Kereta

Hari rabu, waktu makan tengah hari bertempat di sebuah restoran makanan kampung. Selesai makan sambil duduk dengan rakan-rakan pejabat, aku buat rancangan untuk pergi ke kampung Anis. Anis memberitahu di kampungnya, abahnya ada dua buah kolam ikan. Ikan pun banyak dan besar.

“Ikan apa Anis ada dalam kolam abah awak tu?” tiba-tiba Atan yang duduk sebelah aku menyampuk.

“Macam-macam ada,” jawap Anis tergelak sambil menyirup Nescafe panas.

“Anis! Aku serius ni!” Kata Atan fed-up tengok Anis.

“Ok-ok! Ikan Pacu ada, Rohu ada, Patin ada, Talapia Merah ada, Haruan ada. Udang galah pun ada tapi kat kolam satu lagi,” kata Anis dengan detail.

“Ohh ya! Ikan Keli Afrika tak ada sebab abah tak suka ikan tu,” kata Anis lagi yang tahu jenis-jenis ikan.

Biasalah kalau abah sudah ada kolam ikan tapi tentang pancing ikan Anis tidak berapa suka. Kalau pancing jantan, Anis suka kot.. hahaha. Aku memang terpengaruh apabila mendengar cerita Anis. Satu perkara lagi, Anis kata memang abahnya buat kolam ini untuk memancing bukan untuk dijual.

Aku pun berpakat dengan rakan-rakan pejabat yang kaki pancing untuk ke kampung Anis. Lagipun hari jumaat ni Public Holiday ada tiga hari cuti. Akhirnya persetujuan tercapai, lima orang setuju ke kampong Anis. Aku dipanggil sebagai Botak bertugas sebagai kerani. Encik Zam seorang duda mempunyai anak tiga bertugas sebagai penolong HR. Atan seorang penghantar Surat.

Anis seorang gadis lincah minah K-Pop sudah tentu G-Dragon artis pilihannya. Anis bertugas sebagai kerani akaun. Akhir sekali Fika gadis bertudung bertugas sebagai penyambut tetamu. Fika sebenarnya tidak minat memancing, saja pergi kampung Anis untuk tenangkan jiwa sebab baru putus cinta.

Kami akan pergi ke kampung Anis pada jumaat malam selepas solat isyak. Menaiki MPV Encik Zam. Kampung Anis tidak jauh sangat hanya di Rembau, Negeri Sembilan. Kami semua akan berkumpul di rumah Atan di Ampang.

*

Hari khamis selepas waktu pejabat, kami pergi shopping tapi bukan shopping kat KLCC cuma ke kedai pancing untuk membeli barang tambahan memancing. Encik Zam belikan satu set pancing untuk Fika.

“Fika! Ni I belikan untukk you,” kata Encik Zam sambil menghulur pancing jenama murah yang telah siap dibayar.

“Ohh! Betul ke Encik Zam? Thanks,” kata Fika tersenyum macam Yuna.

“OK! Belajar pancing boleh tenangkan jiwa” kata Encik Zam seperti faham masalah Fika.

“OK Encik Zam!” Kata Fika agak malu. Aku diam hanya melihat saja tapi dalam hati berbisik

“En Zam nak pancing ikan lain ni!” Aku tergelak sendiri.

“Botak, lu pakai pancing apa nanti?” tanya Atan yang sedang melihat-lihat batang joran.

“SHINAMO kot,” jawab aku sambil membelek mata kail di dalam bekas.

“Ala pakai DAM la, apa-apa nanti senang,” jawap Atan sungguh-sungguh.

“Tengok la nanti,” kata aku ringkas yang leka memilih mata kail. Setelah selesai membeli kami pun beredar.

*
Hari jumaat malam, selepas Solat Isyak semua telah berkumpul di rumah Atan menunggu kedatangan Encik Zam. Sedang menunggu, tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi, tertera di skrin nama Encik Zam.

“Hello! Encik Zam kat mana ni, semua orang tengah tunggu ni,”

“Ohh! Ya ke? Tak apa Encik Zam selesaikan dulu masalah Encik Zam. Kami tunggu disini!”

Aku maklumkan pada semua, Encik Zam terpaksa datang lewat sedikit sebab hal yang tidak dapat di elakkan. Semua mengeluh. Atan mencelah bersuara.

“Pancing malam pun best.” Aku diam saja.

Dalam pukul 11.30 malam. Encik Zam tiba.

“Maaf semua!” Kata Encik Zam sebaik saja keluar dari MPV birunya.

“Tak apa Encik Zam,” jawap Fika dengan tudung kepala berwarna biru dan berbaju t-shirt ketatnya.

Setelah semua barang-barang di simpan ke dalam MPV, maka bermulalah perjalanan ke kampung Anis. Aku duduk di depan sebelah Encik Zam. Anis, Fika duduk di kerusi bahagian tengah dan Atan duduk kerusi belakang. Encik Zam tahu jalan ke Rembau cuma jalan ke kampung Anis, Encik Zam tidak tahu. Anis kata. “Nanti saya akan tunjukkan jalan bila dah sampai area Rembau.”

Dari Ampang MPV Encik Zam bergerak terus ke Cheras, kemudian ke tol Sungai Besi. Selepas tol bermulalah perjalanan di lebuh raya KL-SELATAN. Baru lima minit di lebuh raya Anis menghulur CD kepada aku.

“Abang! Pasang CD ni!” kata Anis tersenyum kepada aku.

“Lagu apa ni!” Kata aku menyambut CD di tangan Anis.

“Lagu K-Pop la tu,” sampuk Atan dari kerusi belakang.

“Budak indie diam!” Jawap Anis sambil menjeling ke Atan.

Atan dan Anis memang seperti itu perangainya walaupun di pejabat. Seorang anjing, seorang lagi kucing memang tidak boleh rapat tapi ada satu perkara yang mereka serasi iaitu bab duit. Mereka akan tolong menolong antara satu sama lain.

Akhirnya aku masukkan CD Anis di CD player maka berkumandang lagu Sexy Girls nyanyian G-Dragon di tengah malam lebuh raya. Terenjut-enjut kepala Anis mengikut irama lagu itu. Encik Zam tersenyum saja. Fika mengelamun memandang ke luar tingkap dalam dunianya sendiri. Atan buat tutup telinga perli ke Anis.

MPV Encik Zam terus bergerak laju di lebuh raya. Sampai saja di kawasan Nilai Encik Zam memotong sebuah kereta buatan Malaysia yang dipandu seorang wanita muda.

“Nak bawa perlahan masuk la lorong kiri, perempuan-perempuan,” kata Atan sambil menjeling ke tingkap.

“Biasa la pempuan banyak duit, banyak perempuan pakai kereta sekarang,” jawab Anis memulakan pergaduhan.

“Memang la banyak duit, duit laki sponsorkan, betul tak?” Kata Atan lagi.

“Siapa suruh sponsor!” Kata Anis sambil ketawa. Encik Zam mencelah bersuara dengan memandang cermin tengah.

“Fika! kenapa senyap ni,”

“Tak ada apa-apa Encik Zam!” Kata Fika tersentak.

“Kita kan tengah holiday ni, happy la sikit. Ni murung je!” kata otai masih berdosa, eh silap. Otai masih berbisa.

“OK sorry-sorry,” jawap Fika tersedar dari lamunan.

CD G-Dragon telah lama keluar dari CD player. MPV Encik Zam masih bergerak laju di lebuh raya. Kini MPV Encik Zam telah melepasi kawasan Seremban seterusnya hampir sampai ke persimpangan Senawang/Kuala Pilah.

“Botak sampai rumah Anis nanti nak terus pancing ke?” Tanya Encik Zam.

“Boleh gak test power!” Jawab aku memandang wajah Encik Zam.

“Anis! Boleh pancing tak sampai nanti?”

“Nak berkhemah pun boleh,” jawap Anis sambil tergelak.

“Ke situ pulak!” kata aku.

Jam di dashbox menunjukkan pukul 12:20 pagi. Tol Pedas/Linggi berada di hadapan. Berkelip-kelip lampu isyarat MPV Encik Zam menyusur ke lorong kiri masuk ke kawasan tol. Selepas membayar tol, terdapat simpang tiga di depan. En Zam membelok ke kiri untuk ke Rembau.

“Malam ini gelap sungguh, langit pun tak berbintang. Cahaya bulan pun tak ada dan lampu jalan raya pun tak menyala,” kata Anis bercakap bersendirian sambil memandang ke luar tingkap. Dalam sepuluh minit meninggalkan kawasan tol.

“Wah! kereta drift tu,” Jerit Atan buat lawak.

Semua pandang ke kiri jalan, kelihatan sebuah kereta Datsun 120Y, plat no NA?? dengan warna PUTIH KAPAS bersih berhenti di tepi jalan.

“Wah! Kereta lama tu nampak cantik lagi. Pandai ownernya jaga,” kata Encik Zam memuji.

Aku hanya memandang kereta itu semasa melintasinya, aku cuba melihat siapa pemandunya tetapi tidak nampak.

“Anis! U kenal ke sapa owner kereta tu?” tanya Encik Zam.

“Tak! Kereta ni pun tak pernah nampak ini first time nampak.”

“Kereta antik tu kan?” Tanya Fika yang turut memandang.

“Lebih kurang macam tu, tapi nampak cantik lagi,” kata Encik Zam memuji lagi kereta itu. Sedang asyik berbual bertempik Encik Zam.

“YA ALLAH!” Ditekan brek rapat. MPV berhenti serta merta secara mengejut.

“Kenapa Encik Zam?” kata aku yang masih terkejut.

“Ada kucing hitam tadi melintas!” Jawab Encik Zam sedikit panik. Aku turun dulu, diikuti Encik Zam dan akhirnya semua orang turun. Aku lihat tiada apa-apa.

“Betul ke Encik Zam nampak kucing tadi?” Tanya Anis yang masih dalam keadaan terperanjat.

“Ya! I confirm I nampak tadi,” jawap Encik Zam tegas. Atan pusing keliling MPV dicelah tayar pun Atan periksa tapi tiada ada apa-apa. Fika pula menyampuk

“En Zam mengantok kot,”

“Tak, I masih OK lagi!” Encik Zam menafikan. Sedang kami berbual-bual di tepi jalan, dari jauh sayup-sayup kedengaran.

~OHHH, AKU TERGODA…..
DARI KERNA MATA YANG MEMPUNYAI KUASA…~

“Lagu lama tu!” Kata Encik Zam memandang ke arah lagu itu. Semua mata tertumpu memandang ke arah depan bertentangan jalan.

Apabila lagu itu senyap, serentak kedengaran bunyi enjin kereta yang agak pelik seperti bunyi kuda berlari. Akhirnya kereta putih itu menjelma di hadapan kami.

“Ni kereta tadi ni,” kata Atan pandang ke arah kereta itu.

Kereta itu bergerak perlahan menuju ke arah kami. Apabila berada sebelah MPV, kereta putih itu berhenti. Aku cuba melihat pemandunya tapi tetap tidak berjaya kerana cermin kereta putih itu berwarna kekuningan seperti lumpur kering melekat di seluruh cermin kereta itu.

“Tadi tak nampak pun cermin kereta ni warna kuning,” bisik hati aku.

“Macam mana nak memandu kalau cermin macam ni,” bercakap seorang aku kali ini. Aku lihat pelik betul bingkai cermin kereta ini kerana diperbuat daripada kayu.

“Hello Encik!” Kata Atan cuba bertegur pada tuan empunya kereta tapi tak berjawab. Kereta itu masih berhenti di depan kami tanpa berbuat apa-apa pergerakan pun. Pemandu kereta itu pun tidak tunjukkan diri cuma bunyi enjin kereta yang pelik itu saja kedengaran. Hampir berapa minit kereta itu bergerak semula dengan perlahan meninggalkan kami.

“Apa maksud semua ini?” bisik hati aku. Dari jauh kedengaran lagi lagu

~OHHH, AKU TERGODA…..
DARI KERNA MATA YANG MEMPUNYAI KUASA…~

Kami berpandangan sesama sendiri. Setelah semua masuk ke dalam MPV, Encik Zam menghidupkan enjin dan MPV terus bergerak.

“Siapa tadi?” Tanya Fika pada semua orang. Semua diam tidak tahu jawapan.

“Anis! Awak pasti ke tak kenal tuan punya kereta tu?” ulang aku pada Anis.

“Tak tahu abang,” jawab Anis ringkas.

MPV Encik Zam terus bergerak sampai saja di BULATAN jalan, En Zam terus mengambil arah pukul tiga untuk ke Rembau. Di dalam MPV, aku membuka tingkap untuk merokok. Dalam tiga, empat sedutan. Tiba-tiba…

~OHHH, AKU TERGODA…..
DARI KERNA MATA YANG MEMPUNYAI KUASA…~

“Lagu tadi…” bisik hati aku. Aku pandang cermin sisi tetapi tak nampak apa, aku terus menoleh kebelakang.

“Kenapa Botak?” Tanya Encik Zam.

“Saya rasa kereta tu ada kat belakang kita” kata aku masih memandang ke belakang.

Aku mengarah semua orang membuka tingkap, semua mengikut kecuali atan sebab tingkap tempat duduk belakang memang tidak boleh dibuka. Lagu itu senyap, keadaan sunyi seketika hanya kedengaran desiran angin saja. Semua orang diam hanya mata bergerak memandang keliling.

~OHHH, AKU TERGODA…..
DARI KERNA MATA YANG MEMPUNYAI KUASA…~

“Ya-ya! I dengar,” kata Fika yang agak panik. Aku cuba pastikan dari mana datang lagu itu, confirm dari belakang tapi apabila aku lihat ke belakang tidak ada apa pun.

“Ada rumah orang kot kat sini, mungkin ada orang pasang radio kuat,” kata Anis cuba buat andaian untuk hilangkan perasaan takut.

“Mana ada rumah orang kat sini. Cuba tengok!” Kata Atan liar matanya melihat keluar tingkap. Aku lihat kiri dan kanan jalan hanya semak dan pokok saja. Lampu jalan pun tidak menyala malam ini. Fika menjerit.

“Eik! Kereta tu sebelah ni!” Semua orang pandang ke kanan, memang betul kereta itu berada seiring dengan MPV. Encik Zam berkata dengan nada terkejut.

“Meter I menunjukkan 80 km/j, macam mana kereta tu boleh ada sebelah kita dengan tiba-tiba saja?”

Semua hanya diam dan melihat apa yang akan berlaku. Encik Zam perlahankan MPV dengan niat memberi kereta DATSUN 120Y berwarna putih itu memotong, tapi tidak berlaku. Sebaliknya kereta putih itu hanya bergerak seiring saja. Encik Zam, Fika dan Atan yang paling hampir sekali dengan kereta itu. Aku dan Anis terpaksa mendongak ke kanan untuk melihat.

“Apa masalah kereta ni?” kata Encik Zam .

“Encik Zam! Tekan minyak!” Aku beri idea. Encik Zam diam hanya mengikut saja.

“Cepat! Encik Zam p****g kereta tu!” Anis pula menyokong kata aku.

“Cepat! Encik Zam!” Kata Anis lagi.

“I dah tekan minyak tapi MPV ni macam tak bergerak saja, jarum meter pun tak bergerak,” tinggi nada Encik Zam.

Kereta putih itu masih bergerak seiring dan orang di dalam kereta masih tidak kelihatan sebab cerminnya terdapat lumpur kering berwarna kekuningan. Atan bersuara agak kuat.

“Cuba tengok ni! Cermin kereta tu terbuka sikit,”

Semua pandang ke arah kanan dengan senyap tanpa berkata apa, sambil memandang ke arah kereta itu aku bersuara pelahan tapi jelas.

“Semua tutup tingkap!” Semua orang mengikut sambil memandang ke arah kereta itu.

Encik Zam menekan minyak cuba memotong tapi masih tidak berjaya seolah MPVnya melekat pada kereta putih itu. Akhirnya tingkap kereta itu terbuka luas, kelihatan seorang makcik duduk di sebelah pemandu.

Makcik itu mungkin berumur dalam lewat 50an dan seorang anak perempuan berumur dalam 6 tahun duduk dikerusi belakang. Mereka hanya duduk diam sambil melihat ke depan walaupun tingkap kereta mereka terbuka. Pakaian mereka semua berwarna putih. Atan membuka cermin tingkap di sebelah Fika.

“Pakcik! Dah bagi p****g, p****g la. Bahaya macam ni!” kata Atan menjerit marah.

“Atan diam!!” Kata aku pandang ke arah Atan. Serius wajah aku. Di dalam hati aku berbisik ada yang tidak kena ini. Fika bersuara tergesa-gesa.

“Tengok! Makcik tu pandang kat kita!”

Aku yang duduk dalam keadaan tidak selesa terus pandang ke kanan. Aku lihat wajah makcik itu pucat seperti tiada d***h. Makcik itu memusing kepalanya perlahan, akhirnya pandang tepat ke arah Fika dengan wajah yang serius.

Dalam keadaan bertentang mata itu, tiba-tiba saja mata makcik itu terkeluar dan tergantung. Biji mata makcik itu betul-betul tergantung di pipinya. Tersentap Fika, Anis menjerit sekuat hati. Encik Zam, aku dan Atan hanya tergamam. Dalam keadaan panik dan kelam kabut.

“Encik Zam kerbau di depan!” Bertempik Aku. Mujur MPV Encik Zam tidak laju dan dapat dikawal. MPV berhenti serta merta. Aku pandang ke kanan, kereta itu telah hilang.

“Mana pergi kereta itu!” Kata Atan pandang sekeliling. Encik Zam dan aku cuba tenangkan Anis dan Fika.

“Hantu! Hantu!” kata Fika menangis dan menggigil. Anis tidak bersuara apa-apa hanya menutup muka menangis juga menggigil. MPV masih berhenti di tepi jalan

“Anis! Fika! You all ok?” Tanya Encik Zam memandang ke belakang. Anis dan Fika hanya mengangguk kepala saja tanpa berkata apa.

Encik Zam start enjin MPV dan bergerak semula, aku lihat Fika masih memegang botol mineral yang telah dijampi oleh Encik Zam. Atan diam di tempat duduknya di belakang, semasa berhenti tadi Atan beritahu aku.

“Botak! Aku nampak real kereta tu tak ada tayar. KERETA HANTU tu!” Kata Atan dalam perasaan takut. Aku hanya diam saja semasa Atan bercerita.

Sebelum bergerak aku ada bertanya pada Encik Zam apa kita hendak buat sekarang. Encik Zam kata kena terus juga perjalanan. Di dalam MPV aku lihat telefon bimbit tidak ada line, jam di dashbox menunjukkan pukul 1:30 pagi.

“Encik Zam sepatutnya kita dah sampai ke kampung Anis,” kata aku sambil memandang ke wajah Encik Zam.

“I pun tak tahu Botak, cuba U tengok di depan,” kata Encik Zam menunjukkan jari ke cermin depan.

“Eik tebalnya kabus dah macam kat alam lain!” Kata aku memandang keliling.

En Zam memasang lampu HIGH BEAM kerana kabus tebal itu. Tidak sampai 10 minit MPV bergerak. Tiba-tiba…

~OHHH, AKU TERGODA…..
DARI KERNA MATA YANG MEMPUNYAI KUASA…~

“Alamak!!!!” bisik hati aku.

Aku pandang Encik Zam, Encik Zam pun pandang ke arah aku juga. Bila lagu itu berhenti saja, sepantas kilat kereta putih itu muncul betul-betul di depan MPV. Encik Zam menekan brek dengan serta merta, tersentak dan terhumban ke depan semua orang. Semua orang memandang ke depan.

“I nak balik! I nak balik!” serentak Fika bersuara menangis ketakutan.

“Encik Zam! Kita patah balik KL, tak payah pergi kampung I,” kata Anis pula dalam menangis.

“Dah tak boleh, kita sebenarnya dalam tempat yang sama. Kita seperti duduk dalam sangkar dan tak tahu mana jalan keluar,” kata Encik Zam dalam nada agak keras. Encik Zam seperti sudah tahu sesuatu.

“Apa Encik Zam? Aduh m**i! M**i macam ni!” kata Atan mengeluh.

Kereta putih itu berhenti apabila Encik Zam menghentikan MPVnya. Semua mata tertumpu di depan, tiba-tiba pintu pemandu terbuka. Aku sudah bersiap tidak tahu bersiap untuk apa. Aku melihat kaki seseorang keluar dari kereta dan akhirnya kelihatan seluruh tubuh pemandu itu.

Seorang pakcik yang berwajah amat mengerunkan, berambut putih beruban, berpipi cengkung, bertubuh kurus tinggi, dan berkulit putih pucat. Pakcik itu memakai seperti baju melayu berwarna putih dan seluar putih. Pada mulanya pakcik itu hanya berdiri kaku dengan pandangan tajam memandang ke arah kami, kemudian berjalan perlahan menuju ke kami. Jalannya agak pelik seperti tulang kakinya patah.

“Apa kita nak buat ni, Botak” kata Encik Zam.

“Kita reverse! Encik Zam” kata aku dengan nada tergesa-geza.

Encik Zam terus menukar gear Reverse dan bergerak laju Mpvnya ke belakang, makin laju MPV itu bergerak, makin dekat pakcik itu dengan MPV. Pelik! Seolah-olah MPV itu tidak bergerak langsung. Tiba-tiba enjin MPV berhenti serta merta.

“Kenapa! Encik Zam?” Tanya aku di wajah jelas ketakutan.

“I pun tak tahu!” Encik Zam cuba start enjin berulang-kali namun tetap tidak berjaya.

“Lock semua pintu!” kata aku . “Prakk” semua pintu MPV terkunci tiada apa yang boleh buat sekarang, semua orang hanya memandang ke arah pakcik itu.

Pakcik itu masih melangkah dengan pelahan menuju ke MPV dalam jarak terdekat dari BONET. Pakcik itu hentikan langkahnya tapi pandangan tajam menakutkan tidak terlepas. Encik zam, aku dan Atan masih memandang kaku ke arah pakcik itu. Pandangan yang bercampur takut, berdebar, dan bermacam-macam lagi.

Anis dan Fika tunduk menutup mukanya ke peha mengigil dan menangis. Encik Zam dan aku yang paling hampir dengan pakcik itu, tidak dapat aku hendak katakan hanya tuhan yang tahu perasaan aku. Pakcik itu masih berdiri dengan pandangan tajam ke arah kami.

Kelihatan kepala pakcik itu bergerak-gerak dan bergoyang-goyang ke kiri dan ke kanan. Diiringi suara pakcik itu meraung. Terdengar juga seperti geselan tulang yang berlaga-laga. “Prappp!” Tiba-tiba kepala pak cik itu terjatuh, bergolek ke jalan bagaikan bola.

Pakcik itu berdiri menghadap kami tanpa kepala, seolah-olah memandang pada kami. Bergoyang-goyang badannya. Perlahan pakcik itu tundukkan badannya, tangan kirinya meraba terus memegang rambut kepalanya lalu diangkat. Akhirnya berdirilah pakcik itu tanpa kepala dan tangan kiri memegang kepalanya.

“Ya ALLAH!!!” kata Encik Zam dalam terperanjat besar.

Aku rasa macam tidak ada lutut lagi. Atan hilang dari pandangan, tersorot di belakang kerusi. Encik Zam cuba lagi menghidupkan enjin tapi tetap tidak berjaya. Dengan tanpa kepala, pakcik itu mula melangkah perlahan ke arah kami.

“Ahhh! Apa nak buat ni!” kata Encik Zam bercakap bersendirian dalam tidak tentu arah. Aku rasa seperti terkencing dalam seluar.

Anis dan Fika seperti kena histeria, menjerit-jerit dengan tangan ditutup ke muka. Sebenarnya mereka tidak tahu apa yang berlaku sebab selepas kejadian pertama kerana mereka lebih banyak menutup muka. Apabila dengar suara aku dan Atan yang dalam ketakutan, mereka dapat rasakan sesuatu menakutkan telah berlaku itu sebab mereka jadi histeria.

Aku terselit di bawah dashbox, dengan mata tertutup. Aku terdengar pintu pemandu di buka. Aku pasti Encik Zam yang membuka. Seketika aku dapat dengar suara Encik Zam melaungkan AZAN ke arah pakcik itu, terdengar jeritan pakcik itu dengan suara yang mengerikan dan meraung seperti kepanasan dan ketakutan.

Aku perlahan mendongak muka pandang ke cermin depan, apa yang aku lihat semuanya telah hilang dan lenyap termasuk kereta putih itu. Encik Zam masuk ke dalam kereta semula, dijatuhkan perlahan kepalanya ke stereng sambil mengeluh panjang.

Keadaan kembali tenang. Tiba-tiba Anis dan Fika bertempik menjerit sambil membuka pintu MPV. Aku yang masih dalam ketakutan terpaksa keluar mengejar mereka. Encik Zam dan Atan mengejar Fika. Aku seorang mengejar Anis. Fika berlari keseberang jalan mujur Encik Zam dapat menangkap.

“I nak balik! I nak balik!” Jeritan Fika yang dapat aku dengar.

“Mengucap Fika!” kata Encik Zam cuba memujuk.

“I takut! I takut! I DATANG BULAN, benda tu suka kacau perempuan yang badan kotor macam I. I takut!” Fika berterus terang. Ketakutan menguasai dirinya

“No! No! You jangan percaya. I dengan Atan ada ni!” Encik Zam cuba pujuk. Usaha Encik Zam berhasil Fika berjaya dipujuk dan dibawa ke MPV.

Anis tidak banyak bercakap, hanya duduk di tepi jalan dengan menunduk mukanya ke peha dalam keadaan ketakutan. Setelah Anis dan Fika ditenangkan dengan air jampi yang diberi oleh Encik Zam. Aku bertanya pada Encik Zam.

“Apa kita nak buat Encik Zam?” Encik Zam diam berfikir, kemudian bersuara.

“Kita patah balik KL saja Botak!”

“Ok! Encik Zam! Saya setuju!” Jawapan yang memang aku menantikan.

Aku lihat Atan tidak banyak bercakap, cuma sesekali Atan cuba memberi kata semangat pada Anis. Aku bawa Anis dan Fika masuk ke dalam MPV. Setelah semua selesai MPV bergerak, sampai pada satu simpang Encik Zam terus membuat U-TURN untuk balik ke Kuala Lumpur. Tidak ada lagi cerita tentang memancing.

Encik Zam memandu berhati-hati kerana kiri dan kanan jalan penuh dengan kabus tebal. Jam di deshbox menunjuk pukul 3:30 pagi, semua orang senyap saja. Anis dan Fika sudah tertidur, Atan menjaga mereka. Aku membuka tingkap untuk merokok, Encik Zam minta sebatang rokok daripada aku. Aku pandang tepat ke wajah Encik Zam kerana aku tahu Encik Zam sudah berhenti merokok hampir 10 tahun, tapi aku berikan juga. Sedang aku dan Encik Zam menghisap rokok, serentak itu juga.

~OHHH, AKU TERGODA…..
DARI KERNA MATA YANG MEMPUNYAI KUASA…~

Aku dan Encik Zam saling berpandangan. Aku pandang ke tempat duduk belakang, besar biji mata Atan pandang ke arah aku. Aku letak jari telunjuk ke mulut tanda diam kemudian aku tunjuk jari aku pada kedua perempuan maksudnya jangan beritahu mereka. Atan faham dengan mengangguk kepala.

Lagu itu senyap, aku dan Encik Zam tahu pasti kereta putih itu akan muncul. Encik Zam terus menekan pedal minyak rapat ke lantai MPV cuba jauhkan selagi yang boleh. Walaupun tidak tahu dari mana kereta putih itu akan muncul. Encik Zam masih menekan pedal minyak, di meter menunjukkan 120km/j. Sepantas kilat di langit aku menjerit.

“Encik Zam kereta tu depan kita!!!”

Dengan pengalaman 27 tahun memandu Encik Zam cuba buat yang terbaik. Encik Zam bunyikan hon tanpa henti. Setiap kali Encik Zam cuba mengelak, setiap kali itu juga kereta itu akan menghalang.

“Memang kereta ni nak kita m**i!”

Aku diam dalam keadaan panik dan ketakutan. Tangan aku pegang kuat pada pemegang tangan di atas. Tiba-tiba kereta putih itu hilang serta merta. Encik Zam perlahankan MPV sambil melihat keliling tapi tidak kelihatan kereta itu. Encik Zam terus menekan pedal minyak bergerak selaju yang boleh untuk meninggalkan kawasan ini. Sedang bergerak laju, kelihatan muncul sebuah kereta yang lain bergerak bertentangan menuju ke MPV.

“Kereta lain ke ni!” Bisik hati aku.

Oh! rupanya tidak, kereta yang sama. Kereta putih itu telah menunjukkan wajah yang sebenar. Di depan aku kini sebuah kereta buruk yang hanya tinggal rangka dan bumbung saja, tidak ada lagi warna putih yang kelihatan hanya warna karat saja. Betul seperti kata Atan, kereta ini tidak ada tayar memang KERETA HANTU. Aku cuba perhatikan lagi apabila kelihatan sesuatu di atas bumbung kereta itu.

“YA ALLAH!” Aku tergamam dan aku pandang ke arah Encik Zam yang juga terkejut. Rupanya PAKCIK HANTU, MAKCIK HANTU, DAN ANAK HANTU yang berada di atas bumbung kereta itu sambil tersenyum memandang ke arah kami dan kereta ini bergerak sendiri.

“ALLAHHH! BANGGG!!!” Satu bunyi yang kuat seakan letupan kedengaran. Malang memang tidak berbau MPV Encik Zam akhirnya bertembung dengan kereta hantu itu.

Di hospital apabila aku sedar kedua-dua tulang peha aku telah patah, muka aku penuh kesan luka terkena kaca cermin. Encik Zam telah tercampak keluar dari MPV dan kepala Encik Zam terkena hentakan kuat di atas jalan raya, tulang rusuk Encik Zam juga patah. Sekarang Encik Zam koma.

Anis dan Fika patah tangan. Fika kena sepuluh jahitan di kepala. Atan yang paling selamat hanya luka ringan saja. Polis menyatakan kemalangan ini berpunca dari pemandu yang tertidur lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan. Bagaimana pun aku bersyukur pada Tuhan kerana aku, Atan, Anis,dan Fika masih hidup. Encik Zam aku doakan akan sedar dari koma. Tamat.

Zambri Perasan.

HAntar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

DJ Zambri

6 thoughts on “Kereta”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.