Nama aku Aidil. Aku bekerja sebagai programmer dekat sebuah syarikat perisian di Cyberjaya. Biasa-biasa saja. Kami uruskan sistem dalaman untuk jabatan kerajaan dan swasta sistem cuti, sistem e-maklumbalas, dashboard pengguna. Aku dah kerja hampir lima tahun. Dah lali dengan rutin duduk depan komputer sampai mata merah.
Tapi ada satu malam, yang sampai hari ni aku tak boleh lupa.
Malam yang buat aku berhenti kerja lewat.
Waktu tu aku tengah siapkan projek baru, sistem permohonan atas talian. Projek ni urgent, sebab demo dengan klien tinggal dua hari lagi. Team lain semua balik awal, tinggal aku yang ambil keputusan untuk habiskan coding form permohonan malam tu juga.
Pejabat kami tak besar. Ruangnya jenis terbuka, dan hanya satu bahagian yang ada dinding kaca, menghadap bilik mesyuarat lama. Bilik tu memang jarang orang guna. Gelap, sunyi, dan… ada sesuatu tentang bilik tu yang dari dulu buat aku rasa tak selesa. Tapi aku abaikan saja. Aku anggap perasaan tu datang sebab penat.
Masa aku tengok jam, dah pukul 11:38 malam.
Skrin komputer aku menyala terang, dikelilingi gelap. Hanya meja aku yang ada lampu. Aku pasang lagu instrumental perlahan untuk tenangkan kepala. Tapi tengah aku fokus, aku dengar macam kerusi diseret perlahan dari bahagian hujung pejabat.
Aku berhenti menaip.
Aku toleh.
Kosong.
Semua kerusi di tempat kerja rakan-rakan aku masih di posisi asal.
Aku bangun. Pergi tengok.
Langsung tak ada siapa.
Angin pun tak kuat malam tu. Aircond pejabat pun dah ditutup automatik sejak jam 9 malam.
Aku cuba fikir logik. Mungkin bunyi dari luar pejabat. Atau dari tingkat atas.
Balik ke tempat duduk. Buka semula skrin. Tapi semua file yang aku buka tadi, tertutup sendiri.
Laju aku gerakkan mouse. Aku buka semula.
Dan masa tu aku perasan satu benda.
Ada fail pelik muncul atas desktop. Namanya: DONT_OPEN.txt
Aku yakin aku tak pernah buat fail tu.
Aku klik. Tapi fail tu tak buka. Terus hilang dari skrin.
Aku rasa meremang.
Aku terus simpan semua kerja dan tutup komputer. Tapi sebelum sempat aku cabut kabel pengecas, lampu bilik mesyuarat menyala sendiri.
Aku terdiam.
Dari tempat aku duduk, aku nampak pintu kaca bilik mesyuarat sedikit terbuka.
Cahaya samar dalam tu… dan di hujung bilik, ada kerusi yang menghadap ke dinding. Atas kerusi tu, nampak macam ada seseorang duduk, bahu leper, rambut panjang mengurai.
Aku terus bangun, langkah perlahan ke arah pintu pejabat.
Tak sempat aku pegang tombol, bunyi gelas jatuh dari dapur pejabat kedengaran.
Dummm.
Aku tak tunggu lagi. Terus buka pintu dan keluar. Tak toleh belakang.
Besok pagi, bila aku masuk semula komputer aku terbuka seperti biasa. Semua fail terakhir ada. Cuma… bila aku check dalam folder desktop, memang ada fail DONT_OPEN.txt
dalam Recycle Bin.
Aku buka.
Kosong. Tapi dalam properties, metadata fail tu tunjuk ia dicipta pukul 3:07 pagi. Sedangkan aku dah keluar pejabat sekitar 12:15 malam.
Aku padam fail tu.
Sejak malam tu, aku tak pernah lagi tinggal sorang dalam pejabat. Kalau perlu stay back pun, aku pastikan ada orang lain juga. Dan aku dah minta tukar tempat duduk, jauh dari bilik mesyuarat kaca tu.
Aku tak tahu apa sebenarnya yang aku lalui.
Tapi aku percaya, bukan semua tempat yang terang itu betul-betul kosong.
Kadang-kadang, bila pejabat terlalu sunyi…
ada sesuatu yang rasa dia dah biasa duduk situ sebelum kita.