Gadis Misteri…..

GADIS MISTERI???
Kisah ini berlaku sekitar 17 tahun yang lalu. Walaupun kisah ini agak lama, namun semuanya masih segar dalam ingatan aku. Kadang-kala apabila menonton filem seram, pasti kisah ini muncul semula dalam ingatanku. Aku tidak pasti sama ada kisah ini begitu seram atau tidak pada semua yang membaca, tapi pada aku yang mengalaminya sendiri membuatkan aku terfikir sama ada “DIA” benar wujud atau tidak???

Kisah ini berlaku di sebuah sekolah menengah di utara tanah air dan kejadian ini juga berlaku ketika bulan Ramadhan. Kata orang “mana ada hantu ketika bulan puasa kan? Waktu itu aku bersama seorang sahabatku, Shah sedang mengulangkaji pelajaran pada lewat malam di satu sudut tepi surau tempat berwudhuk. Di sebelah surau ini, ada sebatang jalan yang jarang digunakan oleh orang luar melainkan pelajar sekolah aku sendiri yang menghubungkan di antara asrama dan sekolah.

Jam telah menunjukkan 1 pagi, aku dan Shah masih lagi berada di situ walaupun telah habis mengulang kaji pelajaran. Kami hanya duduk bersembang kosong sambil memandang ke arah jalan di sebelah surau itu. Keadaan waktu itu gelap gelita, hanya disinari lampu jalan yang berwarna oren dan bayang-bayang pokok besar ditepi jalan.

“Jom lah naik bilik” kata Shah kepada aku. “Relaks la dulu Shah, awal lagi ni” balas aku kepada Shah yang asyik menguap sepanjang kami bersembang. Mata Shah sudah mula berair, dah terlalu mengantuk agaknya. Sedang kami rancak bersembang, mulut kami terdiam seketika, seolah-olah dikunci.

Jelas sekarang ini di depan mata kami ternampak satu susuk tubuh seorang gadis berpakaian serba putih sedang berjalan di tengah jalan di antara surau dan sekolah. Gadis itu aneh sekali kerana kedudukan gadis itu berjalan sentiasa menunduk dan sangat perlahan seolah tidak bermaya. “Wei Shah, nampak tak apa yang aku nampak ni?” tanya aku kepada Shah. Shah hanya mengangguk, mulut Shah seolah terkunci.

Aku berkata pada Shah. “entah orang entah bukan tu, nak tegur tak berani, tapi kalau orang kenapa lalu jalan ni, kan gelap dan sunyi jalan ni, aduh….seram la pulak”kata aku kepada Shah.
“Shah, kita panggil dia la, bahaya orang perempuan jalan waktu macam ni.” Kata aku kepada Shah. Shah yang tadi kelihatan terdiam terus bangun dan kami menghampiri pagar tepi surau sebelah jalan tadi. “woii..woii…woiiiii “ kami jerit memanggil gadis itu sambil melambaikan tangan. Gadis yang tadi berjalan melepasi kami, berpusing dan menghampiri kami. “aduh..jalan menunduk lagi..” kata aku kepada Shah.

Sekarang gadis itu berdiri betul-betul dihadapan kami hanya dipisahkan oleh pagar surau. Pada pengaamatanku, gadis ini mungkin berusia 16 tahun kerana susuk tubuhnya tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi. Sangkaan ku gadis ini seakan berbangsa Cina kerana kulitnya terlalu putih tapi pucat. Pakaiannya pula putih bersih. Hanya wajahnya kami tidak dapat gambarkan kerana sentiasa menunduk dan rambutnya menutupi sebahagian muka.

“Siapa nama you? mana you punya IC?” tanya Shah kepada gadis itu. Terkejut aku dengan pertanyaan Shah, “dah macam polis”kata aku dalam hati. Gadis itu hanya menunduk diam membisu. “Aduh…macam mana ni Shah,dia tak faham tu, kita cuba cakap bahasa inggeris, mungkin dia faham”. Kata aku kepada Shah.
“Where you want to go?” tanya aku kepada gadis itu. “HOME”, dia membalas sepatah sambil mengangkat tangannya menunjukkan satu arah yang jauh dari pandangan.

Selepas itu kami hanya diam membisu, mungkin masih dalam keadaan keliru. Gadis itu pun pergi perlahan-lahan, gayanya berjalan tidak seperti manusia biasa, lemah longlai sambil kepalanya menunduk.

Entah kenapa otak aku seakan keliru, aku berkata pada Shah “aku pergi teman hantar budak ni balik rumah jap, dekat ja tuh”. Shah berkata “tak payah la, pandai-pandailah dia balik, entah orang entah bukan tuh”. Aku kata pada Shah “Inshaallah ok ni, aku hantar jap ja”. Lantas aku memanjat pagar surau dan berjalan ke arah gadis itu. Aku toleh ke belakang melihat Shah telah pun berjalan meninggalkan surau, mungkin untuk memberitahu kawan-kawanku yang lain.

Aku berjalan laju menghampiri gadis itu sambil menjerit “wait…wait…”. aku bertanyakan gadis itu “where’s your house?” gadis itu hanya mengangkat jari tangan menunjukkan satu arah yang entah betul atau tidak ada rumah di kawasan itu. Aku berjalan bersebelahan gadis itu. Perasaan aku waktu itu antara berani dan tidak berani sahaja tapi aku langkahkan kaki juga menemani gadis itu. Dalam otak aku, bahaya kalau gadis begini dibiarkan berjalan seorang diri.

Suasana ketika itu agak suram hanya lampu jalan yang berwarna oren saja yang menemani kami. Aku beranikan diri bertanyakan kepada gadis itu, “where’s your family?”. Keadaannya tetap sama, hanya menunduk. Dalam fikiran aku kalau tiba-tiba gadis ini angkat kepalanya sambil bermata merah, memang mencicit aku lari ni. Yang membuatkan aku semakin pelik kerana terdapat beberapa kali kereta peronda polis yang melalui sebelah kami tapi tiada satu pun yang menahan kami.

Selalunya kalau jam 2 pagi ,kalau nampak budak lelaki dan perempuan berjalan dalam gelap macam ni polis akan tahan dan soal macam-macam. Dalam hati aku berkata-kata, “entah-entah polis ni nampak aku jalan seorang diri kot, ahhh..sudah, nak patah balik pun dah jauh berjalan ni.” Aku teruskan juga menemani gadis itu.

Setelah melalui satu selekoh, gadis itu berhenti di depan pagar sebuah rumah yang agak besar tetapi suram. Reka bentuk rumah tersebut seperti rumah zaman British. Gelap gelita keadaan ketika itu. Gadis itu cuba menolak pintu pagar rumah tersebut tetapi gagal. Pintu pagar itu agak tinggi. Terkejut aku, gadis tadi cuba memanjat pagar yang tinggi itu tetapi masih tidak berjaya.

Disebabkan tidak berjaya, gadis itu terus berjalan meninggalkan rumah tersebut. Banyak perkara yang bermain difikiran aku ketika ini, gadis ni orangkah? Hantukah? Entah betul atau tidak rumah itu merupakan rumah gadis tersebut. Aku terus mengikuti gadis tersebut berjalan.

Setelah 10 minit berjalan, baru aku sedar gadis itu sebenarnya sedang menuju ke arah hospital. Sampai sahaja di depan pagar hospital, gadis itu berhenti membelakangi aku. Kemudian gadis itu terus masuk ke dalam pagar hospital tersebut tanpa menoleh ke arah aku lagi.

Termenung aku seketika melihat gadis itu masuk ke dalam hospital sehingga hilang dari pandanganku. Aku meneruskan langkah untuk terus pulang ke asrama sambil di dalam otakku masih berfikir mungkin gadis itu betul manusia dan mungkin juga gadis itu adalah roh yang menjelma. Jika aku diberi kesempatan, teringin rasanya aku untuk ke rumah itu bertanyakan tentang gadis misteri tu.

.………..TAMAT………..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Mr.F

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.