Gadis Rambut Panjang Di Air Terjun

Assalamualaikum pembaca Fiksyen Shasha. Aku sebenarnya baru je tau kewujudan web ni jadi apa salahnya kalau aku nak kongsi cerita dan pengalaman seram aku kat sini. Untuk cerita pertama kali ni aku nak cerita berkenaan pengalaman seram aku ketika camping di Lata Kijang, Perak.

Cerita ni agak lama jugak la, 2006 macam tu la. Kalau mana yang tak tau kat mana Lata Kijang, tempat tu terletak kat Tapah Perak dan air terjunnya korang boleh nampak dari Highway sebelah kanan kalau mengarah ke Utara. Memang tinggi air terjun ni.

Kisah bermula ketika tu aku di ajak oleh kawan aku untuk tolong dia handle 1 program student daripada Kelab Kembara Politeknik. Kira aku ni jurulatih untuk program tu la. Ada dalam 40 orang student, 3 orang pensyarah pengiring dan kebanyakkannya adalah perempuan. Kami geng jurulatih ada dalam 10 orang. Program tu berjalan selama 3 hari 2 malam. Kami semua tidur di khemah yang terletak tak jauh dari sungai. Untuk aktiviti hari pertama lebih kepada games dan ice breaking je. Masa malam pun just banyak buat talk dan games yang simple.

Hari yang kedua maka bermulah program yang agak fizikal. Bermula dengan aktiviti jungle trekking menuju ke puncak air terjun. Sampai je di puncak semua peserta perlu memasak makanan dorg sendiri dengan bekalan yang dah di sediakan. Lepas makan, mandi sungai dan Solat Zohor kitaorang pun bergerak turun ke campsite. Laluan naik dan turun ikut jalan yang berbeza di mana jalan naik lagi jauh dari jalan turun tetapi jalan turun lagi lambat kerana perlu melalui kawasan yang curam betul-betul di tepi batuan air terjun tu.

Kebetulan masa turun tu hujan renyai, maka lagi best la kami gasak peserta tu ikut laluan yang licin. Ade yang menggelongsor, ade yang berguling dan macam2 lagi la style dorang. Memang berselut abis la pserta tu dari atas kepala sampai la ke kasut.

Kami sampai di campsite dalam pukul 5 macam tu. So semua peserta di arahkan membersihkan diri, solat dan siap2 untuk aktiviti malam persembahan dan BBQ. Masa semua tengah mandi sungai aku terperasan sorag budak pompuan ni dok mandi berasingan daripada kawan2 lain kat tepi sungai sambil membilas rambut dia yang agak panjang. Memang aku slalu ushar budak ni start dari hari pertama lagi. Anis namanya. Lawa beb, muka ala-ala Fasha Sanda masa bujang dulu la. Tahun 2006 kan masa tu.. Aku dok tengok je dari jauh sambal menikmati keindahan ciptaan tuhan kata orang. Hahahha…

Bila time nak solat Maghrib semua peserta berkumpul untuk berjemaah termasukla geng pompuan yang uzur. Tapi bila “tok penghulu” program kira jumlah student jadi tak cukup sorang. Aku dan kawan2 jurulatih yang lain jadi gelabah cipan la kejap pasal risau hilang di hanyut sungai ke. Jadi kami putuskan suruh student semua teruskan solat maghrib dan geng2 jurulatih yang lain pergi mencari ke mana hilangnya sorang lagi peserta tu. Nama budak yang hilang tu ANIS, budak yang sama yang aku dok ushar tu. So berkumandang la panggilan ANIS..!!! di tepian sungai sambil kami menyuluh2 mencari kelibatnya.

Aku ngan member aku (zul) mencari ke arah jalan menaik ke arah laluan atas menuju air terjun. Lepas je kami lintas satu jambatan kecil, aku nampak macam kelibat orang tengah duduk kat tepi pokok buluh di gigi air betul2 di kawasan gelongsor kolam. Terus aku mintak Zul suluh ke arah tu. Haaaa…memang betul itu ANIS. Elok je dia tengah sikat rambut sambil menyanyi lagu yang aku sendiri tak tau tajuk dia. Mungkin lagu klasik sangat kot. Tapi bila aku perhati betul2-betul dari jauh, muka dia pucat gila dan yang paling seram mata hitam dia takde.. Memang sah si Anis ni dah kena sampuk.

Terus aku roger kawan2 yang lain menggunakan walkie talkie cakap aku dah jumpa ANIS. Kami semua adala dalam 7 orang masa tu. Terus kami menghampiri Anis dan pujuk dia balik ke campsite. Anis cuma gelak-gelak manja je. Tapi bagi kami semua benda ni dah tak manja tapi seram sebenarnya. Ketua jurulatih bagi arahan suruh angkut je si Anis ni macamana cara pun. Kami pun berenam paksa dan pikul dia bawak ke campsite. Memang berat yaamat mengalahkan angkat moto. Berkali-kali jugakla kami berhenti sementara nak sampai ke campsite yang jaraknya lebih kurang dalam 700 meter je. Yang si Anis tu kejap meronta, kejap gelak dan kejap menangis sepanjang kami mengusung dia ke campsite.

Sampai je kat campsite semua student yang lain dah sedia maklum pasal keadaan Anis. Ramai geng pompuan yang memilih untuk stay jauh dari kami semua. Nasib baik dalam group pensyarah pengiring tu ade sorang ustaz. So dia la yang tolong pulihkan Anis. Macam-macam jugakla ayat yang ustaz ni baca. Dekat 30 minit ustaz tu merawat Anis. Ustaz tu memanggil kawan-kawan sekumpulan dengan Anis. Dia tanya ada tak masa pegi jungle trekking pagi tadi dorang ade terambil apa-apa barang yang pelik. Sorang kawan dia kata yang Anis ada ambil seketul batu hitam kecik masa mula-mula nak jungle trekking tu pasal dia kata batu tu cantik. Ustaz tu suruh kawan di pergi geledah khemah Anis untuk cari batu tu. Jenuh jugakla kawan2 dia menyelongkar khemah dan bag Anis dan selepas lebih 10 minit baru jumpa batu tu kat dalam bag dia.

Ustaz tu cakap yang Anis dah terambil barang benda ghaib. Benda tu marah dan nak Anis sebagai gantinya. Setelah kawtim, ustaz cakap benda tu setuju tak kacau Anis jika batu tu di pulangkan. So aku dan Zul di pilih untuk hantar batu tu ke tempat yang aku jumpa Anis kat pokok buluh awal-awal tadi. Alasan dorang kerana aku dan Zul yang jumpa dia dulu…binawe betui…

So aku dan Zul pun terpaksa jugakla melangkah pergi kat tempat yang seram tadi tu. Sampai je kat kawasan pokok buluh tu aku suluh dengan lampu dan kami sesusuk lembaga menyerupai ANIS ada kat situ dengan keadaan yang lagi seram. Rambut dia kusut, muka pucat, mata putih dan baju putih lusuh. Aku berbisik pada Zul “ini la kot yang orang panggil puntianak tu kan..” Zul hanya mengangguk dan mencadangkan untuk segera menyelesaikan misi seram kami ni. Untuk meletak batu tu dekat sebelah makhluk tu memang tak brani la aku. Gila apa nak mengadap benda tu depan-depan muka. Aku ambil keputusan untuk jalan mengudur sehabis rapat ke arah pokok buluh tu. Aku mengundur sambil Zul guide aku untuk pastikan aku sampai ke pokok buluh tu dengan sehampir mungkin. Bila Zul kata “haaa..dah boleh letak batu tu..” aku pun main campak je ke tepi dan lepas tu apa lagi….caaaabbbooottttt la. Dalam aksi ala-ala acara larian pecut sukan Olympik tu, 3-4 kali la aku n Zul tu tersungkur tersadung batu. Aku tak peduli sakit dah pasal seram gila dengar benda tu mengilai kuat dari jauh.

Sampai je kat campsite kami di sambut dengan tepukan daripada peserta dan pujian di atas keberanian kitorang. Dorang tak tau yang kami sendiri pun macam nak hilang nyawa dan tungging langgang sementara nak sampai ke campsite. Dan yang peliknya dorg tak dengar apa-apa pun suara mengilai walaupun tempat tu xdela jauh mana. Anis pula aku tengok dah sedar dan sedang ditenangkan oleh kawan-kawan dia.

Malam tu semua tak berani nak lepak luar khemah. Semua program di batalkan dan semuanya diarahkan tidur awal. Cuma kami geng2 jurulatih bergilir-gilir berjaga di kawasan pondok utama. Aku dan Zul tu dapat pengecualian pasal kami dah “kerja teruk” awal tadi. Memang tak sabra nak tunggu hari siang masa tu. Kami semua masa tu berharap agar tak ada lagi benda-benda yang mengganggu. sekian …

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Papa Arjuna

7 comments

    1. Tak berani sis…nak mengadap benda tu pun dah menggigil kepala lutut..ni kan pulak nak pegi parking betul2 tepi dia..huhuhuhu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.