Kerja Hotel

Hai semua, nama aku Lala, aku nak ceritakan beberapa cerita mistik yang aku alami. Sebelum tu, aku nak bagitahu sedikit background aku, aku punyai ijazah, selepas graduate aku susah nak dapat tempat dalam bidang yang aku belajar, sambil menunggu panggilan kerja, aku jadilah minah kilang, 3 tahun jugak lah aku kerja kat kilang tu, disebabkan aku dah benak kerja macam tu, aku cuba-cuba lah apply kerja lain, kali ni nak cuba kerja dalam bidang yang aku minat pulak iaitu kerja hotel.

Disebabkan aku ni tiada pengalaman, ijazah aku pun tak boleh guna pakai, aku apply jela kerja housekeeping. Tak perlu pengalaman pun. Tapi aku cakap lah terus terang yang aku ni lepasan ijazah, so pemilik tu pun letak lah aku sebagai head division untuk housekeeping. Gaji pun boleh tahan jugak lah dia tawarkan, lepas tu dia janji kat aku, bawahan aku ada 6 orang staff. Tapi indah khabar dari rupa.

Sampai je aku kat Pulau tersebut, dengan ilmu yang kosong ni, aku start la kerja berdua je.. bukan bertujuh macam yang dijanjikan ya (mata keatas, tangan dibahu), bilik yang aku kena hadap lebih kurang 40-50 buah jugak lah. First day kerja, manager minta kami berdua checking bilik je, lepas tu barulah training bagai. Dah pandai buat kerja, dia lepas kan kami berdua buat kerja sendiri. Ada masa kami cleaning berdua, ada masa kami berpecah buat sendiri-sendiri, salam perkenalan of course lah ada. Time tu aku buat cleaning sendiri, aku ingat lagi nombor bilik tu, bilik hujung sekali. Sebelum masuk bilik, aku akan bagi salam dulu, dah masuk tu aku buka lagu kuat-kuat dari Mp3 phone aku untuk hilangkan bosan.

Tengah sibuk-sibuk tukar linen cadar bagai, lagu justin bieber berkumandang, aku apa lagi, join la nyanyi lagu ‘baby.. baby.. baby ohh..” tiba-tiba Mp3 aku kena ‘pause’. Aku tak fikir apa dah, pergi kat phone (biasa aku letak atas meja kopi ruang tamu) aku tekan ‘play’ balik. 3-4 kali jugak lah kena game ‘pause play’ sampai lagu baby tu habis. Meremang pun iya jugak, tapi aku buat tak hirau je, aku niat kat hati yang aku datang sini nak kerja. Lepas lagu ‘Baby’ tu, autoplay pulak lagu ‘Bismillah’ dari Raihan. Memang sampai kesudah dia tak pause lagu tu. So aku pun habiskanlah kerja aku dengan tenangnye. Lepas dari tu, bilik seterusnya aku tiada gangguan. Mp3 On terus.

Hari lain, aku buat kerja berdua dengan staff aku yang sorang tu (aku namakan dia staff jela disini), tengah berjalan berdua dekat koridor, tiba satu bilik tu, tombol pintu dia bergegar, macam ada orang gegar dari dalam nak keluar, padahal kami berdua tahu yang tiada penghuni kat dalam untuk harini. Dan aku ni memang blur orangnya, kena ambil masa dulu nak proses apa benda tengah jadi kat depan mata aku ni, aku tenung lama kat tombol tu,bergegar-gegar tapi tiada juga orang yang keluar. Sekali pandang depan, tengok staff aku tu dah lari, aduhai. Aku pun ikut lah berlari. Macam biasalah, kami akan ceritakan pada manager kami, tapi dia balas dengan senyuman je.

Hari lain, ada 1 hari tu, manager kami minta kami kira inventory, simpan stok linen di dalam cabinet setiap bilik, dan ada 1 bilik ni, kami habiskan masa agak lama dalam bilik tu, bilik di aras bawah, kebanyakan bilik level aras ni kami tak buka untuk dihuni, sebab kebanyakkannya milik persendirian. Jadi aras tersebut banyak yang kosong. Jadi kami guna bilik tu untuk melipat balik linen dan susun sebanyak linen yang boleh kami simpan. Memang masa kami banyak habis di bilik tu, dan kali ni staff aku pula yang buka Mp3, sambil dengar sambil kami besenandung ikut lagu, tiba-tiba aku rasa tak sedap hati, jadi aku diamkan dan dengarkan kalau staff aku tu ikut juga bersenandung, tetapi tidak pun, dia pun berdiam diri sambil memandang aku, bunyi suara bersenandung seakan-akan suara kami tadi masih kami dengar. Walhal kami sedang diam berpandangan. Aku bagi signal pada staff untuk bungkus balik linen dalam beg dan cepat-cepat keluar, sehabis sahaja kunci pintu bilik tersebut, kami berlari ke reception. Tapi masih juga manager kami balas dengan senyuman sahaja.

Hari lain, Aku dapat staff baru berjantina lelaki, dua tiga hari tu kami buat kerja bertiga, bila aku rasa dia dah boleh buat sendiri, aku pecahkan kami bertiga buat kerja sendiri-sendiri. Budak baru ni memang kuat mencarut, waktu kami kerja bertiga pun, kalau pintu tertutup sebab angin, habis dicarutnya pintu tu. Sampailah satu hari tu, aku suruh dia cleaning 1 bilik ni,bilik hujung juga, bilik ni memang special, kau bagi salam pun susah nak buka guna kunci, kau pusing la macam mana pun, tetap jugak tak boleh buka. Jadi alkisah lah, budak ni yang kena cleaning bilik special tersebut, dia call aku minta datang bilik tu sebab kunci tak boleh nak buka pintunya, aku pun demo la cara-cara nak buka pintu tu, aku ketuk pintu tu 3 kali, then baru pusing kunci ,tadaaaaaa.. Pintu senang-senang je dibuka, yup, of course lah dia tercengang tengok aku macam minta penjelasan.

Aku cuma cakap kat dia, ikut je apa yang aku ajar ni tanpa bertanya ‘kenapa’. Dia diam dan teruskan buat kerja dia, waktu tu bilik yang dia cleaning dengan bilik yang aku tengah cleaning tak berapa jauh pun, sama aras tapi berlainan bangunan. JKeluar pintu boleh nampak lah bilik tersebut. Tengah-tengah aku buat kerja tu, aku dengar bunyi pintu ditutup kuat, dan beberapa carutan dari arah bangunan dia. Aku abaikan je, aku fikir mungkin angin yang tutup. Habis kerja haritu, aku ke kaunter reception untuk buat report harian. Manager datang dekat aku bagitahu yang budak baru tu kena ganggu, waktu dia tengah cuci toilet, tiba-tiba sliding door shower tu tertutup sendiri, jadi bunyi yang aku dengar tadi tu ialah bunyi sliding door yang dihempas kuat. Aku tergelak juga membayangkan carutan dia. Mungkin makhluk-makhluk tu pun hilang sabar sebab carutan dia. staff baru aku ni bertahan 2 minggu sahaja. Maka, tinggallah kami anak dara berdua yang masih bertahan.

Aku ni tak adalah berani sangat, menggigil juga kadang kalau gangguannya melampau. Gangguan melampau yang aku dengan staff pernah kena waktu receptionist kami pulang dari bercuti, dia bawa kura-kura peliharaan balik ke hostel. Tapi kura-kura tu, manager aku yang simpan malam tu, gangguan bermula pukul 10 malam, gangguan dinding tempat aku bersandar dicakar, diketuk-ketuk dengan bertalu-talu, staff aku cuba call bilik sebelah hostel lelaki yang waktu tu hanya ada 2 orang sahaja staff lelaki yang tinggal, tapi tidak dijawab panggilan telefonnya, bunyi semakin lama semakin kuat, perabot-perabot aras atas juga ditarik-ditarik seperti ada amukan. Bunyi guli berguling-guling sampai bingit telinga kami.

Kami ketakutan, receptionist kami yang sebilik dengan kami nyenyak sahaja tidurnya, staff aku yang seorang ni mulai memeluk aku dan menangis membenamkan muka dia, sebab takut kalau tiba-tiba ada yang menjelma, aku whatsapp manager aku bagitahu apa yang sedang kami alami, dan dia juga mengatakan mendengar bunyi-bunyi yang sama, buat pengetahuan korang, manager aku ni chinese ya. Dia minta aku buka bacaan yasin. Tapi gangguan masih tak berhenti. Aku Whatsapp manager aku lagi minta datang ke hostel kami, dia tak balas.

Selang beberapa lama, amukan bunyi-bunyian tu tiba-tiba diam sunyi. Dan pintu bilik kami diketuk, aku diamkan kerana takut. Whatsapp aku bebunyi tanda mesej masuk,rupanya manager aku sudah diluar. Aku menjemputnya masuk, dia kata sebelum ke bilik kami, dia sudah checking bilik sebelah iaitu hostel lelaki memandangkan dia ada spare key, tetapi mereka berdua sudah nyenyak tidur, begitu juga receptionist kami, memang sangat nyenyak tidur seperti langsung tak dengar apa-apa pun. Manager kami minta kami tenang memandangkan bunyi-bunyian tersebut sudah pun diam selepas dia meletakkan kura-kura tersebut di luar dari bangunan. Dia jelaskan kepada kami, yang dia terlupa bahawa ada pantang bila bawa balik benda (yang bernyawa) dari luar masuk kedalam kawasan (bangunan).

Selepas penjelasan, manager kami pun balik bilik dia, dan tiada lagi bunyi-bunyi gangguan lagi, malam tu berlalu begitu sahaja dengan rasa lega kerana tidak ada yang menjelma. Setakat ini dulu cerita aku, walaupun ada lagi banyak cerita yang aku hadapi, aku dengar dari manager ataupun pengalaman penginap-penginap yang pernah tinggal di hotel kami. Aku akan sambung lagi bila ada yang ingin membaca lagi. Assalamualaikum.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Lala

4 thoughts on “Kerja Hotel”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.