Jiranku Si nenek Bongkok

JIRANKU SI NENEK BONGKOK.

Pada tahun 1985, aku tinggal di sebuah kampung di pinggir Bandar Melaka iaitu di Kampung Solok Musai. Ketika itu Negeri Melaka masih belum diishtihar sebagai bandaraya dan sekitar kediaman aku ini adalah sawah padi.
Maka ramailah kanak-kanak sebaya aku akan bermain-main di hadapan rumah paling tidak pun akan ke rumah abang Amin di pinggir sawah. Seronok sambil bermain boleh melihat abang-abang kampung pergi menangkap ikan haruan dan ikan betuk di sawah.
Permainan kami pula hanya bermain kejar-kejar dan adakala bermain ting -ting. Umur 5 tahun biasalah begitulah permainan seadanya. Aku dan abang tidak ketinggalan bermain di hadapan rumah, ada sahaja permainan yang kami mainkan. Ada juga yang kami reka sendiri seperti membuat istana pasir di bawah rumah, dan bermain perang- perang yang senjatanya kami buat daripada batang pen. Kulit buah duku dijadikan sebagai peluru. Nostalgia sungguh. Heh!
Dalam keriangan kami bermain , setiap petang itulah jiran kami iaitu seorang nenek bongkok akan memanggil kami untuk membantunya. Umurnya dalam lingkungan 90 – an ketika itu. Memakai kain tanjak di kepala, berbaju kurung kedah lusuh dan berkain batik. Itulah pakaian hari –harinya.
Aku menggelarnya sebagai nenek bongkok sebab nenek ini sudah bongkok tiga. Aku kagum juga sebab dalam usianya begitu dia masih boleh berjalan walaupun memakai tongkat. Juga masih kuat membersihkan kawasan rumah dengan penyapu lidi. Sesekali aku dipanggilnya untuk mengangkat serta mengalihkan pasu di hadapan rumah.
Untuk pengetahuan, nenek ini tinggal di rumah melayu tradisi Melaka. Rumah Melaka kau tahu-tahu sajalah ada anjung, rumah atas dan rumah bahagian bawah. Di bahagian anjungnya ada tangga yang dibuat daripada batu. Cantik. Walaubagaimanapun nenek ini hanya tidur dibahagian bawah. Manakala dibahagian atas dibiarkan begitu sahaja.
Seminggu sekali nenek bongkok akan minta pertolongan aku membuat sesuatu di rumahnya. Entah kenapa diusia itu , langsung tiada perasaan takut atau seram. Upah biskut dan RM2.00 sangat besar ketika itu. Awal tahun 90-an kawasan kampong ini memang seram. Banyak pokok-pokok besar di kiri kanan jalan. Tidak hairanlah ketika itu selepas pukul 7 malam tiada lagi kelihatan orang keluar dari rumah terutama kanak-kanak.
Nenek akan minta aku membantunya menyiapkan makanan yang diletakkan di tempat khas. Makanan itu akan diletakkan didalam daun pisang yang dihias cantik. Lupa pula makanan apa yang diletak. Yang pasti nasi adalah bahan utama didalamnya. Selepas siap dihias dan dipastikan cukup diisi makanan. Aku akan pergi ke bahagian anjung rumah dan akan memanjat ke bumbung.
Disuatu ruang khas di atas bumbung rumah, aku akan mengambil bekas yang lama dan akan mengantikan dengan yang baru. Bekas lama akan dibersihkan dan disimpan sementara menunggu bekas baru itu ditukar pada minggu seterusnya. Usai urusan selesai, aku akan dibayar RM2.00 bagi setiap pekerjaan yang aku lakukan. Ada ketikanya abang aku yang akan membuat kerja-kerja ini bila aku tiada ketika diperlukan.
Kerja-kerja ini aku lakukan di waktu siang. Tidaklah berani jika disuruh buat pada waktu malam. Impak perbuatan aku itu, dikala malam kami adik beradik akan mendengar orang bercakap di waktu malam. Kedengaran tapak kaki mundar mandir di anjung rumah nenek bongkok. Pukul 1 pagi siapalah yang rajin berjalan kesana-sini. Tiadalah saudara mara yang meramaikan rumah nenek bongkok ini melainkan anaknya yang membuka kedai runcit di hujung kampong. Itupun diwaktu pagi bila anaknya datang menghantar sarapan dan makanan tengahari.
Kami 7 beradik ketika itu akan tidur berpelukan kerana ketakutan. Selain mendengar tapak kaki, kami juga mendengar suara orang bercakap dalam bahasa asing yang susah kami fahamkan. Ada ketikanya macam bahasa orang asli. Yang pastinya, nenek bongkok itu tidak akan naik ke anjung rumah, kerana tempat tidurnya berada di bawah.

Pada suatu hari nenek bongkok telah datang kerumah aku. Menanyakan di mana ayah aku berada. Aku memanggil abah yang ketika itu baru selesai mengerjakan solat Asar. Nenek dipelawa naik ke dalam rumah. Emak pula dengan cepat membancuh kopi . Beruntungnya ketika itu kuih onde-onde buah Melaka baru siap di masak. Bolehlah makan bersama nenek bongkok. Emak pula menyambung kerja di dapur setelah meletakkan hidangan di hadapan kami.
Abah mula bersuara. “Jemputlah minum nek, air kopi je ni.”
“Iya terima kasih ler, minum bolehlah makan payah sikit gigi pun dah takde.” Nenek bongkok bercakap dengan suara terketar-ketar,sesuailah dengan usianya ketika itu.
“Ha, nek jarang datang ke rumah, mesti ada benda ini.”
“Memang ada perkara aku nak cakap kat kau, Mat. Aku dah lama perhatikan kau ni. Rasanya kau je yang sesuai.” Ketika ini aku mula merapatkan badan hampir dengan badan abah.
“Alah cerita jelah, Nenek ni lain macam pulak.”
“Sementara bini kau takde ni, aku nak wariskan ilmu aku pada kau. Aku dah tua dah tak larat.” Nenek mula mendekatkan diri dan bercakap secara berbisik.
Tiba-tiba nenek membacakan sesuatu. Tangan dia terketar-ketar. Mata tertutup manakala badannya pula berpusing-pusing. Bila matanya terbuka, nampak nenek mula menegakkan badan. Sedangkan nenek ini berjalan pun membongkok sahaja. Air mukanya nampak berubah sedikit jernih. Nyata nenek bongkok yang kami kenal sudah berubah.
“Apa khabar? Datang dari mana ni, nek?” Abah aku memulakan perbualan.
“Aku bukan nenek, aku puteri. Kenapa aku dipanggil?”
“Oh Puteri, puteri mana ya? Nenek bongkok yang panggil rasanya.”
“Aku puteri laut dalam. Yang empunya kerajaan laut dan sungai-sungai . Nama aku Puteri…” Aku tidak berani meletakkan namanya di sini.
“Ohhh, orang laut-lah ni ya. Kenapa datang ke darat?”
“Bukankah aku sudah bilang, aku dipanggil tadi, aku tidak boleh lama-lama. Nanti raja cari. Mari sini aku hadiahkan kamu ilmu pengasih dan kuat badan.”
Abah minta aku dengar dan ingat. Kakak pula yang berada di depan diminta untuk menulis mentera itu. Bacaannya pendek, menggunakan bahasa melayu aras tinggi seperti puisi. Dulu aku ingat, memandangkan sudah lama, ingatan itu hilang begitu sahaja. Kemudian puteri tadi mengucap selamat tinggal dan badan nenek kembali bongkok . Nenek sudah kembali kepada asal.
Nenek bongkok memujuk semula abah untuk mewarisi ilmu dia. Abah menolak dengan baik. Abah tersenyum dan berkata dengan lembut pada nenek agar mencari orang lain atau cucu-cucunya. Nenek nampak kecewa dan minta diri untuk pulang. Masa dia melangkah pulang, dia sempat merenung tajam ke arah aku. Kemudian menguntumkan senyuman yang menakutkan. Fuh!
Abah tahu aku hairan dan terpinga-pinga. Abah memanggil kami adik beradik. Diterangnya satu persatu agar kami faham dan jelas. Nenek tadi telah ‘menurun’ dan bertukar watak kepada Tuan Puteri. Ilmu yang diamalkannya dinamakan ilmu ‘orang laut’. Manakala makanan yang aku letak itu dipanggil ‘ancak’. Bezanya ancak ini diletak diatas rumah, ada juga yang dilalukan di air lalu biasanya di sungai-sungai ataupun laut. Pengamal biasanya panjang umur dan dikurniakan badan yang sihat walaupun telah tua. Ilmu ini biasanya diamalkan oleh para nelayan dulu kala kerana katanya boleh mendapat rezeki ikan yang lebih, selain mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini di lautan.
Tidak dapat dipastikan kenapa nenek tadi ingin mewariskan ilmunya. Mungkin ada perjanjian sebelumnya bahawa ilmu ini tidak boleh dibuang melainkan diturunkan daripada seorang waris ke waris yang lain.
Ketika aku berumur 10 tahun , kami sekeluarga telah berpindah ke rumah lain. Difahamkan nenek bongkok telah meninggal dunia dikala usianya menjangkau ke-100 lebih. 2 tahun sudah pada tahun 2016 aku balik semula ke rumah lama aku. Saja mahu mengimbau kembali kenangan masa kecil.

Rumah aku tidak berpenghuni dan dengar-dengar bertahun tidak ada yang tinggal. Dari jauh aku nampak rumah nenek bongkok masih ada. Juga tidak berpenghuni. Akar pokok sudah mula melilit sampai ke atas. Usang dan suasana begitu menyeramkan. Tingkap rumah telah senget menunggu masa untuk jatuh kebawah.
Semasa pulang aku membetulkan cermin motor kanan. Kelihatan samar –samar didalam cermin itu seperti seorang tua sedang memerhati. Sebiji seperti nenek bongkok. Aku tidak sedar yang aku telah memecut laju motor dalam kelajuan 90km sejam di kawasan kampung. Nasib baik tidak langgar pokok.
Sekian.

Karya: Ibnu Ahmad.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

IBNU AHMAD

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

24 thoughts on “Jiranku Si nenek Bongkok”

    • korang kene tau bende ni boleh baca hati dan pemikiran kita.So berjaga2.even x sebut dalam mulut tapi dalam hati.Masih ada yg mendengar.Untuk kebaikan jangn tanya banyak soalan yg x dak faedah….

      Reply
  1. Penulis takut nk tulis nma puteri tu sbb tkut pembaca menyalahgunakan nma puteri tu…
    klu btl,tkut disalahgunakan,pastu kne kecam.
    klu xbtul,tkut die yg kne kecam.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.