni?” Ujar mak lalu mendapatkan hero tamilnya itu. Dibelek-belek muka dan tubuh abang Long yang hanya berkain sarung, kot-kot ada luka di mana-mana.

“Tak tau la mak…masa lari keluaq rumah tadi nampak kawan mak tu kat luaq. Dia ajak masuk rumah. Sedaq-sedaq Along dah ada dalam kereta dengan ayah.” Jawab abang Long. Mak makin hairan dan aku makin pelik. Fuhhh…drama sungguh malam ni.

“Ni kawan ana…ustaz Fahim(nama betu dirahsiakan), dia mai nak tolong. Tadi macam-macam hal jadi kat jalan. Tu yang lambat” Ayah memperkenalkan kawannya tu kepada kami yang lain.
Kemudian ayah suruh kami masuk tidur.

Aku yang memang dah letih gila ni terus masuk ke dalam dan tidur depan tv berhimpit dengan Abang Ngah. Abang Long pula dibawa ayah ke bilik mandi bertemankan kawan ayah yang aku baru kenal. Ustaz Fahim! Tengok gaya pun macam bukan biasa-biasa. Seterusnya, aku terlena setelah mengharungi malam yang sangat dramatik. Tak tahu dah apa yang berlaku lepas tu.

Esoknya, di pagi Ahad yang damai setelah malamnya kucar kacir, aku mencuri-curi dengar mak dan ayah bersembang di dapur.

“Memang kerja Pelesit. Ada yang hantaq nak cuba-cuba ana. Alhamdulillah dah buang. Tapi ana tak mampu buat sorang kali ni. Kena minta tolong kawan” Kata ayah sambil mengunyah pisang goreng yang disediakan mak pagi tu. Aku bersama abang Long, abang Ngah dan Kak Ti memasang telinga di tepi tangga.

“Mana kawan kita ustaz Fahim tu?” Tanya mak.

“Tadi lepas subuh terus balik ke Bohor Mali dengan Hj Kob. Ana bagi duit minyak minta tolong dia hantar.”
“Alhamdulillah. Terima kasih la kat dia sanggup mai dari jauh. Tapi sapa yang hantaq benda tu?” Tanya mak lagi.

“Ana kenai, tapi tak payah la sebut. Dulu duduk sini jugak. Tu antara dia dengan Tuhan, dia jawab la nanti. Kita buang dah, tak payah pikiaq sapa yang hantaq.”

Abang Long tepuk bahu aku dari belakang. Dia ajak aku naik ke bilik. Abang Ngah dengan Kak Ti pun ikut sama. Abang Long menggagau mencari botol belalangnya atas almari lalu diletakkan atas lantai bilik. Kami 4 beradik pakat meniarap dan melihat isi di dalam botol tu. Di dalamnya masih ada belalang yang aku tangkap semalam, tetapi hanya tinggal jasad tak bernyawa. Badannya yang hijau dah bertukar cokelat, kaki dan sayapnya dah terlerai dari badan seolah-olah dah lama m**i. Aku pandang muka Along..

“Abih tu, kita nak tanam dia ka?” Tanya aku yang masih tak paham kenapa abang Long minat sangat dengan belalang tu.

“Tak…kita goreng makan dengan nasik” Jawabnya tersengeh-sengeh.

Sekian.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

EDI

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 10 Average: 5]

31 thoughts on “#EDI – PELESIT KAMPUNG BAGAN”

  1. boleh tak next story nanti Edi bagi link semua cerita-cerita yang Edi dah tulis..cerita Edi ni best-best kadang nak juga baca cerita lama…pleassseee

    Reply
  2. Nasib ler dpt anak jantan 3 beradik selenger kunyit cam komer ni…mmg karya Edi Martopo mmg terbaik…mmg teman pasti gelak beso biler membacanya…tak sabar nk tunggu cerita labon miker lg chor…

    Reply
    • kannn.. yg pasti kak ti memang dah kahwin, beranak pinak dah pun. edi ni suka naw kutuk kak ti. tapi tiap kali nama kak ti muncul, aku memang terbayang tina turner dgn rambut penyapu roman tu, hak3

      Reply
  3. Tak pernah tak best.. Bravo en edi.. Dh tertunggu2 cerita en edi selalu.. Kim salam kak ti, lawak tul kak ti ni.. Hahaha

    Reply
  4. Aduuhhhh rasa skt dada tpaksa mute gelak sbb baby tgh tidoq kt sblh ni heheehe mula2 nk seram tp ttp xleh gk sbb cara hg cita mmg lawak.. Part angah melurut kt tangga tu plg xbley blah hahahaha

    Stori mori lg nti na..

    Reply
  5. Aku suka baca story edi ni bukan sebab pengalaman mistik dia dari kecil, tpi kehidupan dia dalam suasana kampung, didikan dari mak ayah dia dan telatah adik beradik nye seolah olah mengimbau kembali kenangan masa lalu aku tpi apa kan daya masa sentiasa berjalan kehidupan semakin kedepan pengalaman semakin kebelakang aku hanya tersenyum mengimbau kenangan masa kecil aku di besarkan di dalam hulu kampung yang terpencil…

    Reply
  6. X tau nk ckp apa, kuar air mata,nk kt menangis sbb sedih tidak plak,tp korang bertiga lagi haru dr upin ipin la. Senak perut aku neh

    Reply
  7. Best2..nak lagi..ala2 anak sidek,cite usop sontorian gitu sbb ada suasana kampung..cuma versi seram jelaa..kipidappppl😍

    Reply
  8. ”Masa dia sampai di rumah, aku tengok ayam tu berjalan terhoyong-hayang…jetlag!” hahahahaha..
    hadoiii…!! aku terhantok kepala kene meja sbb tahan gelak !

    Reply
  9. Aku x pernah baca fs ni time memalam.. Tapi sbb edi punya cita x sempat dah nak tggu siang.. Pelik pun ada bc citer hantu tapi gelak guling2.. Haha

    Reply
  10. hahaha..pecah perut aku gelak sorang tgh mlm buta ni..dgn sorang terjun tangga, sorang lompat yg sorang lg merangkak…adoyaiii…😂

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.