Kisah Penanggal

Assalamualaikum semua! Morticia kembali bersama kisah seram tapi kali ini akanku kongsikan cerita-cerita dari teman-temanku dan artikel-artikel yang pernah aku baca. Keempat-empat kisah yang akan aku kongsikan adalah tentang makhluk yang dinamakan Penanggal.

Kisah 1

Diceritakan oleh temanku, Mat. “Aku” didalam kisah ini adalah Mat.

~ Tahun 2006 – Hari ni aku excited sangat-sangat! Sebab nak ride-up ke Haadyai, Thailand, dengan members yang lain. Kita akan berangkat pada tengah malam sebab kurang kenderaan diatas lebuhraya dan sejuk. Senang sikit nak ride jauh.

Seusainya masing-masing mengisi penuh-penuh minyak motosikal berkuasa tinggi kami dan berkumpul untuk taklimat dan membaca doa, kami pun mula menghidupkan enjin motosikal kami untuk ride yang dinanti-nantikan. Di dalam grup touring kami ada dalam 12 motosikal kesemuanya.

Angin malam begitu sejuk dan nikmat sekali semasa riding. Setibanya di kawasan Tangkak, Johor, salah satu motosikal tiba-tiba slow-down dan m**i. Memandangkan moto yang m**i tu adalah moto yang ke 3 dalam grup kami (kita panggil dia Abam S), jadi ramai juga yang berhenti untuk melihat apa masalahnya. Setelah 45 minit cuba menghidupkan semula motosikal Abam S, akhirnya kita semua membuat keputusan muktamad.

“Ok, macam ginilah. Pada siapa yang tak pernah ke Haadyai, korang teruskan ride tu bersama leadman kita yang berpengalaman. Kita bertiga bersama Abam S akan U-turn balik ke R&R pelan-pelan.” Jadinya, daripada 12 orang yang nak ride tu, cuma 8 orang saja yang sambung ride.

Memandangkan kami berada di tempat yang gelap gelita yang hanya ditemani cahaya lampu dari kenderaan yang sesekali melintasi lebuhraya itu, kami putuskan untuk 2 orang “tendang” moto Abam S di kiri dan kanannya secara songsang (melawan arus trafik, di bahu jalan) hingga ke kawasan R&R Pagoh baru panggil towing. Aku pula di belakang mereka, dalam 5-10 meter gitu, jadinya, disebelah kanan kami adalah railing besi dan pokok-pokok.

Aku ride perlahan di dalam gelap cuma lampu motosikal kami yg membantu kami melihat di depan. Tiba-tiba mataku tertangkap sesuatu di balik semak-samun tepi railing di depanku dalam jarak 30 meter. Nampak gayanya macam belon helium yang terapung tu degan talinya sekali. Mungkin belon orang yang dalam kenderaan terlepas kot, sangkaanku. Kawan-kawanku di hadapan tidak pula menoleh ketika dan selepas melintasi objek tu. Aku jadi curious nak tau.

Sesampainya aku kat objek tu, aku toleh kanan. Masa ni ada beberapa kereta lalu jadi cahaya dari lampu mereka membuat aku menyesal sangat-sangat mengambil keputusan menoleh ke kanan…

Bukan belon yang aku nampak tapi sebuah/seekor/seketul kepala berwajah hodoh dengan kulit mukanya terkopek dan tergantung dan dagingnya yang seakan-akan terbakar kehitaman sedang kaku berdiri/terapung memandang kereta-kereta yang berlalu. Ianya seperti tidak menghiraukanku yang macam nak meninggal kat situ jugak memandang wajahnya yang rupawan tu! Matanya pula seakan terplesok ke dalam tapi nampak merah kekuning-kuningan. Bahagian dimana letaknya hidung pula seperti lopong. Yang ku sangkakan tali tu rupanya isi perutnya! Apalagi, dengan sepenuh daya upaya aku memerah throttle moto aku memotong kawan-kawanku di depan!!

Aku sampai dulu di stesen minyak di R&R Pagoh, termengah-mengah dalam ketakutan sambil membaca ayat-ayat suci yang aku tau. Bukan takut apa, sebab terkejut wei!! Aku ketuk pintu kaca stesen minyak tu bagai nak rak, staff kat dalam tu ingatkan aku nak rompak tapi bila melihat aku macam nak nangis, seorang daripada mereka keluar. Aku ceritakan apa yang aku nampak. Dia cool je… “Ohh… Abang nampak penanggal lah tu. Jangan risau, bang. Dia tak heran dengan kita lelaki ni. Tapi kalau orang rumah abang mengandung, ada baiknya abang balik selepas azan subuh.”

Itulah pertama kali aku berhadapan dengan makhluk tu!

Kisah 2:

Diceritakan oleh kawanku, Lan. “Aku” didalam kisah ini adalah Lan.

~ Aku pernah bekerja sebagai pest control technician pada suatu ketika dahulu. Pada masa tu, itu jelah keje yang boleh menjamin masa depanku. Yelah, taraf pelajaranku pun bukannya sampai ke menara gading kan. Jadi apa pekerjaan halal yang ditawarkan, aku grab.

Terjadinya kisah ni semasa aku dan rakan setugasku, Pok Din (nama samaran), sama-sama kena buat “fogging” disebuah rumah yang dah lama terbiar. Rumah tu sebuah banglo, kalau dijaga memang akan cantiklah tapi ni dah terbiar lama sehinggakan ditumbuhi semak samun dan daun-daun yang menjalar. Mungkin rumah pusaka fikirku, ada warisnya cuma tak tinggal disitu hanya sesekali panggil pest control untuk buat fogging ataupun selenggarakan rumah tu supaya bebas dari anai-anai dan serangga-serangga perosak.

Kami berdua sampai pada jam 9.30 pagi. Ada orang yang menantikan kehadiran kami untuk membukakan gate rumah tu tapi dia bukan pemiliknya.

Setelah menyiapkan alat semburan dan kimia kami, kami pun menuju ke sekeliling rumah tu. Pok Din ke arah kanan, aku ke arah kiri. Kawasan tu agak luas. Ada bangsal tinggi dan besar di belakang rumah tu. Itupun kita kena fogging jugak jadi aku yang kena pergi kat bangsal tu sebab dia kat arah kiri belakang rumah. Selesai fogging kawasan setengah keliling rumah tu, aku pergi pula ke bangsal besar tu untuk meneruskan fogging.

Semasa aku sedang fogging di bangsal tu, dengan asap yang berkepul sekelilingku, aku terdengar seakan jeritan yang nyaring. Walaupun alat fogging tu kuat bunyinya, tapi yang bunyi tu aku pasti, benda lain. Ah! Mungkin burung kot? Aku nak buat keje aku, bukan suka-suka nak mengacau.

Sekali lagi aku sembur, bunyi jeritan lagi tapi kali ini, aku mendongak keatas…

Pilihan yang kurang bijak ye kawan-kawan…

Didalam kepulan asap putih tu, aku dapat melakarkan sesuatu seperti bola disertai dengan benda yang mengurai dan terjurai… Semakin menipis asap tu, barulah aku sedar yang diatasku itu adalah penanggal! Aku terpaku disitu seketika, lutut aku mcm nak tercabut, seluruh anggota tubuhku longlai. Benda tu semakin tak keruan mungkin disebabkan asap kimia tu yang asalnya untuk m******h nyamuk tapi nak t******h “dia” sekali! Aku terus melihat ke lantai, aku tak mau tengok macam mana rupanya!!! Entahkan cantik atau tidak, pokoknya aku takmo tau! Aku nak lari!

Dengan lafaz Allahuakhbar, aku temukan sekelumit kekuatanku lalu aku lari dari tempat puaka tu menuju ke van! Pok Din dah ada kat situ, menunggu aku.

“Pehal ni Lan? Pucat lesi macam ni… Kau tak gunakan pelitup ke masa sembur tadi???”

Tanpa berkata apa-apa, aku campak peralatanku di belakang van and terus hidupkan enjin keluar dari kawasan rumah tu. Dah jauh dari tempat tu baru aku ceritakan pada Pok Din.

Nak tau Pok Din cakap apa???

“INI SEMUA NORMAL LAH LAN.” Normal eh??? Siang-siang hari jumpa penanggal normal eh??? Aku urut dada…..

Kisah 3:

Pada lewat tahun 80an hingga awal 90an, kawasan yang dikenali sebagai Coughing Hill (kalau pandai tekalah dimana) pernah digemparkan tentang penampakan Penanggal.

Kawasan itu, sebelum dijadikan estet perumahan, adalah sebuah hutan tebal.

Aku pernah terbaca suatu kisah lebih kurang 20 tahun lalu dimana seseorang menceritakan pengalamannya sendiri ternampak makhluk hodoh tu. Kita panggil penulis tu sebagai Z sebab aku tak ingat namanya. “Aku” didalam kisah ini adalah Z dan aku cuba sedaya upaya untuk ingat seberapa banyak yang boleh tentang kisah yang aku baca tu.

~Tahun lewat 80an

Malam tu aku susah sangat nak tidur. Entah kenapa terasa mata ni macam segar sangat.

Rumah keluargaku adalah rumah flat 3 bilik (2 bilik tidur dan ruang tamu). Malam tersebut aku tidur di ruang tamu, berdekatan dengan pintu dapur.

Ibuku pula sedang menjahit di dapur. Memandangkan keesokan harinya aku sekolah pagi, aku paksakan diri untuk tidur sambil miring ke arah dapur dimana dari tempatku, boleh nampak ibuku dan tingkap dapur.

Aku tak ingat jam berapa tapi bila aku dah nak terlelap tu, aku dengar ibuku bercakap pada seseorang.

Pelik… Aku tak dengar pun bunyi telefon berdering sedangkan telefon tu ada diatas ku (telefon yang lekat kat dinding). Bila aku tengok telefon tu cantik je terletak digagangnya, tk digunakan ibu pun. Habis tu dia bebual dengan siapa? Adik beradik dan ayahku semua dah tidur.

Aku cuba menajamkan pendengaranku…

“Aku kata taknak, taknaklah! Jangan paksa aku. Kau setan, aku manusia. Aku tak mahu jadi kawan kau! Pergi kau dari sini!”

Terbeliak biji mata aku bila dengar ibuku berbual seorang. Lalu siapa yang dia setan-setan kan eh? Rumah kita tingkat 6.

Since aku mengiring ke arah dapur dan berdekatan dengan pintu dapur, aku cuba adjust sikit pandanganku ke arah tingkap.

Ya Allah!!! Apa yang aku nampak adalah sesusuk kepala berambut panjang kusut masai, berwajah hodoh seolah-olah terbakar dan rahang yang tergantung dengan sedikit cebisan daging di wajahnya. Matanya pula terjegil keluar dan merah. Aku cuba control daripada terjerit sambil tekapkan bantal ke mulutku. Nasibku baik sebab ruang tamu tu dah tutup lampu cuma dapur je yang masih berlampu sebab ibuku disitu.

Aku dengar makhluk tu berkata, “Marilah… Kawan dengan ku… Heeeheeeeheeee….” berulang-ulang dia cakap sambil sesekali ketawa. Suaranya seperti bergema dan pelat, mungkin disebabkan rahangnya yang hampir tercabut. Sesekali ibuku menyuruhnya berambus dan jangan ganggu dia.
Tak sedikitpun makhluk buruk tu memandangku so aku rasa selamat sikit walaupun jantungku macam nak meletup. Berani betul ibuku… Makhluk tu tak boleh masuk disebabkan grille tingkap dan ada digantungkan beberapa pasang gunting dan pengopek susu disitu. Itu yang setahu akulah, benda tajam ada kat situ dia tak berani masuk.

Entah bilanya aku terlelap, tiba-tiba aku dikejutkan Ibu untuk mandi dan siap ke sekolah. Aku pun dah lupakan peristiwa “ahli mensyuarat tingkap” tu.

Seperti biasa, selepas mandi, siap, sarapan sikit dan salam ibu ayahku, aku terus ke sekolah. Masa tu dalam pukul 6.30 pagi. Masa aku tengah tunggu lif, ada suatu perasaan kurang enak dengan tiba-tiba. Meremang semacam. Lif pulak lambat… Jadi aku ambil keputusan untuk berlari turun tangga.

Makin aku turun, makin rasa seperti ada yang mengekoriku dibelakang. Makin cepat aku berlari, makin cepat pulak benda dibelakangku, seolah-olah mengejar.

Aku berasa lega setibanya di bawah sebab dah ada ramai orang.

Tiba-tiba aku dengar namaku dipanggil…

“Z… Kau nampak aku semalam…HeeeeeHeeeeeHeee…”

Aku tak sikitpun pandang kebelakang sebab suara itu, bergema dan pelat seperti si “ahli mensyuarat tingkap” semalam yang telahpun aku lupakan ketika dikejutkan ibu tadi pagi…. Sekarang aku teringat balik wajah dia! Dan sangkaanku meleset sebab aku ingatkan “dia” tak nampak aku…

Kisah 4:

Selain Coughing Hill, kawasan yang femes dengan penampakan Penanggal ni adalah di kawasan berdekatan Johor Bahru. Ye, dinegara singa kita. Berikut adalah kisah yang pernah aku dengar dari mulut ke mulut.

~ Cik Sal (bukan nama sebenar) berasa lelah setelah seharian meronda-ronda dipasar membeli stok mingguannya. Antara barangan yang dibelinya adalah sesisir pisang dan beberapa buah-buahan yang lain.

Pisang ni ada lain sikit. Kalau taknak makan pada hari tu, kenalah gantung. Kalau main letak je, bonyoklah nanti.

Pisang yang dibeli Cik Sal tu memang dah agak ranum, tapi lebih baik lagi dimakan keesokan harinya.

Jadi Cik Sal mencari tali utk menggantung pisang sesisir tu lalu digantung di grille tingkap yang dibuka sebelah.

Memang kebiasaannya Cik Sal akan membuka sebelah grille nya untuk memudahkan dia menjemur kain baju. Lagipun dia tinggal di tingkat 8, siapalah yang nak menceroboh masuk kan walaupun grille tingkap terbuka sebelah… Cari nahas saja kalau penceroboh tu nak panjat masuk sebab kalau jatuh, game overlah jawabnya. Tambahan lagi anak-anaknya semua dah dewasa dan Cik Sal dan suami pun belum bercucu.

Pada malam tu, seperti biasa, dia akan tutup lampu dapur sebelum masuk ke bilik untuk tidur. Bilik Cik Sal ni sebelah dapur je. Jadi kalau anak-anaknya bangun dulu sebelumnya, akan dengar keletah mereka punya.

Keesokan harinya…..

“Eh… Mana pegi pisang yang aku gantung ni?”

Cik Sal agak angin jugaklah sebab pisang yang digantung tu takde di tempatnya. Dia tanya seisi rumah.

“Mak, orang dah buanglah kat tong tu. Apa Mak gantung pisang kat tingkap? Habis dimakan burung malam atau kelawar! Lagipun dalam rumah ni kita semua tak favourite makan pisang camtu, kalau cekodok pisang tu naklah jugak. Heee!” Salah seorang anaknya menjawab sambil mencuit abangnya yang mengangguk tanda setuju.

Cik Sal macam tak percaya lalu dia pergi tengok tong sampah didapur tu. Haaa!!! Ada pun! Tapi sayang, pisang tu separuh dah habis digigit binatang apa entah. Dengan kulit-kulit sekali. Tinggal sisa bahagian atas je. Hampa rasanya, baru berangan nak buat cekodok pisang ke, pisang goreng ke, pengat pisang ke… Meleset semuanya.

Tapi tak apalah… Nanti dia nak ke kedai jadi boleh beli lagi kat kedai buah dalam pasar tu.

*************************************************

“Kali ni aku gantung lagi kat sini. Malam ni aku nk intai binatang malam apa yang makan pisang aku semalam.” cetus hati Cik Sal.

Jam didinding menunjukkan jam 11.30malam. Cik Sal pon mengambil keputusan untuk matikan lampu dapur dan ruang tamu lalu ke bilik. Bukan untuk tidur tapi siap-siap berpakat dengan suaminya nak sergah siapa atau apakah yang gemar sangat kat pisang tu. Suami Cik Sal ok je.

Lampu seisi rumah semua dah dimatikan termasuk biliknya sekali. Pintu bilik sengaja tidak dirapatkan supaya senang untuk dia dan suami menangkap apa jua bunyi di dapur dengan jelas.

12 tengahmalam… Tak ada apa-apa pun… 12.30 malam pun takde apa-apa. Masa ni suami Cik Sal dah mula bisik ke Cik Sal yang dia dah ngantuk nak tidur, mata tak boleh nak tahan lagi dah. Cik Sal bagi isyarat “Pleeeeaseee” padanya… Oklah, sayang bini punya pasal, ngantuk pun ngantuklah…Bukannya dia kerja pun esoknya. Dah lama pencen.

Tepat jam 1 pagi, tiba-tiba telinga mereka menangkap suatu bunyi… Ianya tak kuat tapi cukup untuk membangkitkan mereka berdua ke arah bunyian itu. Seperti hentakkan halus pada grille tingkap…

Perlahan-lahan Cik Sal menguakkan pintu bilik, diiringi suaminya di belakang. Mengintai dari pintu kamar (macam lagu Exists pulak), apa yang mereka lihat memang cannot brain! Benda tu gelap, nampak macam badan dia melidi sebab dapur gelap gelita… Lalu suami Cik Sal memberanikan diri melompat ke arah suis lampu dapur dan hidupkan lampu.

ASTAGHFIRULLAH HAL AZIMMMM!!!!

Mereka bertentangan mata dengan Penanggal!!!

Wajahnya hodoh, mulut nya penuh dengan pisang yang dikepit gigi yang kehitam-hitaman, rambutnya kusut masai dengan daun-daun m**i terselit sana sini! Isi perutnya tergantung di luar tingkap, bermakna dia masuk separuh jalan hanya untuk menggigit pisang yang digantung.

Benda tu mendengus seolah-olah terkejut dan marah kerana ketahuan, lalu sepantas kilat terbang hilang dari pandangan. Cik Sal mula pitam dan menjerit sehinggakan anak-anaknya terbangun dari bilik masing-masing dan berlari ke arah ibu mereka.

Yang tinggal hanya cebisan pisang… Tapi kali ni, ada lebih sedikit berbanding hari sebelumnya. Hehe!

Cerita tentang penampakan makhluk Penanggal tu seperti api yang marak. Sekejap je dah sampai ke telinga jiran tetangga, sanak saudara dan sahabat handai.

Ada yang menasihatkan, lain kali elakkan dari menggantung pisang atau buah-buahan atau makanan ditingkap semalaman, sebab katanya benda ni suka pada buah-buahan lebih-lebih lagi pisang.

Sejak dari hari tu, bukan Cik Sal fobia menggantung pisang di tingkap… Tiap kali nampak pisang pun dah cukup untuk membangkitkan peristiwa yang tidak akan dia dan suaminya lupakan.

SEKIAN

Morticia A

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Morticia A

2 thoughts on “Kisah Penanggal”

  1. Wah serammmmm gile…. Malam nie tak mandi lh jaweb nye👏 macam mane pula penulis ni boleh hadap semua nya kalau sy lah kan dh lama pengsan….. Kan ku nanti cerita seterusnya 👍👍

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.