Rumah Tumpangan

Di tengah-tengah bandar yang sibuk, terletak sebuah rumah tumpangan lama yang dikenali sebagai “Rumah Tumpangan Seroja.” Walaupun namanya indah, rumah itu diselubungi pelbagai kisah misteri. Ramai yang percaya rumah itu berhantu, tetapi disebabkan sewanya yang murah, para pelajar dan pekerja tetap berani menginap di situ.

Aku, Zaki, seorang pelajar universiti yang berasal dari kampung, tidak mempunyai banyak pilihan. Setelah puas mencari, Rumah Tumpangan Seroja merupakan satu-satunya tempat yang sesuai dengan bajetku. Walaupun aku sudah mendengar cerita seram tentang rumah itu, aku beranikan diri untuk menyewanya kerana aku tidak mempunyai tempat tinggal lain. Mungkin ada sesetengah orang akan ada yang sama dengan pemikiran ku iaitu terpaksa.

Pada malam pertama aku di sana, suasana sangat sunyi. Kebiasaannya, rumah tumpangan akan bising dengan gelak ketawa dan bualan penghuni, tetapi di sini, aku hanya ditemani bunyi kipas siling yang berpusing perlahan.

Aku cuba melelapkan mata, tetapi bunyi ketukan pintu yang samar-samar membuatkan aku terjaga. Ketukan itu seolah-olah berulang mengikut rentak tertentu. Aku intai di lubang kunci, tetapi tiada siapa di luar. Aku mula rasa tidak sedap hati.

Setiap malam, kejadian aneh ini berulang. Kadang-kadang, aku terdengar suara perempuan menyanyi, tetapi bila aku keluar dari bilik, tiada sesiapa di koridor. Aku juga sering ternampak kelibat hitam melintas di hadapan cermin.

Suatu malam, aku terjaga dari tidur kerana bunyi seseorang mengilai. Suara itu begitu dekat, seolah-olah berada di sebelahku. Aku terus pasang lampu dan selimutkan seluruh badan. Tiba-tiba, selimutku ditarik. Aku terkejut dan terus membaca ayat-ayat suci. Aku teruskan membaca dan bunyi ketawa itu semakin jauh, sehinggalah ia hilang. Aku tidak berani keluar dari bilik.

Keesokan harinya, aku berkongsi cerita dengan pemilik rumah, Mak Cik Lana, seorang wanita tua yang peramah. Aku sangka Mak Cik Lana akan terkejut, tetapi dia hanya mengangguk perlahan.

“Dah biasa dah tu, nak. Dia nak tegur kau je,” kata Mak Cik Lana dengan tenang.

Kata-kata Mak Cik Lana membuatkan aku bertambah curiga. Aku mula mencari maklumat tentang sejarah rumah tumpangan itu. Rupanya, beberapa dekad yang lalu, ada seorang perempuan bernama Seroja yang membunuh diri di rumah itu. Dikatakan Seroja bunuh diri kerana dibuang keluarga dan dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya. Sejak itu, rohnya dikatakan bergentayangan di rumah tersebut.

Suatu malam, semasa aku sedang menelaah pelajaran, aku dengar bunyi orang ketuk pintu bilik. Aku buat tak endah. Lama-kelamaan, ketukan itu semakin kuat. Aku mula rasa takut dan memberanikan diri untuk buka pintu. Tiada siapa di luar. Aku menoleh ke kiri dan kanan. Tiba-tiba aku ternampak satu kelibat melintas dari bilik hujung. Bilik hujung itu merupakan bilik lama Mak Cik Lana yang sudah lama dikosongkan.

Aku ambil keputusan untuk tidur di bilik kawan. Aku segera keluar dari bilik dan berjalan pantas. Setibanya di bilik kawan, aku mengetuk pintu berkali-kali, tetapi tiada sahutan. Aku mula panik. Tiba-tiba aku terdengar bisikan.

“Kenapa kau lari, Zaki?”

Aku menoleh ke belakang. Aku nampak kelibat wanita berambut panjang, berjubah putih dan mukanya tidak kelihatan. Wanita itu seakan terapung di udara. Aku lari sekuat hati dan terus pulang ke kampung. Sejak hari itu, aku tidak lagi berani menginap di Rumah Tumpangan Seroja.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.