Hantu atau Bunian

Salam Sejahtera buat Admin & semua pembaca. Sorry min, saya terpaksa letak tajuk sama macam kisah yang saya pernah submit sebelum ni iaitu “Hantu atau Bunian”, supaya senang saya nak cari balik. Maklum lah, usia dah meningkat. Kisah kali ni panjang sikit dari yang sebelumnya. Terima kasih admin.

Tamat intro. Kita skip terus ke kisah saya. Awal 2016 saya berkahwin dengan jejaka dari Pantai Timur yang masih kuat adat resamnya. Alhamdulillah, ditakdirkan saya bunting pelamin. Usia kandungan 6 bulan, keluarga suami nak buat Majlis Kesyukuran serentak dengan sesi “lenggang perut” yang dibuat oleh bidan kampung yang berusia lingkungan 70 – 80 tahun.

Walaupun berat hati nak buat sesi ini, saya turutkan juga dan yakinkan diri yang ini adalah Majlis Kesyukuran dan lenggang perut tanpa ada perbuatan atau perkara yang tak sepatutnya. Saya namakan bidan kampung ini Mak Nik (bukan nama sebenar). Lenggang perut yang dibuat ni, bukan lenggang dgn kelapa yaa. Adat tu dah lama tiada di negeri ni. Ianya lebih kepada asas lenggang perut seperti mengurut, buang semangat ke apa entah. Saya tak pasti orang sana panggil apa. Saya namakan buang semangat. Senang nak cerita.

Mula-mula saya jumpa Mak Nik (sehari sebelum lenggang perut) dia datang ke rumah mak mertua dan tak habis-habis melirik mata dengan tingkah saya. Banyak kali diaa pandang dan senyum. Saya masa ni husnuzon. Yela, pertama kali jumpa kan. Mesti lah kena senyum senyum. Keesokan harinya, selepas selesai mengurut, tiba masa untuk sesi “buang semangat”, kami suami isteri kena duduk berlunjur di atas kain kuning kalau tak silap. Suami duduk di sebelah kanan saya. Masa ni Mak Nik ada pegang satu tali gelung dan sambil tu dia bacakan ayat kursi di sebelah telinga kiri saya.

Apa yang mengejutkan, Mak Nik baca ayat kursi separuh kemudian disambung dengan ayat dia sendiri. “Aku pelepaskan……..”, ayat ni je saya ingat dan kami kena masuk ke dalam tali gelung, lalukan tali gelung pada badan dan keluarkan tali gelung itu ikut kepala. Paham dak? Ahahaha. Maaf saya tak pandai terangkan part ni. Habis je sesi berlenggang, Mak Nik tanya tentang ayah saya.

Untuk makluman, ayah saya pengamal perubatan islam dan agak mahir serba sedikit dengan perkara mistik dan sebagainya. 3 4 kali juga Mak Nik tanya ayah yang mana satu. Dia tunjuk seorang tetamu lelaki ni dan tanya saya “itu ke ayahnya?” Tetamu tu berbadan kurus, rendah dan kulit gelap hitam manis saling tak tumpah macam ayah. Cuma muka saja lain.

Dia sebolehnya nak tahu yang mana satu ayah. Nasib baik masa Mak Nik tanya mana ayah, ayah saya dah pun pulang ke homestay. Sebelum Mak Nik balik, dia pesan pada saya untuk datang semula mengurut dengan dia lepas bersalin nanti. Saya tak datang pun mengurut lepas bersalin. Saya takut dia letak “barang” pada saya. Tamat kisah Mak Nik disini dulu.

Penghujung 2018, saya kehilangan nenek kesayangan yang meninggal kerana sakit tua. Pertengahan 2019, bonda tunaikan hasrat arwah nenek untuk hadiahkan rumah peninggalan nenek di Terengganu kepada saya. Selepas tukar milik hartanah dibuat, saya pulang ke kl dan jalani kehidupan seperti biasa.

Sebulan selepas pertukaran nama dibuat, saya alami mimpi dimana bagi saya mimpi ni bukan mainan tidur. Mimpi saya yang pertama adalah saya didatangi dan dikepung oleh 3 perempuan yang wajahnya tidak begitu jelas. Seorang di hadapan saya, dua lagi di kiri kanan saya. Mereka bertiga ingin memberi “sesuatu” kepada saya. Saya lari dari kepungan itu dan mereka kejar saya. Saya terdengar suara anak memanggil nama saya sambil dia menghulurkan tangan dalam samar-samar kegelapan. Saya sambut tangan anak dan terus terjaga. Termenung juga masa dapat mimpi tu. Saya abaikan dan jalani harian saya dengan tenang dan santai.

Selang beberapa hari, saya mimpi lagi. Kali ni saya berada di dalam rumah kayu usang, gelap dan 3 perempuan yang sama ada dengan saya. Cuma bezanya adalah situasi. Situasi dimana ada seorang perempuan duduk bersila sambil perasap kemenyan di hadapan saya yang juga duduk bersila menghadap bekas kemenyan. Dua lagi berdiri di belakang saya kiri dan kanan. Saya tengok sekeliling dan terdetik dalam hati “kau jangan nak buat hal dengan aku”. Yang agak kelakarnya masa ni, saya lompat keluar tapi bukan keluar melalui pintu. Saya lompat keluar melalui atap rumah usang tu dan terjun ke tanah. Dah macam superman. Tak tercapai dek logik akal. Nama pun mimpi kan ? Hehe.

Di perkarangan rumah ada lagi 2 3 orang yang cuba kepung dan kejar saya. Saya terus terjaga lepas kena sepak dengan anak yang tidur di sebelah saya. Saya ceritakan dua mimpi ni kepada suami dan kakak yang kebetulan ada di rumah. Dalam hati saya tertanya-tanya siapa punya angkara ni dan saya fikir Mak Nik yang buat. Haha. Berdosanya saya buruk sangka kat orang.

Beberapa hari kemudian, saya mimpi lagi sekali. Saya berada di porch dalam perkarangan rumah arwah nenek dan kaki saya kaku tak boleh bergerak ke mana-mana. Di situ juga ada 3 perempuan yang sama berdiri dihadapan saya seolah-olah menghalang saya dari lari ke arah pagar rumah. Muka masih samar-samar tapi depa nampak macam marah sangat-sangat. Di dalam rumah pula ada abang saya yang terperangkap tak boleh keluar dari rumah. Saya terjaga dek azan subuh dan buka masej dalam whatsapp group family. Rupanya abang saya memang kena usik masa di rumah arwah nenek.

Kisah Abang : Abang balik ke rumah arwah nenek untuk jenguk keadaan rumah memandangkan kami jarang balik ke Terengganu. Abang sampai depan rumah nenek lepas Maghrib. Abang turun dari kereta, buka kunci pagar utama, tolak je pagar, tiba-tiba bulu roma abang meremang dan sejuk semacam. Abang abaikan perasaan tu, masukkan kereta di porch, masuk rumah dan buka semua lampu rumah. Terang 1 rumah. Malam tu, abang dengar bunyi orang berjalan sekeliling rumah. Abang intai ingatkan pencuri. Tak lama lepas tu, abang dengar bunyi macam orang bergaduh di luar rumah. Abang buka pintu dan tiba-tiba ada suara orang menjerit dan angin sejuk menerpa ke muka. Terus abang tutup pintu, tidur dengan lena sampai pagi. Tamat kisah abang.

Aduhai. Masa tengah taip kisah abang ni, boleh pulak keluar iklan cerita Annabelle kat tv. Kuat pulak tu. Haiyaaa. Okay, sambung balik. Lepas saya baca whatsapp abang, terus saya call bonda dan ceritakan semua mimpi-mimpi yang saya lalui. Kebetulan masa saya call, ayah tiada dirumah. Jadi perbualan berhenti disitu.

Selang beberapa jam, bonda call saya dan bagitau ayah suruh amalkan baca 3 qul, ayat kursi, alfatihah & doa tidur sebelum tidur. Minggu seterusnya ayah sekeluarga balik ke rumah arwah nenek. Setelah ayah sekeluarga balik semula ke rumah kami, terus saya call untuk tanyakan tentang rumah nenek. Ayah jawab “tak ada apa dah. Ayah dah buang semua” Tapi ayah cerita masa ayah sampai rumah arwah nenek, kepulangan ayah disambut seorang lelaki berserban dan berbaju putih berdiri depan pagar rumah. Ibarat macam tuan rumah sambut tetamu. Ayah sembang dengan lelaki tu, lelaki tu cakap dia pelajar tahfiz yang tinggal di kawasan berhampiran. Ayah pusing nak tolong abang buka pagar utama. Tak sampai beberapa saat ayah tolak pagar, ayah toleh belakang untuk sambung bersembang, lelaki tu hilang. Tak tahu pergi ke mana.

Beberapa hari kemudian, bonda call bertanyakan keadaan saya bagaimana. Akhirnya bonda buka cerita lama. Masa arwah nenek muda mudi dahulu kala, nenek jadi kegilaan ramai dek kerana kecantikan nenek. Putih, tinggi, muka manis, ayu je orangnya. Sampai ke tua arwah nenek saya cantik tau. Hehe. Arwah nenek saudara cerita kat bonda yang arwah nenek ada jumpa someone untuk dapatkan penyeri wajah. Bukan susuk, bukan saka, bukan pendamping makan d***h tapi something lain untuk naikkan seri wajah. Kemungkinan benda tu berstatus “kawan” arwah nenek. Mungkin la. Saya pun tak pasti. Bonda kata “benda” tu untuk kegunaan arwah nenek sendiri saja. Tak ganggu orang pun. Mungkin masa hidup, sebelum nenek tinggal kekal dengan bonda dan ayah di kampung, nenek berjanji dengan “benda” tu yang nenek akan balik semula rumah tu. Tapi masa di rumah bonda, kesihatan nenek terus menurun dan meninggal kerana sakit tua.

Jadi arwah nenek tak dapat tunai janji dan “benda” tu mencari teman pengganti arwah nenek. Mungkin juga saya jadi mangsa sebab saya rapat dengan arwah nenek dan saya pemilik rumah tu sekarang. Entah la, banyak nau kemungkinanya. Alhamdulillah, sejak ayah “pulihkan” rumah arwah nenek, sekarang saya dah tak dapat mimpi macam tu lagi. Tapi muka saya sebelah kiri semakin hari semakin rosak teruk dengan allergic dan j*****t yang seakan-akan makan isi kulit pipi dari dalam. Muka saya sebelah kanan cantik halus lembut saja. Pemakanan saya tak elok dan keadaan sekeliling saya tak bersih agaknya. Hmmm.

Rasanya sampai disini saja perkongsian kali ini, mohon maaf jika cerita ini tidak menikmati cita rasa korang. Sekian terima kasih.. Assalamualaikum… Jumpa lagi di lain cerita. InsyaAllah….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Nur Haa

2 thoughts on “Hantu atau Bunian”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.